Wednesday 8 August 2018

Cerita Saya Di Brunei


Beberapa bulan lepas, saya ada menulis pengalaman saya di Tawi-Tawi, Selatan Filipina di muka buku saya, saya mendapat komentar di ruangan ‘comment’, ada seorang sahabat bertanya, “bila mahu datang ke Brunei?” saya hanya menjawab, "Insya Allah, jika ada kesempatan waktu".
Selepas beberapa minit, saya mula teringat bahawa sahabat yang berkomentar itu berasal dari Brunei dan saya telah berkenalan dengan beliau ketika di Gorontalo, Sulawesi Utara. Kami berdua terlibat dalam acara Muzakarah Tauhid Tasauf yang dianjurkan oleh Majlis Pengkajian Tauhid Tasauf (MPTT) cawangan Sulawesi Utara dengan kerjasama Kerukunan Ulama’ Nusantara (KUN).
Seminggu sebelum masuk Ramadhan, saya kembali teringat jemputan sahabat saya iaitu tuan Isa Shawal ke Brunei. Setelah difikirkan sewajarnya, saya telah memutuskan untuk terbang ke Brunei pada 2 Ramadhan. Sebelum itu, saya menghubungi sahabat di Brunei memaklumkan hasrat saya dan beliau menzahirkan kegembiraan serta menawarkan diri menjadi pemandu pelancong tak berbayar sepanjang saya di Brunei.
Selain merasai pengalaman berpuasa di tempat orang, saya sebenarnya ingin meninjau kehidupan di negara yang mengamalkan dasar Melayu Islam Beraja (MIB) dibawah payung kekuasaan Sultan yang berkuasa tanpa politikus selain menziarahi makam Sultan Sharif Ali serta Pusat Sejarah Brunei.

Masuk melalui Miri
“Mahalnya…”, itu ‘respon’ awal saya apabila melihat harga-harga tiket penerbangan dari Kuala Lumpur ke Bandar Seri Begawan (Brunei). Tiket sehala mencecah RM500-600. Saya fikir mungkin tarikh itu, ada acara atau cuti. Namun apabila saya menyemak harga pada hari-hari yang lain, ‘trend’ harga lebih kurang.
Tak dinafikan, terdetik hasrat menangguhkan permusafiran kali ini. Ilham mengetuk pintu hati supaya melihat tiket Kuala Lumpur ke Miri. Alhamdulillah, sangat murah, tak sampai RM200 sehala. Oleh kerana itu, saya memutuskan keputusan masuk Brunei melalui jalan darat iaitu dari Miri, Sarawak. Sementara itu, dari Miri, saya akan menaiki teksi atau bas. Tiket penerbangan dibeli serta merta.    
Malam sebelum penerbangan, saya mendapat panggilan dari sahabat yang menetap di Kuching, Sarawak. Cukup saya perkenalkan nama beliau ‘Ustaz Uda’. Beliau yang mengetahui saya akan ke Miri untuk ke Brunei memaklumkan kepada saya, anak-anak murid pengajian beliau akan sambut saya di Miri dan akan khidmat membawa saya ke Brunei dengan kereta mereka.
Menurut Ustaz Uda juga, anak-anak muridnya itu sudah biasa berulang alik Miri ke Brunei atas urusan perniagaan. Beliau berharap sepanjang perjalanan, saya dapat berkongsi ilmu tauhid kepada murid-muridnya memandangkan mereka mempelajari kitab tauhid terbitan syarikat saya (Sunan Press). Saya menerima pelawaan mereka dan semoga Allah menerima usaha dakwah yang tidak seberapa ini. Syukur alhamdulillah,  saya selamat tiba di Bandar Seri Begawan pada hari Jumaat setelah dua jam perjalanan dari Bandar Miri (125km). 
Saya harap dapat tenangkan diri buat sementara dek kerana bahang politik sejak kemenangan regim baharu. Pada awalnya, saya menjangkakan bahawa Brunei memiliki pembangunan bandar yang pesat seperti Singapura tetapi jangkaan saya meleset kerana Brunei merupakan negara yang penuh dengan kesederhanaan.

Masjid Sultan Hassanal Bolkiah

Di negara tersebut, bangunan-bangunan tidak boleh dibina melebihi ketinggian dan kecantikan sesebuah masjid. Jika kita lihat, masjid-masjid di Brunei sangat tersergam indah dan mewah. Saya sempat menunaikan solat fardhu dan Terawih di beberapa masjid di Brunei semasa kunjungan tersebut.

