Wednesday, 26 August 2020

Lontaran Idea Semi - Demokrasi Di Malaysia

LONTARAN IDEA SEMI - DEMOKRASI DI MALAYSIA 

 

Kita berehat sebentar dari pelbagai isu politik yang melanda. Bab politik parti ini, memang tidak akan pernah sunyi, sentiasa ada api dan asap. Ntahla, sejak kecil kita dipaksa untuk hadap perbalahan, pergelutan, persaingan orang – orang politik. Keterdesakan mereka terhadap ‘power’ memang terang-terangan dikala isu kebajikan rakyat terus mewarnai lensa media. Permainan tikam belakang ala kala jengking sudah lapuk, sekarang taktikal tikam depan-depan. Bak kata Laswell, “politik adalah siapa mendapat apa, bila dan bagaimana”.

 

Tak boleh salah kan juga, sudah memang tujuan penubuhan parti politik untuk dapatkan kuasa. Walaubagaimanapun, sebagai rakyat Malaysia, kita wajar bersyukur kerana masih mempunyai Raja-Raja Melayu di singgahsana sebagai pengimbang dan payung penyatuan. Orang politik berbalah tahap filem tamil sekalipun, negara ini punyai daya tahan dan pentadbiran tetap berjalan dengan baik. Antara hikmah berlakunya drama sheraton selepas perdana menteri ke-7 meletakkan jawatan, adalah kita dapat menyaksikan pentadbiran negara elok sahaja berjalan dibawah payung pemerintahan YDPA dan dibantu bersama Ketua Setiasusaha Negara serta para penjawat awam.

 

Oleh kerana itu, saya suka highlightkan, taat setia kita kepada Tuanku sahaja dan sepatutnya ‘feeling’ terlalu obses sehingga obesiti taksub kepada orang politik dikurangkan. Mereka datang dan pergi, kalah itu pasti dalam pemilihan, menang itu bonus namun Raja-Raja Melayu tetap bersemayam meneruskan amanah Zilullah Fil Ardhi. Saya pernah berkuliah suatu tempat dan dalam kuliah saya jelas nyatakan saya seorang royalist (seseorang yang menyokong sistem beraja). Selepas kuliah, seorang makcik beritahu suaminya seorang cina mualaf (dulu Buddha) dan merupakan pesara tentera udara. Makcik tersebut beritahu kepada saya suaminya selalu sebut, “my life for my king, never trust politicians”. Saya anggukkan sahaja. Bukan kali pertama pun saya jumpa bangsa cina dan india yang sangat setia kepada Raja Melayu.

 

Saya tak kata anti terus ahli politik, setiap kaedah ada pengecualian. Orang politik yang benar-benar komited berjuang untuk rakyat tetap mendapat tempat yang mulia. Cuma golongan ini ‘rare’ dan kita akui kita masih punyai politikus demikian. Ada lagi kan? (tanya balik kat pembaca lagi senang). Mesej saya adalah budaya terlalu mengherokan orang politik ini sudah boleh perlahan-perlahan dicabut. Mereka itu hanya menjalankan amanah Seri Paduka untuk berkhidmat kepada rakyat. Saya nak berkongsi kata-kata Dr.Ben Carson (tokoh politik Amerika) : “Kita ditanam pemikiran bahawa hanya orang politik boleh selesaikan masalah kita, tapi pada suatu sisi lain, mungkin kita kena kembali sedar dan kenalpasti bahawa orang politik itu lah yang mencipta pelbagai masalah

 

Paling ‘rare’ ketika berbual dengan pakcik grab berbangsa cina. “Kenapa you respect our king uncle”?, saya tanya. Tahu apa dia jawab?, “Our King aar masih ada daulat oo, jangan main-main”. Saya tanya balik, “apa yang you faham dengan daulat?”. Jawap Uncle, “kalau lawan, boleh terkena sumpah”. Kami bersembang panjang sepanjang dalam perjalanan. Sebenarnya, kalau dikaji tentang orang cina, jati diri mereka sebagai rakyat beraja sangat kuat. Mereka hidup mendaulatkan seorang Raja sejak 5000 tahun lagi. Sejarah dinasti - dinasti Maharaja mereka tersergam indah dalam sejarah. Sebahagian mereka juga masih percaya setiap Raja ada daulat masing-masing.

 

Masakan tidak, sampai cina-cina kedai duk gantung gambar Sultan Abdul Hamid Halim Shah yang terkenal dengan tanjak yang terselit bulu burung cenderawasih. Buat pelaris katanya. Mereka tak letak gambar pemimpin komunis pun. Cuma biasalah, setiap bangsa mengalami pengaruh pemikiran moden dan liberal korup. Oleh kerana itu, saya kurang gemar dakwaan semua cina anti raja melayu, semua cina komunis. Itu tahap emosional. Melayu yang kurang ajar kepada Raja Melayu pun ramai. Konon pemikiran barat, mereka tak tahu ke Inggeris yang mereka agung-agungkan itu menggunakan sistem beraja.


