Tuesday 6 November 2018

Kota Palembang dan KH Zain Syukri


 “Apabila kita kehilangan harta, sebenarnya tidak ada yang hilang, apabila kita kehilangan kesihatan, ada sesuatu yang hilang, apabila kita kehilangan watak, segalanya akan hilang”, 
                                                     H.A Ronie Syahbuddin Palembang


Setelah banyak kali berulang alik ke Tanah Jawa dan Sulawesi, hati saya mula terpanggil-panggil ke Sumatera. Jambi, Palembang dan Kota Minang adalah antara ‘watchlist’ saya pada tahun ini. Lebih kurang beberapa bulan yang lepas, adik saya menghantar mesej memaklumkan bahawa beliau akan ke Palembang. Secara kiasan seperti mengajak saya bersama. Apabila mendengar Palembang, saya tak mampu berkata ‘tidak’ namun saya belum dapat memberi kata putus ketika ditanya oleh adik.

“Angah memang nak pergi sangat, tapi ada urusan sekarang, angah cuba selesaikan seawal yang boleh. Acik pergi dulu, Angah menyusul kemudian”, ujar saya kepada adik yang mengajak.

Adik saya selamat tiba di sana sementara saya masa berfikir-fikir. “Kerja banyak tapi Palembang tu”, bisik hati saya.

Saya adalah peminat karya-karya almarhum Kiyai Haji Muhammad Zain Syukri, Ulama Sufi dan mursyid tarekah Samaniyah Palembang. Sudah pasti, menziarahi pesantren dan makam beliau merupakan hajat yang membuak-buak.

Hari ini (Selasa) sudah masuk waktu petang. Setelah berfikir panjang dan melihat duit simpanan yang disifatkan mencukupi, saya putuskan membeli tiket ke Palembang pada malam hari. Penerbangan selepas subuh jam 7.00 pagi Rabu yang akan mengambil masa 1 jam 35 minit.


Palembang dan Menteri Olahraga

Sebaik tiba di Bandara, saya terus menuju ke hotel penginapan. Traveloka mengurusnya dengan baik. Kenderaan Grab merupakan pilihan utama bukan hanya di Palembang, tetapi di Tanah Jawa, Banda Aceh ketika perantauan saya di sana. Grab banyak membantu memudahkan pergerakan para pelancong. Mereka berasa lebih selamat, yela, sebagai orang luar, kita sering terdedah dengan permainan harga oleh pemandu teksi sebelum ini. Tak pukul rata, tapi ini kebiasaan. Tengok kita dari Kuala Lumpur, ingat kita semua berduit. Harga berubah-ubah tetapi grab menawarkan paparan harga yang jelas dan lebih awal kepada para penumpang.

Sepanjang menaiki beberapa Grab di sini, antara perkara menarik perbualan kami ialah tentang Menteri Belia dan Sukan Malaysia atau di sini memanggil Menteri Olahraga. Oh ya, sebelum saya terlupa, waktu kelmarin saya datang ke Palembang adalah waktu kemuncak persiapan Sukan Asia yang mana Palembang merupakan venue utama pertandingan selain Jakarta. Menteri Olahraya Malaysia, Syed Saddiq telah menjadi tular di sini selepas Presiden Indonesia, Pak Jokowi memperkenalkan beliau di media sosialnya ketika kunjungan menteri muda itu ke Jakarta. Akhbar pula mengambil peranan menambah lauk cerita.

“Menteri Olahraya Malaysia masih muda lagi ganteng Pak”, ujar pemandu Grab.

Saya lantas bertanya, “Pak, saya mahu nanya, di mana gantengnya pak menteri itu?”

‘Wajahnya la pak”, balas pemandu grab.

Saya balas, “Salah pak, gantengnya dia bukan di mukanya, tetapi di posisi ‘menteri’ nya. Kalau hari ini bapak menjadi menteri, pasti dibilang ganteng juga”

“Betul…betul..”, jawab pemandu itu sambil gelak. Kami ketawa bersama-sama.

Hari pertama saya berwisata ke beberapa tempat bersejarah di Palembang. Antaranya di Makam -Makam Kesutanan Palembang, Makam Ratusinuhun Sabok – Kingking Palembang dan Bukit Seguntang.

