Monday 29 January 2018

Cerita Dari Pontianak : Paduka Nurul Alam

Telah berkata Sayyid Syarif Abdur Rahman Al Qadri, "Berhenti perang kerana sekalian hantu dan syaitan (Pontianak) yang berbuai pada malam hari di pulau itu telah habis lari, janganlah tuan-tuan takut, marilah kita turun menebas pulau itu''.

Pada awal tahun 2014, saya telah bermusafir ke daerah Pontianak di Kalimantan Barat (KALBAR). Ketika itu saya dan rombongan menjadi tamu kepada Kiyai Syarif Hidayatullah, pimpinan Jemaah Ahli Tarekah Muktabarah Nahdatul Ulama’ (JATMAN) Kalimantan Barat yang ketika itu mengadakan majlis sambutan Maulidur Rasul. Kami sangat beruntung, kerana turut menyertai rombongan kami ialah Al-Marhum Tuan Guru Baba Abdul Aziz Al-Fathoni.  

Detik itu merupakan kali terakhir saya dapat berjumpa dan berkhidmat dengan almarhum Baba Abdul Aziz yang kembali ke Rahmatullah selepas satu minggu pulang dari Pontianak. Pemergian Ulama’ al Fathani yang bermukim di Makkah selama 22 tahun adalah satu kehilangan besar untuk ummah. Sebaik mendapat khabar pemergian almarhum Tuan Guru waktu tengah malam, saya langsung ke Pattani dari Shah Alam. Moga Allah tempatkan almarhum Baba bersama para kekasihNya.

Berbalik kepada permusafiran, saya memulakan perjalanan ke Pontianak melalui Sarawak. Bermula dari Bandar Kuching. saya menaiki bas ekspres meredah sempadan selepas lebih kurang 2 jam di dalam bas.  Selesai cop passport dan ‘scan’ bagasi di sempadan Sarawak – Kalimantan, bas kembali menyambung perjalanan. Jalan raya yang tidak berturap dengan baik menyebabkan bas dipandu sangat perlahan. Mujurlah, ‘air-cond’ bas berfungsi dengan baik. Bukan apa, terdapat bas yang ‘air-cond’nya rosak. Perjalanan bertemani hujan peluh !. Ketika dalam bas, saya sempat mencuri mata melihat perkampungan Dayak yang boleh dilihat dari jendela bas. Suku Dayak adalah antara suku yang digeruni di Indonesia kerana terkenal dengan ilmu hitam yang sudah banyak ‘menewaskan’ orang.

Alhamdulillah,  selepas 12 jam berada di bangku bas, akhirnya kami tiba di tempat penginapan pada lewat malam. Masing-masing ‘capek’ (kepenatan). Sementara itu, Almarhum Tuan Guru Baba Abdul Aziz yang menaiki pesawat dari Kuching ke Pontianak tiba lebih awal bersama beberapa orang murid beliau.  

Setelah beberapa hari acara maulid, kami mengambil peluang menziarahi tempat-tempat bersejarah sekitar Kota Pontianak. Saya kurang pasti kenapa saya agak lambat untuk menulis travelog saya di Pontianak, mungkin kerana saya tidak ketemu gambar-gambar saya di Pontianak, apatah lagi gambar saya bersama Pontianak (gurauan) kerana saya agak ralat menulis tanpa gambar sebenarnya. Untuk pengetahuan sahabat, ribuan gambar simpanan saya hilang akibat masalah teknikal. Moga ada kesempatan ke sana lagi.  

A'la kulli hal beberapa hari ini cerita tentang Kesultanan Pontianak singgah ke benak fikiran saya setelah ada sahabat bertanya tentang sejarah di sana. Saya yang pernah ke sana terpanggil untuk memberikan ‘respon’ terhadap pertanyaan sahabat dan tidak semena-mena telah menjadi tulisan yang panjang lebar. Terima kasih sahabat !.

Di Pontianak, saya juga sempat menziarahi Keraton (Istana) Kesultanan Pontianak, namanya Istana Kadariah yang terletak di Kecamatan Pontianak Timur Selain itu, saya juga menziarahi Makam Sultan – Sultan Kesultanan Pontianak dan Makam Habib Husein Al Qadri. Saya juga tidak lepaskan peluang melawat Tugu Khatulistiwa dan Masjid Jami’ Pontianak yang tersergam indah serta Istana Amantubillah di Kecamatan Mempawah Timur peninggalan Kesultanan Mempawah.