Ziarah Makam Sharif Ali
Saya memulakan kunjungan saya dengan menziarahi Makam Sharif Ali. Sebenarnya ini adalah tujuan utama saya. Saya sangat mencintai untuk mengambil ibrah dari perjalanan hidup para pendakwah dahulu.
Sultan Sharif Ali atau masyhur digelar Sultan Barakat berasal dari Taif (Jazirah Arab). Menurut salasilah Raja Raja Brunei, Baginda Sultan berketurunan Rasulullah saw dari jalur Sayyiduna Hasan.
Tidak pernah niat menjadi Sultan, segalanya dalam suratan yang Maha Esa, Sharif Ali, seorang ulama’ datang berdakwah ke Brunei. Akhlak dan keilmuan Baginda telah menarik minat Sultan Ahmad (Sultan kedua Brunei) dan Baginda kemudian menjodohkan Sharif Ali dengan anak perempuan Baginda.

Telah mangkat Sultan Ahmad dan Baginda tidak meninggalkan putera. Sekalian rakyat berhajat Sharif Ali dari keturunan mulia diangkat menjadi Sultan. Akhirnya Sharif Ali bersetuju menaiki takhta namun bersyarat yakni orang melayu Brunei wajib memberikan taat setia kepada pemerintahan Baginda dan mengikut hukum hukum Islam.

Makam Sultan Sharif Ali, Sultan Ketiga Brunei

Jika kesultanan Semenanjung Tanah Melayu terkenal kisah waad Demang Lebar Daun dan Sang Sapurba, kisah pengangkatan Sharif Ali menjadi Sultan telah menjadi asas ikatan Raja dengan rakyat yakni Raja kasihkan rakyat dan rakyat taat setia kepada Raja.

Dari keturunan Sultan Sharif Ali Barakat, melahirkan Sultan - Sultan Kesultanan Islam Brunei hingga ke pemerintah sekarang iaitu Sultan Hassanal Bolkiah termasuk termasuk Sultan Kesultanan Sarawak, Kesultanan Sambas dan Matan serta sebahagian Sultan-Sultan kesultanan Sulu.

Baginda dijuluki Sultan Barakat kerana Baginda seorang sultan yang sangat kuat beribadat dan mempunyai barakah. Baginda lah yang membangunkan masjid dan menentukan arah kiblat. Datu Imam Yaakub menyebutkan,

“…..maka Sharif Ali itulah kerajaan, dinamakan akan dia Paduka Seri Sultan Berkat dan ialah mengeraskan syariat Rasulullah saw dan berbuat masjid”

Ke Kedai Buku
Saya berpeluang untuk pergi ke beberapa buah kedai buku di Brunei dan difahamkan bahawa setiap buku yang ingin memasuki pasaran Brunei, mereka wajib melalui proses semakan daripada Kementerian Hal Ehwal Agama dan Kementerian Dalam Negeri. Buku-buku yang telah dicopkan bermaksud buku tersebut tidak mempunyai sebarang masalah, sah Ahlul Sunnah Wal Jamaah, dan boleh dijual di negara Brunei.
Saya tampilkan sebuah buku yang pada bahagian belakangnya mempunyai cop sebagai tanda telah melalui proses semakan.
Cop pengesahan Kementerian Hal Ehwal Agama Brunei

