Tuesday 1 September 2020

Enam Sebab Saya Berbangga Dengan Kemerdekaan Tanah Melayu


 

1.Islam Berada Di Kedudukan Tinggi Dalam Perlembagaan

 

Saya sangat berbangga dalam rundingan kemerdekaan Tanah Melayu, ketika banyak negara yang hilang identitas agama, Islam menjadi agama persektuan di Tanah Melayu. Wallahua’lam, ntah bagaimana rundingan itu berlaku sehingga Inggeris ‘merelakan’ peruntukan itu. Sungguh, tanah ini tanah bertuah dalam peliharaan Allah. Peruntukan berkenaan Islam yang sedia ada di dalam Perlembagaan telah memberi peluang kepada para pembuat dasar, pengamal undang-undang dan penafsir undang undang menegakkan fungsi sebenar Islam secara menyeluruh di Malaysia.

 

Bukan itu sahaja, peruntukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan di dalam Perlembagaan bukanlah satu kebetulan, ia adalah usaha, jihad dan ketegasan oleh para pejuang kemerdekaan kita dalam perundingan  proses kemerdekaan. Sudah pasti para pemimpin kita terdahulu telah mengambil kira latar belakang sejarah, budaya dan ketamadunan di Tanah Melayu. Walaubagaimana pun, peruntukan itu tidak menghalang ‘agama’ lain diamalkan secara aman.

 

Di dalam Perlembagaan Persekutuan, diperuntukkan beberapa perkara yang berkait dengan Islam. Di antara peruntukan penting yang berkaitan dengan kedudukan Islam ialah Perkara 3, 11, 12(2) dan 150 (6A)10 (baca lanjut buku Islam dan Perlembagaan, Abdul Aziz Bari). Sekali imbas, peruntukan-peruntukan tersebut ialah, pengisytiharan Islam sebagai agama persekutuan bagi Persekutuan, kebenaran menggunakan wang awam untuk tujuan-tujuan Islam,  Kedudukan mahkamah syariah di dalam sistem perundangan. Walaupun ada perbezaan tafsiran dari ahli-ahli perundungan berhubung Islam agama persekutuan, tafsiran yang diberikan oleh Hashim Yeop Sani (1973) menjelaskan bahawa Perkara 3 itu sangat jelas dan tidak boleh diputarbelitkan lagi bahawa agama negara ialah Islam.

 

Pada Jadual Kesembilan, Senarai Dua, telah ditetapkan bahwa hal ehwal Islam sebagai sesuatu yang terletak di dalam bidang kuasa negeri Berkenaan Perkara 3(1) yang menyebut: “Agama Islam ialah agama bagi Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.”

 

2.Kedaulatan Raja-Raja Terpelihara

 

Kita berundur ke tahun 1 April 1946 sebentar, yang mana pada tahu itu Malayan Union yang diluluskan di Parlimen British pada 10 Oktober 1945 telah isytiharkan dengan Sir Edward Gent sebagai Gabenor Pertama. Malayan Union merupakan gabungan negeri-negeri Melayu dengan negeri-negeri Selat (tidak termasuk Singapura). Dalam Mayalan Union, Raja-Raja Melayu berada di kedudukan masing-masing tetapi dalam bidang kuasa yang sangat terhad, iaitu berkaitan tentang agama Islam dan adat Istiadat orang Melayu sahaja. Pihak British sebaliknya terus memerintah melalui sebuah majlis penasihat yang diluluskan oleh gabenor Malayan Union.

 

Lalu, berlaku kebangkitan orang Melayu menolak Malayan Union yang disifatkan sangat tidak adil kepada mereka sebagai tuan rumah selain merendahkan martabat Raja-Raja Melayu. Mereka bangun pertahankan kedudukan istimewa dan Raja-Raja Melayu. Melihat keberanian orang Melayu turun menolak Malayan Union dalam jumlah yang besar, Raja-Raja Melayu telah mengorak langkah menyambut penolakan itu secara terbuka dan telah menghantar perwakilan ke London.  

 

Dipendekkan cerita, akhirnya Bristih mengalah dan Malayan Union dibatalkan digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu yang diisytiharkan oleh Bristih pada 1 Februari 1948. Perjanjian Negeri 1948 kemudian menjadi batu asas kepada terma pembinaan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957. Proses rundingan yang berlaku selepas Jawatankuasa Kerja Perlembagaan 1946 menghasilkan kemajuan pada 1948 dan 1957.

 

Menurut Datuk Wan Ahmad Fauzi (Pakar Perundangan), rundingan antara Raja-Raja Melayu dengan Kerajaan British yang mewakili Negeri-Negeri Selat untuk membentuk Kerajaan Persekutuan sementara 1948 selanjutnya Kerajaan Yang di-Pertuan Agong melalui Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957, bermaksudkan sebuah persekutuan yang kuat untuk berdepan dengan ancaman luar dan mampu berdikari.

Selain itu, menurut Datuk Wan Fauzi juga, rundingan itu antara lain untuk memohon perkenan Raja-Raja Melayu untuk mendelegat sebahagian kuasa kerajaan-kerajaan negeri mereka kepada Kerajaan Persekutuan dan sistem kerajaan berpersekutuan yang tetap mengekalkan kedaulatan Raja-Raja Melayu. Hasilnya termaktublah Jadual 9 dan lain-lain peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang bersifat agihan bidang kuasa kepada Persekutuan.

Sekiranya rundingan berlandaskan terma Persidangan London 1956 tidak berjaya, pastinya kerajaan negeri-negeri Melayu akan kekal sebagai entiti bebas merdeka tanpa ikatan Persekutuan. Kita wajar berterima kasih kepada Raja-Raja Melayu yang bersetuju ‘menyerahkan’ sebahagian besar kuasa para Duli Yang Maha Mulia kepada pentadbiran Persekutuan Tanah Melayu walaupun mereka sebenarnya ‘owner’ kepada tanah dan jajahan takluk mereka. Jasa para Baginda sebaagai punca kuasa kepada persekutuan sepatutnya dikenang sebagai pengorbanan yang sangat agung. Syukur, kerana kita masih punyai Raja sebagai payung agama dan bangsa sementara ada negara terus porak peronda setelah kehilangan takhta Sultan dan Raja akibat perang.

 

 

3. Raih Kemerdekaan Tanpa Perang

 

Sebelum, 31 Ogos 1957, tarikh keramat yang menjadi rentetan kronologi tidak wajar dilupakan ialah pada 2 Januari 1956. Pada tarikh itu, rombongan kemerdekaan pimpinan bapa kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman al Haj yang mewakili Perikatan yang terdiri daripada Tunku sendiri, S.H. Lee dan T.H. Tan di satu pihak dan satu pihak lagi mewakili Raja-raja Melayu iaitu Dato Panglima Bukit Gantang (Menteri Besar Perak), Abdul Aziz Abdul Majid (Menteri Besar Selangor), Dato' Wan Idris Wan Ibrahim (Timbalan Menteri Besar Johor) dan Dato' Nik Ahmad Kamil (bekas Menteri Besar Kelantan) telah berlepas ke Karachi dengan kapal Ital 'Asia' dan kemudiannya dengan kapal terbang ke London. Rombongan ini bertujuan untuk berunding dengan pegawai British sebagai usaha menuntut kemerdekaan.

 

Rundingan kemerdekaan bermula pada 18 Januari 1956.  Pihak kerajaan British diwakili oleh Allen Lennox Boyd. Rundingan tersebut membincangkan pelbagai masalah termasuklah masalah Raja-raja Melayu, kedudukan pegawai-pegawai awam British yang sedang berkhidmat di Tanah Melayu dan lain-lain langkah peralihan yang perlu diputuskan sebelum kemerdekaan serta tarikh kemerdekaan yang menurut Tunku perlu disegerakan. Rundingan tersebut mengambil masa selama tiga minggu dan Tunku Abdul Rahman bersama rombongan telah mencapai kejayaan luar biasa yang menatijahkan perjanjian Merdeka (baca:Perjanjian London) secara rasmi pada 8 Februari 1956, bersama Lennox Boyd dalam satu istiadat sederhana di Lancester House. Antara isi Penjanjian London itu adalah Tarikh kemerdekaan ditetapkan 31 Ogos 1957, Suruhanjaya bebas gubal Perlembagaan, Konsep Raja Berperlembagaan dan Kuasa pusat dibahagikan dengan kuasa negeri diteruskan.

