Thursday, 20 July 2017

KERIS MENDATANGI PEWARIS & SOAL JAWAB



Bismillah. Setelah perkongsian hamba tentang keris yang bertajuk ‘Pusaka, Rahsia & Dzat Keris pada artikel lepas, hamba mendapati ramai yang meminati ilmu perkerisan dan meminta sambungan penulisan ilmu keris. Hamba juga menerima banyak persoalan, pendapat dan pengkisahan dari mereka yang mewarisi keris di ruangan komentar dan ‘inbox’ samada di page Patriots atau ‘facebook’ peribadi hamba (tempat asal hamba menulis). 

Link tulisan Pusaka, Rahsia & Dzat Keris : 
https://www.thepatriots.asia/archives/4275

Maka, hamba mengumpul akan beberapa soalan dan tanggapan yang hamba akan jawab dan ulas pada tulisan siri kedua ini. Hamba percaya, sebelum masuk ke bab lain dalam ilmu keris, sewajarnya persoalan-persoalan dari artikel sebelum dijawab terlebih dahulu. Syukur, hamba juga mendapat izin Guru hamba untuk terus berkongsi. Sebahagian soalan dan pengkisahan yang diajukan: 


1. Bagaimana kategori Keris Sepukal?

Alang-alang yang bertanya apakah ia keris sepukal, maka hamba menjawab, keris melayu diberi nama berdasarkan berapa banyak lok. Ia seperti berikut:

Keris Berpukal atau Sepukal – keris lurus (atau lok 1).
Keris Berlok – Lok 3 hingga Lok 19.
Keris Sempena – Keris yang berlok 3,5 dan 7.
Keris Tambang Sari – Keris yang berlok 13.
Keris Cerita – Keris yang berlok 9,11,13 hingga 15.
Keris Rantai – Keris yang berlok 17 lebih.


2. Ada keris yang kelihatannya ada ‘imprint’ jari pada bilahnya, seakan-akan ditempa hanya menggunakan jari?

Di sana ada keris yang dinama kan keris picit iaitu keris yang ditempa menggunakan picitan jari. Biasanya digunakan untuk tujuan perubatan, kebatinan dan mistik.

Keris Picit (sumber gambar : pakarpengasih.com)

                                   
3. Adakah Keris Malela termasuk keris?

Dalam masyarakat Melayu, falsafah pembuatan bilah keris mempunyai pelbagai penjenamaan nama mengikut daerah pembuatannya. Penjenamaan nama-nama bilah keris tersebut adalah berdasarkan kepada bahan baku, bentuk keris yang dicipta dan siapa penempanya. Sebagai contoh, di daerah Patani dan Kelantan, Keris Malela dibuat dengan menggunakan besi sebatang dan berwarna gelap dengan menampakkan lurah-lurah penempaan yang dalam semasa penempaanya, kuat dan kukuh.

Malela. Sumber : Koleksi Penulis


4. Adakah Sundang termasuk keluarga keris?

Ya, termasuk keluarga keris. Keris sundang atau juga dikenali keris Suluk dibuat dengan falsafah dan tujuan menetak, memotong atau melibas tali kapal dengan bilah mata yang tebal, lebar dan berat. Pembuatan tersebut bertepatan dengan masyarakat Sulu pada suatu ketika dahulu merupakan pelayar dan memerlukan senjata yang kuat dan kukuh semasa dalam pelayaran.

Sundang Suluk. Sumber gambar vikingsword.com


5. Kenapa orang Melayu memakai keris di depan manakala Jawa di belakang?

Orang Melayu mempunyai falsafah yang berbeza daripada orang Jawa dalam gaya dan cara pemakaian keris. Umumnya, orang Melayu mensisipkan keris di pinggang, iaitu dibahagian hadapan badan dengan menaruhkan harapan kepada keris lebih utama daripada diri mereka sendiri (keris didahulukan dari mereka sendiri). Apabila dilihat dari hadapan, musuh atau lawan sudah berandaian bahawa si pemakai keris sebenarnya sudah siap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku. 


Keris di hadapan. Sumber gambar : https://khalifahgayong.wordpress


Sementara bagi orang Jawa, keris disisipkan dibahagian belakang badan mereka dengan niat untuk sentiasa berwaspada dan keris dicabut daripada sarungnya apabila diperlukan. Lantaran itu, keris yang disembunyikan dibelakang badan juga bertujuan untuk mengelirukan lawan. 

Keris di belakang. Sumber (https://wisatajiwa.files.wordpress.com/2009/08/keris-yogya-indonesia.jpg)



Meskipun ada perbezaan cara memakai keris, tapi keutamaan mereka adalah sama iaitu Keamanan. Oleh kerana itu, baik orang Jawa atau Melayu, kedua-duanya berkongsi falsafah yang sama dalam hulu keris. Jika HULU MENGHADAP KE DEPAN, bermakna datang bertujuan bertarung. JIKA HULU DI BELAKANGKAN, datang dengan tujuan damai. peace no war. 


