Monday 29 May 2017

Manhaj Dakwah Wali Songo Sebagai Pendekatan Dakwah - Wacana Keharmonian Islam Nusantara Di Sabah



Pada 13 Mei lepas, angah telah dijemput oleh penganjur agar menjadi moderator pembentangan KH Dr M Dhyauddin Kuswandi di Wacana Keharmonian Islam Nusantara 2017 di Dewan Tun Sakaran, TH Hotel, Kota Kinabalu, Sabah.

angah dan Ayahanda Sidi

Pembentangan Ayahanda KH Sidi (panggilan angah kepada Kiyai), Ulama' dari Surabaya, Jawa Timur lebih kurang 45minit. Angah sempat mencatat beberapa point yang Ayahanda Sidi sampaikan dan ditambah rujukan dari nota kertas kerja yang Ayahanda Sidi kongsikan. Sejak 2 minggu lepas ingin dikongsi, namun kerana kesibukan, hari ini angah berpeluang menulisnya di blog. 'Kebetulan' pula, angah sekarang di Jawa Timur, menziarahi makam Wali Songo. 

Wali Songo

Wali secara bahasa (lughawi) ertinya sahabat atau juga pemimpin. Apabila disebut seorang itu Wali, selain bermaksud dia adalah sahabat atau kekasih Allah, ia juga seorang pemimpin di kalangan kaumnya. 

Wali Songo adalah para Wali yang terkenal di Jawa yang telah berhasil menyebarkan Islam khususnya di Pulau Jawa dan pada umumnya di seluruh Wilayah Nusantara dengan cara damai. 

Gambaran susuk Wali Songo

Disebut Wali Songo kerana jumlah mereka adalah 9 (songo). Nama-nama Wali Songo yang masyhur, antaranya ialah -


1. Sunan Ampel yang berdakwah di daerah Ampel, Surabaya dan sekitarnya.
2. Sunan Giri, yang berdakwah di daerah perbukitan Giri, Gresik dan sekitarnya. 
3. Sunan Bejagung, yang berdakwah di daerah Bejagung, Tuban dan sekitranya.
4. Sunan Bonang, yang berdakwah di daerah Bonang, Lasem dan sekitarnya.
5. Sunan Drajat yang berdakwah di Daerah Drajat, Lamongan dan sekitranya.
6. Sunan Kalijaga, yang berdakwah di daerah Cirebon dan Kadilangu, Demak serta sekitarnya.
7. Sunan Kudus, yang berdakwah di daerah Kudus dan sekitarnya.
8. Sunan Muria, yang berdakwah di daerah pergunungan Muria dan sekitarnya.
9. Sunan Gunung Jati yang berdakwah di daerah Cirebon dan sekitarnya. 

Lokasi 9 Makam Wali Songo

Ada Tiga FASA kepemimpinan Wali Songo :

Fasa Pertama – dipimpin oleh Sunan Ampel.
Fasa Kedua – dipimpin oleh Sunan Giri.
Fasa Ketiga – dipimpin oleh Sunan Gunung Jati.


Peranan Dan Tanggungjawab Wali Songo

Sebagai Ulama’ pewaris Nabi, Wali Songo menjalankan amanah perjuangan dakwah Rasulullah s.a.w dan para sahabat. Oleh kerana itu, Wali Songo telah memainkan peranan yang sangat besar di zaman mereka. Ada TIGA peranan dan tanggungjawab utama wali songo, iaitu :

1. Muadhib 
Sebagai pendidik, para Wali Songo menjadikan madrasah atau pesantren sebagai tapak asas pendidikan Islam Ahlul Sunnah Wal Jamaah dan Tasauf. 

2. Muwahid
Penyatu Ummah. Wali Songo telah membangunkan Masjid sebagai pusat dakwah dan pusat gerakan persatuan ummah atas dasar semangat persaudaraan Islam dan gotong royong sebagai penyelesaian menyatukan masyarakat yang tidak bersatu antara satu lain akibat pengaruh sistem sosial berdasarkan Kasta ketika itu.