[ Gambar ] - Almarhum Tuanku Sultan Abdul Hamid Halim Shah Ibnu Almarhum Sultan Tajuddin Mukarram Shah - Sultan Kedah ke-28.

 

 Sebahagian rakyat sudah secara terbuka melahirkan kebimbangan akan kecelaruan sistem politk kepartian yang semakin parah dan boleh membawa negara ke kancah bahaya. Rakyat menjadi muak dengan politk dan mengambil sikap tidak mahu mengambil tahu politk dan tidak mahu mengundi dalam pilihanraya khususnya kalangan generasi muda Islam. Ia amat bahaya kerana akan menjadikan negara boleh dikuasai mereka punyai agenda dan terpengaruh idelogis yang mudarat seperti DAP.

 

Demokrasi yang sudah menjadi ‘Democrazy

 

Saya tiada niat menyalahkan sistem yang sedia ada, cuma mengajak kita menginsafi dan bermuhasabah kesilapan-kesilapan yang berlaku dalam sistem ini akibat terlampau taksub. Demokrasi ini wasilah sahaja pon, jangan sampai jadi barang iqtiqad. Baik, terlebih dahulu kita patah balik sedikit, apa definisi sebenar demokrasi? Ia berasal dari perkataan demos ertinya rakyat dan kratos/kratein yang beerti kekuasaan atau berkuasa. Ringkasnya, demokrasi beerti rakyat yang berkuasa. Pada zaman ini konsep demokrasi telah ditambah dengan pelbagai istilah dibelakangnya hingga lahir pelbagai istilah demokrasi sebagai contoh demokrasi berpelembagaan, demokrasi Nasional, demokrasi liberal, demokrasi rakyat dan demokrasi berparlimen seperti amalan di Malaysia. Demokrasi muncul pada zaman Yunani Kuno kemudian tenggelam. Pada tahun 600-1650 demokrasi hancur dan muncul kembali pada tahun 1689-1755 hingga ke hari ini.

 

Itu sebenar demokrasi. Kuasa rakyat yang ‘power’. Sekarang orang politik yang para pengundi naik kan terlebih dianggap ‘power’ pula. Itu yang kata demokrasi sudah jadi ‘democrazy’. Kalau loghat kelantan, maknanya demo gilo (awak gila). Saya hanya menyatakan definisi asal bukan lah saya bersetuju ‘full power’ semestinya ditangan rakyat secara total sampai jadi demokrasi liberal seperti yang cirikan oleh Alan R.Ball. Kritikan terhadap sistem demokrasi ini pun bukan suatu benda baharu malah dalam subjek Sains Politik, hal ini dibincangkan secara panjang lebar.

 

Saya beranggapan, untuk ‘remove’ terus demokrasi adalah terlalu utopia. Beberapa kelemahan yang telah dikenalpasti mesti segera dimuhasabah dan dibaiki sebagai contoh :

 

1.     Sebahagian orang politik menyeleweng dari matlamat berkhidmat kepada rakyat. Saya tulis sebahagian sahaja itu, tak sampai hati nak tulis kebanyakan. Cukuplah menggunakan jawatan politik untuk mengaut kekayaan peribadi dan kroni. Sekarang zaman rakyat sudah celik. Sebelum zaman media sosial, ntah berapa banyak surat sokongan jawatan atau tender dan seumpama berlegar, masyuuuk tu. Sampaikan ada impian masuk politik sebab nak kaya. Dewasa kini, pagi buat surat sokongan, petang sudah boleh bocor. Sepatutnya tak berani dan serik dah.

2.     Ketaksuban terhadap parti dan pemimpin politik yang melampau. Tahukah anda, kewujudan parti dalam demokrasi bukan wajib pun, sebab itu ada idea demokrasi tanpa parti. Tamadun Yunani (tempat pengasasan Demokrasi) pun tiada parti (terus dari rakyat). Selain itu, pengarang Federalist No.10 oleh James Madison mendedahkan pengasas negara Amerika Syarikat iaitu George Washington sebenarnya berhasrat membina negara tanpa sistem parti. Buktinya, pentadbiran beliau dan kongress Amerika Syarikat pada awalnya adalah non-partisan. Di Malaysia sendiri, kalau orang itu tiada parti pun boleh jadi menteri melalui lantikan senator. Apabila Datuk Seri Zahid Hamidi menyatakan bahawa ahli parlimen Barisan Nasional kekal menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) walaupun tidak sertai secara rasmi. Oleh kerana itu, kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin tidak jatuh kerana sokongan ahli parlimen secara peribadi masih wujud secara majoriti. Idea Tun Mahathir dulu lagi dahsyat, Perdana Menteri boleh lantik sesiapa sahaja dari kalangan parti itu dan parti ini untuk menjadi jemaah menteri. Idea itu rata-rata ditolak kerana bimbang diktator Mahathirisme kembali merajai. Sekiranya kita masih berminat mengguna pakai sistem demokrasi ini, boleh tetapi saya berpendapat generasi akan datang harus siap ke arah demokrasi tanpa parti (non-partisan democracy).