Kota Pontianak

Kota Pontianak dianggap pintu gerbang Kalimantan Barat kerana lokasinya yang stratergik. Kota ini berada di persimpangan sungai, terbahagi wilayahnya kepada beberapa bahagian yakni Pontianak Timur, Pontianak Utara, Pontianak Barat dan Pontianak Selatan. Kota Pontianak yang merupakan ibu kota provinsi Kalimantan Barat juga adalah kota migrasi dan juga tempat urbaniasasi penduduk dari daerah luar. Oleh kerna itu, kependudukan di sini bercampur pelbagai bangsa dan etnik. Menurut kajian Enirahayul, ada tiga faktor yang menyebabkan kota Pontianak menjadi pilihan, pertama, kerana ia pusat pemerintahan Kalimatan Barat. Kedua, kedudukannya sebagai kota perdagangan dan ketiga ialah tempat pelabuhan. Sebahagian besar penduduknya adalah beragama Islam.


Peta Pontianak Di Kalimantan Barat

Kesultanan Pontianak

Kesultanan Pontianak adalah Kesultanan di Kalimantan Barat yang diasaskan pada 23 Oktober 1771M bersamaan 27 Rejab 1185H. Sejarah Kalimantan Barat mencatatkan Kesultanan Pontianak adalah kesultanan terakhir yang tertegak di wilayah tersebut. Ini kerana, tiada lagi Kerajaan atau Kesultanan yang berdiri selepas Kesultanan Pontianak.

Kesultanan Pontianak berasal dari hutan belantara yang berada di persimpangan tiga sungai iaitu sungai Landak, Sungai Kapuas, dan Sungai Kapuas Kecil.

Istana Kadriah Kesultanan Pontianak

Kesultanan termuda ini telah meninggalan warisan dan sejarah yang unik. Kendatipun, Kesultanan ini boleh dianggap adik  bongsu kepada Kesultanan lain yang lebih tua, tetapi ia mampu berperanan menjadi penyatu dan kunci serta memimpin kesultanan lain di wilayah Kalimantan Barat ketika hayatnya. Kesultanan Pontianak juga dikenali dengan nama Kesultanan Qadriah sempena nama kabilah pengasasnya iaitu Al Qadri.

Tempoh pemerintahan kesultanan Pontianak tidak lama hanya 179 tahun, dan diperintah oleh 8 generasi sultan dari dinasti Al Qadri cuma, sejak kelahirannya 1771M hingga ke Proklamasi Kemerdekaan Republik Indonesia 1945 M. Setelah itu, kesultanan ini tidak lebih dari sekadar warisan budaya yang tidak mempunyai kekuasaan politik apapun lagi .


Pengasas Kesultanan Pontianak

Kesultanan pontianak ini didirikan oleh Sultan Sayyid Syarif Abdul Rahman Bin Al Habib Husein Al Qadri (kadang-kadang dieja Al Kadrie). Ayahanda baginda, Al Habib Sayyid Husein Al Qadri, adalah seorang Ulama’ besar berketurunan Sayyid dari keturunan ahlul bait (baca: keturunan ke-34 Rasulullah saw) dan penyebar agama Islam yang berasal dari Hadramaut, Yaman Selatan. 

Habib Husein mengembara dari kampung halamannya ke pelbagai tempat untuk berdakwah hingga ke wilayah Nusantara ini. Banyak tempat yang pernah Habib Husein kunjungi seperti Aceh dan Semarang, Kemudian kembali berlayar ke Kerajaan Matan pada tahun 1731 M berdasarkan dokumen Belanda yang ditulis oleh Martinus Nijhoff pada 1925.

Di Matan, ternyata susuk Habib Husein diterima dan disenangi penduduk setempat hingga ke pemerintah. Lalu, Habib Husen Al Qadri dilantik menjadi Qadhi (Hakim) dalam pengedalian hukum hakam Kerajaan Matan. Di Matan, Habib Husein menikahi seorang putri Sultan Muhammad Zainuddin (Sultan Matan) yang bernama Nyai Tua. Pernikahan Habib Husein dengan Nyai Tua ini yang melahirkan Syarif Abdul Rahman Al Qadri.

Setelah menetap beberapa tahun di Matan, Habib Husein dan Syarif Abdul Rahman Al Qadri berhijrah ke Kerajaan Mempawah yang diperintah oleh Panembahan Adijaya anak Opu Daeng Manambon untuk melanjutkan dakwah syi’ar islam.

