Wednesday, 20 June 2018

Tokku Pulau Manis : Ulama' Penerus Legasi Sharif Muhammad Al Baghdadi



 “Bismillahir Rahmanir Rahim Syarif Muhammad, satu Raja yang memerintah akan negeri Baghdad kerana mengambil …(tak dapat dibaca) lalu pergi ke Mekah. Kemudian diturut orang akan dia. Maka lari ke Terengganu, lalu duduk di Ulu Pauh. Dan wafatlah ia di Pauh. Maka meninggalkan anak dua orang (keturunan salsilahnya), satu Abdullah, dan kedua Abdul Malik. Maka Abdul Malik itulah Datuk Pulau Manis yang keramat itu.”

(Petikan : Buku Penyebaran Islam dan Silsilah Ulama, Khazanah Fathaniyah. Penemuan manuskrip tulisan lama oleh Tuan Guru  Hj Wan Mohd Shaghir Abdullah yang diperolehi dari keturunan adik beradik ayah Tok Pulau Manis).



Menuju ke Makam
Saya ada sebuah buku yang sepatutnya dilancarkan pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) lepas, namun cadangan itu menjadi hasrat tertangguh selepas pelbagai hal yang tak diselesaikan. Buku yang bertajuk Menginsafi Amanat Leluhur (MAL) merupakan travelog dan catatan saya beberapa siri kembaraan di Wilayah Nusantara.  Saya juga tidak dapat bersama PBAKL kerana menyahut seruan umrah bersama keluarga tercinta.

alang-alang promo

Cetakan naskhah itu terus tertangguh tanpa sebab yang sukar saya jelaskan. Cuma baru-baru ini, sekembalinya saya di kampung halaman saya di Kampung Pulau Manis, Kuala Terengganu, saya mendapat jawapan.

Saya tersalah adab, itu lintasan yang hadir sebaik saya menziarahi Makam Tok Pulau Manis yang tidak jauh dari rumah ayahanda bonda, tempat saya dibesarkan. Saya telah menulis pengalaman termasuk kisah-kisah ulama’ yang saya ziarahi makam mereka, dari Pulau Jawa, Sulawesi, Kalimantan Utara sampai Fatani dan Champa.

Malang untuk saya yang tidak menulis sejarah ulama’ yang diakui kewaliannya berada ia di kampung saya sendiri. Syaikh Abdul Malik atau Tok Pulau Manis salah seorang ulama’ besar sekitar abad ke-18 merupakan pengarang Syarah Hikam Melayu yang masyhur itu. Bukan itu sahaja, Tok Pulau Manis malah telah memainkan peranan besar dalam pengasasan Kesultanan Terengganu.  Tok Pulau Manis juga pelapor pertama dalam pembinaan sistem pendidikan madrasah yang berjaya membangkitkan kesedaran jiwa beragama masyarakat Terengganu. Pada masa yang sama, Tok Pulau Manis telah berperanan sebagai ulama’ Istana, mursyid, pengarang, tokoh  sufi dan tempat rujukan dasar-dasar kerajaan Islam Terengganu.

Sebelum saya menulis lanjut, Tokku Pulau Manis atau Tok Pulau Manis adalah individu berbeza dengan Tokku Paloh. Ini kerana ramai yang menanggap keduanya adalah individu yang sama. Sebenarnya tidak. Saya juga ingin nyatakan disini, rujukan utama rencana saya ini bersumber kitab Manaqib Tokku Pulau Manis karangan Ayahanda saya sendiri.


Kampung Pulau Manis

Kampung Pulau Manis yang terletak di Mukim Serada, Kuala Terengganu mempunyai sejarah dan keunikan tersendiri. Kampung ini dikenali kerana adanya Wali Allah yang masyhur iaitu Syaikh Abdul Malik bin Abdullah atau nama sebenarnya Sharif Abdul Malik bin Sharif Abdullah dari keturunan Sharif Muhammad al Baghdadi yakni Ulama’ awal yang berdakwah di Terengganu berasal dari Baghdad. Syarif Muhammad al Baghdadi juga dikatakan Raja Mandalika yang menulis Batu Bersurat Terengganu. 