6. Dalam tulisan (sebelum ini), ada dinyatakan bahawa ‘keris pusaka mendatangi  pewaris’. Apakah maksud Keris Pusaka Mendatangi dan bagaimana ia?

Secara umum, ia kadang-kadang tidak masuk akal tetapi berlaku dengan izin dan takdir Allah. Barakah karamah para moyang yang terdiri dari auliya. Hamba menyaksi kan beberapa kali hal ini bagaimana keris mendatangi tetapi hamba tidak pasti adakah sesuai atau tidak dikongsi kan disini.

Cukup hamba kongsikan Keris mendatangi contohnya, keris pusaka tersebut sudah diwasiat oleh leluhur agar diberikan kepada cucuku yang sekian sekian sifatnya. Kadang-kadang cucu yang dimaksudkan itu boleh jadi cucu generasi ke 4 atau 5. Ini padangan secara Kasyaf yang dibuka oleh Allah pada leluhur yang merupakan Wali Allah akan cucunya kemudian. Maka keris itu berpindah dari satu generasi ke satu generasi sebagai pemegang amanah sahaja sehingga ia sampai kepada pewarisnya. 

Keris pusaka kalau bukan milik atau tidak berjodoh dengan seseorang, jangan diterima, biasanya akan sakit-sakit. Tanda keris itu serasi dengan seseorang pula, tiada apa-apa sakit berlanjutan selepas penyerahan. Wallahu’alam. (Lihat Soalan No. 7 : Jawapan pantang larang keris) untuk lebih memahami.

Apa yang berlaku tiada lain di bawah takluk Qudrah dan Iradah-Nya jua. Hal itu hanya asbab, al-musabib (penentu mutlak) hanya Allah. Sebab itu hamba berpesan, mereka yang ingin menyelami ilmu orang-orang dahulu mesti mempelajari tauhid makrifat kerna ilmu orang dahulu, usulnya disitu. Kaitannya terlalu banyak. Jangan hanya semangat tetapi memasukinya dengan jahil. 

Adapun lanjutan kisah ini, adalah lebih baik, dikongsi secara berhadap sebagai tanda benar mahu mengambil ilmu. Ilmu pusaka begini maharnya bukan duit tapi adab yang tinggi. 

Ketika hamba membaca ruangan komen, ada satu satu komen secara terbuka telah dikongsi oleh seorang hamba Allah. Ini adalah pengalaman peribadinya yang benar. Hamba naqalkan di sini bertujuan hal ehwal pengalaman penyerahan keris kepada pewaris adalah ‘real’.  Ia adalah seperti berikut:

Saya menyimpan sebilah keris dari tanah bugis. tak pasti sama ada jenis ini yang panggil keris bugis atau bukan, tapi ia adalah benda pusaka yang tidak diserahkan secara sempurna kepada saya sehingga mengalami situasi pelik sehingga sekarang. 

Saya mendedahkan hal bukan berniat untuk mejual keris ini tapi mencari sesiapa yang arif tentang benda-benda macam ni dan membantu saya menyelesaikan masalah yang saya alami selama 12 tahun sejak tahun 2005. Kaitan keris dengan masalah saya hanyalah andaian yang dapat saya fikirkan beberapa bulan lepas setelah mengingat kembali rentetan kejadian yang telah berlaku. 

Selepas kematian ayah saya pada tahun 2005, pada suatu malam semasa mengerjakan sholat tahajud, terasa ada sesuatu menerpa dari arah belakang. sejak itu pelbagai peristiwa pelik yang saya alami seperti tubuh sudah diambil alih, tanpa sebab menangis, airmata tak kering tiba ketawa, tidur di katil tapi pernah bangun di atas jalan, pernah juga bangun di atas pokok dan pebagai lagi hal pelik sehingga orang di sekeliling menggelarkan saya gila. walaupun sedar tapi tak mampu nak halang. pernah berubat dengan seorang nenek dan saya melihat nenek itu menggigil ketakutan dan memberi tahu benda ini dari benda pusaka. tapi seingat saya, saya tak ada menyimpan benda begitu, jadi saya pun abaikan saja. 

Pada tahun 2008, saya menerima pesan moyang sebelah bapa yang sedang sakit meminta saya ke tanah bugis sebab ayah sudah tiada. dialah yang menyimpan keris ini. Jadi saya pun ke sana. Selama 2 minggu menjaganya di hospital, tak pernah pun disebut tentang keris ini sehingga meninggal dunia. selepas urusan pengkebumian semua selesai, seorang saudara mara menyerahkan keris ini kepada saya. Jadi saya pun tanya kenapa saya? katanya semasa hidup arwah telah berpesan untuk menyerahkan keris ini kepada ayah saya tetapi ayah sudah tiada maka sebagai anak sulung, sayalah yang layak untuk menyimpannya”.

