Friday, 7 July 2017

GERAK SILAT GERAK MAKRIFAT



Silat 

Kata Ayahanda kami, Silat ringkasan dari perkataan Silaturahim. Seorang persilat sejati yang bersanad dengan para Aulia adalah zahirnya bersilaturahim sesama insan dan batinnya bersilaturahim dengan Allah. Sanad batin adalah sama iaitu Syuhud dengan Allah dalam setiap langkah, ia adalah pakaian yang sama semua pendekar Alam Melayu, justeru itu tiada bercerai pendekar sejati dengan ilmu Tauhid Makrifat dan Tasawwuf. Ia adalah sanad yang menyambung sampai pada Rasulullah. Adapun sanad Zahir seperti gerak, langkah, bunga, kunci dan buah adalah dicipta atau ilham yang datang daripada para Guru Silat yang dinisbahkan pada pengasas.

Maka apa jua ilmu yang dinisbahkan sanad sampai pada RASULULLAH adalah sanad Syuhudiah bukannya sanad kaedah atau bentuk seperti persilatan, perubatan, gerak jurus, zikir tareqah dan lain-lain. Maka apabila batin mereka tiada syuhudiah, maka ia adalah hal yang terputus sanadnya dengan RASULULLAH SAW.

Gerak Silat atau Jurus yang tiada berdiri atas Tauhid Syuhudi maka ia tiada kekuatan Illahiah tetapi hanya kekuatan yang berasaskan zahiriah semata-mata seperti latihan fizikal, gerak langkah, tenaga dalam, khadam wirid dan lain-lain.

Tiada Tauhid Syuhudi maka pahlawan tersebut tiada miliki kekuatan yang hakiki, bagaimana mungkin mereka kuat jika gerak langkah mereka dalam kesyirikan berhala keakuan diri, ia adalah berhala batin yang bertali dengan iblis yang membuahkan kesombongan, riak dan ujub. Mereka terputus dengan ALLAH dan kekuatan hanya pada zahir semata-mata serta dibimbangi tanpa disedari kedatangan Jin-jin kafir yang membantu kekuatan atau jurus ghaib yang tujuannya untuk menyesatkan.

Segala ilmu yang tiada membuahkan Kefaqiran diri dengan ALLAH adalah tiada berdiri atas ketauhidan yang hakiki. Ia terputus dari sanad batin RASULULLAH. Zahirnya dilihat benar tapi batinnya adalah batil lantaran menyembah keakuan diri. 

Justeru itu segala ilmu dan amal wajib berdiri di atas ketauhidan Syuhudi bukannya iktiqadi. Tauhid iktiqadi hanya sah iman tapi tiada hancurkan berhala keakuan diri. Mereka tetap syirik dalam ilmu, amal, gerak diam yang membawa pada kesombongan.

Pendekar sejati baik ilmu gerak zahir atau jurus batin adalah mereka yang meletakkan kekuatan hakiki pada ALLAH dengan fana’ dalam tauhid Syuhudi. Dalam gerak adanya nafas, dalam nafas adanya al Hayat, dalam Al Hayat adanya Ar Rahman, dalam Ar Rahman adanya DZAT AHADIAH. Syariatnya bergerak pantas, hakikatnya diam sepi dalam Dzat Ahadiah. Tiada daya upaya walau satu gerak melainkan dengan pertolongan ALLAH. Insan wajib kembali pada sifat kefaqirannya yakni tiada miliki apa jua walau satu zarah dan Allah jua yang miliki segalanya. Ia adalah Tauhid yang hakiki yang wajib difahami, diingati, dirasai dan disyuhudkan.

Anak jati warisan bangsa melayu adalah pemilik Tauhid Makrifat, adab dan budi bahasa yang indah, bijaksana dalam melangkah dan Hebat dalam ilmu tempur persilatan.