Di Mempawah Syarif Abdul Rahman Al Qadri, berumur 18 tahun ketika itu telah dikahwinkan dengan Utin Candramidi, puteri Opu Daeng Manambon dengan Puteri Kusumba.  Setelah perkawinannya dengan Utin Candramidi, Syarif Abdul Rahman bergelar Pangeran Syarif Abdul Rahman Al Qadri. Beliau adalah pedagang, perantau, pelayar dan ulama penyebar ajaran Islam seperti Ayahnya.

Suatu hari, bertarikh 11 Rabiulakhir 1185 H/24 Jun 1771 M, sekembali Syarif Abdur Rahman dari merantau,  Tuan Besar Mempawah juga ayahandanya, Habib Husein Al Qadri telah kembali ke Rahmatullah.

Pemergian Ayahnya sangat memberi kesan kepada Syarif Abdul Rahman dan telah mendorong beliau berhijrah mencari tempat yang bukan sahaja sebagai pusat perdagangan akan tetapi lebih tepat sebenarnya pusat pemerintahan baru.

Pada 14 Rejab 1185 H bersamaan 23 Oktober 1771 M, Syarif Abdul Rahman telah berangkat meninggalkan Mempawah dengan 14 buah perahu kecil. Beliau tiba di suatu sungai kira-kira waktu malam.
Keesokan harinya, Syarif Abdur Rahman pun masuk ke Selat Pontianak dan berhenti di situ selama lima malam. Pada hari Rabu kira-kira pukul 4.00 pagi.
Saya masih ingat Supir (pemandu) kami bercerita,
Pak, semasa pembukaan hutan, datangnya makhluk-mahkhluk yang dipanggil Pontianak mengganggu rombongan terutama waktu malam. Suara mengilai mereka juga selalu kendengaran. Bukan itu sahaja, susuk mereka memang nampak
Supir kami terus menyambung,
apabila sampai ke pengetahuan Syarif Abdul Rahman Al Qadri, Syarif Abdul Rahman Al Qadri membawa sebuah meriam besar ke tengah hutan tersebut. Beliau kemudian menyalakan meriam itu ke sekumpulan Pontianak supaya Pontianak itu ketakutan. Stategi beliau berjaya dan Pontianak beransur-ansur hilang
okay pak, untuk pengetahuan bapak,  meriam yang digunakan menakutkan sekumpulan pontianak masih tersimpan di hadapan Istana Kadriah”, tutur supir.
Kami yang memang dalam perjalanan ke Istana Kadriah terasa tidak sabar untuk melihat meriam yang dimaksudkan.  
Ganas betul pontinak di sini, sampai kena guna meriam”, bisik hati saya.
Macam Maya Karin tak Pontianak tu”, Tanya seorang sahabat saya secara berseloroh.
saya jawab, “kalau Pontianak macam Maya Karin, ramai la pergi tangkap pontianak……tapi ada berani ke”.
Kami tergelak beramai-ramai. 

Meriam yang digunakan Syarif Abdul Rahman untuk menakutkan Pontianak. Ia masih tersimpan hingga kini di hadapan Istana

Tamatnya gangguan Pontianak, hutan belantara yang memenuhi pulau itu ditebas dengan jayanya. Setelah habis ditebas, di dirikan sebuah rumah dan sebuah balai. Proses itu mengambil masa lapan hari dan di dalam tempoh tersebut, Syarif Abdul Rahman kembali ke Mempawah mengambil sebuah kapal dan sebuah tiang sambung. Tarikh 4 Ramadhan 1185 H/11 Disember 1771 M Syarif Abdul Rahman pindah ke pulau itu.