3. Mujahid
Agen pembaharu masyarakat. Tidak sekadar dakwah, para Wali Songo juga mendirikan Kesultanan sebagai tapak keabsahahan syariah, kemakmuran dan ke arah mewujudkan masyarakat yang adil serta mempunyai peradaban tinggi berteraskan ajaran Islam dan meraikan budaya setempat.  



Prinsip & Stratergi Dakwah Wali Songo

Prinsip Dakwah Wali Songo sangat jelas iaitu membawa manusia kepada tauhid, akhlak yang baik sebagaimana yang dijelaskan dalam kandungan Al-Qu’ran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Mereka bertegas dalam soal aqidah, menyeru masyarakat agar tidak syirik kepada Allah. Sementara dalam soal syariat dan akhlak, wali songo mengajar, mentarbiyah masyarakat secara ‘live’ dan bertahap dan menyesuaikan dengan adat budaya setempat. Wali Songo menggunakan pendekatan bijaksana iaitu tidak menyerang adat atau ritual masyarakat ketika itu akan tetapi memasukkan unsur tauhid, Islamisasi dan memurnikan. 

Jika ingin menyebut satu persatu pendekatan dakwah Wali Songo, terlalu banyak. Cuma, apa yang telah dikongsikan oleh Sidi Dhiyauddin, dakwah Wali Songo menerapkan TIGA pendekatan yang stratergis dan efektif. 

1. Bil Hiikmah : menjelaskan ajaran Islam secara arif (bijaksana) dengan hujah-hujah yang masuk akal serta senang difahami dan diterima masyarakat. 

2. Wa Mauizhoh al Hasanah : memberikan nasihat-nasihat dan kisah-kisah teladan yang baik merangkumi pelbagai masalah baik melibatkan individu, keluarga dan masyarakat. 


3. Mujadhalah : Jika diperlukan, dalam situasi tertentu, mereka juga berdiskusi dengan penuh adab atas semangat membentangkan dan mempertahakan kebenaran. 



Wasilah Dakwah Wali Songo

Dalam mendidik dan berdakwah, Wali Songo banyak menggunakan media dakwah yang pelbagai ragam disesuaikan dengan keperluan, latar belakang usia serta sosio-budaya masyarakat. Media atau wasilah dakwah antaranya ialah:

1. Method pembelajaran melalui ceramah dan dialog bertempat di pesantren dan masjid juga melalui penulisan kitab-kitab tentang tauhid, fikh dan tasauf dalam bentuk suluk (maksud Suluk disini ialah kara sastera yang berisi tentang tasauf mengenai ketunggalan Allah), serat (karya sastera Jawa) dan primbon.

Suluk Wujil karya Sunan Bonang

2. Media seni budaya iaitu melalui tembang-tembang antaranya ialah tembang mijil, sinom, asmaradhana, dhandanggula, mas kumambang, pangkur, megatruh,  pucung, kinanthi dan gambuh.  Termasuk juga melalui pagelaran wayang yang ceritanya diadaptasi dan disesuaikan dengan nilai-nilai ajaran Islam antaranya : Jamus Kalimasada, Dewa Ruci, Arjuna Wiwaha dan lain-lain. 

Seni Wayang Kulit Yang diasaskan Sunan Kalijaga

Tembang (lagu) Lir Ilir 

3. Melalui Dolanan anak-anak iaitu dengan mencipta pelbagai permainan anak-anak yang disesuaikan dengan tingkatan usia dan kesukaan anak-anak yang mengandungi pelajaran Iman dan budi pekerti. Antaranya ialah, permainan cubleg-cubleg suweng, dakon, jamuran, gorbak sador dan lain-lain. 

Dolanan Cublak- Cublak Suweng

Dolanan Gorbak Sador

Dolanan Dakon

Dolanan Jamuran

4. Melalui latihan beladiri Pencak Silat khususnya untuk anak-anak remaja, untuk menanamkan jiwa kepimpinan, kepahlawanan dan tanggungjawab. 