Begitulah kisah bagaimana keris berada dalam simpanan saya. hubungkait keris dengan masalah yang saya alami hanyalah andaian saya, sebab itu saya mencari sesiapa yang arif tentang hal sebegini untuk memastikan"

Untuk pengetahuan pembaca, hamba sudah berurusan dengan hamba Allah ini. Menurut salah seorang Guru keris hamba setelah meniliti kisahnya, 

“Keris itu memang keris pusaka dia dan ahwal yang berlaku itu adalah berkait dengan spiritual keris. Minta dia simpan dan jaga elok-elok keris tersebut”, kata Guru hamba.

Insya Allah, kami akan bertemu dalam masa terdekat untuk menyempurnakan apa yang sepatutnya disempurnakan. Ada lagi beberapa individu menghubungi hamba bertanya hal yang mirip di atas. 


7. Apakah pantang larang keris dan adabnya? 

Emil Bahari (pengkaji keris) menulis, Keris ini Pantang direndahkan, pantang dilangkahi, pantang terbiar, pantang dipermainkan, pantang tidak serasi, pantang dipakai mencari lawan, pantang dipakai untuk sombong dan bongkak, pantang dipakai untuk mengina, pantang dipakai menyalahi adat, pantang dipakai pada yang tak sesuai, pantang dicabut sembarangan, pantang dicabut secara menyalah. Intaha (tamat)

Hamba sentuh sikit tentang “Keris Pantang direndahkan”. Adab pemakai keris paling asas ialah tidak merendah-rendahkan keris orang lain. Kendatipun kita mengetahui keris itu tidak bagus, adabnya tidak diperendahkan. Ini pantang. Semua pantang di atas berhubung kait dengan adab. Satu lagi jangan sombong. Ingat, ilmu orang  dulu-dulu tidak menjadi jika sombong. Mana mungkin ilmu yang berasakan tauhid makrifat duduk bersekali sifat kesombongan.

Keris juga Tidak dibiarkan telanjang tanpa sarung (kecuali ada hajat), tidak terangkat hunus di hadapan manusia kecuali memaksudkan pertarungan, tidak dicabut separuh atau dimasuk separuh, tidak diletakkan di bilik kelamin (bilik suami isteri ‘bersama’), tidak dibuka di hadapan anak kecil dan dsb. 


8. “Keris pusaka sudah ada, keris untuk diri sendiri juga sudah ada. Keris pangkat sahaja belum ada”.

Dulu keris pangkat diperolehi dari SULTAN atau PEMERINTAH BERDAULAT. Keris yang dikurnia oleh Sultan atau Raja adalah lambang kuasa. Selalunya, apabila Raja melantik pembesar, keris akan dikurniakan sebagai tanda kuasa diturunkan kepadanya secara sah. Sebagai contoh, bila Sultan Melaka mengurniakan  keris Taming Sari kepada laksamana Melaka. Sultan perak mengurniakan keris bawar (sebilah keris panjang) kepada setiap orang besar jajahan.


9. “Melayu dahulu tidak akan keluar rumah tanpa keris, kerana ia dianggap keluar dalam keadaan bertelanjang” (merujuk kepada tulisan sebelum). Soalnya, ‘Dahulu’ itu bila?

Tercatat dalam sejarah Johor pada tahun 1824, iaitu di mana John Crawfurd, Residen Singapura telah
menyuarakan pendapat untuk mengharamkan penggunaan senjata tajam. Cadangan tersebut ditolak oleh Sultan dan Temenggong kerana mereka mengatakan mereka bagaikan bertelanjang tanpa keris di pinggang. Tahun 1824 boleh dianggap baru juga boleh dianggap lama. Yang pasti Budaya Perkerisan dalam masyarakat melayu sudah berakar umbi sejak dahulu dan ia diwarisi ke satu generasi ke satu generasi. Maka itu penulis menggunakan ‘melayu dahulu’. Jika tidak tepat, hamba mohon kemaafan.


10. “Sekarang kalau bawa keris, masuk lokap nanti” (komen sinis ini ramai juga, tapi hamba anggap mereka bergurau).

Mudah jawab begini, dalam tulisan lepas tiada satu ayat suruhan agar para pembaca keluar membawa keris. Hamba hanya manaqal sejarah leluhur kita dahulu yang tidak akan keluar tanpa keris. Zaman sekarang, meskipun tidak membawa keris seperti zaman dahulu, akan tetapi yang paling penting sebenarnya adalah membawa semangat Jati diri keris iaitu Tunduk kepada Allah (makrifat), diri beraAdab (tasauf) dan membina/memakmur peradaban (tugas khalifah). Jika bawa keris ke sana sini tetapi tiada faham maksud, tiada bermanfaat juga melainkan hanya menjadi ‘fesyen’. 


11. Mendapat tahu ada keris boleh masuk ke Istana ada yang tidak boleh. Apakah ia?

Menyentuh aspek pemakaian keris di alam Melayu khususnya ketika memasuki istana dan menghadap Sultan, hanya keris tertenyu sahaja boleh dibenarkan masuk. Demikian juga dalam masyarakat Jawa.

i. Keris  yang boleh masuk ke Istana dalam masyarakat Melayu. Hanya keris berhulu Jawa
Demam dan Pekaka sahaja dibenarkan berada di balai rongseri. 