Keberadaan Syaikh Abdul Malik di kampung ini menyebabkan Syaikh digelar Tokku Pulau Manis. Makam beliau juga turut berada di Kampung ini.  Sebenarnya, ada dua buah kampung bernama Pulau Manis, satu di Serada dan satu lagi di seberang sungai iaitu Pulau Manis, Telemong, Mukim Telemong.


Masjid Kampung Pulau Manis, Serada, Kuala Terengganu yang berada berdekatan Makam Tokku Pulau Manis

Jika berhajat menziarahi Makam Tokku Pulau Manis, ‘set’ lokasi di GPS mesti lah Pulau Manis, Serada. Jika hanya ‘set’ lokasi Pulau Manis, keberangkalian tinggi GPS membawa kita ke Telemong.

Tokku Pulau Manis telah memainkan peranan penting dalam Kesultanan Terengganu di era Sultan pertama Terengganu iaitu Sultan Zainal Abidin I. Dikatakan juga Tokku Pulau Manis adalah ‘khalifah’ yang mewarisi pemerintahan Dinasti al Kamil Kota Temir yang diwarisi leluhurnya sebelum menyerahkan pemerintahan sebelum ini yang lebih kepada spiritual kepada Tun Jenal, anakanda kepada Tun Habib Abdul Majid, Bendahara Kesultanan Johor lama. Tun Jenal kemudian bergelar Sultan Zainal Abidin I sementara Tokku Pulau Manis menjadi penasihat Baginda. Keduanya telah memainkan peranan penting dalam penzahiran rahsia kerajaan Terengganu yang sebelum ini tersembunyi, hanya tercatat dalam Batu Bersurat kepada Kesultanan yang dizahirkan keizzahannya. Keterangan ini pada satu versi pendapat. Saya akan huraikan lebih lanjut ya. 


Kerajaan Sebelum Kesultanan Terengganu

Sejarah kerajaan pemerintahan Terengganu tidak ditemui oleh pakar sejarah. Sejarah kesultanan Terengganu hanya diketahui oleh pengkaji sejarah bermula dengan Sultan Zainal Abidin 1. Misbaha (Hj. Salleh bin Hj. Awang) mencatatkan :

Keturunan sebenar pemerintah-pemerintah negeri Terengganu tidak dapat ditegaskan dengan sahnya. Ini disebabkan hilang lenyap bukti-bukti dan cerita-cerita asli dari masyarakat tempatan. Ia hanya diketahui dengan tiba-tiba bahawa Negeri Terengganu diperintah oleh  Raja yang datang dari Johor selepas peristiwa “Sultan Mahmud Syah mangkat dijulang” (1699 Masihi). Ada juga yang mengatakan bahawa yang memerintah adalah dari keturunan Tun Telanai atau dari keturunan Megat. Para pengkaji sejarah Terengganu sendiri masih tidak menemui jawapan siapakah Sultan yang bergelar Seri Paduka Tuan atau Raja Mandalika seperti yang dimaksudkan dalam tulisan Batu Bersurat dimana pemerintahan tersebut berjalan mengikut hukum Islam.

“Di dalam Batu Bersurat ada faktor penting mengenai pemerintahan di Negeri Terengganu di kurun 14. Pertama dengan terangnya pada tarikh itu ada seorang pemerintah yang menguasai keseluruhan negeri yang bergelar Seri Paduka Tuan walaupun hingga sekarang ahli-ahli sejarah belum dapat menentukan siapakah gerangan pemerintah tersebut. Yang keduanya menunjukkan di daerah-daerah di dalam negeri ini pula ada Pemerintah Daerah kerana perkataan Mandalika adalah bahasa Sanskrit yang bermakna, “berkaitan dengan pemerintahan sama ada raja-raja tempatan yang merdeka atau ketua daerah.” Sekurang-kurangnya Negeri Terengganu mempunyai lima daerah yang dikuasai oleh raja-raja daerah atau ketua jajahan yang diketuai oleh seorang Ketua Pemerintah atau Raja Negeri. Daerah itu ialah Hulu Terengganu sebagai pusat pemerintahan, Kuala Terengganu, Dungun, Kemaman dan Besut atau mukim-mukim yang dianggap menjadi daerah bagi pusat pemerintahan Hulu Terenganu seperti mukim Teresat, mukim Hulu Kuala Berang, mukim Jenagor, mukim Terangan dan Hulu Telemong. Ini menunjukkan adanya pemerintahan atau raja sebelum kesultanan Terengganu yang pertama.” (Misbaha, Sejarah Darul Iman)