Hari Isnin, 8 Syaaban 1192 H bersamaan 1 September 1778 M, Syarif Abdul Rahman Al Qadri diangkat menjadi Sultan bagi Kesultanan baru di tengah hutan itu kemudian Baginda menamakan dengan nama ‘Pontianak’ merujuk wilayah kekuasaannya mengambil sempena peristiwa gangguan susuk Kuntilanak ketika pembukaan hutan. Hal ini menjadi asal usul nama Kota Pontianak.
Tak dinafikan, disana ada versi lain kenapa nama ‘Pontianak’ diangkat menjadi nama Kesultanan.  Sebagai contoh, penamaan nama Pontianak dikatakan juga dari kata Ayunan Anak, atau berasal dari Pohon Punti. Ada juga menyebut berasal dari pontian yang bermaksud tempat perhentian dan lain-lain. 
Cumanya, sejarah sekumpulan Pontianak (atau kuntilanak) itu sendiri menjadi sebab penamaan Kesultanan Pontianak lebih masyhur dan menjadi cerita yang diwariskan dari satu generasi ke generasi. 
Tersebut di dalam salah satu manuskrip yang berasal dari tulisan Syarif Abu Bakar Al Kadrie (cicit Sultan Pontianak pertama) yang bertarikh 28 Rabiulakhir 1350H bersamaan 9 September 1931M, 
Telah berkata Sayyid Syarif Abdur Rahman Al Qadri, "Berhenti perang kerana sekalian hantu dan syaitan (Pontianak) yang berbuai pada malam hari di pulau itu telah habis lari, janganlah tuan-tuan takut, marilah kita turun menebas pulau itu''.
Nak cakap terima kasih ke tidak ya kepada Pontianak yang menjadi sebab kepada nama tersebut. Terserah la yer ! (gurauan). 

Pertabalan Al Qadri

Menjadi adat, sesebuah kerajaan adalah dikira berdaulat apabila adanya pengiktirafan Kerajaan atau kesultanan yang lain. Kesultanan Pontianak tidak terkecuali. Maka telah datang Raja Haji Ibni Daeng Chelak (baca : As Syahid Raja Haji Fisabililah), Yang dipertuan Muda Riau yang keeempat (1727-1784M) untuk meneliti karisma dan tuah Syarif Abdul Rahman Al Qadri serta menyelidik pandangan rakyat. Apabila semua penduduk Pontianak bersetuju pelantikan Syarif Abdul Rahman, Raja Haji mengirim utusan ke negeri sekitar iaitu Mempawah, Matan, Landak dan Kubu. Raja-Raja negeri tersebut memberi perkenan dan restu pelantikan. 
Susulan itu, pada tarikh yang tersebut (Isnin, 8 Syaaban 1192 H bersamaan 1 September 1778 M), telah berhimpun sekalian tuan-tuan sayyid, para raja dan rakyat negeri Pontianak menyaksi pertabalan Syarif Abdul Rahman Al Qadri.

Raja Haji yang juga merupakan adinda Sultan Salahuddin (Sultan Selangor pertama) bertitah,  bertitah, 
“Adapun kami memberitahu kepada sekalian tuan-tuan sayid, raja-raja, dan sekalian isi negeri Pontianak ini, pada hari ini, Paduka Pangeran Syarif Abdur Rahman Nur Allam kita sahkan berpangkat dengan nama Paduka Sultan Syarif Abdur Rahman al-Qadri, iaitu raja di atas takhta kerajaan Negeri Pontianak, demikianlah adanya''

Saya meneka kedatangan dan restu daulat dari Raja Haji kepada Syarif Abdul Rahman Al Qadrie adalah kerana faktor hubungan kekeluargaan. Raja Haji Bin Daeng Chelak adalah sepupu kepada isteri Syarif Abdul Rahman Al Qadri iaitu Utain Candra Maidi Bt Daeng Menambon kerana Ayahanda mereka berdua (Daeng Chelak dan Daeng Menambon) adalah adik beradik. Daeng Chelak dan Daeng Manambon mempunyai 3 saudara lelaki lagi iaitu Daeng Merewah, Daeng Perani dan Daeng Kemasi. Kelima putera Oppu Tendri Bura Dilaga dari Kesultanan Luwu’-Bugis merupakan lima saudara agung yang pernah dilahirkan di Nusantara ini. kelima-lima mereka merupakan pelayar hebat yang telah memainkan peranan penting dalam aspek penyebaran Islam dan kekuasaan politik di Nusantara khusnya di Semenanjung Tanah Melayu, Kalimantan serta Sumatera. 
Maka tertegak Kesultanan Pontianak dari zuriat keturunan Rasulullah   dari kabilah Al Qadri. Dari Yaman, keluarga ini datang berdakwah ke Nusantara. Takdir Allah, dikurniakan Allah akan mereka Al Qadri akan kerajaan. Mereka tidak hanya berdakwah tetapi juga mendirikan kekuasaan.