 

Ketika saya berada di Seberang, antara perkara yang sering didebatkan orang teman-teman saya di Indonesia ialah betapa mereka sangat patriot dan berbangga dengan kemerdekaan Republik yang tercapai dengan perang dan darah. Mereka mendakwa Malaysia tidak kental, tidak berani, dapat merdeka pun kerana Inggeris yang bagi. Saya diam dan kemudian mencelah,

 

“Itu bermaksud pemimpin kami hebat berdiplomasi, kami menang tanpa perlu berperang dan korban nyawa. Bukan kah itu kerana kepintaran ? Ayuh dengar apa kata Tun Szu, “The wise warrior avoids The Battle”. Cara Malaysia mendapat kemerdekaan penuh dengan seni perang terulung.” bidas saya.

 

Mereka angguk-angguk bersetuju.

 

4. Sikap Berlapang Dada Yang Luar Biasa Dari Orang Melayu

 

Kemenangan besar UMNO dan MCA dalam pilihan raya Majlis Perbandaran Kuala Lumpur pada Februari 1952 telah mendorong rundingan antara UMNO (baca: Parti Pekembar) dan MCA agar membentuk pakatan secara serius. Perundingan ini bertujuan mencari titik temu dan kerjasama antara dua kumpulan etnik terbesar dalam menuntut kemerdekaan.

 

Antara syarat kemerdekaan oleh British adalah berlaku kerjasama antara Melayu dan Bukan Melayu lalu perkara ini telah berjaya dibuktikan oleh Perikatan (Gabungan Parti Melayu – UMNO, Cina -MCA dan India- MIC). Pemimpin Melayu UMNO mesti menunjukkan wajah kesatuan agar Bristih mempercayai mereka untuk diberikan kemrdekaan. Kerjasama antara kaum ini terus erat dan telah dibuktikan dalam beberapa pilihan raya.

 

Tunku Abdul Rahman menegaskan,

 

“…orang Melayu sedia memberikan hak-hak munasabah dan patut kepada orang bukan Melayu. Orang melayu telah memberikan pengorbanan yang begitu banyak daripada hak-hak sebagai bumiputera Tanah Melayu kepada bangsa-bangsa bukan Melayu. Belum ada satu bangsa anak negeri yang berbudi sebegitu banyak seperti yang diperbuat oleh orang Melayu. Sungguhpuna ada jaminan hak-hak istimewa orang Melayu dalam Perjanjian Persekutuan, tetapi ia tidak sekali-kali mencegah dan menyekat bangsa-bangsa yang bukan Melayu daripada mencapai kesenangan dan kejayaan dan lagi sehingga sekarang hak-hak istimewa Melayu itu masih belum menghasilkan keadaan yang setaraf antara orang Melayu dengan bukan Melayu.” (Malaya Merdeka, dipetik dari Ramlah Adam, 1993).

 

Semangat ini juga diakui oleh pemimpin bukan Melayu seperti yang disebut oleh T.H Tan:

 

“…mereka dengan penuh rela menyokong calon-calon Parti Perikatan berbangsa Cina dan India. Bukan sahaja mereka melepaskan kerusi-kerusi yang tidak syak lagi boleh menjadi milik mereka, malah mereka bekerja keras, sedaya upaya untuk calon-calon Cina dan India. Dan amat membanggakan, tidak satu pun calon Cina dan India, 17 orang kesemuanya yang hilang kerusi mereka. Saya menyanjung pemimpin – pemimpin mereka UMNO yang membuat pengorbanan ini dan memberikan sumbangan yang tidak ternilai kepada usaha kemerdekaan Tanah Melayu’ (Malaya Merdeka, dipetik dari Ramlah Adam, 1993).

 

5. Nilai Tradisi Tetap Terpelihara Erat

 

Unsur-unsur tradisi yang telah wujud ratusan tahun terus dipelihara dalam perlembagaan. Unsur tadisi berperanan menstabilkan sistem politik negara dan laporan yang dibuat oleh Suruhanjaya Reid menekankan betapa pentingnya perlembagaan mengambil kira faktor-faktor sejarah, tradisi, ekonomi dan sosial yang wujud sebelum 1957 (Abdul Aziz Bari, 2001). Unsur tradisi menurut Mohd Salleh Abas (1985) meliputi:

 

i.               Bahasa Kebangsaan.

ii.             Agama Persekutuan

iii.            Kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputra Sabah dan Sarawak.

iv.            Pemerintahan Beraja

 

Malah, unsur tradisi yang tersebut sentiasa dilindungi dibawah Akta Hasutan. Erti kata lain, tiada pihak boleh menjadikan membangkitkan isu sensitif di atas secara terbuka.

 

 

6. Keharmonian dan Kesejahteraan kaum

 

Sesungguhnya Tanah Melayu yang berdaulat ini sangat unik. Takdirnya, bumi bertuah ini telah menjadi payung kepada banyak kaum dan etnik. Walaupun perlembagaan memberi peruntukan keistimewaan kepada kedudukan orang Melayu dan bumpiutra Sabah dan Sarawak, kaum-kaum lain tetap dijaga keselamatan dan hak-hak mereka dan ini menjadi salah satu tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi mereka hak-hak mereka yang sah menurut peruntukan. Perkara 153 jelas menyatakan kedudukan keistimewaan orang Melayu tanpa menafikan kepentingan sah kaum-kaum lain. Kepelbagaian kaum yang hidup satu bumbung penuh harmonis menjadikan Malaysia unik dan popular di mata dunia. Rasis dan chauvinis bukan musuh melayu sahaja, tetapi musuh semua kaum yang cintakan keamanan.

 

Secara umum, perkara-perkara yang menyentuh hubungan etnik dalam perlembagaan Malaysia boleh dirujuk dalam perlembagaan pada perkara 8, perkara 10 (4), perkara 3B, perkara 150  (6a), perkara 152 dan perkara 153.

 

Kesimpulan

 

Saya menulis ini kerana saya merasakan ‘mood’ patriotik dari kalangan bangsa semakin kendur. Tidak dinafikan drama tamil politik arahan ‘warlord’ mengundang rasa rimas jelata lalu ‘fed up’ dengan para pemimpin. Kita mesti bijak bezakan antara karenah politik kepartian, politikus dengan zat negara itu sendiri. Saya telah berpeluang berkunjung banyak negara dan saya telah rasai perbandingannya. Saya ingin tegaskan bahawa Malaysia tetap paling unik dan terbaik. Meskipun begitu, saya perlu jujur mengakui bahwa kita boleh menjadi lebih baik. Ayuh anak bangsaku, kemerdekaan ini sangat mahal dan mesti dihargai. Cintai negara dan para Raja melayu sebagai pemerintah sebenar bukan ahli politik yang kalah menang, datang dan pergi. Kita adalah generasi yang memegang amanah menjaga kemerdekaan dan ini lebih payah dan sukar. Semoga negara bertuah ini terus dalam rahmat Allah. Amin

 

Angah Sunan

Wednesday 26 August 2020

Pahit Manis Demokrasi - Athens Yang Hilang

 

Aspirasi kolonialisme dan impian imperialisme tersungkur menemui ajal selepas Perang Dunia Pertama. Oleh kerana peperangan besar telah berlaku, terbentuk peta dunia yang dilakarkan semula. Austria-Hungary, Jerman, Rusia dan Uthmaniyah tersungkur dan dibubarkan. Di sebalik timbunan abu kedaulatan mereka, wujud pula blok-blok baharu yang bertelagah. Perang Dunia Kedua kemudian membahagikan dunia antara komunisme yang mengimpikan kawalan dan pengawasan, dan kapitalisme yang menjulang kebebasan dan demokrasi.