"Silat Melayu indah tarinya
buahnya penuh keperkasaan
Batinnya silaturahim dengan Tuhannya.
Zahirnya silaturahim sesama insan.
Hidupkan kembali duhai anakku dengan warisan budaya bangsa ini demi pertahankan agama, negara dan maruah diri"


Akademi Silat Pendekar Muda adalah anjuran TV AL-Hijrah yang telah ditayangkan dengan jayanya pada tahun 2016. Ianya untuk menarik minat orang muda dalam mempelajari seni silat yang berteraskan Islam di samping mengekalkan budaya warisan bangsa. Program realiti ini akan memfokuskan kepada seni silat yang menepati ajaran Islam sebenar dan dapat melahirkan individu yang menepati ciri-ciri pemuda yang digariskan agama.

Iko Uwais, pesilat muda Indonesia yang mewarisi ilmu persilatan dari Ayahnya, Mustapha Kamaluddin mencipta nama dalam Dunia Perfileman. Mengangkat  Pesilatan dalam Filem Aksi. 
Setiap silat ada gerak dan falsafahnya, namun terasnya dalah tauhid dan jati diri. Sebagai contoh Teras Pendidikan Seni Silat Gayong (Silat Seni Gayong sebagai salah satu daripada seni silat Melayu tertua terlah terbukti mampu menjadi wadah untuk mempertahankan akidah dan maruah umat Islam).

Teras pendidikan Silat Seni Gayong pada dasarnya telah disimpul dalam kalimah Gayong itu sendiri:

Ga - mewakili genggam. Genggam bermaksud kepatuhan dan taat seti yang tidak berbelah bahagi kepada ajaran Islam dan amanah Silat Seni Gayong yang telah ditinggalkan al-marhum Dato' Paduka Meor Abdul Rahman, Pendita Agung Gayong.

Alif - mewakili angkat. Ia bererti kewajipan murid-murid Gayong untuk menjunjung kedaulatan Al-Quran dan syariatNya. Di samping itu juga, semua murid Gayong mestilah memelihara segala amanah sebagai murid dan ahli Gayong yang digenggam agar ia terus dihormati dan dipatuhi.

Ya - mewakili yakin. Bahawasanya kita beriman dengan kebenaran Al-Quran dan segala apa yang dilakukan hendaklah bertauhidkan Allah S.W.T. Semua murid dan ahli Gayong juga mestilah yakin dengan kelebihan ilmu yang dipelajari dan hanya menggunakannya untuk kebaikan.

Wau - mewakili waras. Waras dalam ertikata sedar, rasional dan penuh keinsafan atas segala tindakan dan keputusan yang hendak diambil. Ia menggambarkan bahawa seorang murid dan ahli Gayong tidak akan bertindak sesuka hati tanpa memikirkan buruk baik dan akibat sesuatu perkara.

Nga - mewakili ngeri. Ngeri dengan kebesaran Allah S.W.T. dan azab seksaanNya, ngeri dalam melakukan sesuatu perkara atau ketika mempamirkan Silat Seni Gayong dan kengerian yang terhasil apabila satu keputusan terpaksa diambil dalam saat-saat genting.

Lima huruf diatas juga melambangkan lima prinsip asas yang menjadi rukun atau teras agama Islam iaitu mengucapkan dua kalimah Syahadah, menunaikan sembahyang fardhu, berpuasa di bulan Ramadhan, mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji di Mekah. Lima huruf yang membina kalimah Gayong itu juga menekankan bahawa seorang murid Gayong itu mestilah menjaga kewajipan mereka sebagai seorang Muslim dengan menegakkan tiang agama iaitu menunaikan sembahyang fardhu lima kali sehari semalam. Pada hakikatnya, kekuatan seorang murid Gayong terpancar daripada keupayaan melaksana segala titah perintah Allah S.W.T. dan menjauhi segala laranganNya.

bacaan lanjut - http://alumnigayonguia.tripod.com/artikel/etikagayong.htm



#Sumber tulisan dari Ayahanda kami, kami hanya mengolah kembali. 


2 comments:

Enam Sebab Saya Berbangga Dengan Kemerdekaan Tanah Melayu

  1.Islam Berada Di Kedudukan Tinggi Dalam Perlembagaan   Saya sangat berbangga dalam rundingan kemerdekaan Tanah Melayu, ketika banyak nega...