Baginda Sayyid Syarif Abdul Rahman Al Qadri bin Sayyid Husein ibni Sayyid Ahmad ibni Sayyid Hussein ibni Sayyid Muhammad ibni Sayyid Salim ibni Sayyid Aqil ibni Sayyid Abdullah ibni Sayyid Muhammad ibni Sayyid Salim ibni Sayyid Ahmad ibni Sayyid Abdul Rahman ibni Sayyid Ali ibni Sayyid Muhammad ibni Sayyid Hassan al Muallim ibni Sayyid Muhammad ibni Sayyid Hasan ibni Sayyid Ali ibni Muhammad Fakeh Al Muqaddam ibni Ali ibni Muhammad Sahib Mirbath ibni Ali Khali’ Qasam ibni Alawi ibni Muhammd ibni Alawi ibni Syaikh Ubaidillah ibni Ahmad Muhajir Ibni Isa Ar Rumi ibni Muhammad Al Naqib ibni Ali Al Uraidhi ibni Jaafar As Sadiq ibni Muhammad Al Baqir ibni Ali Zainal Abidin ibni Al Husein ibni Sayyidatina Fatimah binti Rasululilah saw.

Pakar nasab alawiyin di Hadramaut telah mengesahkan salasilah ini. Boleh merujuk Kitab Syamsu Ad Dzhohirah.

Telah memerintah Paduka Sultan Syarif Abdul Rahman Al Qadri Nurul Alam dan keturunannya selama turun temurun hingga Kesultanan Pontianak bergabung menyertai Negara Kesatuan Republik Indonesia selepas Kemerdekaan Indonesia 1945M. Setelah itu, kesultanan ini tidak lagi mempunyai kekuasaan politik, hanya lebih dari sekadar lambang dan warisan budaya yang terikat dengan sumpah panca sila.


Sekian, 
Angah Sunan
angahsunan.blogspot.my

Rujukan, 

1. Kembara penulis di Kalimantan Barat
2. http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0801&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm
3. http://www.kalbariana.web.id/kesultanan-qadariyah-pontianak-perspektif-sejarah-dan-sosiologi-politik-1/


Monday 22 January 2018

Tragedi Jabidah 1968 : Pembunuhan Beramai-Ramai Pemuda Moro Muslim

“Demi kepentingan cita-cita politik, nyawa manusia menjadi korban”

Tahun 1968M, telah berlaku peristiwa berdarah yang sangat tragis. Pada tahun itu, Seramai 180 orang pemuda beragama Islam yang berusia di antara 18 hingga 30 tahun telah dibunuh secara beramai-ramai di Pulau Corregidor, Filipina. Ia berlaku pada 18 mac 1968. Peristiwa berdarah itu dikenali Pembataian Jabidah. Pemuda Moro yang terbunuh dan kuburnya tidak bertanda itu, dibakar dan sisanya dicampakkan ke laut. 

Saya mula mendengar tragedy ini ketika permusafiran di Mindanao termasuk di Kepulauan Sulu. Di sana, saya mendengar cerita mulut ke mulut telah berlaku pembunuhan beramai-ramai para pemuda Tausuq atau Suluk dan Bajau sekitar 1960an. Saya sekadar mendengar ketika itu, tanpa mencatat secara serius. Beberapa hari ini, saya beranggapan, sudah sampai masa untuk saya berkongsi pengalaman, sketsa umat Islam di Selatan Filipina yang pada saya, kurang pendedahan. Sebut sahaja Mindanao, orang terbayangkan keganasan, radikal, MNLF, penculikan tanpa mengetahui warna warni sebenar sejarah dan keindahan wilayah di sana. 


Sabah Dibawah Bayu Dan Filipina

Sabah, sebuah negeri yang terletak di Pulau Borneo. Sabah mempunyai sempadan dengan Sarawak dan Brunei di bahagian Barat, Kalimantan di Selatan serta Filipina yang dipisahkan laut Sulu dan Sulawesi yang dipisahkan laut Sulawesi. Sementara Filipina adalah negara yang memiliki 7,107 buah pulau bersempadan dengan Sabah. Mempunyai lebih 103 juta penduduk (tahun 2016) dan sebahagian besar iaitu 90% beragama Kristian Katolik. 

Peta Sabah

Sebagaimana Thailand dan Indonesia, Filipina juga merupakan sebuah negara yang mengamalkan demokrasi sejak kejatuhan Rejim Marcos pada tahun 1986 di tangan Corazon Aquino. Walaupun telah mengamalkan demokrasi, namun Filipina masih belum betul-betul stabil kerana masalah rasuah dan kemiskinan menyebabkan sistem demokrasi Filipina sangat lemah. Malah pembunuhan politik merupakan sesuatu yang masih berterusan lantaran pihak tentera juga telah beberapa kali mencuba untuk merampas kuasa.