 

Di belakang tabir dua peperangan besar ini, demokrasi telah berputik dan berkembang secara berperingkat. Sudah menjadi fitrah manusia untuk hidup bebas tanpa kongkongan. Tetapi ideologi merupakan pembaharuan demi pembaharuan daripada usaha-usaha berzaman. Demokrasi semestinya bukan sebuah perkara baharu dalam abad ini, kerana perkataan parlimen itu sendiri buat julung kalinya digunakan pada tahun 1295 selepas reformasi yang dicetuskan Raja Inggeris Edward I.



Sekitar abad ke-19 hingga ke-20 pula, demokrasi mula mencapai kematangan kepada sebuah bentuk hampir serupa dengan apa yang dikenali pada hari ini. Namun pada zaman tersebut, wanita tidak menikmati manfaatnya secara sepenuhnya. Pada tahun 1893, sebuah gerakan hak suara dimulakan yang memperjuangkan keizinan supaya wanita boleh mengundi dalam pilihanraya. New Zealand merupakan negara pertama yang menyahut seruan women’s suffrage ini, sekaligus membenarkan wanita mengundi.[1]

 

Kejayaan tersebut hanyalah batu loncatan semata-mata, kerana sokongan global masih lagi jauh meskipun dengan kejatuhan sebuah autokrasi iaitu Empayar Rusia. 40 tahun selepas gerakan hak suara tersebut dilancarkan, sebuah musibah besar berlaku di Eropah. Adolf Hitler telah bangkit dengan kemutlakan kuasa yang dasar-dasar dalam dan luar negaranya telah mengubah keadaan geopolitik sedunia. Kematian Hitler pun tidak menjaminkan kerelevanan demokrasi, kerana kekalahan Jerman menyaksikan pula pertembungan antara Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet menerusi Perang Dingin yang berlarutan selama 45 tahun lamanya.

 

Hanya 10 tahun terakhir bagi abad ke-20 yang sangat penting bagi demokrasi. Pada 3 Oktober 1990, dua republik Jerman yang terbelah sejak Perang Dunia Kedua telah bersatu bagaikan adik-beradik lama terpisah. Sekitar waktu itu juga, pemerintahan apartheid di Afrika Selatan mula meluntur yang empat tahun kemudian meletakkan negara tersebut dibawah kerajaan Nelson Mandela. Yang paling penting, riwayat Kesatuan Soviet ditamatkan selepas segala usaha pemulihan dan pemuliharaan dibawah Mikhail Gorbachev, khususnya perestroika dan glasnost, menemui kebuntuan.

 

1 Januari menandakan tarikh baharu bagi 2000, abad ke-21 dan juga alaf ketiga. Demokrasi pada hari tersebut dilihat sangatlah ampuh, sehingga Amerika Syarikat dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) boleh menentukan dasar-dasar luar negara sesuka hati sehingga menyebabkan peperangan atas nama demokrasi di Afghanistan dan Iraq. Rantau Timur Tengah (atau lebih meluas lagi, Dunia Arab secara keseluruhan) kemudian menerima arus demokrasi dinamakan Kebangkitan Dunia Arab dengan tuntutan-tuntutan hak asasi manusia, kebebasan ekonomi dan pilihanraya bebas yang merupakan intipati demokrasi sendiri.

 

Semangat kebangkitan tersebut menumbangkan beberapa kerajaan seperti Hosni Mubarak yang mencengkam Mesir. Maka di sini seharusnya dijelaskan terlebih dahulu definisi, erti, istilah dan perjalanan demokrasi yang sangat luas dari segi sejarahnya. Seperti yang semua tahu, demokrasi mempunyai etimologi Yunani iaitu dēmokratía yang bererti penguasaan rakyat.[2] Namun demokrasi yang diamalkan terdahulu sememangnya berbeza dengan reka bentuk kerajaan moden kini.

 

Selama 186 tahun Athens dipimpin melalui sistem demokratik berautonomi yang makmur tetapi agresif. Antara 508 S.M. hingga 322 S.M, demokrasi di Athens sangatlah subur. Sistem ini melangkaui proses pilihanraya semata-mata. Dengan sebuah badan perwakilan, rakyat sentiasa menyertai debat dan pemilihan secara terbuka untuk mengundi tindakan seterusnya terhadap isu-isu semasa dan hal-hal ehwal peperangan. Rakyat pun boleh hilang kuasa mengundi jika melakukan kesalahan-kesalahan berat, misalnya tidak dapat melangsaikan hutang kepada perbendaharaan negara.

 

Demokrasi Athens bangkit melalui pemerhatian sosial bahawa raja-raja berpuak dalam sistem tribalisme sangatlah lemah bagaikan ketua-ketua kampung semata-mata. Tanpa kesatuan dinamik, tiada apa boleh dilakukan. Dalam zaman tersebut, ketiadaan jaminan merupakan satu ancaman paling besar bagi kemandirian masyarakat. Namun bentuk demokrasi terjalin merupakan sistem mutlak yang mana rakyat menentukan segalanya melalui sebuah hierarki. Sifatnya pula tidaklah terbuka. Walaupun dibenarkan mengundi, rakyat marhaen tidak boleh bertanding angkara piawaian kasta Thetai mereka. Hanya kasta atasan sahaja yang boleh bertanding untuk mewakili Ecclesia (Perwakilan).

 

Kejatuhan demokrasi Athens juga mempunyai ironi yang boleh dikaitkan sehingga hari ini. Menurut Dr. Michael Scott dari Universiti Cambridge, kestabilan Athens ranap susulan sebuah kemelut ekonomi teruk iaitu apabila ahli-ahli politik menyalahgunakan perbendaharaan negara dalam masa menyertai peperangan-peperangan tidak produktif dan gagal menempuhi masalah imigrasi (Unversiti Cambridge, 2009). Kejayaan awal demokrasi Athens pun, berdasarkan buku From Democrats to Kings, telah memutihkan sejarah pahitnya penuh dengan darah angkara kepimpinan sistem oklokrasi.

 

Sejarah berulang di Eropah, yang paling tepat sekali di Jerman apabila Paul von Hindenburg melantik Hitler ke tampuk ketua kerajaan, yang kemudiannya menyebabkan rangkulan kuasa penuh. Oklokrasi sekali lagi berulangan, yang sebarang kesinambungan ekonomi Jerman runtuh dalam sebuah kemelut ekonomi teruk apabila perbendaharaan negara menyalurkan dana untuk peperangan merugikan. Kerajaan Jerman juga menguruskan imigrasi dengan cara zalim, sambil memutihkan sejarah pahitnya.

 

Berdirinya Jerman pun sebenarnya diatas usaha demokrasi sekitar tahun 1883, apabila Otto von Bismarck mengetuai negara. Setelah mengharamkan sebuah parti, beliau memperkenalkan cadangan-cadangan sosialisme yang menyebabkan Jerman negara kebajikan pertama. Sahutan Bismarck bergema ke seluruh Eropah Barat, seperti Perancis dan United Kingdom. Malah angin “demokrasi sosialis” ini turut membadai Amerika Syarikat yang mempengaruhi bermula dengan pemerintahan Woodrow Wilson.

 

Dasar-dasar “New Freedom” dan “New Deal” ialah cerminan demokrasi sosialis yang memerangi bencana-bencana daripada Kemelesetan Besar (Great Depression). Campurtangan ekonomi yang bertentangan dengan ajaran kapitalisme dan liberalisme menjadi kegiatan utama, disulamkan lagi dengan had-had ditetapkan demokrasi. Maka dengan sosialisme ini, zaman awal Perang Dingin mendapati peserta-peserta peperangan utama seperti Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet menikmati pertumbuhan ekonomi yang mapan.