Hulu Jawa Demam. Sumber (koleksi penulis)


Hulu Pekaka. Sumber : kemuningwarisan. Mirip Hulu Jawa Demam cuma paruhnya panjang sedikit


Manakala bagi keris yang berhulukan Ayam Teleng atau Patah Tiga, keris berhulu tersebut adalah di tegah sama sekali dari masuk ke istana. Hal ini disebabkan kerana keris berhulu Ayam Teleng atau Patah Tiga dicipta dengan berfalsafahkan untuk tujuan pertikaman.


Hulu Ayam Teleng. Sumber : kemuningwarisan

Hulu Patah Tiga. Sumber : Koleksi Penulis


ii. Keris yang boleh masuk ke Istana dalam Masyarakat Jawa.

Dalam tradisi masyarakat Jawa. Hanya keris bersampir (berperahukan) Ladrang sahaja yang diizinkan berada di dalam keraton atau Istana. Bentuk hulu dan sampir seperti mana yang dinyatakan adalah berfalsafahkan kepada keris tersebut melambangkan ‘keris istiadat dan beradab’. 

Sampir Ladrang. Sumber : Koleksi Penulis

Sementara keris yang bersampir gayaman dilarang masuk ke keraton/istana dengan berfalsafahkan bahawa keris yang bersampir gayaman adalah untuk tujuan pertikaman atau pertarungan. 


Sampir Gayaman. sumber : Koleksi penulis


12. Bagimana cara memakai keris?

Disiplin memakai keris di kalangan orang melayu dari golongan rakyat biasa agak berbeza dari orang jawa. Bagi orang melayu, keri yang berupa hadiah atau pemberian baik dari bapa mertua atau sesiapa sahaja disisipkan di pinggang sebelah kanan. 

Jika berhadap Sultan atau orang terhormat, sahabat handai (yang bukan tujuan bertarung) keris dipakai hulunya mnegarah ke belakang kerana ia simbol perdamaian berbeza jikalau hulu keris menghala ke hadapan, ia simbol pertempuran atau perang. 

Bagi seorang Raja atau Sultan mesti memakai keris dengan hulunya menghadap ke luar kerana ia melambangkan kedaulatannya. 

Pengecualian kepada pengatin lelaki dari rakyat biasa di majlis perkahwinan, keris dipakai hulu ke depan kerana pada hari tersebut, dia adalah Raja walau Raja sehari. 

Pengatin lelaki memaki keris berhulu ke depan
Gambar : Butik Sri Pengatin Shakira


Disamping itu, bahagian Sampir dan ekor Cicak keris menghala ke luar.

Ini cara yang salah memakai keris, bahagian sampir dan ekor cicak sepatutnya berada di arah sebaliknya. Sumber gambar : kosmo Online


13. “Mempertahankan diri tidak semestinya menggunakan keris”.


Falsafah keris daripada kaca mata orang Melayu bukan sekadar hanya alat mempertahankan diri tetapi ia lebih dari itu. Keris sebagai pertahankan diri salah satu juzu’ dari fungsi dan falsafah keris. Ia juga perlambangan maruah diri seseorang.  Seperti mana petikan dalam Tuhfat Al-Nafis, bahawa Raja Haji Ahmad & Raja Haji Ali 1982: 280, meriwayatkan tentang kisah Dahing Ringgik (Daeng Ronggek) yang menikam askar Belanda yang cuba merampas keris beliau. 

Hendaklah diketahui, keris diperbuat daripada besi yang mempunyai getaran sendiri, sama seperti unsur semula jadi lain iaitu tanah, air, api dan angin. Sudah terbukti secara saintifik bahawa unsur-unsur semula jadi ini mempunyai getaran yang kita sebut sebagai semangat.  Oleh kerana itu mengikut Guru Mohd Nordin (pengumpul dan perunding keris), katanya, keris yang serasi dengan pemakai mempunyai getaran yang positif. “Jika dipakai ketika bersosial, maka ramailah yang mudah mesra dengannya. Jika ada musuh menghampiri, mudah juga orang itu menyerah kepadanya. Dek kerana getaran itu jugalah keris diberi peranan melebihi sebagai satu senjata. 

Ada juga kepercayaan bahawa keris yang mempunyai getaran yang positif (serasi) dapat membantu meningkatkan perniagaan, selain menyumbang kepada kesihatan si pemakai. Tetapi jika tidak serasi, sama seperti kita tersalah makan ubat, atau memakai kasut saiz yang salah, ia membawa mudarat atau makan tuan,” (temu bual wartawan kosmo dengan Guru Mohd Nordin).

14. Keris ghaib dalam tangan

Ya, tidak mustahil ada. Menurut cerita lisan yang hamba dengar dari guru keris, ilmunya adalah keris dighaibkan dan disimpan dalam tangan melalui bacaan doa dan kekuatan tauhid. Bukan semua boleh menurunkan ilmu ini dan tidak semua boleh terima ia. Saat tiba agama, bangsa dan tanah air serta diri terancam, maka terzahirkan ia keris untuk mempertahankan. Bukan suka suka dan menyombong.  