Pencak Silat juga tidak ketinggalan sebagai medium dakwah Wali Songo 

Boleh baca lanjut tulisan angah 'Formula Dakwah Ulama' Nusantara', https://angahsunan.blogspot.co.id/2017/04/formula-dakwah-ulama-nusantara-6p-1k.html

Faktor-Faktor Yang Menentukan Kejayaan Dakwah Wali Songo

Kejayaan dakwah Wali Songo sangat jelas dan hal ini dibuktikan dengan tersebarnya Islam di Seluruh Jawa dan merentsi Nusantara. Keberhasilan dakwah wali songo ditentukan oleh faktor-faktor yang dikenalpasti seperti berikut :

1. Keperibadian
Sebagai Ulama’ bahkan Wali, Wali Songo memiliki keperibadian yang mulia dengan akhlak terpuji sehingga mereka dipercayai, ditaati dan diteladani. 

2. Kepimpinan
Para wali songo berdakwah tidak secara individu tetapi secara berkumpulan, terusun, terancang atas dasar semangat syura dan kerjasama yang baik. Prinsip kepimpinan Wali Songo :

"Ing Ngarso Sung Tuladha : di depan memberi tauladan.
Ing Madya Mangun Karsa : di tengah masyarakat menunjukkan panduan dan motivasi.
Tut Wuri Handayani : di belakang member dokongan dan perlindungan. "

3. Method Dakwah
Para wali songo menggunakan pelbagai method dan pendekatan yang disesuaikan dengan level (tingkatan) dan latar belakang budaya masyarakat serta tidak melalui kekerasan sehingga dakwah wali songo sangat komunikatif dan diterima tanpa paksaan. 

4. Ajaran Tasauf
Ajaran islam yang disebarkan oleh wali songo adalah ajaran tasauf yang sangat menekankan kasih sayang, persaudaraan dan gotong royong. Hal ini sangat sesuai dengan keperluan masyarakat yang saat itu yang berpecah belah dan berada dalam konflik akibat ketidakstabilan politik dan ekonomi yang berpanjangan.  


Angah akhiri dengan ucapan tahniah kepada penganjur Wacana Keharmonian Islam Nusantara 2017 dengan bertemakan "Menjernih Jiwa, Mendamaikan Nusantara".

Wacani ini anjuran Majlis Dakwah Negara (MDN), YADIM, YADIM Zon Sabah, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Pejabat Mufti Negeri Sabah, JHEAINS, JAKIM Sabah, Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, Kerukunan Ulama Nusantara (KUN), HaRUM Sabah. 


#angahsunan
#WacanaKeharmonianIslamNusantara
#KotaKinabaluSabah

Monday 22 May 2017

Kompilasi Celoteh Murid & Guru Siri11-20

Kompilasi Celoteh Murid & Guru Siri11-20
"Santai & Bantai"





CELOTEH MURID & GURU (11)
Sepenuh Hati atau Sepenuh Akal?

"Anakku, kalau kita meluahkan rasa cinta, kita mengungkapnya dengan berkata, saya cinta kamu sepenuh hati atau sepenuh akal?", Hurai Guru. "Sepenuh hati la Guru, tak pernah dengar pula sepenuh akal", jawab murid.

"ya kerna cinta, rindu, asyik dan seumpama bukan pekerjaan akal tapi pekerjaan hati. demikian bila kita berbicara tentang Cinta kepada Allah dan RasulNya. Ia dirasai bukan difahami. RASA itu dari hati bukan akal yang hanya memahami. Maka wajib membersihkan hati agar cinta Allah dan Rasul berada ke dalam hati. Cinta itu tidak akan masuk jika dalam hati kamu ada yang lain selain dari keduanya", terang si guru.
"Apakah ilmu menyucikan hati Guru", tanya murid.
"Pelbagai nama anakku, ada yang memanggil ilmu tasauf, ilmu sulukiah, akhlak, Khusyu', ilmu makrifat dan lain2. Usah kita berbalah dengan nama Istilah yang penting isinya itu". Guru menjawab dengan hikmah.



CELOTEH MURID & GURU (12)
Susahnya Menjadi Baik

"Wahai Guru, latar belakangku tidak memungkin aku menjadi orang baik. Hal itu susah bagiku guru", keluh si murid.
"Anakku, jika kamu tidak boleh menjadi baik, tidak mengapa asalkan tidak berbuat jahat", Guru menjawab.
"Baik Guruku, akan ku patuhi pesan Guru. Guru, kalau sudah tidak berbuat jahat, jadi baik la Guru?, tanya Murid.
"Ya anakku, bukan susah nak jadi baik, bila tidak berbuat jahat, ketika itu jadi baik la, susah ke anakku?", Guru menerang dengan hikmah.