 

Malah Jepun yang hancur akibat pengeboman Hiroshima dan Nagasaki pun membina semula dengan piagam sosialisme dalam platform demokrasi. Keajaiban-Keajaiban di Rhine dan Sungai Han menceritakan kejayaan pembinaan smeula di Jerman (termasuk Austria) dan Korea Selatan. Perancis yang dijarah Jerman Nazi pun membangun secara pesat. Itali meninggalkan fasisme, bertanggapannya sebagai najis Benito Mussolini, untuk membangun bersama demokrasi.

 

Hampir 30 tahun demokrasi sosialis berpencak dalam platform global, hanya untuk tersungkur selepas Krisis Tenaga 1970-an apabila gangguan geopolitik di Timur Tengah mengancam keamanan. Kedatangan pasaran terbuka, penswastaan, perdagangan bebas dan globalisasi ekonomi telah menimbulkan tanda tanya terhadap demokrasi sosialis, yang mengembalikan semarak api liberalisme sehinggalah ekonomi terhempas pada tahun 2009.

 

Dewasa ini, figura-figura politik seperti Bernie Sanders dan Jeremy Corbyn mengiktirafkan kepentingan demokrasi sosialis. Manakala ramai juga dalam negara-negara Barat menjulang demokrasi liberalis. Walau apa pun, demokrasi sosialis masih diamalkan di negara-negara Scandinavia iaitu Denmark, Finland, Iceland, Norway dan Sweden. Lebih menakjubkan, Laporan Kebahagiaan Dunia yang diterbitkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mendapati keempat-empat negara ini merupakan negara paling bahagia di dunia.

 

Sistem kebajikan yang dipupuk sejak abad ke-20 masih lagi dipraktikkan pada hari ini. Rantau Scandinavia berprestasi tinggi dalam jangka hayat rakyat, kebebasan pilihan hidup, kesamarataan ekonomi, kesihatan awam yang menjaminkan kualiti hidup melalui pertumbuhan KDNK stabil serta pembangunan manusia. Demokrasi sosial juga memberikan manfaat besar supaya sebuah negara boleh merangkul kedudukan tinggi dalam kebebasan manusia seperti amalan media, buruh dan ekonomi yang mendatangkan keamanan melalui pembasmian korupsi.

 

Sungguhpun menyimpan tatacara-tatacara sosialisme, demokrasi ini masih lagi mengutamakan kapitalisme. Penekanan negara kebajikan amatlah diperlukan kerana kapitalisme boleh melampaui batasan kemanusiaan. Sebagai contohnya, teori-teori kapitalisme terhadap pengangguran dan jaminan kerja boleh menyebabkan masing-masing mengalami inflasi dan kerosakan disiplin buruh. Maka demokrasi sosialis diperlukan untuk mengimbangi keadaan, walaupun tidak boleh melakukan apa-apa terhadap budaya ambil kesempatan dan pengusiran.

 

Manfaat kewangan terhadap pengangguran atau pengecualian cukai juga boleh mengganggu imbangan bajet, yang jika tidak diuruskan dengan baik boleh merosakkan lagi keutuhan demokrasi dalam negara. Jadi terdapat juga pendapat bahawa negara kebajikan hanya memanjangkan masalah-masalah dalam masyarakat.

 

Liberalisme Mencucuk Demokrasi 

 

Dewasa ini mungkin liberalisme sedang mencengkam demokrasi untuk memperlihatkan dasar-dasar pasaran terbuka tanpa sebarang pengaruh sosialisme. Namun itu sebenarnya bukanlah ideologi demokrasi utama, kerana setiap negara mempunyai acuan tersendiri. Perjalanan demokrasi sebenarnya jauh daripada asal-usul terlalu lama. Malah sebelum pembentukan sebuah piagam demokrasi pertama di Athens, manusia sudahpun mengamalkan semangat konsensus dan mesyuarat.

 

Pakar antropologi mendapati serpihan-serpihan demokrasi sudahpun wujud dalam kalangan manusia agraria terdahulu. Sebuah pakatan yang dijalinkan dengan darah daging dipegang erat melalui keputusan konsensus tanpa keperluan ketua pun. Bermakna demokrasi pada asasnya sudah menjadi sebahagian daripada naluri manusia yang menyukai kebebasan dan hak bersuara. Sebarang usaha untuk menyekat hak asasi manusia ini tidak mungkin boleh bertahan lama, seperti yang terjadi terhadap blok komunisme yang satu demi satu republik meninggalkan ideologi lapuk itu.

 

Sepanjang zaman, demokrasi mempunyai pelbagai bentuk yang berjeniskan lima sahaja. Kadangkala wujud juga inisiatif yang mencairkan demokrasi untuk menerima semua jenis yang tersenarai. Rakyat diberikan kuasa tulen untuk menentukan dasar melalui wakil dalam sebuah sistem sama ada berpresiden atau berparlimen yang kadangkala menyaksikan penyertaan luar biasa. Perkara ini juga tertakluk pada kestabilan sebuah negara, terutamanya kemapanan ekonomi yang mencerminkan pengiktirafan atau amarah rakyat.

 

Namun halatuju demokrasi pada hari digelumangi pelbagai jenis masalah yang mencabar legitimasinya. Pilihanraya yang dianjurkan mengikut tempoh mewajibkan setiap kerajaan bertindak dengan bijak. Sebagai laluan mudah, kerajaan boleh mengambil kesempatan untuk menipu keputusan sekaligus melemahkan pegangan demokrasi sah. Malahan, sekalipun keputusannya benar dan berlaku kekalahan, segala kebaikan daripada kerajaan tersebut berakhir. Kerajaan baharu pula akan menekankan solusi kepada masalah-masalah jangka panjang, sambil mendatangkan dasar-dasar yang membawa masalah baharu pula.

 

Walaupun kerajaan telah menetapkan dana untuk anjuran pilihanraya, setiap ahli-ahli politik perlu menjana kewangan sendiri bagi tujuan berkempen seperti sewaan hotel sebagai contohnya. Disini timbul dua masalah utama, sama ada parti pemerintah menyalahgunakan perbendaharaan negara ataupun derma-derma bersyarat daripada para hartawan. Secara kebiasaannya, golongan berduit menderma untuk parti yang menjaminkan pelepasan cukai supaya mereka boleh meluaskan lagi simpanan mereka.

 

Masalah hanya bermula di situ, kerana persaingan politik seringkali membahagikan rakyat dengan taktik pecah belah serta konflik am. Sangatlah susah untuk sebuah negara mencapai penyatuan nasional pada ambang pilihanraya, yang mana kegagalan tidak mustahil menyebabkan demonstrasi besar-besaran. Kadangkala kegagalan itu bukanlah berpunca daripada kemapanan sebuah kerajaan pun, kerana kekeliruan pengundi yang tidak berupaya membuatkan keputusan betul berdasarkan dasar menyebabkan demokrasi gagal berfungsi dengan baik.

 

Rakyat pula tidak wajar dipersalahkan di sebalik kekeliruan yang melanda. Perkara sebegini berlaku kerana kekurangan maklumat akibat saluran yang berat sebelah. Apabila wang mendatangi politik, mesej-mesej am selalunya mempunyai kecenderungan tertentu. Kebebasan media juga tidak semestinya menjaminkan saluran maklumat yang adil. Pada ambang pilihan raya Presiden 2016, Amerika Syarikat terbelah dengan retorik-retorik daripada Donald Trump mengenai emel-emel Hillary Clinton dan juga spekulasi Joe Biden selama 250 hari.

 

Didihan ahli politik tanpa henti boleh menyimpangkan para pengundi secara besar-besaran pun. Rakyat tidak berupaya untuk merangkul kuasa politik, sekaligus mudah dipengaruhi. Hal ini juga merupakan lumrah sebagai manusia yang mengambil kesempatan dalam kelemahan sistem. Walau apa pun, matlamat tidak pernah menghalalkan cara. Penyalahgunaan platform hanya menguntungkan golongan atasan, suatu perkara yang rakyat perlu ketahui untuk menjaminkan dinamisme suara mereka dalam gelanggang pemerintahan. Meskipun demokrasi berdiri sebagai tawaran kebebasan kepada rakyat, terdapat juga lubang-lubang yang sang penguasa boleh eksploitasi untuk mengekalkan pemerintahan.