Begitu juga dengan buku-buku yang bukan genre agama, yang mana Kementerian Dalam Negeri turut menyemak buku tersebut agar fahaman- fahaman yang dibawa sama ada ekonomi, politik dan sebagainya tidak bercanggah dengan dasar Kerajaan Negara Brunei.
Saya sebagai seorang penerbit buku bertanya lebih lanjut bagaimanakah jika saya mempunyai buku-buku untuk dibawa ke Brunei. Mereka beritahu, bawa beberapa sample buku yang hendak diedarkan di Brunei ke Kementerian Hal Ehwal Agama untuk buku-buku genre Agama dan ke Kementerian Dalam Negeri bagi buku-buku selain genre Agama.
Sekiranya buku tersebut mendapat kelulusan, buku itu boleh dimasukkan dalam pasaran Brunei. Sahabat saya daripada Brunei juga menceritakan bahawa jika mereka meminati buku daripada Malaysia, mereka akan menggunakan alamat Miri, Sarawak untuk pembelian secara pos. Pada kebiasaannya, mereka akan ke Sarawak pada hari minggu untuk membeli belah dan pada ketika itulah mereka akan mengambil bukusan buku yang dihantar ke Miri.
Beliau turut menyatakan, jika buku yang dibeli dihantar terus ke Brunei, bungkusan itu dibuka untuk melihat jenis buku tersebut. Ia merupakan suatu penjagaan dan peranan kerajaan dalam menjaga agama Islam di Brunei dari fahaman-fahaman yang menyeleweng. Selain itu, jika terdapat mana-mana pihak yang ingin melaksanakan sebarang pengajian, maka perlu mendapatkan izin atau tauliah dari Kementerian Agama. Malah bukan itu sahaja, setiap acara pengajian yang diadakan, ia akan dihadiri oleh pegawai daripada Kementerian Agama untuk melihat sejauh mana bentuk ajaran dalam pengajian yang disampaikan.
Oleh kerana Brunei merupakan sebuah negara yang kecil, saya merasakan bahawa penguatkuasaan tidak sukar untuk dilaksanakan. Tidak seperti di tempat kita yang mempunyai rakyat yang lebih ramai berbanding Brunei.
Kebiasaanya, topik yang paling hangat untuk dibicarakan bersama sahabat-sahabat yang lain di tempat kita adalah topik-topik politik. Tapi jika bersama dengan sahabat-sahabat daripada Brunei, topik politik bukanlah suatu topik yang seronok untuk diperkatakan kerana mereka tidak mempunyai sistem kepartian yang membawa kepada sistem persaingan. Mereka benar-benar mengamalkan sistem Beraja dan sangat taat dan menghormati institut Beraja.

Pusat Sejarah Brunei
Saya juga berpeluang berkunjung beberapa muzium di Brunei dan yang paling menarik adalah apabila saya pergi ke dewan salasilah Kerajaan Brunei di Pusat Sejarah Brunei.  Kerajaan Brunei sangat menjaga dan mengambil berat soal nasab. Mereka menyimpan pelbagai nasab Raja-Raja Melayu (Brunei) bermula daripada Nabi Adam AS sehingga yang terkini.
Pelbagai versi yang mereka catatkan. Pada dinding pameran penuh dengan catatan salasilah tapi sayang sekali, para pelawat tidak dibenarkan mengambil gambar. Jadi saya hanya melihat sepintas lalu kerana melihat catatan salasilah ini memerlukan penerangan. Jujur saya katakan bahawa melihat gambar rajah salasilah ini adalah suatu yang meletihkan mata.
Juga dicatatkan hubungan kerajaan Brunei dengan kerajaan-kerajaan Islam Nusantara. Saya turut sempat melihat gambar-gambar Kesultanan Brunei dengan Raja-Raja Melayu.
Di hadapan Dewan Pameran Salasilah

Yang paling menarik juga, kami pergi ke Muzium Kebesaran DiRaja. Saya melihat bahawa institut Raja mereka ini diangkat untuk salah satu tarikan pelancong kerana semasa saya datang, saya melihat pelancong daripada China datang ke Brunei dan melihat alat-alat kebesaran DiRaja yang diletakkan pada suatu tempat. Pada bahagian tertentu, kita boleh ambil gambar dan bahagian-bahagian lain tidak boleh mengambil gambar kerana sensitif. Terdapat juga hadiah-hadiah yang diterima oleh Kesultanan Brunei untuk tatapan jelata.
Jadi sejarah dan kesultanan itu sendiri sudah menjadi aset pelancongan dan menarik sesiapa yang berminat. Saya percaya bahawa barang-barang tersebut, atas kurniaan Tuanku yang bermaksud bukan semua barang diletakkan disitu. Hanya barang-barang yang bersifat boleh dipamerkan sahaja. Saya percaya masih banyak barang yang tidak ditayang kerana bersifat peribadi.

 
Pusat pameran alat-alat kebesaran Diraja
Saya memohon maaf kerana tidak dapat mengambil gambar kerana kamera (telefon) kami diambil untuk simpanan sebagai langkah berjaga-jaga. Hanya ada beberapa keping gambar yang sempat diambil iaitu pada bahagian yang dibenarkan.