CELOTEH MURID & GURU (13)
Sudah Berkahwin? Banyak Hati Kena Jaga

“Anakku, kalau kamu sudah berkahwin kelak, banyak perasaan kamu mesti jaga, bukan sahaja perasaan ibu bapa, mertua dan kerabat terdekat, termasuk juga orang disekeliling kamu”, pesan Guru. 

“Ya Guru, aku akan ingat pesan Guru tapi aku kurang mengerti menjaga perasaan orang sekeliling, apa kaitan mereka dalam hidupku kelak”, tanya murid. 

“Anakku, jika di khayalak ramai, usah menunjukkan kemesraan melampau dengan pasanganmu, banyak pihak yang menilai, yang bujang seksa melihat. Jika dikurniakan rezeki anak yang ramai, usah terlalu berbicara perihal anak dihadapan teman yang belum ada anak, mereka tersenyum mendengar tetapi hati mereka kesedihan, jika kamu berkahwin awal, usah menyindir-nyindir kawan yang masih bujang. Semua perkara di atas sangat sensitif yang kita harus elakkan". Jawab Guru

"Ingat, orang lain berkahwin juga, bukan kita sahaja. Orang lain tenang-tenang sahaja, jangan pulak kita yang ‘over’”. Kata Guru dengan nada serius. 

#angahsunan
#celotehmuridguru
#santaibantai

CELOTEH MURID & GURU (14)
Tanda Nafsu Ammarah

"Wahai Guru, aku sering membaca perihal Nafsu Ammarah iaitu tingkatan nafsu yang paling rendah. Apakah tanda seseorang itu dalam nafsu ammarah?"
"Anakku, tandanya banyak tapi ada dua yang utama. Pertama, hatinya tidak merasakan apa-apa perbezaan ketika melakukan kebaikan atau kejahatan. dia melakukan kebaikan dia tidak merasa apa-apa, dia melakukan maksiat pon tidak merasa apa-apa malah berbangga pula dengan maksiat yang dilakukan".
Tambah Guru, "kedua, dia tiada kecenderungan kepada kebaikan. Jika buat kerna terpaksa bukan suka".
"Teruknya jika begitu kan Guru", kata Murid.
"Anakku, sebenarnya ada lagi teruk", balas Guru.
"Apa Guru", tanya murid kehairanan.
"Yang lagi teruk, dia tak tahu pon dia dalam nafsu ammarah", balas Guru.



CELOTEH MURID & GURU (15)
7 Pintu Kesombongan, Yang Mana Paling Jelek?

"Wahai Guru, apa yang menyebabkan manusia sombong", tanya murid.
"Anakku, ada 7 pintu sebab manusia menjadi sombong", balas Guru.
"Boleh Guru terangkan", pinta murid.
"Pertama, sombong kerana ilmu. Kedua, sombong kerana keturunan. Ketiga, sombong kerana darjat. Keempat sombong kerana Harta. Kelima sombong kerana kecerdikan. Kelima, sombong kerana kecantikan rupa paras. Terakhir, sombong kerana kuat", terang Guru.
"Oh begitu Guru. Mohon doanya Guru agar aku tidak menjadi sombong Guru", Kata Murid.
"Anakku, pada pendapat kamu, dalam 7 kesombongan ini, sombong apa yang paling jelek?", Guru menguji.
"Tidak pasti saya Guru. Mungkin kesombongan harta paling jelek Guru kerna hari ini zaman materialistik", Jawab Murid.
"Anakku, yang paling jelek ialah mereka yang tidak ada TUJUH HAL di atas tetapi masih tetap sombong. Ilmu tidak ada, keturunan biasa-biasa sahaja, pangkat tidak ada, harta pun tidak ada bahkan miskin. kemudian, tidak la kacak dan lemah lagi, tapi sombongnya...Masya Allah", Terang Guru dengan nada berseloroh.
"Ada ke orang begitu Guru", tanya Murid.
"Ramai anakku", ringkas Guru menjawab.


CELOTEH MURID & GURU (16)
Siapa Pencuri Ilmu?