 

 

[1] “Women’s Suffrage Petition – Te Petihana Whakamana Poti Wahinenatlib.govt.nz. Retrieved 4 December 2018.

[2] “Democracy”. Online Etymology Dictionary

 

Lontaran Idea Semi - Demokrasi Di Malaysia

LONTARAN IDEA SEMI - DEMOKRASI DI MALAYSIA 

 

Kita berehat sebentar dari pelbagai isu politik yang melanda. Bab politik parti ini, memang tidak akan pernah sunyi, sentiasa ada api dan asap. Ntahla, sejak kecil kita dipaksa untuk hadap perbalahan, pergelutan, persaingan orang – orang politik. Keterdesakan mereka terhadap ‘power’ memang terang-terangan dikala isu kebajikan rakyat terus mewarnai lensa media. Permainan tikam belakang ala kala jengking sudah lapuk, sekarang taktikal tikam depan-depan. Bak kata Laswell, “politik adalah siapa mendapat apa, bila dan bagaimana”.

 

Tak boleh salah kan juga, sudah memang tujuan penubuhan parti politik untuk dapatkan kuasa. Walaubagaimanapun, sebagai rakyat Malaysia, kita wajar bersyukur kerana masih mempunyai Raja-Raja Melayu di singgahsana sebagai pengimbang dan payung penyatuan. Orang politik berbalah tahap filem tamil sekalipun, negara ini punyai daya tahan dan pentadbiran tetap berjalan dengan baik. Antara hikmah berlakunya drama sheraton selepas perdana menteri ke-7 meletakkan jawatan, adalah kita dapat menyaksikan pentadbiran negara elok sahaja berjalan dibawah payung pemerintahan YDPA dan dibantu bersama Ketua Setiasusaha Negara serta para penjawat awam.

 

Oleh kerana itu, saya suka highlightkan, taat setia kita kepada Tuanku sahaja dan sepatutnya ‘feeling’ terlalu obses sehingga obesiti taksub kepada orang politik dikurangkan. Mereka datang dan pergi, kalah itu pasti dalam pemilihan, menang itu bonus namun Raja-Raja Melayu tetap bersemayam meneruskan amanah Zilullah Fil Ardhi. Saya pernah berkuliah suatu tempat dan dalam kuliah saya jelas nyatakan saya seorang royalist (seseorang yang menyokong sistem beraja). Selepas kuliah, seorang makcik beritahu suaminya seorang cina mualaf (dulu Buddha) dan merupakan pesara tentera udara. Makcik tersebut beritahu kepada saya suaminya selalu sebut, “my life for my king, never trust politicians”. Saya anggukkan sahaja. Bukan kali pertama pun saya jumpa bangsa cina dan india yang sangat setia kepada Raja Melayu.

 

Saya tak kata anti terus ahli politik, setiap kaedah ada pengecualian. Orang politik yang benar-benar komited berjuang untuk rakyat tetap mendapat tempat yang mulia. Cuma golongan ini ‘rare’ dan kita akui kita masih punyai politikus demikian. Ada lagi kan? (tanya balik kat pembaca lagi senang). Mesej saya adalah budaya terlalu mengherokan orang politik ini sudah boleh perlahan-perlahan dicabut. Mereka itu hanya menjalankan amanah Seri Paduka untuk berkhidmat kepada rakyat. Saya nak berkongsi kata-kata Dr.Ben Carson (tokoh politik Amerika) : “Kita ditanam pemikiran bahawa hanya orang politik boleh selesaikan masalah kita, tapi pada suatu sisi lain, mungkin kita kena kembali sedar dan kenalpasti bahawa orang politik itu lah yang mencipta pelbagai masalah

 

Paling ‘rare’ ketika berbual dengan pakcik grab berbangsa cina. “Kenapa you respect our king uncle”?, saya tanya. Tahu apa dia jawab?, “Our King aar masih ada daulat oo, jangan main-main”. Saya tanya balik, “apa yang you faham dengan daulat?”. Jawap Uncle, “kalau lawan, boleh terkena sumpah”. Kami bersembang panjang sepanjang dalam perjalanan. Sebenarnya, kalau dikaji tentang orang cina, jati diri mereka sebagai rakyat beraja sangat kuat. Mereka hidup mendaulatkan seorang Raja sejak 5000 tahun lagi. Sejarah dinasti - dinasti Maharaja mereka tersergam indah dalam sejarah. Sebahagian mereka juga masih percaya setiap Raja ada daulat masing-masing.

 

Masakan tidak, sampai cina-cina kedai duk gantung gambar Sultan Abdul Hamid Halim Shah yang terkenal dengan tanjak yang terselit bulu burung cenderawasih. Buat pelaris katanya. Mereka tak letak gambar pemimpin komunis pun. Cuma biasalah, setiap bangsa mengalami pengaruh pemikiran moden dan liberal korup. Oleh kerana itu, saya kurang gemar dakwaan semua cina anti raja melayu, semua cina komunis. Itu tahap emosional. Melayu yang kurang ajar kepada Raja Melayu pun ramai. Konon pemikiran barat, mereka tak tahu ke Inggeris yang mereka agung-agungkan itu menggunakan sistem beraja.


[ Gambar ] - Almarhum Tuanku Sultan Abdul Hamid Halim Shah Ibnu Almarhum Sultan Tajuddin Mukarram Shah - Sultan Kedah ke-28.

 

 Sebahagian rakyat sudah secara terbuka melahirkan kebimbangan akan kecelaruan sistem politk kepartian yang semakin parah dan boleh membawa negara ke kancah bahaya. Rakyat menjadi muak dengan politk dan mengambil sikap tidak mahu mengambil tahu politk dan tidak mahu mengundi dalam pilihanraya khususnya kalangan generasi muda Islam. Ia amat bahaya kerana akan menjadikan negara boleh dikuasai mereka punyai agenda dan terpengaruh idelogis yang mudarat seperti DAP.

 

Demokrasi yang sudah menjadi ‘Democrazy

 

Saya tiada niat menyalahkan sistem yang sedia ada, cuma mengajak kita menginsafi dan bermuhasabah kesilapan-kesilapan yang berlaku dalam sistem ini akibat terlampau taksub. Demokrasi ini wasilah sahaja pon, jangan sampai jadi barang iqtiqad. Baik, terlebih dahulu kita patah balik sedikit, apa definisi sebenar demokrasi? Ia berasal dari perkataan demos ertinya rakyat dan kratos/kratein yang beerti kekuasaan atau berkuasa. Ringkasnya, demokrasi beerti rakyat yang berkuasa. Pada zaman ini konsep demokrasi telah ditambah dengan pelbagai istilah dibelakangnya hingga lahir pelbagai istilah demokrasi sebagai contoh demokrasi berpelembagaan, demokrasi Nasional, demokrasi liberal, demokrasi rakyat dan demokrasi berparlimen seperti amalan di Malaysia. Demokrasi muncul pada zaman Yunani Kuno kemudian tenggelam. Pada tahun 600-1650 demokrasi hancur dan muncul kembali pada tahun 1689-1755 hingga ke hari ini.

 

Itu sebenar demokrasi. Kuasa rakyat yang ‘power’. Sekarang orang politik yang para pengundi naik kan terlebih dianggap ‘power’ pula. Itu yang kata demokrasi sudah jadi ‘democrazy’. Kalau loghat kelantan, maknanya demo gilo (awak gila). Saya hanya menyatakan definisi asal bukan lah saya bersetuju ‘full power’ semestinya ditangan rakyat secara total sampai jadi demokrasi liberal seperti yang cirikan oleh Alan R.Ball. Kritikan terhadap sistem demokrasi ini pun bukan suatu benda baharu malah dalam subjek Sains Politik, hal ini dibincangkan secara panjang lebar.