15. Adakah keris berasal dari Indonesia? Malaysia tiada keris. 


Hamba jawab, keris sudah bertapak di kepulauan tanah melayu sejak 700 tahun. Ketika itu belum ada lagi Indonesia (ditubuhkan tahun 1945), belum ada Malaysia (ditubuhkan 1963). Kita semua serumpun yang berkongsi rupa paras, wajah, bahasa dan budaya yang mirip. Sepatutnya kita berbangga berkongsi sejarah dan budaya yang sama bukan mendakwa pemilikan.  

16. Berapa harga keris kalau berhajat mendapatkannya?


Biasanya orang lama - lama dalam keris dia tidak bertanya berapa HARGA keris kalau nak beli, tetapi dia bertanya, berapakah MAHAR nya. Apa beza istilah harga dan mahar? Seperti tulisan yang lepas, orang yang sudah lama dalam perkerisan, ia akan maklum bahawa barang-barang keris bukan barang dagangan jual beli. berlaku pertukaran milik kerana hadiah, pusaka atau diberikan mahar (sebagai tanda terima kasih), berbanding orang baru yang akan anggap keris adalah barang jual beli.

Sampai disini sahaja kita bertemu secara mata pena. Terima kasih atas sokongan para pembaca. Insya Allah, jika di izinkan Allah dan mendapat restu Guru, hamba akan menulis lagi ilmu keris. Hamba suka untuk mengupas falsafah Hulu dan Sampir / Perahu pada keris yang berkait Melayu Si Raja Laut. Hulu dan Sampir serta bilah itu menceritakan sebuah kerajaan, penguasaan laut dan KOD PERTAHANAN. Sekiranya ada persoalan atau perkongsian bersifat sulit boleh hubungi penulis melalui emel. Mohon izin berundur sekian. Allahu Wa Rasuluhu a’lam.

Yang benar,

Angah Sunan                                                                                            
sunan.angah@gmail.com
Selesai 20 Julai 2017, di atas Udara OTW dari Tokyo, Jepun pulang ke Kuala Lumpur.
 

Thursday, 13 July 2017

KOMPILASI CELOTEH MURID & GURU (21-30)



CELOTEH MURID & GURU (21)

Orang Yang Paling Rugi Di Bulan Ramadhan

Suatu malam di bulan Ramadhan, Guru berkata, "Anakku, tahukah kamu siapakah paling rugi di bulan ramadhan?".

"Siapa Guru?", soal murid

"Mereka yang sudah bangun sahur tetapi tidak langsung meluang masa solat malam hari (tahajud dsb) dan selepas sahur pula terus tidur tanpa sempat kerjakan solat Subuh. Akhirnya solat dhuha ada qunut", terang Guru.

"Eh, macam ramai yang begitu Guru", balas Murid.

"Memang ramai anakku", kata Guru.

#angahsunan
#celotehmuridguru
#santaibantai


CELOTEH MURID & GURU (22)

Dua Golongan Pelajar Agama

“Anakku, apa niatmu belajar di Madrasah”?, soal Guru.

“Jadi Ulama’ Guru’, jawab Murid.

“Anakku, ada dua golongan yang menyambung pelajaran bidang agama, Pertama, dia belajar untuk mendapat Ijazah dan niatnya untuk kerja makan gaji. Kedua, dia belajar agama untuk benar-benar beramal dan menjadi Ulama’ yang hidup untuk ummah”, Jawab Guru.

“Adakah golongan pertama itu salah”?, Tanya murid.

“Tidak salah anakku, cuma zaman sekarang, kita kekurangan golongan kedua. Hasilnya, kita ketandusan ulama’ yang berani berkata benar dan ‘no conflict interest’”, terang Guru.

“Walaubagaimanapun, niat yang ikhlas itu lebih utama. Apa juga golongan, jika dia ikhlas, itulah pelajar dan ulama’ yang berjaya disisi Allah”, Guru menambah.

#angahsunan
#celotehmuridguru
#santaibantai


CELOTEH MURID & GURU (23)

Saat Kamu Jatuh Cinta

"Anakku, kamu pernah jatuh cinta?", tanya Guru.

"Erk, belum pernah Guru. cinta monyet ada dulu, tapi tidaklah sampai cinta yang serius Guru", balas murid.

"Anakku, musuh kepada cinta adalah kehilangan. namun tidak dapat tidak kehilangan tetap akan berlalu. Oleh kerna itu, aku ingin berpesan anakku, saat kamu menyintai seseorang kelak, saat itu juga kamu kena bersedia kehilangannya", terang Guru.

"Anakku, antara kamu dan pasangan pasti ada yang 'pergi' dulu. Jika tidak kamu dulu, dia dulu. Ataupun serentak. Kehilangan itu pasti berlaku. Jika hati kamu sudah ada kesediaan, kamu tidaklah terlalu kecewa dan putus asa", tambah Guru.