"Duhai Guru, apa pendapat Guru orang yang hanya mahu belajar tetapi tidak beradab dengan Gurunya", tanya murid.
"Mereka yang mengambil ilmu tanpa ada adab, cinta dan takzim pada Guru yang diambil ilmunya, maka fahamilah bahawa mereka bukan pencinta dan ahli ilmu yang benar tapi pencuri Ilmu", Jawab Guru dengan nada serius.



CELOTEH MURID & GURU (17)
Dodio Banju, Odo Dadi Watu

"Wahai Guru, Guru selalu berpesan bahawa dakwah itu tidak jumud, ia penuh seni dan akhlak. Aku banyak membaca buku panduan-panduan dakwah, sehingga aku bingung untuk mengingatinya", pinta si murid.
"begini anakku, pegang satu nasihat ini dalam dakwahmu, Insya Allah ia adalah ibu kepada seni dakwah yang lain", Jawab Guru.
"Apakah nasihat itu Guru", soal murid.
"Dodio Banju, Odo Dadi Watu. Ini ungkapan Jawa. Ertinya, jadilah AIR jangan jadi BATU", kata Guru.
"Air itu boleh bergerak masuk dan menyusup ke semua posisi, bentuk walau jua rintangan dengan penuh harmoni, sejuk dan damai. Sementara batu itu keras dan menghalang. Demikian dalam dakwah, jadi pendakwah yang boleh masuk semua golongan, membawa damai dengan penuh harmoni. Sesekali jangan jadi batu yakni menjadi orang keras kepala, statik hingga menjadi halangan", Syarah si Guru.
"Oh faham Guru, aku akan pegang nasihat Guru", kata murid.
"apa pun jangan gopoh, kelak air yang tenang bisa jadi tsunami", kata Guru.
"Maafkan aku Guru, kurang mengerti maksud Guru", balas murid.
"Oh, tsunami itu ya? anakku, kamu tidak perlu faham sekarang. kamu akan fahami kelak bila benar-benar di lapangan dakwah. Lebih baik kamu fahaminya hasil pengalaman kamu kelak", Hurai Guru dengan hikmah.



CELOTEH MURID & GURU (18)
Kenapa mesti bermusuh?

"Anakku, banyak pendakwah terutama yang muda sekarang, mencipta musuh dari sahabat.

Lebih gemar memaki hamun dari berkata yang baik-baik". Guru memula bicara.

"Anakku, dengar nasihatku", kata Guru.
"Ya Guru, aku sedia mendengarnya", balas murid.
"kenapa kita perlu bermusuh kalau kita boleh berkawan? kalau masih tidak boleh berkawan, tidak mengapa asalkan tidak bermusuh", Guru berkongsi falsafah perang.



CELOTEH MURID & GURU (19)
Bagaikan Anjing dan Kucing

"Guru, kenapa kalau anjing bertemu kucing, mereka bergaduh hingga ada pepatah melayu, bagaikan anjing dan kucing", soal murid.
"Biar la depa bergaduh, asalkan kita yang manusia ini jangan jadi macam anjing dan kucing. asal berjumpa sahaja bergaduh, itu sifat haiwan bukan manusia sebab itu peribahasanya bagai anjing dan kucing bukan bagai manusia", terang guru.



CELOTEH MURID & GURU (20)
Dua Penyebab Orang Pintar Menjadi Bodoh

"Anakku, ingin kah kamu tahu apa yang menyebabkan manusia menjadi bodoh meskipun pintar? ", kata Guru.
"ya Guru, ingin ku tahu Guru kerna aku juga kurang mengerti maksud Guru", balas murid.
"Anakku, orang yang terkena penyakit tamak dan sombong pasti banyak kebodohan dalam bicara dan tindakan walaupun mereka berpendidikan tinggi dan banyak kitab yang dihafal", terang Guru.
"Jangan hairan terdapat sebahagian orang kaya dan berpangkat mudah ditipu oleh para penipu dan digunakan oleh para kapitalis barat kerana terkena sifat tamak dan ego dalam kekayaan dan pangkat yang tidak mengenal kepuasan".
"Demikian juga, berapa ramai orang kaya dan ahli-ahli politik yang nampak pintar tetapi amat mudah ditipu oleh orang bawahan yang pandai membodek", syarah Guru.
"Kini aku faham maksud Guru", jawab Murid.
"Anakku, kebodohan dalam kekayaan dan pangkat sangat mudarat kepada diri dan orang lain. Ini sebenarnya kebodohan namun sekarang kita hanya menganggap bodoh itu bila tidak lulus peperiksaan", tambah Guru.