Tahun 1963M, Sabah telah bergabung dengan Tanah Melayu membentuk Malaysia yang sebelum ini dibawah pengaruh kesultanan Brunei dan Kesultanan Sulu serta Syarikat Berpiagam Borneo Utara British (SBBUB).
Walaupun Sabah sudah menjadi sebahagian Malaysia, hingga kini Sabah masih lagi dituntut oleh Filipina atau dalam erti kata lain Sabah masih lagi dianggap sebahagian daripada Filipina meskipun Presiden Marcos telah berjanji untuk tidak lagi menuntut Sabah tetapi hasrat beliau ini telah digagalkan oleh Kongres Filipina. Mengapakah Kongres tidak mahu ataupun tidak bersetuju melupuskan tuntutan lagi ke atas Sabah?, ini kerana Sabah boleh menjadi isu kepada ahli politik Filipina untuk melonjakkan populariti melalui sentimen-sentimen rakyat kepada mereka. Presiden Duterte ketika kempen politiknya dahulu pernah menyebut beliau akan meneruskan tuntutan Filipina ke atas Sabah.

Filipina menyatakan bahawa Sabah adalah sebahagian dari Filipina berdasarkan tuntutan warisan melalui pertalian tradisi Sabah dengan Kesultanan Sulu. Tuntutan ini adalah sebuah tuntutan yang kurang berasas. Ya, Sabah pernah menjadi sebahagian dari Kesultanan Sulu. Walaubagaimanapun, senario politik Sabah dan Filipina telah berubah sejak penjajah Sepanyol, British dan Amerika menjejakkan kaki mereka ke rantau ini.

Untuk pengetahuan para pembaca yang dihormati, sehingga sekarang, Filipina masih belum mempunyai Konsulat di Sabah bagi menangani pelbagai isu mengenai rakyat mereka di Sabah. Hal ini kerana, sekiranya Filipina membuka konsulat di Sabah, ia bermakna Filipina telah mengiktiraf Sabah sebahagian daripada Malaysia. Malaysia sebagai negara yang terkenal dengan diplomasi yang tinggi sebaliknya pula membuka konsulat di Davao City sejak 1990. Tidak seperti Indonesia, negara jiran itu juga telah membuka Konsulat di Kota Kinabalu Sabah dan telah banyak memudahkan urusan warganegara Indonesia yang bermasalah.


Tragedi Jabidah 1968

Peristiwa itu dipanggil Peristiwa Jabidah. Ia adalah projek rahsia Presiden Filipina ketika itu iaitu Ferdinand Marcos. Ia bermula pada tahun 1967 apabila seramai 180 pemuda tausug dan samal yang direkerut dari Sulu dan Tawi-Tawi berumur antara 18 hingga 30 tahun telah dilatih khas oleh pihak tentera Republik Filipina (AFP) di Pulau Simunul di kepulauan Sulu. Kemudian mereka dipindahkan ke Corregidor atas alasan akan menjalani latihan Komando. Operasi sulit ini dinamakan Freedom Operation (Operasi Merdeka).  Kumpulan Jabidah ditubuhkan bertujuan menyusup dan menyahstabilkan Sabah. Mereka dijadualkan menyerang Sabah atas nama Kesultanan Sulu, dan apabila konflik dan perang tercetus di Sabah, Regim Marcos mempunyai alasan mengambil alih Sabah.  Walaubagaimanapun, rancangan ini telah gagal kerana timbul perasaan tidak puas hati dalam kalangan pemuda-pemuda tersebut yang merasa tertipu dan berakhir dengan pembunuhan mereka yang terlibat. Pemuda Moro yang terbunuh dan kuburnya tidak bertanda itu, dibakar dan sisanya dicampakkan ke laut. Marcos pula menafikan pembabitannya dalam perancangan ini. 


Peringatan Peristiwa Jabidah 1968

Oleh kerana geografi Selatan Filipina dan Sabah sangat dekat, maka hubungan kekeluargaan telah berlaku sejak sekian lama. Disebabkan itu, untuk menyerang Sabah, ia merupakan suatu perkara yang sangat sukar untuk dilakukan oleh para pemuda tausug tersebut. Pada awalnya, mereka itu dijanjikan masa depan yang cerah dengan gaji dan kerjaya dalam pasukan tentera. Janji itu bagaimanapun tidak ditepati. Selepas empat minggu berpindah dari Pulau Simunul, tempat latihan pertama ke Corregidor, Mereka tidak menyangka rupa-rupanya mereka ditugaskan untuk menyerang Sabah. Mereka juga tidak dibayar gaji yang mencukupi dan sering kelewatan serta tidak dilayan dengan baik sebagai manusia.