Pada pandangan guru saya, pemerintah yang dikenali sebagai Tengku Paduka atau Raja Mandalika adalah Syarif Muhammad al-Baghdadi. Selepas jatuhnya kerajaan Hindu-Budha, ia diganti dengan Kerajaan Islam. Pemerintah tersebut mestilah seorang yang arif dengan Islam dan mempunyai pengalaman pemerintahan serta mempunyai kemuliaan nasab dengan Rasulullah SAW yang dianggap sebagai golongan paling layak sebagai pemimpin. Sharif Muhammad al-Baghdadi adalah pengasas kerajaan Islam pertama di Terengganu dan diikuti oleh keturunannya dan kemudiannya Sultan Zainal Abidin 1. 

Selepas kematiannya, ia diganti oleh anaknya Sharif Abdul Qahar, kemudian diganti anaknya Sharif Abdullah, kemudian kepada Sharif Abdul Malik (Tok Pulau Manis).

Dengan bantuan para pembesar dan pengikutnya, Sharif Muhammad membangunkan Kerajaan Islam pertama dan mendirikan ‘Kota Temir’ sebagai pusat pemerintahan dengan keluasan kira-kira 300 ekar (Kawasan ini sekarang dikenali sebagai Kampung Temer, terletak berhampiran dengan Kampung Pauh, Hulu Kuala Berang). Beliau memerintah dengan penuh kebijaksanaan dan keadilan serta menjalankan hukum-hukum Islam. wallahua'alam.

 

 

Kelahiran Sharif Abdul Malik


Mengimbas kembali, Shaikh Abdul Malik dilahirkan pada pertengahan tahun 1600M. Ia adalah putera kepada Sharif Abdullah, seorang pemerintah dan ulama yang amat disayangi rakyatnya. Nasabnya dari keturunan Rasulullah SAW, dihormati oleh sekelian raja-raja dan pembesar-pembesar negeri. Bayi itu bernama Sharif Abdul Malik bin Sharif Abdullah. 

Sharif Abdul Malik membesar dengan penuh kasih sayang dalam suasana agama. Tubuhnya sederhana, wajahnya menarik pada siapa yang melihatnya. Amat halus budinya, amat kuat ingatannya, cintakan ibadah dan suka bersendirian.


Pemergian ke Aceh

Setelah lama menuntut ilmu dengan ayahandanya dan para ulama tempatan, Sharif Abdul Malik disuruh ayahandanya belayar menuntut ilmu di Aceh pula. Sebagai seorang yang cintakan ilmu, ia bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal. Aceh ketika itu merupakan pusat ilmu di Nusantara. Ia menjadi tempat pengajian pertama sebelum seseorang itu melanjutkan pelajaran ke Mekah. Ia juga dikenali sebagai serambi Mekah.

Kemasyhuran seorang ulama di Aceh bernama Syaikh Abdul Rauf Singkel yang bergelar Tok Syekh Kuala sudah sampai pada pengetahuannya. Ayahandanya mahu anaknya itu mendalami ilmu dengan bersungguh-sungguh supaya apabila ia kembali pada Allah, anakandanya akan mewarisi pemerintahan Kota Temir nanti.

Sampai Di Aceh, Sharif Abdul Malik bersama sahabatnya terus menuju ke madrasah Syaikh Abdul Rauf Singkel. Syaikh Abdul Rauf Singkel atau Syaikh Abdul Rauf Al Fansuri adalah ulama yang masyhur di Aceh. Beliau adalah murid kepada dua ulama yang terkenal di Mekah iaitu Syaikh Ibrahim Al-Kurani dan Syaikh Ahmad Al-Qusaisyi. Syaikh Abdul Rauf ketika itu adalah ulama istana, alim dalam bidang ilmu hadis, fiqh, usuludin, nahu, saraf, tafsir, tasawuf dan juga merupakan pemimpin Tarekah Syathariah.