Friday 12 May 2017

Kompilasi Celoteh Murid & Guru Siri1-10

Kompilasi Celoteh Murid & Guru Siri1-10
"Santai & Bantai"




CELOTEH MURID & GURU (1)
Ikut Imam Di Televisyen
Seorang murid bertanya kepada Syaikhnya, "apakah hukum solat mengikut Imam melalui televisyen? kerna saya melihat dalam siaran TV Imam mengimamkan jemaah di Makkah.
Syaikhnya menjawab, "Kenapa hanya solat? lagi bagus ambil kain hitam, balut TV anda dan buat tawaf seperti dalam TV".

CELOTEH MURID & GURU (2)
Cara Singkat Hidupkan Hati Yang Lalai
Seorang murid bertanya kepada Gurunya, "Wahai Guru, aku solat tapi lalai, aku berzikir dan rasa lalai. hati ku tak khusyu' kepada Allah? Apakah jalan mudah supaya Hati ingat kepada Allah?". Gurunya menjawab, "anakku, jalan paling singkat khusyu' kepada Allah, waktu Turbulence dalam flight kerna ketika itu kamu rasa 'hilang dirimu' dan total lost'. Manusia, bilamana dia rasa 'lost', disitu muncul kehambaan dan ingatan kepada Allah. Jika tidak rasa apa juga, memang hati dah 'worse'.

CELOTEH MURID & GURU (3)
Cara Singkat Mendapat Ilmu
"Wahai Guru, kitab yang dipelajari terlalu tebal, lama untuk dikhatamkan. Adakah ada cara pantas mendapat ilmu?", tanya si murid. Jawab Guru, "ada wahai anakku, ambil kitabmu, rendam dalam baldi, minum air dakwat dan kertas. Insya Allah, terus dapat ilmu". "Wahai Guru, kenapa cara itu jalan pantas mendapat ilmu?", tanya murid. Jawab Guru, "iya anakku, sebab bila kamu minum air rendaman kitab, confirm kamu akan lalui alam barzakh. Kami hanya hanya belajar teorinya, tapi kamu sudah laluinya, bukan kah itu hakikat ilmu? Hakikat ilmu itu bukan bicara tapi praktikal"

CELOTEH MURID & GURU (4)
Merasa Cukup Dengan Ilmu - Sombong Tersembunyi
Pesan Guru, "Wahai anakku, kelak jika kamu menjadi Ustaz atau guru orang, moga tidak terkena sombong tersembunyi." Muridnya bertanya, "apakah maksud sombong tersembunyi wahai Guru?". Jawab Guru, "kamu merasakan, bila kamu sudah menjadi Ustaz, kamu merasa cukup dengan ilmu. ketahuilah bila kamu tidak menambah ilmu kamu, mentelaah kitab kerna merasa cukup dengan ilmu sedia ada, itu adalah sombong tersembunyi yang selalu terkena kepada Ustaz Muda". Tambah Guru lagi, "anakku, hari ini pemidato dan penceramah agama ramai, tapi tiada isi. Sentiasa lah berkejar-kejar mencari ilmu, kerna semakin banyak ilmu kamu belajar, semakin merasa faqir dan bodoh yakni kamu rasakan "terlalu banyak lagi aku tidak belajar". bersibuk dengan ilmu juga menyebabkan kamu tidak ada masa mencari aib manusia, menambah ilmu akan menambah sangkaan baik terhadap manusia lain. Fahami lah!".