Detik malam hari adalah istimewa apabila dapat bersilaturahmi dengan M.A Emil Syahruddin. Beliau merupakan ahli sejarah Kesultanan Palembang dan sekretaris himpunan Zuriyat Buyut Lokan Kiemas Papak Puyang Segaran. Banyak perkara yang kami bualkan dari politik, sejarah sampai akhir zaman. Paling menarik, beliau telah berkongsi catatan tulisan tangan nasab Sayyid Husein Jamadil Kubro dari leluhurnya.

Catatan tulisan tangan simpanan M.A Emil Syahruddin


 Ke Pesantren

Pada lewat malam, saya dihubungi teman bahawa Pak Kiyai Husni akan menjemput saya ke Pesantren Muqimus Sunnah yang diasaskan oleh almarhum KH Zain Syukri. Teman saya merupakan kenalan pak dan Ibu Izzah iaitu anak perempuan kepada almarhum KH Zain Syukri, ulama sufi karismatik Palembang yang saya kagumi. Teman saya menyampaikan hasrat saya yang sangat berhajat menziarahi pesantren tinggalan almarhum dan Ibu Izzah. Keluarga pesantren sangat gembira dengan hasrat tersebut lalu menawarkan khidmat menjadikan saya sebagai tetamu mereka.

Jam 8 pagi keesokan, Pak Kiyai Husni dan rombongan menjemput saya ke Pesantren menaiki Van. Sampainya saya di sana, saya di bawa melihat suasana pesantren dan makan pagi. Alhamdulillah, jimat bajet makan pagi. Bukan itu sahaja, saya telah diminta oleh pembantu mudir memberikan tausiah kepada 300 orang pelajar santri. Saya menolak pada awalnya lalu mengikut sahaja setelah mendengar anak-anak pesantren sudah siap berkumpul di dewan sambil melantunkan qasidah burdah. Dalam tempoh 2 jam saya berkongsi dan bersoal jawab dengan anak-anak santri. Faktor-faktor perkembangan Islam di Nusantara dan adab menuntut ilmu antara dua intipati penyampaian saya.  Ketika soal jawab, saya di tanya,

“Pak Ustaz, pak ustaz banyak menceritakan tentang adab. Ya adab pada guru itu banyak sekali, tak mampu di amalkan semuanya, bagaimana ya pak ustaz?”

Saya kira ini soalan yang sangat baik. Saya jawab,

“Ya benar adab dengan guru memang banyak, cuma saya akan simpulkan kepada dua. Dua ini adalah kunci kepada segala adab yang dibentangkan para ulama". 

"Pertamanya, buat apa yang guru cintai dan jangan buat apa yang guru tidak suka. Boleh jadi berlaku perbezaan antara seorang guru dengan guru lain kerana perbezaan ahwal antara mereka. Di Madrasah dulu, saya punyai beberapa guru dan kami diajar bersalam mencium tangan para guru. Kami mencium tangan guru-guru  namun kami tidak bisa melakukannya kepada mudir kami sendiri kerana beliau tidak suka tangannya dicium. Sebagai murid, menuruti kehendak guru ketika itu lebih utama." 

"Kedua, kunci adab seterusnya adalah tawadhu’ dan jiwa rendah diri di hadapan guru. Percayalah, murid yang kurang pintar tetapi hatinya tawadhu’dengan guru lebih dicintai guru berbanding murid yang pandai tetapi ujub dengan ilmu dan rasa lebih pandai dari gurunya.”

“Benar tak para guru sekalian?, saya bertanya kepada para guru pesantren yang turut hadir dalam majlis. Mereka mengangguk-angguk setuju.

Berfoto kenangan bersama para guru lelaki Pesantren Muqimus Sunnah

 Acara selesai dengan jayanya di pesantren yang terletak di Jalan Depatan Lama kelurahan, cuma saya agak sedih kerana tidak berpeluang berjumpa dengan Ibu Izzah yang sedang berada di Jakarta untuk Viva Doktor Falsafah beliau. Walau bagaimanapun, kesedihan hati saya terubat apabila saya dihadiahkan buku-buku almarhum KH Zain dan buku terbaru Ibu Izzah yang meneruskan perjuangan Ayahandanya.