 

Saya beranggapan, untuk ‘remove’ terus demokrasi adalah terlalu utopia. Beberapa kelemahan yang telah dikenalpasti mesti segera dimuhasabah dan dibaiki sebagai contoh :

 

1.     Sebahagian orang politik menyeleweng dari matlamat berkhidmat kepada rakyat. Saya tulis sebahagian sahaja itu, tak sampai hati nak tulis kebanyakan. Cukuplah menggunakan jawatan politik untuk mengaut kekayaan peribadi dan kroni. Sekarang zaman rakyat sudah celik. Sebelum zaman media sosial, ntah berapa banyak surat sokongan jawatan atau tender dan seumpama berlegar, masyuuuk tu. Sampaikan ada impian masuk politik sebab nak kaya. Dewasa kini, pagi buat surat sokongan, petang sudah boleh bocor. Sepatutnya tak berani dan serik dah.

2.     Ketaksuban terhadap parti dan pemimpin politik yang melampau. Tahukah anda, kewujudan parti dalam demokrasi bukan wajib pun, sebab itu ada idea demokrasi tanpa parti. Tamadun Yunani (tempat pengasasan Demokrasi) pun tiada parti (terus dari rakyat). Selain itu, pengarang Federalist No.10 oleh James Madison mendedahkan pengasas negara Amerika Syarikat iaitu George Washington sebenarnya berhasrat membina negara tanpa sistem parti. Buktinya, pentadbiran beliau dan kongress Amerika Syarikat pada awalnya adalah non-partisan. Di Malaysia sendiri, kalau orang itu tiada parti pun boleh jadi menteri melalui lantikan senator. Apabila Datuk Seri Zahid Hamidi menyatakan bahawa ahli parlimen Barisan Nasional kekal menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) walaupun tidak sertai secara rasmi. Oleh kerana itu, kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin tidak jatuh kerana sokongan ahli parlimen secara peribadi masih wujud secara majoriti. Idea Tun Mahathir dulu lagi dahsyat, Perdana Menteri boleh lantik sesiapa sahaja dari kalangan parti itu dan parti ini untuk menjadi jemaah menteri. Idea itu rata-rata ditolak kerana bimbang diktator Mahathirisme kembali merajai. Sekiranya kita masih berminat mengguna pakai sistem demokrasi ini, boleh tetapi saya berpendapat generasi akan datang harus siap ke arah demokrasi tanpa parti (non-partisan democracy).

3.     Tiada piawaian yang ketat ditetapkan untuk menjadi calon untuk bertanding di peringkat Dun dan Parlimen. Paling penting mereka semua menjunjung agama Islam sebagai agama persekutuan, Raja - Raja Melayu, hak istimewa orang melayu dan bumiputra serta bahasa melayu. ABATA mesti menjadi KPI utama. Maka, orang politik datang dan pergi, bersaing bagaimanapun, kita tidak risau kerana ideologi ABATA mereka jelas walau berbeza parti. Mereka hanya khilaf siapa tawarkan polisi lebih baik kepada rakyat.  

 

 

Ke Arah Semi atau Neo - Demokrasi

 

Melihat kepada subtajuk di atas, anggap lah penulisan ini suatu lontaran idea yang tak semestinya wajib dipersetujui. Saya sebenarnya ingin melihat perbincangan lebih lanjut berkenaan idea ini. Tidak berapa lama sebelum ini, presiden ISMA Haji Aminuddin ada melontarkan idea ke arah neo atau semi demokrasi (rujuk kenyataan beliau di page Aminuddin Yahaya bertarikh 23 Jun). Secara jujur, saya bersetuju dengan beberapa idea beliau. Antara cadangan beliau ialah meningkatkan kuasa Raja-Raja terutamanya Yang di-Pertuan Agong dalam menyelesaikan ‘loophole’ sistem politik yang kita amalkan hari ini yang mana jawatan Menteri dan Senator menjadi barang dagangan yang boleh direbut-rebut dan ditawar-menawar antara ahli parlimen dalam membentuk sebuah kerajaan.

 

Beliau juga mencadangkan agar YDPA diberikan kuasa yang lebih untuk melantik menteri-menteri dari kalangan bukan ahli parlimen. Selain dapat mengelak bahan politicking, mereka akan dapat berkhidmat dengan sangat baik dan aman. Beliau memberi contoh Menteri Kewangan dan Agama yang datang dari golongan tenokrat dan pakar bidang yang telah menunjukkan prestasi yang cemerlang. Kata Tuan Haji Aminuddin lagi,

 

“Alangkah baiknya jawatan-jawatan menteri yang lain dapat dilakukan sebegini rupa. Biarlah ahli-ahli parlimen menjadi penggubal undang-undang dan polisi-polisi negara melalui sistem parlimen dan mereka juga dapat fokus berkhidmat untuk rakyat yang diwakili masing-masing”.

 

Pada fikir saya, kemungkinan besar maksud beliau ahli parlimen tak perlu jadi menteri, fokus jaga rakyat dan ‘lawmaker’ di parlimen. Walaupun di Malaysia mengamalkan sistem pengasingan kuasa iaitu eksekutif (pentadbiran), legislatif (perundangan) dan judikatif (kehakiman), namun sebahagian kelompok yang berada di legislatif sebagai ahli parlimen (baca:dewan rakyat) juga adalah ahli eksekutif (yang mana dilantik menjadi jemaah menteri). Saya tidak pasti maksud sebenar beliau, belum ada peluang jumpa tapi saya yakin ‘hint’ beliau ke arah itu. Cadangan beliau selanjutnya mengajak kita bermuhasabah agar mempertimbangkan sistem politik negara mengamalkan ‘semi-demokrasi’ mengikut acuan timur dan watan Malaysia. Ini kerana, mengikut demokrasi barat secara bulat-bulat dan membuta tuli akan akhirnya merugikan negara.

 

Demikian untuk penulisan kali ini, saya menulis bukan nak ajak runtuhkan sistem sedia ada. Ia hanya lah lontaran idea kerana cintakan negara. Saya harap kita bersama-sama dapat gemblengkan usaha fikir dan daya ke arah paradigma baru. Idea ini belum ada perincian lanjut, kerana saya bukan orang yang pakar. Kesimpulannya, saya menyeru kita bermuhasabah amalan demokrasi di Malaysia. Sedikit pemurnian terhadap amalan ini tidak salah dilakukan dan saya berpendapat KUASA Raja terutama SERI PADUKA BAGINDA sebagai KETUA NEGARA mesti diberikan kuasa yang lebih (baca : perincian lebih lanjut wajar dibincangkan) agar dapat mengimbangi kegobrokan politik hari ini dan bersesuaian dengan martabat Baginda sebagai Khalifah di Malaysia.

 


Angah Sunan

Tuesday 6 November 2018

Kota Palembang dan KH Zain Syukri


 “Apabila kita kehilangan harta, sebenarnya tidak ada yang hilang, apabila kita kehilangan kesihatan, ada sesuatu yang hilang, apabila kita kehilangan watak, segalanya akan hilang”, 
                                                     H.A Ronie Syahbuddin Palembang


Setelah banyak kali berulang alik ke Tanah Jawa dan Sulawesi, hati saya mula terpanggil-panggil ke Sumatera. Jambi, Palembang dan Kota Minang adalah antara ‘watchlist’ saya pada tahun ini. Lebih kurang beberapa bulan yang lepas, adik saya menghantar mesej memaklumkan bahawa beliau akan ke Palembang. Secara kiasan seperti mengajak saya bersama. Apabila mendengar Palembang, saya tak mampu berkata ‘tidak’ namun saya belum dapat memberi kata putus ketika ditanya oleh adik.

“Angah memang nak pergi sangat, tapi ada urusan sekarang, angah cuba selesaikan seawal yang boleh. Acik pergi dulu, Angah menyusul kemudian”, ujar saya kepada adik yang mengajak.

Adik saya selamat tiba di sana sementara saya masa berfikir-fikir. “Kerja banyak tapi Palembang tu”, bisik hati saya.