CELOTEH MURID & GURU (5)
Cara Mudah Mengalirkan Air Mata Ketika Berzikir 
"Wahai guru, apakah cara mudah berzikir hingga mengalir air mata?", tanya si murid. Jawab Guru, "Cara mudahnya, kamu berzikir sambil mengupas bawang".
"wahai anakku, niat dalam latihan zikir ialah untuk ingat kepada Allah dan merasai kehambaan. Tangisan bukan tujuan, namun jika didapati, ia satu anugerah tapi ingat ia bukan ukuran khusyu'. Anakku, dulu ada muridku yang bila membaca selawat dalam keadaan menangis teresak2, sebelum ini tidak begitu. Bila diteliti, rupa-rupanya, dia baru putus cinta. sedih putus cinta hingga menangis dan terbawa-bawa dalam selawat. Bukan menangis Rindu kepada Nabi saw", Terang Guru.

CELOTEH MURID & GURU (6)
Kenapa Perlu Mujahadah? 
"Wahai Guru, kenapakah kita perlu bermujadah untuk merawati nafsu yang jahat ini?", tanya murid. "Anakku, apa ubat paling mujarab untuk Ulser?", Guru bertanya kembali. Jawab murid, "letak garam Guru". "Bukan pedih ke anakku?", tanya Guru. Jawab murid, "ya Guru, pedih teramat, tapi mula2 sahaja kemudian baik-baik sahaja".
"Anakku, lihat, ulser itu pedih dan ubat mujarabnya ialah garam yang akan menambah pedih. Tapi mula2 sahaja, pedih bertemu pedih menjadi ubat. Demikian nafsu yang sakit diubatinya dengan mujahadah. Pedih awal sahaja, kelak semua ok". Terang Guru.

CELOTEH MURID & GURU (7)
Suami Solehah Isteri Soleh 
Suatu hari, Guru berkata kepada muridnya, "Wahai anakku, adakah kamu tahu apa musibah yang berlaku kepada ramai suami sekarang?". Jawab murid, "tidak tahu guruku".
Jawab Guru, "Anakku, musibahnya 'SSIS - Suami Solehah Isteri Soleh. Ramai suami akhir zaman menjadi solehah tidak soleh, terlebih ketaatannya kepada isteri bukan lagi isteri mentaati mereka. Mereka terlebih meminta izin dari isteri jika mahu buat apa-apa atau kemana-mana. Mereka juga tidak mampu berkata 'tidak' dan tidak boleh membuat keputusan. Anak lelakiku, kamu adalah pemimpin bukan yang dipimpin. Jika kamu tidak seperti yang disebutkan, kamu layak menjadi suami dan mempimpin isterimu".

CELOTEH MURID & GURU (8)
5 Syarat Jika Abang Nak Kahwin Lagi 
Suatu petang, santai-santai Guru dengan anak murid. Si murid bertanya, "wahai guru, ada tak isteri bagi izin suaminya kahwin lagi?". Jawab Guru, "Jauhnya soalan, ada cuma jarang-jarang bak kata P.Ramlee. Anakku, nak dengar tak kisah seorang wanita yang redha memberi izin suaminya berkahwin lagi asalkan cukup 5 syarat". "Wah, hebatnya wanita itu, kongsi la Guru, tak sabar kami nak dengar". Balas murid.
Guru pun bercerita, "Ceritanya lebih kurang begini, suaminya telah datang dan menyatakan hasrat berkahwin lagi kepada isterinya. Isterinya mengizinkan dengan 5 syarat. Sudah tentu suaminya tidak sabar mendengar syarat3 tersebut, berlaku lah dialog :
"Syarat pertama, calon itu mesti muda, kerna saya sudah tua, kalau saya pergi dulu, dia boleh jaga Abang"
"Keduanya, calon itu mesti berilmu agar dia boleh bantu mendidik anak-anak Abang nanti"
"Ketiganya, calon itu mesti kaya agar dia boleh meringankan kerja dakwah Abang"
"Keempat, calon itu mesti cantik agar Abang senang hati melihatnya"
Suaminya menyampuk, "Isteriku, syukur calon tersebut memang muda, berilmu, kaya dan cantik sesuai dengan syaratmu. Apakah syarat yang terakhir? (mood tak sabar)
Jawab isterinya, "Syarat kelima ialah LANGKAH MAYAT SAYA DULU BANG"
Suami, @&#(#)#)£!