Kiyai Haji Zain Syukri


Sekali lagi saya beruntung, dua orang ustaz dari pesantren telah diberi cuti khas oleh mudir untuk membawa saya ke Makam Almarhum Kiyai Haji Zain Syukri, bersiar-siar di Kota Palembang, dan di bawa makan tempat istimewa. Malah, saya juga dipelawa menginap di rumah tamu pesantren. Sesungguhnya, ini rezeki dari Allah. Semuanya di atur baik dalam takdirNya. Sumpah, saya tak merancang ‘tour’ ini dari awal. Gratis pula.

Makam KH Zain Syukri bersebelahan Masjid Nurul Hidayah

 Dari awal tulisan, saya sering ‘mentioned’ nama KH Zain Syukri, saya yakin para pembaca tertanya-tanya gerangannya.  Saya memohon izin berkongsi sedikit latar belakang KH Zain Syukri.

KH Muhammad Zain Syukri dilahirkan pada hari Isnin, 10 Oktober 1919M bersamaan dengan 12 Rabiul Awal waktu Subuh. Beliau merupakan putera bongsu dari 12 orang adik beradik. Para muridnya, memanggilnya dengan panggilan Kiyai. Namun, KH Zain tidak membahasakan dirinya dengan panggilan tersebut kerana beliau lebih suka menggunakan ‘Pak’ mahupun ‘Pak Zain’.

Ayahnya seorang ulama yang bernama Kemas Haji Hassan bin Kemas Haji Abdul Syukur. Manakala ibunya pula seorang puteri kepada ulama terkenal pada waktu itu yang bernama Nimas Hajjah Soleha Azhari.

Kedua-dua datuk beliau baik samada dari sebelah ibu mahupun sebelah ayah merupakan orang Palembang yang bergelar ‘Kemas’. Belau merupakan anak yang sangat nakal ketika usia kanak- kanak.

Ibunya bertemu jodoh dengan ayahnya ketika sama-sama berada di Mekah. Syeikh Muhammad Azhari yang memang bermukim di Mekah pada waktu itu telah dipertemukan Allah dengan Haji Hassan Syakur yang ketika itu sedang menuntut ilmu agama di sana. Pasangan mempelai lalu dinikahkan. Ayahnya bernama Kiyai Haji Hassan Syakur yang merupakan salah seorang putera kepada Kiyai Haji Abdul Syukur.

Seperti kanak-kanak lain yang akan memasuki sekolah, KH Zain tidak terkecuali.  Beliau sangat ingin bersekolah di sekolah rakyat. Namun, datuknya menentang keras kemahuannya itu sebaliknya diwajibkan ke sekolah pondok agar dapat menimba ilmu agama sejak kecil.

KH Zain Syukri dimasukkan ke Madrasah Ihya di Dipaten 27 Ilir Palembang dari tingkat Ibtidaiyyah hingga tingkat Tsanawiyyah. Kemudian, beliau meneruskan pengajian Aliyahnya di Tebu Ireng, Jombang, Jawa Timur. Seperti anak santri yang lain, beliau punyai cinta-cita  menyambung pelajarannya ke luar negara. Namun sang Ayah mengatakan bahawa  belajar di tempat sendiri pun akan mendapat ilmu yang barokah dengan izin Allah SWT, asalkan disertai dengan tahajud terus menerus.  Beliau pasrah dengan kehendak Ayahnya.

Guru-guru beliau adalah Haji Muhammad Akib, Muara Siring, Kiyai Haji Kemas Abroni Azhari, adik kepada Ibunya. Kemudian, Kiyai Haji Mas Agus Nanang Masri, Kiyai Haji Abdul Qahar, Kiyai Haji Muhammad Idrus bin Haji Abdul Manan, Kiyai Matjid, Kiyai Mas Agus Abdul Rahman dan Kiyai Syed Sadim Jindan.

Saat beliau belajar di Teboyeng, Jombang beliau berguru kepada Kiyai Haji Abdul Wahab Hasbullah, Kiyai Haji Bisni Samsuri. Beliau berguru langsung dan menjadi khadam Tokoh Pendiri Nahdatul Ulama’, Kiyai Haji Hashim Asyari. Beliau nekad menjadi khadam Kiyai Haji Hashim Asyari dalam menguruskan keperluan harian gurunya seperti melipat pakaian, membersihkan rumah serta pekerjaan apa sahaja beliau buat sewaktu belajar.

Rutin para kiyai bersama guru dan segenap santri di Tiboreng berbahasa Arab. KH Zain pun selalu berbahasa Arab kepada gurunya, jika lalai menggunakan bahasa wajib tersebut, dikenakan hukuman cukur rambut dihadapan khalayak ramai sambil diarak keliling pondok.