Pada akhir tahun 1960an juga, berlaku persaingan parti politik yang berpengaruh ketika itu iaitu Parti Liberal (LP) dan Parti Nacionalista (NP) dengan Presiden Ferdinand Marcos bersedia untuk pemilihan semula pada tahun 1969.
Peristiwa pembunuhan beramai-ramai ini telah disaksikan oleh seorang pemuda yang terselamat yang bernama Jibin Arula. Beliau merupakan saksi tunggal sempat melarikan diri terjun ke dalam laut. Beberapa jam kemudian, Jibin Arula telah diselamatkan oleh seorang nelayan dan nelayan tersebut telah membawa beliau ke Bandar Cavite yang ditadbir oleh seorang Gabenor LP yang merupakan sahabat rapat Aquino. Maklumat daripada Jibin telah sampai kepada ahli politik muslim dari parti LP dan termasuk Aquino. Aquino telah menemubual orang yang terselamat itu dan telah menggunakan isu ini untuk menyerang Marcos. Khabar angin pembunuhan itu memberi peluang kepada pemimpin parti liberal pembangkang, Benigno Aquino Jr membocorkan kepada Media.

Liputan awal media massa melaporkan bahawa Marcos bertanggungjawab untuk melatih dan merekrut satu kumpulan orang Islam bagi melancarkan serangan gerila. Para mahasiswa Muslim Moro telah turun mengadakan protes dan tunjuk perasaan selama berminggu-minggu di Manila termasuk yang terlibat ialah Prof Nur Misuari (pengasas MNLF). Marcos mengambil tindakan dan berlaku penangkapan tahanan ahli politik dan orang tertentu pada akhir 1960an.

Ahli politik Islam seperti Haroun Al-Rachid Lucman, Salipada Pendatun dan Salih Ututalum berpendapat bahawa Operasi Merdeka adalah contoh tindakan melulu Ferdinand Marcos yang boleh mengakibatkan perang terhadap Malaysia. Mereka juga mengadu bahawa umat Islam dari Selatan dieksploitasi demi cita-cita politik Marcos. Operasi Merdeka, akhirnya berakhir dengan tragis dalam Pembunuhan Jabidah.

Presiden Marcos terus menafikan pembabitan beliau. Sambil itu, ada siasatan menyebutkan tidak ada bukti jelas mereka dibunuh. Kematian beramai-ramai itu berpunca dari perselisihan faham antara pegawai dan para pemuda yang direkrut tersebut. Bermula tembakan yang tidak sengaja akhirnya mencetus tembakan sesama sendiri. Ada pendapat lain, persitiwa Jabidah itu adalah konspirasi dan rancangan jahat Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA) bertujuan menjatuhkan Marcos. Kendatipun tiada siapa dapat membuktikan kebenaran Jabidah, realitinya Marcos memang pernah mempunyai hasrat menggunakan kekerasan bagi mengambil Sabah dari  Malaysia.  



Bukan Kali Pertama


Pembunuhan yang brutal bukan kali pertama melibatkan umat Islam di Selatan Filipina. Telah tercatat dalam sejarah pembunuhan Buq dato pada tahun 1906 dan pembunuhan Buq Basak pada tahun 1911 dan 1913 dan peristiwa-peristiwa lain. Walaupun peristiwa Jabidah bukanlah peristiwa keganasan pertama ke atas umat Islam dan hanya melibatkan jumlah yang kecil tetapi ia merupakan suatu memori hitam umat Islam di sana. Akibatnya, Ia telah menjadi pemangkin kebangkitan semangat pemuda muslim di Mindanao bangkit memperjuangkan hak mereka. Memori peristiwa ini telah menjadi modal emosi sebahagian pemuda muslim dari  Mindanao menubuhkan Moro National Liberation Front (MNLF) atau dalam bahasa melayu Barisan Pembebasan kebangsaan Moro. Setahun kemudian, meletuslah perang membebaskan wilayah selatan yang menuntut kemerdekaan Bangsa Moro, perang yang sehingga kini memakan korban lebih 120,000 nyawa. 