Saya adalah peminat karya-karya almarhum Kiyai Haji Muhammad Zain Syukri, Ulama Sufi dan mursyid tarekah Samaniyah Palembang. Sudah pasti, menziarahi pesantren dan makam beliau merupakan hajat yang membuak-buak.

Hari ini (Selasa) sudah masuk waktu petang. Setelah berfikir panjang dan melihat duit simpanan yang disifatkan mencukupi, saya putuskan membeli tiket ke Palembang pada malam hari. Penerbangan selepas subuh jam 7.00 pagi Rabu yang akan mengambil masa 1 jam 35 minit.


Palembang dan Menteri Olahraga

Sebaik tiba di Bandara, saya terus menuju ke hotel penginapan. Traveloka mengurusnya dengan baik. Kenderaan Grab merupakan pilihan utama bukan hanya di Palembang, tetapi di Tanah Jawa, Banda Aceh ketika perantauan saya di sana. Grab banyak membantu memudahkan pergerakan para pelancong. Mereka berasa lebih selamat, yela, sebagai orang luar, kita sering terdedah dengan permainan harga oleh pemandu teksi sebelum ini. Tak pukul rata, tapi ini kebiasaan. Tengok kita dari Kuala Lumpur, ingat kita semua berduit. Harga berubah-ubah tetapi grab menawarkan paparan harga yang jelas dan lebih awal kepada para penumpang.

Sepanjang menaiki beberapa Grab di sini, antara perkara menarik perbualan kami ialah tentang Menteri Belia dan Sukan Malaysia atau di sini memanggil Menteri Olahraga. Oh ya, sebelum saya terlupa, waktu kelmarin saya datang ke Palembang adalah waktu kemuncak persiapan Sukan Asia yang mana Palembang merupakan venue utama pertandingan selain Jakarta. Menteri Olahraya Malaysia, Syed Saddiq telah menjadi tular di sini selepas Presiden Indonesia, Pak Jokowi memperkenalkan beliau di media sosialnya ketika kunjungan menteri muda itu ke Jakarta. Akhbar pula mengambil peranan menambah lauk cerita.

“Menteri Olahraya Malaysia masih muda lagi ganteng Pak”, ujar pemandu Grab.

Saya lantas bertanya, “Pak, saya mahu nanya, di mana gantengnya pak menteri itu?”

‘Wajahnya la pak”, balas pemandu grab.

Saya balas, “Salah pak, gantengnya dia bukan di mukanya, tetapi di posisi ‘menteri’ nya. Kalau hari ini bapak menjadi menteri, pasti dibilang ganteng juga”

“Betul…betul..”, jawab pemandu itu sambil gelak. Kami ketawa bersama-sama.

Hari pertama saya berwisata ke beberapa tempat bersejarah di Palembang. Antaranya di Makam -Makam Kesutanan Palembang, Makam Ratusinuhun Sabok – Kingking Palembang dan Bukit Seguntang.

Detik malam hari adalah istimewa apabila dapat bersilaturahmi dengan M.A Emil Syahruddin. Beliau merupakan ahli sejarah Kesultanan Palembang dan sekretaris himpunan Zuriyat Buyut Lokan Kiemas Papak Puyang Segaran. Banyak perkara yang kami bualkan dari politik, sejarah sampai akhir zaman. Paling menarik, beliau telah berkongsi catatan tulisan tangan nasab Sayyid Husein Jamadil Kubro dari leluhurnya.

Catatan tulisan tangan simpanan M.A Emil Syahruddin


 Ke Pesantren

Pada lewat malam, saya dihubungi teman bahawa Pak Kiyai Husni akan menjemput saya ke Pesantren Muqimus Sunnah yang diasaskan oleh almarhum KH Zain Syukri. Teman saya merupakan kenalan pak dan Ibu Izzah iaitu anak perempuan kepada almarhum KH Zain Syukri, ulama sufi karismatik Palembang yang saya kagumi. Teman saya menyampaikan hasrat saya yang sangat berhajat menziarahi pesantren tinggalan almarhum dan Ibu Izzah. Keluarga pesantren sangat gembira dengan hasrat tersebut lalu menawarkan khidmat menjadikan saya sebagai tetamu mereka.

Jam 8 pagi keesokan, Pak Kiyai Husni dan rombongan menjemput saya ke Pesantren menaiki Van. Sampainya saya di sana, saya di bawa melihat suasana pesantren dan makan pagi. Alhamdulillah, jimat bajet makan pagi. Bukan itu sahaja, saya telah diminta oleh pembantu mudir memberikan tausiah kepada 300 orang pelajar santri. Saya menolak pada awalnya lalu mengikut sahaja setelah mendengar anak-anak pesantren sudah siap berkumpul di dewan sambil melantunkan qasidah burdah. Dalam tempoh 2 jam saya berkongsi dan bersoal jawab dengan anak-anak santri. Faktor-faktor perkembangan Islam di Nusantara dan adab menuntut ilmu antara dua intipati penyampaian saya.  Ketika soal jawab, saya di tanya,

“Pak Ustaz, pak ustaz banyak menceritakan tentang adab. Ya adab pada guru itu banyak sekali, tak mampu di amalkan semuanya, bagaimana ya pak ustaz?”

Saya kira ini soalan yang sangat baik. Saya jawab,

“Ya benar adab dengan guru memang banyak, cuma saya akan simpulkan kepada dua. Dua ini adalah kunci kepada segala adab yang dibentangkan para ulama". 

"Pertamanya, buat apa yang guru cintai dan jangan buat apa yang guru tidak suka. Boleh jadi berlaku perbezaan antara seorang guru dengan guru lain kerana perbezaan ahwal antara mereka. Di Madrasah dulu, saya punyai beberapa guru dan kami diajar bersalam mencium tangan para guru. Kami mencium tangan guru-guru  namun kami tidak bisa melakukannya kepada mudir kami sendiri kerana beliau tidak suka tangannya dicium. Sebagai murid, menuruti kehendak guru ketika itu lebih utama." 

"Kedua, kunci adab seterusnya adalah tawadhu’ dan jiwa rendah diri di hadapan guru. Percayalah, murid yang kurang pintar tetapi hatinya tawadhu’dengan guru lebih dicintai guru berbanding murid yang pandai tetapi ujub dengan ilmu dan rasa lebih pandai dari gurunya.”

“Benar tak para guru sekalian?, saya bertanya kepada para guru pesantren yang turut hadir dalam majlis. Mereka mengangguk-angguk setuju.

Berfoto kenangan bersama para guru lelaki Pesantren Muqimus Sunnah

 Acara selesai dengan jayanya di pesantren yang terletak di Jalan Depatan Lama kelurahan, cuma saya agak sedih kerana tidak berpeluang berjumpa dengan Ibu Izzah yang sedang berada di Jakarta untuk Viva Doktor Falsafah beliau. Walau bagaimanapun, kesedihan hati saya terubat apabila saya dihadiahkan buku-buku almarhum KH Zain dan buku terbaru Ibu Izzah yang meneruskan perjuangan Ayahandanya.


Kiyai Haji Zain Syukri


Sekali lagi saya beruntung, dua orang ustaz dari pesantren telah diberi cuti khas oleh mudir untuk membawa saya ke Makam Almarhum Kiyai Haji Zain Syukri, bersiar-siar di Kota Palembang, dan di bawa makan tempat istimewa. Malah, saya juga dipelawa menginap di rumah tamu pesantren. Sesungguhnya, ini rezeki dari Allah. Semuanya di atur baik dalam takdirNya. Sumpah, saya tak merancang ‘tour’ ini dari awal. Gratis pula.

Makam KH Zain Syukri bersebelahan Masjid Nurul Hidayah

 Dari awal tulisan, saya sering ‘mentioned’ nama KH Zain Syukri, saya yakin para pembaca tertanya-tanya gerangannya.  Saya memohon izin berkongsi sedikit latar belakang KH Zain Syukri.