Sejarah Ringkas Brunei
Bercakap tentang brunei, pada abad 6-7M, sudah terbentuk pemerintahan dan perdagangan di Borneo yakni di Brunei. Sejak itu juga, Brunei telah menjadi tempat persinggahan pedagang-pedagang China, India dan Arab yang merantau dan berulang alik sekitar kepulauan nusantara.
Brunei mempunyai banyak nama lantaran kesan dari berbagai-bagai bangsa yang meriwayatkan Brunei itu, bukan hanya terdapat sebutan yang berlainan terhadap nama Brunei akan tetapi ejaan juga pelbagai seperti bruneng, bornei, borneu, burneu, borneo, bruneo, brune, bornui dan burni. Walaupun terdapat perbezaan, ia menunjukkan tempat yang sama. Di Pusat sejarah, saya sempat mencatat rentetan peristiwa penting dalam sejarah Brunei kerana para pelawat tidak dibenarkan mengambil gambar. Namun, ia tidak menghalang untuk saya dapatkan maklumat dengan kekuatan pena.

Rentetan peristiwa penting dalam sejarah Brunei 1454 - 1598
1454 : Brunei masyhur menjadi pusat kepada perkembangan Islam ketika itu. Ramai mubaligh Islam ke luar negeri dan datang ke Brunei.
1485 : Sultan Sulaiman lindong dan diganti oleh putera Baginda, Sultan Bolkiah.
1505 : Lo Da Vico Vartemi datang melawat Brunei.
1511 : Brunei sebagai pusat perdagangan yang besar
1521 : Angkatan Brunei menyerang Laoe kerana tidak setia kepada Sultan Brunei.
15 Julai 1521 : Brunei wujud sebagai negeri kaya dan makmur. (Dicatat oleh Antonio Pica Fecta). Ini menyebabkan orang Barat berusaha menakhluki Brunei.
29 Julai 1521 : Kapal Brunei karam ditembak oleh angkatan Magellan. Tempat kapal itu karam kini bernama Karambunai yang terletak di Sabah.
6 September 1522 : Angkatan Magellan bertolak dari Brunei ke Sepanyol mengikuti jalan Afrika Selatan.
11 Julai 1524 : Sultan Bolkiah lindung diganti oleh putera Baginda, Sultan Abdul Kahar.
1526 : Josh D Meniziz datang ke Brunei
1530 : Gong Salo Parera tiba di Brunei.
1533 : Sultan Abdul Kahar turun takhta dan menyerahkan pemerintahan kepada putera Baginda, Sultan Saiful Rijal.
1565 : Wilayah Brunei diserbu dna ditakhluki Sepanyol dan menjadikan pusat perdagangan
1573 : Satu utusan Sepanyol datang ke Brunei untuk meninjau keadaan dan membuat pemetaan Brunei.
1574 : Permohonan Sepanyol untuk mengembangkan Agama Kristian di Brunei telah ditolak. Hasrat Brunei menyerang Sepanyol di Manilla terpaksa dibatalkan kerana dikhuatiri Sepanyol akan menyerang Brunei.
1578 : Salah faham berlaku antara pihak Sultan Saiful Rijal dengan  pihak Pangeran Seri Lela dan Pangeran Seri Ratna.
3 Mac 1578  : Dr Francisco Lesanda bertolak dari Manilla ke Brunei dengan 40 buah kapal perang yang membawa lebih 1500 orang penduduk Pengansinan dan Gagayanpentandos.
13 April 1578 : Dr Francisco Desande mengutus surat kepada Sultan  Saiful Rijal dan memohon Baginda menghentikan menghantar pendakwah Islam ke Kepulauan Filipina. Permohonan tersebut ditolak.
14 April 1578 : Sepanyol melancarkan perang keatas Brunei dengan bantuan Pengeran Seri Lela dan Pangeran Seri Ratna.
15 April 1578 : Kapal Sepanyol tiba di bandar Brunei berhampiran Kota Batu.
16 April 1578 : Angkatan Sepanyol masuk ke Brunei lalu menggeledah Istana Sultan Abdul Kahar.
20 April 1578  : Sepanyol berjaya menakhluki Brunei.
24 April 1578 : Istana Sultan Saiful Rijal dan rumah pembesar digeledah dan dijadikan kubu pertahanan oleh angkatan Sepanyol.
23 Jun 1578 : Angkatan Sepanyol membakar Masjid Jamek, Brunei dan membinasakan Maqam Sultan Bolkiah.
26 Jun 1578 : Angkatan Brunei berjaya mengalahkan Sepanyol sehingga diusir ke Naunsun yakni Sabah.
4 Mac 1579 : Hasrat Sepanyol cuba sekali lagi menyerang Brunei terpaksa dibatalkan disebabkan kekuatan dan semangat perjuangan orang Brunei sukar dikalahkan.
1581 : Sultan Saiful Rijal dilindung dan diganti oleh putera Baginda, Sultan Shah Brunei.
1582 : Sultan Shah Brunei tidak lama memerintah dan diganti oleh adinda Baginda, Sultan Muhammad Hasan yang terkenal kerana gagah berani dan bijaksana.
1582-1598 : Brunei terus mencapai kemajuan hingga sebanding dengan kebesaran kerajaan dibawah pentadbiran Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam. Kebesaran dan kekuasaan Brunei diperkuatkan lagi oleh Sultan-sultan Brunei yang seterusnya hingga akhir abad ke 17.