"Bagaimana menyediakan jiwa ke arah itu Guru", tanya murid.

"Letakkan cinta Allah dan Rasul paling utama dalam hidupmu. Cintai makhluk sekadarnya", jawab Guru.

#angahsunan
#celotehmuridguru
#santaibantai


CELOTEH MURID & GURU (24)

'Tidak Tahu' Itu Adab

"Anakku, hendaklah kamu beradab dengan perkara kamu tidak tahu yakni perkara yang kamu jahil akan ia", pesan Guru dengan tegas.

"bagaimana beradab dengan perkara yang tidak tahu?", soal murid.

"Anakku, jika tidak tahu, katakan sahaja tidak tahu. Buat-buat tahu itu tidak amanah dalam ilmu. Buruk kesannya kepada ummah andai ilmuan bercakap hal yang majhul (yang tidak ketahui)'

"Anakku, sepandai-pandai manusia, dia tidak akan tahu semua perkara. Kita tetap manusia yang lemah dan fakir. Bersikpa tawadhu' lah", nasihat Guru.

#angahsunan
#celotehmuridguru
#santaibantai


CELOTEH MURID & GURU (25)

Belajar dari Haiwan di Zoo Negara

Suatu hari Guru mengajak anak muridnya ke Kota dan menuju Zoo Negara. Ketika melihat haiwan-haiwan di Zoo, Guru bertanya,

"Anakku, apa yang kamu belajar disini?", tanya Guru.

"belajar? bukankah kita di Zoo negara Guru?", balas murid.

"Anakku, sekali bergelar penuntut ilmu, sentiasa dimana-mana dan setiap saat belajar. apa kita lihat ini semua ilmu", tegur Guru.

"begini anakku, saat kaki kita tiba di Zoo ini, haiwan-haiwan kamu lihat ini adalah diri nafsu kamu. kamu lihat anjing yang pelbagai jenis, mereka cerminan nafsu yang tidak pernah puas, tidak pandai bersyukur, terus meminta-minta hingga terjelir lidah. lihat khinzir, ia cerminan nafsu yang merempuh apa sahaja dalam hidup tanpa kenal halal dan haram, langsung tak toleh belakang. Seperti itu juga jika kamu suka menjatuhkan sesama sendiri, tak ubah seperti ketam dan jika suka menikam teman dari belakang, sama seperti kala jengking."

"anakku, jasad manusia cantik, tapi jika hidup mengikuti nafsu yang jahat, hatinya tempat berhimpun nafsu kebinatangan", terang Guru panjang lebar.

#angahsunan
#celotehmuridguru
#santaibantai



CELOTEH MURID & GURU (26)

Hidup untuk apa?

Suatu malam, si Guru bertanya,

“Wahai anakku, apa tujuan hidupmu?”, soal Guru.

“Saya ingin mendapat redha Allah Guru”, jawab murid yang merasakan itu jawapan yang paling baik di hadapan Gurunya.

“wahai anakku, jika hidup semata-mata kerana Kuasa, Harta atau Makhluk hidup kamu akan mempunyai banyak musuh dan pesaing kerana Kuasa, Harta atau Makhluk yang kamu kejar tidak boleh dimiliki semua orang. Kemungkinan berjaya atau tidak, ia tidak pasti. Jika hidup dengan Allah, kamu tidak perlu bersaing kerana Allah boleh dimiliki semua makhluk dan pasti berjaya mendapatkanNya.

“Allahu, mohon doanya Guru”, jawab murid.

#angahsunan
#celotehmuridguru
#santaibantai


CELOTEH MURID & GURU (27)

Apakah itu Ikhlas

“Guru, apakah itu Ikhlas?”, tanya murid.

“Begini anakku, ayat mudahnya, IKHLAS ialah tiada kepentingan diri, buat sesuatu amal kebaikan atau kebajikan tanpa ada maksud diri”, Jawab Guru dengan ringkas tapi penuh hikmah.

#angahsunan
#celotehmuridguru
#santaibantai


CELOTEH MURID & GURU (28)

Gila Kemasyhuran

Dalam perjalanan pulang dari ceramah, Guru berkata kepada muridnya,

“esok-esok, bila kamu sudah jadi Ustaz, elakkan terkena perasan gila kemasyhuran”, pesan Guru.

“bagaimana nak tahu terkena penyakit itu Guru”, Tanya murid.

“bermula penyakit gila kemasyhuran ialah apabila tempat ceramah yang ramai hadirin di hadiri, yang sedikit hadirin tidak dihadiri. Sebenarnya apabila datang berceramah tempat yang walau seorang hadir, itu lah tarbiyah. betapa tiada kemuliaan diri. Amanah ilmu akan menyampaikan ilmu walau siapa dan bilangan di hadapan”, jawab Guru.

#angahsunan
#celotehmuridguru
#santaibantai


CELOTEH MURID & GURU (29)

Kekayaan Sebenar

“Anakku, kamu mahu kaya?”, Tanya Guru.