Dipercayai sewaktu belajar di Aceh bersahabat dengan beberapa orang yang akhirnya menjadi tokoh dan ulama besar. Mereka ialah Syeikh Yusuf Tajul Khalwati al-Makassari dari Bugis-Makasar, Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan dan Syeikh Burhanuddin Ulakkan dari Sumatera Barat dan ramai lagi.

Apabila Syaikh Kuala melihat beliau telah dapat menguasai beberapa ilmu dengan baik seperti ilmu hadis, tafsir, nahu, saraf, fiqh dan tasawwuf, beliau melihat muridnya itu sudah layak untuk dibaiahkan dengan tarekah Syathariah (Syathariah bermakna jalan singkat, diasaskan oleh Syaikh Abdullah Shattar (832 H/1415 M), ia adalah tarekah tua yang begitu hebat pengaruhnya pada masa dahulu. Dua tokoh besar Nusantara iaitu Syaikh Abdul Rauf Singkel dan Syaikh Daud Al-Fathani bertanggungjawab menyebarkan tarekah ini di Nusantara. Syaikh Daud al-Fathani mengarang kitab Dhiyaul Murid yang membicarakan perjalanan Tarekah Syathariah ini).

Tok Pulau Manis adalah pengamal tarekah Syathariah yang diambil dari Gurunya Syaikh Abdul Rauf Singkel ketika di Aceh. Dari riwayat yang masyhur, walaupun  Tok Pulau Manis juga mengamalkan Tarekah Syazaliah tetapi ia menumpukan kepada penyebaran Tarekah Syathariah dan amat berpengaruh pada zamannya di Negeri Terengganu. Sehingga kini amalan tarekah ini masih wujud dan diamalkan di kalangan keturunan dan murid-muridnya.

 

Menyambung Pengajian ke Mekah


Setelah kira-kira 10 tahun menuntut di Aceh, Sharif Abdul Malik diperintah Gurunya supaya menyambung pelajarannya ke Mekah dan Madinah. Setelah mendapat restu dari Gurunya, Sharif Abdul Malik dan sahabatnya yang taat kepada petunjuk Guru mereka telah melanjutkan pelajaran ke Mekah dan Madinah sekitar tahun 1680-an dalam usia 30-an. Mekah ketika itu menjadi pusat pengajian agama peringkat tertinggi. Disamping menjadi pusat berkumpulnya para ulama yang besar dan sebagai pusat pengajian, Mekah juga menjadi  pusat kegiatan mengarang atau menterjemahkan kitab-kitab ke dalam bahasa Melayu (Jawi).


 

Mengarang kitab Hikam Melayu


“Maka telah menyuruh akan daku menterjemahkan kitab Hikam oleh para sahabatku...” [Petikan kata-kata dalam muqadimah syarah Hikam beliau]
Ketika di Mekah, para sahabatnya menyuruh Sharif Abdul Malik mensyarahkan kitab Hikam karangan Syaikh Ibnu Atha’iLlah As-Kandari dalam bahasa Melayu. Ini kerana mereka mengetahui akan kealimannya dalam ilmu kerohanian dan berharap beliau melakukan yang demikian demi perkembangan tasawuf di Nusantara.

Walaupun tugas itu amat berat, namun beliau setuju melaksanakan usaha itu demi perkembangan agama dan manfaat masyarakat khususnya di Nusantara. Guru saya menceritakan dalam kuliah Hikamnya, apabila meneliti matan-matan Hikam Syaikh Ibnu Atha’iLlah, Tokku Pulau Manis kemudiannya menerima baiah Tarekah Syaziliah yang merupakan pengamalan tarekah Syaikh Ibnu Atha’iLlah. Hal ini dilakukan dengan tujuan untuk mengetahui dan memahami liku-liku kerohanian pengarang kitab Hikam itu. Ini melambangkan sikap waraknya agar syarahnya tidak lari dari kehendak Syaikh Ibnu Atha’iLlah.