Brunei adalah negara Melayu Islam Beraja
Jika di Malaysia, kita mempunyai Rukun Negara. Indonesia pula mengamalkan Pancasila. Demikian juga di Brunei, mereka mempunyai dasar dan konsep negara mereka tersendiri iaitu Melayu Islam Beraja. Hal ini ditekankan oleh Baginda Sultan seperti berikut:
“Konsep Melayu Islam Beraja ini sebenarnya bukan konsep baru tetapi sudah lahir semenjak beberapa abad lagi. Ianya tidak lebih daripada menunjukkan bentuk dan corak sesebuah kerajaan Brunei Darus Salam yang tulen, kerajaan Melayu Islam yang bersultan atau beraja dan sebagai sifatnya sebuah kerajaan Islam maka ia terbaik dan terunggul serta paling adil untuk semua lapisan rakyat. Dan penduduk di negara ini sama ada menganuti agama Islam ataupun tidak.”
Menurut Pehin Dato Seri Utama Dr Haji Awang Mohd Jamil Al Sufri dalam bukunya yang berjudul pelaksanaan dasar negara Melayu Islam Beraja, keistimewaan Brunei adalah kerana ia merupakan negara Islam Beraja. Status ini tidak dikacau malah dikekalkan sebagai sebuah negara Islam Beraja yang telah diusahakan oleh Sultan Brunei dengan Setiausaha negara British di London pada Isnin, 30 September 1957.
Segala bentuk keputusan yang dilakukan oleh Baginda adalah semata-mata untuk menyatakan Cinta dan Kasih Sayang Baginda kepada agama, bangsa dan tanah air Brunei. Dan dasar Melayu Islam Beraja ini sudah pasti untuk menjaga bangsa Melayu, Islam dan sistem Beraja.
Dr Haji Awang Mohd Jamil Al Sufri menyatakan juga, apabila kita melihat kedudukan Melayu dalam perlembagaan Brunei, jelas dinyatakan bahawasanya Bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa Rasmi  negara. Tafsiran rakyat sultan seperti yang diberikan oleh undang-undang taraf kebangsaan Brunei 1991 menunjukkan negeri ini merupakan sebuah negara adalah negeri Melayu untuk orang Melayu dan kepunyaan orang Melayu Brunei.
Demikian juga dengan pelantikan menteri besar dan timbalannya serta setiausaha kerajaan yang terdiri daripada anak-anak melayu menguatkan lagi gambaran bahawa negara ini merupakan negara Melayu yang diterajui oleh orang Melayu. Dalam Perlembagaan Brunei, 4(5) yang mengatakan bahawa tiada siapapun yang boleh dilantik menjadi menteri besar atau timbalan menteri atau setiausaha kerajaan melainkan dia orang Melayu yang beragama Islam mengikut mazhab Syafie Ahl Sunnah Wal Jamaah.
5(A) Maka tiada siapapun boleh dilantik menteri besar atau timbalan menteri besar kecuali beliau itu ialah rakyat Sultan.