3.     Tiada piawaian yang ketat ditetapkan untuk menjadi calon untuk bertanding di peringkat Dun dan Parlimen. Paling penting mereka semua menjunjung agama Islam sebagai agama persekutuan, Raja - Raja Melayu, hak istimewa orang melayu dan bumiputra serta bahasa melayu. ABATA mesti menjadi KPI utama. Maka, orang politik datang dan pergi, bersaing bagaimanapun, kita tidak risau kerana ideologi ABATA mereka jelas walau berbeza parti. Mereka hanya khilaf siapa tawarkan polisi lebih baik kepada rakyat.  

 

 

Ke Arah Semi atau Neo - Demokrasi

 

Melihat kepada subtajuk di atas, anggap lah penulisan ini suatu lontaran idea yang tak semestinya wajib dipersetujui. Saya sebenarnya ingin melihat perbincangan lebih lanjut berkenaan idea ini. Tidak berapa lama sebelum ini, presiden ISMA Haji Aminuddin ada melontarkan idea ke arah neo atau semi demokrasi (rujuk kenyataan beliau di page Aminuddin Yahaya bertarikh 23 Jun). Secara jujur, saya bersetuju dengan beberapa idea beliau. Antara cadangan beliau ialah meningkatkan kuasa Raja-Raja terutamanya Yang di-Pertuan Agong dalam menyelesaikan ‘loophole’ sistem politik yang kita amalkan hari ini yang mana jawatan Menteri dan Senator menjadi barang dagangan yang boleh direbut-rebut dan ditawar-menawar antara ahli parlimen dalam membentuk sebuah kerajaan.

 

Beliau juga mencadangkan agar YDPA diberikan kuasa yang lebih untuk melantik menteri-menteri dari kalangan bukan ahli parlimen. Selain dapat mengelak bahan politicking, mereka akan dapat berkhidmat dengan sangat baik dan aman. Beliau memberi contoh Menteri Kewangan dan Agama yang datang dari golongan tenokrat dan pakar bidang yang telah menunjukkan prestasi yang cemerlang. Kata Tuan Haji Aminuddin lagi,

 

“Alangkah baiknya jawatan-jawatan menteri yang lain dapat dilakukan sebegini rupa. Biarlah ahli-ahli parlimen menjadi penggubal undang-undang dan polisi-polisi negara melalui sistem parlimen dan mereka juga dapat fokus berkhidmat untuk rakyat yang diwakili masing-masing”.

 

Pada fikir saya, kemungkinan besar maksud beliau ahli parlimen tak perlu jadi menteri, fokus jaga rakyat dan ‘lawmaker’ di parlimen. Walaupun di Malaysia mengamalkan sistem pengasingan kuasa iaitu eksekutif (pentadbiran), legislatif (perundangan) dan judikatif (kehakiman), namun sebahagian kelompok yang berada di legislatif sebagai ahli parlimen (baca:dewan rakyat) juga adalah ahli eksekutif (yang mana dilantik menjadi jemaah menteri). Saya tidak pasti maksud sebenar beliau, belum ada peluang jumpa tapi saya yakin ‘hint’ beliau ke arah itu. Cadangan beliau selanjutnya mengajak kita bermuhasabah agar mempertimbangkan sistem politik negara mengamalkan ‘semi-demokrasi’ mengikut acuan timur dan watan Malaysia. Ini kerana, mengikut demokrasi barat secara bulat-bulat dan membuta tuli akan akhirnya merugikan negara.

 

Demikian untuk penulisan kali ini, saya menulis bukan nak ajak runtuhkan sistem sedia ada. Ia hanya lah lontaran idea kerana cintakan negara. Saya harap kita bersama-sama dapat gemblengkan usaha fikir dan daya ke arah paradigma baru. Idea ini belum ada perincian lanjut, kerana saya bukan orang yang pakar. Kesimpulannya, saya menyeru kita bermuhasabah amalan demokrasi di Malaysia. Sedikit pemurnian terhadap amalan ini tidak salah dilakukan dan saya berpendapat KUASA Raja terutama SERI PADUKA BAGINDA sebagai KETUA NEGARA mesti diberikan kuasa yang lebih (baca : perincian lebih lanjut wajar dibincangkan) agar dapat mengimbangi kegobrokan politik hari ini dan bersesuaian dengan martabat Baginda sebagai Khalifah di Malaysia.

 


Angah Sunan

No comments:

Post a Comment

Enam Sebab Saya Berbangga Dengan Kemerdekaan Tanah Melayu

  1.Islam Berada Di Kedudukan Tinggi Dalam Perlembagaan   Saya sangat berbangga dalam rundingan kemerdekaan Tanah Melayu, ketika banyak nega...