CELOTEH MURID & GURU (9)
Tips Cari Isteri 
Di malam hari ketika angin sepoi2 bahasa, Si murid bertanya kepada Gurunya, "Wahai Guru, saya ingin menyampaikan hasrat yang saya ingin berkahwin, tapi agak keliru untuk memilih calon, mohon panduan Guru".
Guru menjawab, "Anakku, jika kamu menemui gadis yang ada dua sifat ini, maka itu calon isteri terbaik. Yang pertama, cari gadis yang betul2 bersungguh berhajat kepada kamu lebih dari kamu berhajat kepada dia".
Balas murid, "apa kaitannya Guru?". "Jika dia lebih terhegeh-hegeh nak kepada kamu, kamu lebih dihajati dan dia akan lebih mendengar kata kamu berbanding jika pihak lelaki yang lebih terhegeh-hegeh ke gadis, lelaki itu akan dikawal untuk ikuti semua kehendak gadis itu dan dia akan ikuti kerna takut kehilangan".
"Oh begitu Guru, petua kedua Guru?", tanya Murid.
"Lihat bagaimana gadis itu beradab dengan ibu bapanya. jika gadis itu lembut, taat, tidak tinggikan suara, ringan tulang dengan ibu bapanya, Insya Allah begitulah adabnya dengan suaminya kelak. Jika gadis itu adalah sebaliknya, maka berat tanggungjawab kamu untuk bimbingnya". Terang Guru.
"Faham Guru....tapi, bagaimana kita nak tahu dua sifat tadi ada pada seorang gadis? takkan nak tanya depan depan Guru?", tanya si murid.
"Adus kamu ni, itu pun Guru perlu ajar ke, pandai2 la tanya orang terdekat, kaum keluarga gadis pilihan kamu itu. Takpun, hantar ibu atau adik perempuan berkawan dengan si dia", Terang Guru.
"Sebelum Guru terlupa, kita hanya berusaha namun andainya takdir isteri kita tak seperti yang kita impikan, itu adalah suatu ujian untuk kita syukuri. Pilihan Allah itu yang terbaik dengan penuh hikmah yang kita tak sedari.", Kata Guru.
"Terima kasih Guru, atas petua yang diberikan", Jawab Murid.
"Satu lagi, jangan memilih sangat, kamu bukan 'hensem' sangat pun", Bidas Guru

CELOTEH MURID & GURU (10)
Kenapa Hidup Banyak Musibah ? 
Ketika makan tengahari, si murid mengeluh, "Wahai Guru, banyak musibah yang berlaku terhadap saya, dimana silapnya Guru", Keluh Murid. "Anakku, yang lebih tepat musibah itu Ujian dan setiap ujian semuanya adalah rahmat dan mengandungi banyak hikmah". Balas Guru. "Kurang faham saya Guru", jawab murid.
"Anakku, kamu makan pedas tak?", tanya Guru sambil menunjukkan ke arah cili. "Makan guru, kalau tiada pedas, tak lengkap selera". Balas si murid. "Walaupun, kamu akan rasa kepedasan?", spontan Guru bertanya. "Ya Guru, bahkan siap tambah lagi cilinya", jawab murid. Guru tersenyum mendengar jawapan muridnya.
"Anakku, Kalau manis sahaja tanpa pedas, kurang lengkap selera kan? pedas itu menyelerakan sebenarnya. demikian juga kehidupan ini, kalau indah sahaja tanpa ujian, agak-agak 'selera' tak nak hidup? Kita boleh layan pedas dalam makanan walau ia memedihkan, kenapa tak belajar layan ujian2 Allah?
Tambah Guru lagi, "anakku, itulah keseimbangan alam dari Keadilan Allah. Ada siang dan malam, ada gelap dan malam, ada racun dan penawar, ada dosa dan pahala, ada perempuan dan lelaki, ada ujian dan nikmat".
"Ada Dajjal adanya Imam Mahdi", Celah murid.
"Betul Anakku, sudah jangan banyak mengeluh lagi", pesan Guru.

Enam Sebab Saya Berbangga Dengan Kemerdekaan Tanah Melayu

  1.Islam Berada Di Kedudukan Tinggi Dalam Perlembagaan   Saya sangat berbangga dalam rundingan kemerdekaan Tanah Melayu, ketika banyak nega...