“Juga ada rezeki, tidak salahkan guru bercita-cita demikian?, jawab murid.

“ya anakku, tidak salah. Tapi yang paling penting kamu wajib pegang ialah Akhlak yang baik adalah sebenar-benar kekayaan. Siapa yang milikinya, pasti dicintai dan disayangi oleh Allah dan Rasul bahkan sekelian makhluk. Seorang yang sederhana atau biasa-biasa dicintai ramai kerana akhlak dan khidmatnya lebih baik berbanding mereka yang alim, kaya dan berpangkat tetapi dibenci orang lantaran kejelikan perangai dan sombong”, terang Guru.


#angahsunan
#celotehmuridguru
#santaibantai


CELOTEH MURID & GURU (30)

Punca Kejatuhan Jemaah Islam

“Anakku, kelak kamu jadi pemimpin manusia. Kamu mesti belajar dan bermuhasabah apakah punca kejatuhan suatu jemaah dan organisasi kumpulan Islam”, madah Guru.

“Anakku, ya Guru, saya ad abaca-baca juga. Bimbang pun ada apatahlagi mendengar jemaah yang sudah puluhan tahun boleh berpecah”, jawab murid.

“Anakku, bermula kejatuhan  suatu kumpulan ialah apabila ahli-ahli gerak kerja hilang ikhlas iaitu ada perasaan 'Mahu Orang Tahu Aku Buat Apa'. Maka banyak kerja organisasi yang melibatkan kerahsiaan, tidak lagi rahsia bocor dalam media sosial. Musuh Islam bergerak dengan penuh rahsia + organisasi rahsia sementara banyak gerakan Islam pula ahli mereka terkena riya', lentok berbicara”. Apa yang berlaku apabila tarbiyah rohaniah diabaikan”

#angahsunan
#celotehmuridguru
#santaibantai



Friday, 7 July 2017

GERAK SILAT GERAK MAKRIFAT



Silat 

Kata Ayahanda kami, Silat ringkasan dari perkataan Silaturahim. Seorang persilat sejati yang bersanad dengan para Aulia adalah zahirnya bersilaturahim sesama insan dan batinnya bersilaturahim dengan Allah. Sanad batin adalah sama iaitu Syuhud dengan Allah dalam setiap langkah, ia adalah pakaian yang sama semua pendekar Alam Melayu, justeru itu tiada bercerai pendekar sejati dengan ilmu Tauhid Makrifat dan Tasawwuf. Ia adalah sanad yang menyambung sampai pada Rasulullah. Adapun sanad Zahir seperti gerak, langkah, bunga, kunci dan buah adalah dicipta atau ilham yang datang daripada para Guru Silat yang dinisbahkan pada pengasas.

Maka apa jua ilmu yang dinisbahkan sanad sampai pada RASULULLAH adalah sanad Syuhudiah bukannya sanad kaedah atau bentuk seperti persilatan, perubatan, gerak jurus, zikir tareqah dan lain-lain. Maka apabila batin mereka tiada syuhudiah, maka ia adalah hal yang terputus sanadnya dengan RASULULLAH SAW.

Gerak Silat atau Jurus yang tiada berdiri atas Tauhid Syuhudi maka ia tiada kekuatan Illahiah tetapi hanya kekuatan yang berasaskan zahiriah semata-mata seperti latihan fizikal, gerak langkah, tenaga dalam, khadam wirid dan lain-lain.

Tiada Tauhid Syuhudi maka pahlawan tersebut tiada miliki kekuatan yang hakiki, bagaimana mungkin mereka kuat jika gerak langkah mereka dalam kesyirikan berhala keakuan diri, ia adalah berhala batin yang bertali dengan iblis yang membuahkan kesombongan, riak dan ujub. Mereka terputus dengan ALLAH dan kekuatan hanya pada zahir semata-mata serta dibimbangi tanpa disedari kedatangan Jin-jin kafir yang membantu kekuatan atau jurus ghaib yang tujuannya untuk menyesatkan.

Segala ilmu yang tiada membuahkan Kefaqiran diri dengan ALLAH adalah tiada berdiri atas ketauhidan yang hakiki. Ia terputus dari sanad batin RASULULLAH. Zahirnya dilihat benar tapi batinnya adalah batil lantaran menyembah keakuan diri. 

Justeru itu segala ilmu dan amal wajib berdiri di atas ketauhidan Syuhudi bukannya iktiqadi. Tauhid iktiqadi hanya sah iman tapi tiada hancurkan berhala keakuan diri. Mereka tetap syirik dalam ilmu, amal, gerak diam yang membawa pada kesombongan.