KH Muhammad Zain Syukri dilahirkan pada hari Isnin, 10 Oktober 1919M bersamaan dengan 12 Rabiul Awal waktu Subuh. Beliau merupakan putera bongsu dari 12 orang adik beradik. Para muridnya, memanggilnya dengan panggilan Kiyai. Namun, KH Zain tidak membahasakan dirinya dengan panggilan tersebut kerana beliau lebih suka menggunakan ‘Pak’ mahupun ‘Pak Zain’.

Ayahnya seorang ulama yang bernama Kemas Haji Hassan bin Kemas Haji Abdul Syukur. Manakala ibunya pula seorang puteri kepada ulama terkenal pada waktu itu yang bernama Nimas Hajjah Soleha Azhari.

Kedua-dua datuk beliau baik samada dari sebelah ibu mahupun sebelah ayah merupakan orang Palembang yang bergelar ‘Kemas’. Belau merupakan anak yang sangat nakal ketika usia kanak- kanak.

Ibunya bertemu jodoh dengan ayahnya ketika sama-sama berada di Mekah. Syeikh Muhammad Azhari yang memang bermukim di Mekah pada waktu itu telah dipertemukan Allah dengan Haji Hassan Syakur yang ketika itu sedang menuntut ilmu agama di sana. Pasangan mempelai lalu dinikahkan. Ayahnya bernama Kiyai Haji Hassan Syakur yang merupakan salah seorang putera kepada Kiyai Haji Abdul Syukur.

Seperti kanak-kanak lain yang akan memasuki sekolah, KH Zain tidak terkecuali.  Beliau sangat ingin bersekolah di sekolah rakyat. Namun, datuknya menentang keras kemahuannya itu sebaliknya diwajibkan ke sekolah pondok agar dapat menimba ilmu agama sejak kecil.

KH Zain Syukri dimasukkan ke Madrasah Ihya di Dipaten 27 Ilir Palembang dari tingkat Ibtidaiyyah hingga tingkat Tsanawiyyah. Kemudian, beliau meneruskan pengajian Aliyahnya di Tebu Ireng, Jombang, Jawa Timur. Seperti anak santri yang lain, beliau punyai cinta-cita  menyambung pelajarannya ke luar negara. Namun sang Ayah mengatakan bahawa  belajar di tempat sendiri pun akan mendapat ilmu yang barokah dengan izin Allah SWT, asalkan disertai dengan tahajud terus menerus.  Beliau pasrah dengan kehendak Ayahnya.

Guru-guru beliau adalah Haji Muhammad Akib, Muara Siring, Kiyai Haji Kemas Abroni Azhari, adik kepada Ibunya. Kemudian, Kiyai Haji Mas Agus Nanang Masri, Kiyai Haji Abdul Qahar, Kiyai Haji Muhammad Idrus bin Haji Abdul Manan, Kiyai Matjid, Kiyai Mas Agus Abdul Rahman dan Kiyai Syed Sadim Jindan.

Saat beliau belajar di Teboyeng, Jombang beliau berguru kepada Kiyai Haji Abdul Wahab Hasbullah, Kiyai Haji Bisni Samsuri. Beliau berguru langsung dan menjadi khadam Tokoh Pendiri Nahdatul Ulama’, Kiyai Haji Hashim Asyari. Beliau nekad menjadi khadam Kiyai Haji Hashim Asyari dalam menguruskan keperluan harian gurunya seperti melipat pakaian, membersihkan rumah serta pekerjaan apa sahaja beliau buat sewaktu belajar.

Rutin para kiyai bersama guru dan segenap santri di Tiboreng berbahasa Arab. KH Zain pun selalu berbahasa Arab kepada gurunya, jika lalai menggunakan bahasa wajib tersebut, dikenakan hukuman cukur rambut dihadapan khalayak ramai sambil diarak keliling pondok.

Hal ini pernah secara tidak sengaja dialami oleh KH Zain ketika belajar. Beliau terlanjur berbahasa selain dari bahasa arab hingga dihukum seperti di atas. Peristiwa hukuman itu sangat terkesan di hati pemuda ini sehingga beliau betul-betul mahir berbahasa arab meskipun tidak belajar di negara arab.

Oleh kerana ketiadaan wang, Pak Zain tidak mampu untuk membeli kitab. Lantaran itu,, pada siang hari beliau akan meminjam kitab dengan temannya kemudian menyalin semua isi kitab tersebut seperti aslinya. Satu demi satu kitab yang wajib dipelajari di pondok tersebut disalinnya dengan rapi. Kerana itu, kekuatan ingatannya luar biasa dalam mengingati pelajaran –pelajaran di pesantren.

Sekembalinya dari Jawa Timur, beliau berperanan aktif menyemarakkan kehidupan beragama di Sumatera Selatan, khususnya di tanah kelahiran Palembang disamping aktif mengembangkan sayap Nahdatul Ulama’ di Sumatera Selatan. Gusdur (Presiden Indonesia keempat, Susilo Bambang Yudhoyono (Presiden Indonesia keenam) merupakan dua presiden yang pernah berkunjung hormat beliau.  

Pak KH Zain telah memperoleh ijazah Tarekah Sammaniyah dari datuknya Syaikh Muhammad Azhari bin Abdullah yang bersambung kepada Syaikh Akib bin Hasanuddin, Syaikh Abdul Somad Palembang dan Syaikh Sayyid Muhammad Samman bin Abdul Karim As Sammani. Beliau juga mendapat ijazah tarekah Qodariah dari KH Salim.


Karya Pak Zain

KH Zain telah meninggalkan banyak karya dan tulisan terutamanya aspek tauhid dan pembangunan jiwa yakni tasauf. Karya-karya beliau seperti Risalah Tauhid, Rahsia Sembahyang, Santapan Jiwa, Al Qurbah, Melepaskan Diri Dari Bahaya Syirik, Iman Dan Menghadapi Maut, Menuju Haji Mabrur, Kumpulan Doa Manasik Haji, Menyegarkan Iman Dengan Tauhid Jilid 1 dan II dan buku terakhir beliau Cahaya di atas Cahaya yang merupakan kumpulan tulisan KH Zain yang digunakan sebagai bahan pengajian.

Dalam pandangan keagamaan, KH Zain sangat toleran dan moderat tetapi dalam ketauhidan sangat tegas. Selain itu, tarikan pada KH Zain adalah gaya bahasanya yang sangat sederhana sehingga mudah difahami oleh pelbagai lapisan masyarakat. Namun, isinya cukup dalam. Hal-hal yang sering ditekankan KH Zain bersangkut paut dengan keindahan hati, cara melepaskan diri dari dunia, gangguan sehingga benar-benar terbit rasa La Haula Wala Quwwata Illa Billah.

Dalam buku Rahsia Sembahyang, KH Zain mengatakan apabila kita merasakan semua perbuatan kita adalah dengan hak Allah, kita akan merasa malu mengharap balasan kerana semua amal tersebut semata-mata kurnia Allah.

Menurut beliau lagi, solat adalah komunikasi langsung antara hamba dengan pencipta. Oleh kerana itu, solat tidak boleh terganggu dengan urusan dunia, perniagaan atau urusan lain. Kepentingan mencapai hakikat solat adalah perkara yang ditekan oleh KH Zain kepada para muridnya. Bagaimana sibuk seseorang, ketika solat wajib menghentikan fikiran dan hati pada urusan lain selain Allah. Tiga rukun yakni rukun fi’li, qauli dan qalbi mesti dipenuhi.   

KH Zain telah wafat pada hari Khamis tanggal 22 Mac 2012 dan dimakamkan bersebelahan Masjid Nurul Hidayah di Jalan Let. Jaimas Palembang. Al Fatihah

#angahsunan

Enam Sebab Saya Berbangga Dengan Kemerdekaan Tanah Melayu

  1.Islam Berada Di Kedudukan Tinggi Dalam Perlembagaan   Saya sangat berbangga dalam rundingan kemerdekaan Tanah Melayu, ketika banyak nega...