Mengarang Kitab Naql

Setelah berada kira-kira tiga tahun di negerinya, Syaikh Abdul Malik diminta oleh para ulama dan para pembesar mengarang kitab untuk menyelesaikan permasalahan sembahyang Jumaat kerana berlakunya keadaan di sesetengah tempat bilangan penduduknya tidak cukup 40 orang. Walaupun sudah ada ramai ulama ketika itu, tetapi beliau dianggap paling layak untuk memberi penjelasan mengenai masalah itu.

Syaikh Abdul Malik yang memang minatnya suka mengarang telah bersetuju dengan permintaan tersebut. Maka terhasillah kitab yang bernama Naql yang memberi huraian dan jawapan terhadap permasalahan di atas. Beliau merujuk kepada banyak pendapat terutamanya pendapat Imam Syafie pada qaul Qadim dan qaul Jadid, serta pendapat Imam-Imam Mazhab yang lain.


Pulang ke Tanahair


Dalam usia 40 tahun, Syaikh Abdul Malik kembali ke tanah air melalui lautan yang luas. Ketika melihat lautan yang luas, beliau menyedari bahawa kepulangannya itu membawa harapan yang menggunung tinggi dari ayahandanya dan sekelian rakyat jelata.

Sebaik kapalnya tiba di pelabuhan Kuala Berang, Syaikh Abdul Malik disambut dengan air mata kegembiraan oleh ahli keluarga dan rakya jelata. Kealiman dan kewaliannya sudah diketahui dan masyhur di negerinya. Beliau melihat ayahandanya sudah uzur dan memahami akan bebanan pemerintahan yang akan dipikulnya selepas ayahandanya.

Setelah beberapa bulan berada di negerinya, ayahandanya telah menjodohkan Syaikh Abdul Malik dengan  Puteri Mahpuri, anak seorang pembesar yang berasal dari kerabat Diraja  Johor yang kemudiannya menetap di Terengganu, iaitu di Kampung Batu Hampar. Mertuanya bergelar Tok Raja Lila (Misbaha,1978:103).

Sharif Abdul Malik mempunyai beberapa nama gelar misalnya Tokku Pulau Manis, Tok Syaikh Pulau Manis dan Dato' Syaikh Abdul Malik. Syaikh juga pernah menggunakan nama pena Haji Abdul Malik Bin Abdullah Al Jawi Al Johori pada suatu kitab yang dikarang oleh syaikh ketika berada di Johor. Dipercayai kitab ini berada di tangan salah seorang keturunannya. 


Menyerahkan 'Takhta'nya

“Dari sumber yang amat dipercayai, Tok Pulau manis adalah orang yang bertanggungjawab membawa Tun Jenal ke Terengganu untuk ditabal menjadi Sultan dan kemudian dikahwinkan dengan anak perempuannya.”-  Ulama Terengganu Suatu Sorotan, Mohamad Abu Bakar.  

Selepas ayahanda yang dikasihinya mangkat, Syaikh Abdul Malik telah dilantik menjadi pemerintah kerajaan Islam Temir ketika itu. Beliau menerima perlantikan tersebut dengan berat hati. Bebanan pemerintahan membuat dirinya terikat dengan pelbagai urusan dan menjadikannya semakin sibuk. Ketika malamnya selepas menjalankan tugas pemerintahan, jiwanya bergolak inginkan kebebasan, jiwanya lebih cenderung kepada mengajar, berdakwah, mengarang dan beruzlah.

Setelah lama berfikir dan melihat bebanan tugas pemerintahannya semakin banyak, beliau mendapat ilham agar dicarinya seorang pengganti untuk dilantik menjadi Sultan Terengganu.