Hal ini pernah secara tidak sengaja dialami oleh KH Zain ketika belajar. Beliau terlanjur berbahasa selain dari bahasa arab hingga dihukum seperti di atas. Peristiwa hukuman itu sangat terkesan di hati pemuda ini sehingga beliau betul-betul mahir berbahasa arab meskipun tidak belajar di negara arab.

Oleh kerana ketiadaan wang, Pak Zain tidak mampu untuk membeli kitab. Lantaran itu,, pada siang hari beliau akan meminjam kitab dengan temannya kemudian menyalin semua isi kitab tersebut seperti aslinya. Satu demi satu kitab yang wajib dipelajari di pondok tersebut disalinnya dengan rapi. Kerana itu, kekuatan ingatannya luar biasa dalam mengingati pelajaran –pelajaran di pesantren.

Sekembalinya dari Jawa Timur, beliau berperanan aktif menyemarakkan kehidupan beragama di Sumatera Selatan, khususnya di tanah kelahiran Palembang disamping aktif mengembangkan sayap Nahdatul Ulama’ di Sumatera Selatan. Gusdur (Presiden Indonesia keempat, Susilo Bambang Yudhoyono (Presiden Indonesia keenam) merupakan dua presiden yang pernah berkunjung hormat beliau.  

Pak KH Zain telah memperoleh ijazah Tarekah Sammaniyah dari datuknya Syaikh Muhammad Azhari bin Abdullah yang bersambung kepada Syaikh Akib bin Hasanuddin, Syaikh Abdul Somad Palembang dan Syaikh Sayyid Muhammad Samman bin Abdul Karim As Sammani. Beliau juga mendapat ijazah tarekah Qodariah dari KH Salim.


Karya Pak Zain

KH Zain telah meninggalkan banyak karya dan tulisan terutamanya aspek tauhid dan pembangunan jiwa yakni tasauf. Karya-karya beliau seperti Risalah Tauhid, Rahsia Sembahyang, Santapan Jiwa, Al Qurbah, Melepaskan Diri Dari Bahaya Syirik, Iman Dan Menghadapi Maut, Menuju Haji Mabrur, Kumpulan Doa Manasik Haji, Menyegarkan Iman Dengan Tauhid Jilid 1 dan II dan buku terakhir beliau Cahaya di atas Cahaya yang merupakan kumpulan tulisan KH Zain yang digunakan sebagai bahan pengajian.

Dalam pandangan keagamaan, KH Zain sangat toleran dan moderat tetapi dalam ketauhidan sangat tegas. Selain itu, tarikan pada KH Zain adalah gaya bahasanya yang sangat sederhana sehingga mudah difahami oleh pelbagai lapisan masyarakat. Namun, isinya cukup dalam. Hal-hal yang sering ditekankan KH Zain bersangkut paut dengan keindahan hati, cara melepaskan diri dari dunia, gangguan sehingga benar-benar terbit rasa La Haula Wala Quwwata Illa Billah.

Dalam buku Rahsia Sembahyang, KH Zain mengatakan apabila kita merasakan semua perbuatan kita adalah dengan hak Allah, kita akan merasa malu mengharap balasan kerana semua amal tersebut semata-mata kurnia Allah.

Menurut beliau lagi, solat adalah komunikasi langsung antara hamba dengan pencipta. Oleh kerana itu, solat tidak boleh terganggu dengan urusan dunia, perniagaan atau urusan lain. Kepentingan mencapai hakikat solat adalah perkara yang ditekan oleh KH Zain kepada para muridnya. Bagaimana sibuk seseorang, ketika solat wajib menghentikan fikiran dan hati pada urusan lain selain Allah. Tiga rukun yakni rukun fi’li, qauli dan qalbi mesti dipenuhi.   

KH Zain telah wafat pada hari Khamis tanggal 22 Mac 2012 dan dimakamkan bersebelahan Masjid Nurul Hidayah di Jalan Let. Jaimas Palembang. Al Fatihah

#angahsunan

Enam Sebab Saya Berbangga Dengan Kemerdekaan Tanah Melayu

  1.Islam Berada Di Kedudukan Tinggi Dalam Perlembagaan   Saya sangat berbangga dalam rundingan kemerdekaan Tanah Melayu, ketika banyak nega...