Bagaimana pula kedudukan Islam dalam perlembagaan?
Alhamdulillah, Islam telah bertapak dengan kukuh dan mendasari sistem pemerintahan Beraja di Brunei dan sejak pemerintahan Sultan Saifuddin Ali dan Sultan-sultan kemudian, semuanya mengguna pakai sumber hukum dan perundangan Islam. 
Pehin Dr Haji Awang Mohd Jamil Al Sufri juga menyebut, ketika zaman pemerintahan Sultan Haji Omar Ali Saifuddin, telah dimeterai dalam perlembagaan negeri Brunei, menjadikan Islam sebagai agama rasmi negara tersebut.
Maka secara perlembagaan Brunei Darus Salam pun menjadi negeri Islam dek kerana agama rasminya pun adalah agama Islam. Sehubungan dengan itu, agama rasmi bagi Brunei Darus Salam adalah agama Islam dan Ketua Agamanya adalah Sultan.
Lalu ditubuhkan Institusi Majlis Ugama Islam Brunei yang bertugas untuk menasihati Sultan dalam perkara-perkara agama seperti yang dibutirkan (nyatakan).
Sementara itu, melihat sistem Beraja dalam perlembagaan, sedia maklum sistem Beraja adalah sistem tradisi pemerintahan Brunei yang diamalkan sejak turun temurun dan ia berkembang malah terus subur sehingga kini. Sistem inilah yang menyatukan rakyat yang berasal daripada pelbagai bangsa dan etnik.


Dalam tradisi budaya Melayu Brunei juga, Raja merupakan teras atau tunggak negara dibawahnya. Sultan bertindak sebagai Zilullah fil Ardi yakni bayang Allah dimuka bumi.
Justeru itu Raja mesti bersifat kasih sayang dengan rakyat dan melaksanakan pelbagai kebajikan untuk rakyat. Sebagai balasan, rakyat memberikan taat setia kepada Raja.
Pertalian antara rakyat dan Raja di Brunei amat kukuh bak kata pepatah
“Raja untuk rakyat, rakyat untuk Raja”. 
"Raja kasihkan rakyat, rakyat setia kepada Raja".

Kampung Atas Air
Tidak lengkap perjalanan ke Brunei sekiranya tidak pergi ke Kampung Air yang terletak di Bandar Seri Begawan. Ia dikatakan kampung air terbesar yang wujud di Asia Tenggara. Budaya membina perkampungan atas air mungkin suatu yang asing di semenanjung Malaysia tetapi tidak di Sabah, Selatan Filipina atau kawasan perairan sekitar pulau Borneo. Saya mempunyai pengalaman masuk dan tidur di banyak perkampungan atas air di Sabah iaitu di Tawau, Sandakan, Lahad Datu dan Kota Kinabalu. Saya juga pernah ke kampung air di kawasan Selatan Filipina. Mereka banyak terdiri orang laut dari keturunan Bajau dan etnik-etnik lain.
Apa yang berbeza di Brunei? Ya, sudah pasti saya berfikir dengan negara yang kaya, kenapa perlu wujud lagi kampung atas air? Kenapa tidak dipindahkan ke darat dan hidup sebagai orang darat? Ini lah warisan dan adat hidup. Dunia laut sudah sebati dengan mereka, dan mereka lebih suka tinggal di laut walaupun ada pilihan di darat.

Perkampuang atas air di Bandar Seri Begawan, Brunei

Oleh itu, kerajaan dibawah naungan Sultan Hassanal Bolkiah telah mengambil intensif menaik taraf rumah – rumah atas air sehingga nampak macam resort. Semua tersusun kemas dari segi sistem paip, elektrik, penyaman udara, selain ruang bercucuk tanam dan kemudahan lain. Ya, sekolah, klinik, balai bomba semua ada.
Dari perkampungan biasa, akhirnya Kampung atas air ini menjadi objek pelancongan tegar. Telah dikunjungi ramai pihak termasuk pihak menteri-menteri dari Malaysia dan Indonesia yang mengadakan kunjungan bertujuan mengkaji dan belajar pentadbiran dan urus selia perkampungan atas air dari Kerajaan Brunei supaya dapat dilaksanakan di negeri sendiri dengan jayanya.

Sekian, Angah Sunan



Enam Sebab Saya Berbangga Dengan Kemerdekaan Tanah Melayu

  1.Islam Berada Di Kedudukan Tinggi Dalam Perlembagaan   Saya sangat berbangga dalam rundingan kemerdekaan Tanah Melayu, ketika banyak nega...