Setelah dibuat penelitian serta petunjuk firasatnya, Syaikh Abdul Malik melihat bahawa Tun Jenal, anakanda Bendahara Kesultanan Johor lama iaitu Tun Habib Abdul Majid layak untuk mengambil alih pemerintahannya. Beliau sudah mengenali Tun Jenal kerana Tun Jenal pernah beberapa kali berkunjung ke Terengganu ketika menziarahi serta berguru dengannya. Malahan Tun Jenal bukannya orang lain, baginda mempunyai pertalian keluarga disebelah isterinya Puteri Mahpuri. Syaikh Abdul Malik kemudian bermesyuarat dengan pembesar-pembesarnya, dan dengan pertolongan Allah mereka bersetuju tapi dengan dua syarat. Pertama, Syaikh Abdul Malik tetap menjadi penasihat dan guru kepada istana. Keduanya, Tun Jenal dikehendaki mengahwini puterinya Siti Zubaidah untuk memastikan keturunannya terus memerintah Terengganu.

 

Dengan keputusan itu, Syaikh Abdul Malik pun menghantar utusan ke Johor untuk memanggil Tun Jenal ke Terengganu untuk ditabal menjadi Sultan di Terengganu. Apabila berita tersebut sampai kepada Tun Jenal, baginda bersetuju kerana amat kasih dan hormat pada gurunya itu.

 

Apabila Tun Jenal sampai ke Hulu Terengganu, baginda terus ditabal menjadi Sultan Terengganu dengan gelaran Sultan Zainal Abidin 1. Upacara perlantikan diadakan di Tanjung Batu, Hulu Kuala Berang (1138 H/1725 M).  (Buku Ulama Terengganu Satu Sorotan, Muhammad Abu Bakar). Kemudiannya baginda dikahwinkan dengan puteri sulungnya bernama Siti Zubaidah. (Sejarah Darul Iman, Misbaha)

 

Syaikh Abdul Malik tidak terus meninggalkan istana. Walaupun Tun Jenal memerintah, beliau tetap memantau dan memberi nasehat. Itulah janjinya kepada  para pembesar dan rakyat jelata. Ketika pertabalan hendak dilakukan, beliau merangka perjanjian mewakili para pembesar dan rakyat agar menantunya Tun Jenal memerintah dengan adil mengikut ajaran Islam.


Kandungan baiah itu berbunyi :

“Wa bad, kemudian daripada memuji Allah dan selawat atas RasulNya. Ampun Tuanku beribu-ribu ampun serta limpah kurnia Duli Tuanku kepada patik menyembahkan ke bawah Duli Tuanku akan pekerjaan yang beroleh manfaat yang sebesar manfaat Tuanku kepada negeri akhirat di sanalah tempat tentunya oleh segala orang yang beroleh kesenangan dan kerajaaanNya yang kekal dan lagi beberapa faedahnya patik menyembah ke bawah Duli Tuanku yang memberi manfaat pada negeri akhirat yang lalaikan pekerjaan dari segala Raja-Raja, iaitu menyuruh segala rakyat berbuat kebajikan dan menegahkan pekerjaan yang mungkar kerana beberapa faedahnya yakni menyuruh mengerjakan kebaikan itu atas segala Raja-raja yang hendak berbahagia pada negeri akhirat. Maka hendaklah Tuanku fikirkan sesuatu itu daripada kalamuLlah Taala dan serta hadith daripada RasuluLlah salla ‘Llahu ‘alayhi wa sallam pada pekerjaan suruh kebajikan dan tegah yang mungkar dengan firmanNya, “Bermula segala mukmin laki dan segala mukmin perempuan setengah mereka itu memerintahkan setengahnya yang menyuruh mengerjakan kebajikan dan menegahkan mereka itu daripada segala pekerjaan yang mungkar maksiat yang maksiat.

Barangsiapa tiada menyuruh berbuat yang kebajikan dan tiada menegahkan yang mungkar sama ada Raja-Raja dan lainnya nescaya keluarlah ia daripada orang mukmin, maka hendaklah Tuanku fikirkan dengan sungguh-sungguh akan katanya, keluarlah ia daripada nama mukmin, maka tinggallah nama orang yang tiada beriman. Apabila menyuruh berbuat kebajikan dan tegah daripada pekerjaan mungkar, maka kepada faham patik fasal menyuruh kebajikan dan tegah mungkar ini sebesar-besar telah tanggungan Tuanku kepada Allah Subhanahu Wa Taala menyukakan segala manusia barang titah Tuanku, maka wajiblah atas segala rakyat yang ada dalam negeri ini mengikut suruh Tuanku daripada pekerjaan yang wajib dan yang sunat dan yang harus, bersalah-salahan pada pekerjaan yang haram. Maka wajib atas segala rakyat mengikut demikian.”( Tesis Institusi  Syaikh Abdul Malik, Dr Shafei Abu Bakar).