Pendekar sejati baik ilmu gerak zahir atau jurus batin adalah mereka yang meletakkan kekuatan hakiki pada ALLAH dengan fana’ dalam tauhid Syuhudi. Dalam gerak adanya nafas, dalam nafas adanya al Hayat, dalam Al Hayat adanya Ar Rahman, dalam Ar Rahman adanya DZAT AHADIAH. Syariatnya bergerak pantas, hakikatnya diam sepi dalam Dzat Ahadiah. Tiada daya upaya walau satu gerak melainkan dengan pertolongan ALLAH. Insan wajib kembali pada sifat kefaqirannya yakni tiada miliki apa jua walau satu zarah dan Allah jua yang miliki segalanya. Ia adalah Tauhid yang hakiki yang wajib difahami, diingati, dirasai dan disyuhudkan.

Anak jati warisan bangsa melayu adalah pemilik Tauhid Makrifat, adab dan budi bahasa yang indah, bijaksana dalam melangkah dan Hebat dalam ilmu tempur persilatan.

"Silat Melayu indah tarinya
buahnya penuh keperkasaan
Batinnya silaturahim dengan Tuhannya.
Zahirnya silaturahim sesama insan.
Hidupkan kembali duhai anakku dengan warisan budaya bangsa ini demi pertahankan agama, negara dan maruah diri"


Akademi Silat Pendekar Muda adalah anjuran TV AL-Hijrah yang telah ditayangkan dengan jayanya pada tahun 2016. Ianya untuk menarik minat orang muda dalam mempelajari seni silat yang berteraskan Islam di samping mengekalkan budaya warisan bangsa. Program realiti ini akan memfokuskan kepada seni silat yang menepati ajaran Islam sebenar dan dapat melahirkan individu yang menepati ciri-ciri pemuda yang digariskan agama.

Iko Uwais, pesilat muda Indonesia yang mewarisi ilmu persilatan dari Ayahnya, Mustapha Kamaluddin mencipta nama dalam Dunia Perfileman. Mengangkat  Pesilatan dalam Filem Aksi. 
Setiap silat ada gerak dan falsafahnya, namun terasnya dalah tauhid dan jati diri. Sebagai contoh Teras Pendidikan Seni Silat Gayong (Silat Seni Gayong sebagai salah satu daripada seni silat Melayu tertua terlah terbukti mampu menjadi wadah untuk mempertahankan akidah dan maruah umat Islam).

Teras pendidikan Silat Seni Gayong pada dasarnya telah disimpul dalam kalimah Gayong itu sendiri:

Ga - mewakili genggam. Genggam bermaksud kepatuhan dan taat seti yang tidak berbelah bahagi kepada ajaran Islam dan amanah Silat Seni Gayong yang telah ditinggalkan al-marhum Dato' Paduka Meor Abdul Rahman, Pendita Agung Gayong.

Alif - mewakili angkat. Ia bererti kewajipan murid-murid Gayong untuk menjunjung kedaulatan Al-Quran dan syariatNya. Di samping itu juga, semua murid Gayong mestilah memelihara segala amanah sebagai murid dan ahli Gayong yang digenggam agar ia terus dihormati dan dipatuhi.

Ya - mewakili yakin. Bahawasanya kita beriman dengan kebenaran Al-Quran dan segala apa yang dilakukan hendaklah bertauhidkan Allah S.W.T. Semua murid dan ahli Gayong juga mestilah yakin dengan kelebihan ilmu yang dipelajari dan hanya menggunakannya untuk kebaikan.

Wau - mewakili waras. Waras dalam ertikata sedar, rasional dan penuh keinsafan atas segala tindakan dan keputusan yang hendak diambil. Ia menggambarkan bahawa seorang murid dan ahli Gayong tidak akan bertindak sesuka hati tanpa memikirkan buruk baik dan akibat sesuatu perkara.

Nga - mewakili ngeri. Ngeri dengan kebesaran Allah S.W.T. dan azab seksaanNya, ngeri dalam melakukan sesuatu perkara atau ketika mempamirkan Silat Seni Gayong dan kengerian yang terhasil apabila satu keputusan terpaksa diambil dalam saat-saat genting.

Lima huruf diatas juga melambangkan lima prinsip asas yang menjadi rukun atau teras agama Islam iaitu mengucapkan dua kalimah Syahadah, menunaikan sembahyang fardhu, berpuasa di bulan Ramadhan, mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji di Mekah. Lima huruf yang membina kalimah Gayong itu juga menekankan bahawa seorang murid Gayong itu mestilah menjaga kewajipan mereka sebagai seorang Muslim dengan menegakkan tiang agama iaitu menunaikan sembahyang fardhu lima kali sehari semalam. Pada hakikatnya, kekuatan seorang murid Gayong terpancar daripada keupayaan melaksana segala titah perintah Allah S.W.T. dan menjauhi segala laranganNya.

bacaan lanjut - http://alumnigayonguia.tripod.com/artikel/etikagayong.htm



#Sumber tulisan dari Ayahanda kami, kami hanya mengolah kembali. 


Enam Sebab Saya Berbangga Dengan Kemerdekaan Tanah Melayu

  1.Islam Berada Di Kedudukan Tinggi Dalam Perlembagaan   Saya sangat berbangga dalam rundingan kemerdekaan Tanah Melayu, ketika banyak nega...