Bukan kali pertama juga, umat Islam dari Selatan Filipina dijadikan alat demi hasrat dan cita-cita sebahagian ahli politik yang jahat termasuk ahli politik beragama Islam. Skrip itu berlangsung sampai sekarang. Peristiwa Lahad Datu adalah termasuk perancangan sebahagian pihak tertentu mempergunakan pemuda tausuq menyerang Sabah dibalik nama Kesultanan Sulu. ‘Sultan’ yang mendakwa Sultan Sulu itu sebenarnya bukan mewakili Kesultanan Sulu kerana terlalu banyak pendakwaan dan pengakuan dari individu-individu mengaku sebagai Sultan. Mereka dipercayai dipergunakan untuk mewujudkan ‘chaos’ sebelum pihak ketiga menuntut dan masuk atas nama penyelesaian.       


Acquino Dan Usaha Keamanan


Beningo Aquino III, mantan Presiden Filipina ke-15 (2010-2016), anak kepada Aquino Jr yang bertanggungjawab membocorkan peristiwa ini pada tahun 1968 pernah mengingatkan rakyat tentang sejarah hitam yang merupakan sebahagian daripada naratif nasional sebuah negara.



Pada tahun 2013, Manila mengadakan acara mengenang ulang tahun ke 45 tahun peristiwa Jabidah

"Saya ada tanggungjawab untuk meneliti sejarah itu demi mencari kebenaran," katanya semasa berucap pada majlis mengenang 45 tahun peristiwa Pembantaian Jabidah pada tahun 2013.

Aquino III yang meneruskan perjuangan ayahnya adalah presiden yang pertama menganjurkan sebuah majlis mengenang peristiwa itu. Beliau telah mengisytiharkan Taman Keamanan Mindanao sebagai tapak sejarah negara. Taman itu diharapkan akan jadi batu tanda bahawa masyarakat Muslim dan Kristian di Mindanao cintakan keamanan. Presiden Aquino III menyebut,

In March of 1968, my father exposed the Jabidah Massacre, while holding firm to the basic principle that the life of each Filipino is invaluable. In his speech, he said: “The life of a Filipino, no matter how lowly he is… is as important as the life of a high official, as important as the life of a President.

Dalam ucapannya juga, beliau menegaskan,

“Today, we are here in Corregidor, recalling our past in all humility, as we recognize this truth with our heads held high: whether you are Moro or Christian; Bisaya or Tagalog; Agta, or Ilokano, or Ilonggo; Tausug, Yakan, Maranao, whatever corner of the Philippines you come from, under the flag of a united Philippines, the lives of each and every Filipino have equal worth. I say again: we cannot change the past. We have, however, a responsibility to the present—an obligation to bequeath a much better future to the next generation of Filipinos”

Ada nada ikhlas dalam ucapan Aquino apabila beliau mengatakan mengenang Jabidah akan mengukuhkan lagi usaha kerajaannya untuk menangani masalah di Mindanao. 

Peristiwa tersebut sudah memahat sejarah yang hitam. Ia hadir untuk memberi pengajaran kepada generasi selepas. Tidak pernah ada istilah "terlambat" dalam meluruskan sejarah. Sejarah yang tertinggal atau ditinggalkan, tercicir atau dicicirkan tidak dapat tidak harus dikutip semula. Yang baik di jadikan sempadan, sejarah yang baik dibuat tauladan.

Titipan doa kepada mereka yang terkorban, moga ditempatkan bersama para syuhada. Amin


“Belajar dari Sejarah, bersatu demi Keamanan”

Sekian,
Angah Sunan, LFO Movement


Rujukan,

Syed Muhammad Khairuddin al Junid, Social memory and state−civil society relations in the Philippines: Forgetting and remembering the Jabidah 'massacre, Sage Publication (2013), 

Wan Shawaluddin Wan Hassan, Zaini Othman, Ketidakstabilan Negara Jiran dan Kesannya kepada Keselamatan Malaysia, Sosiohumanika (2009)

http://www.officialgazette.gov.ph/2013/03/18/speech-of-president-aquino-at-the-45th-anniversary-of-jabidah-massacre-march-18-2013-english/   

http://www.astroawani.com/perspektif/jabidah-sabah-dan-pelurusan-sejarah-10400 

Kembara Penulis di Mindanao





Enam Sebab Saya Berbangga Dengan Kemerdekaan Tanah Melayu

  1.Islam Berada Di Kedudukan Tinggi Dalam Perlembagaan   Saya sangat berbangga dalam rundingan kemerdekaan Tanah Melayu, ketika banyak nega...