Pengkisahan di atas tidak sunyi dari krtikan kerana pada versi yang lain sebagaimana tercatat dalam Tuhfat al Nafis, apabila Raja Kechik meningga dunia atau Sultan Abdul Jalil Rahmat Syah (1718-1722M) menerima kekalahan dari putera-putera Raja Bugis dalam tahun 1722, maka naiklah Raja Sulaiman iaitu putera kepada Sultan Abdul Jalil Syah menjadi Sultan Johor ke-12 dengan gelaran Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah (1722-1760M).

Sultan Abdul Jalil Syah adalah anakanda Tun Habib Abdul Majid sekaligus merangkap saudara kandung Tun Zainal (Sultan Zainal Abdidin I Terengganu). Sultan Abdul Jalil Syah adalah Sultan pertama Kesultanan Johor dari keluarga Bendahara selepas kemangkatan Sultan Mahmud Syah II mangkat dijulang yang mangkat tanpa waris. Sultan Mahmud adalah dari keturunan langsung Kesultanna Melaka dari jalur Sultan Alauddin Riayat Syah II yang merupakan anakanda Sultan Mahmud Syah yakni Sultan terakhir Kota Melaka.

Jajahan Baginda pada masa itu merangkumi Johor, Riau, Lingga dan Pahang. Kemudian Sultan Sulaiman dan saudara Baginda, Tun Mahmud Indera Bongsu merangkap Yang Dipertuan Muda Johor memerintahkan Daeng Menambun ke Terengganu menabalkan Tun Jenal atau Tun Zainal ke Terengganu menjadi Sultan Terengganu. Setelah selesai perlantikan, Daeng Menambun kembali ke Riau kembali.

Menurut satu lagi versi, Tun Jenal diangkat menjadi Sultan Terengganu oleh Raja Patani, ditabalkan oleh Qadhi Wan Imam Mahmud bin Faqih Haji Wan Hasan al Kubra dan Tun Jenal telah dikahwinkan dengan Nong Royagah yang merupakan adik Raja Mas Jayam (1707-1710M).  Pelantikan Sultan Zainal Abidin I kemudian diabsahkan lagi oleh empayar Johor – Riau - Lingga - Pahang.  Sultan Zainal Abidin I mempunyai ramai isteri dan perkahwinan Sultan Zainal Abdin I dengan anak Dato’ Syaikh Abdul Malik atau Tokku Pulau Manis selepss Baginda menaiki takhta.
Wallahu a’lam.


Saya tidak berniat memanjangkan kupasan pendapat manakah paling benar mengenai pelantikan Tun Zainal. Saya serahkan pada pembaca untuk kajian lanjut. Apa yang pasti, Tokku Pulau Manis adalah figura penting ketika zaman pemerintahan Sultan Zainal Abidin I.


Mendirikan Madrasah

“Pengaruh Tok Pulau Manis amat besar pada Negeri Terengganu dalam menanam dan membangunkan jiwa agama pada penduduknya. Para ulama di zamannya amat memandang tinggi padanya dan ia menjadi tempat rujukan segala permasalahan. Kitab Naql yang dikarangnya selepas tiga tahun kembali dari Mekah adalah jawaban kepada permasalahan masyarakat hari itu terhadap persoalan sembahyang Jumaat. Apabila diteliti karangannya itu, ternyata Tok Pulau Manis bukan sahaja seorang yang alim dalam ilmu tauhid dan tasawwuf tetapi amat tinggi juga dalam bidang fiqh. Amat sedikit sebenarnya untuk berjumpa dengan para ulama masa kini yang alim kedua-dua ilmu iaitu ilmu syariat dan hakikat sebagaimana ulama-ulama dahulu. Kitab karangannya ialah Syarah Hikam Jawi, kitab Naql yang membahas hukum sembahyang Jumaat yang dikarangnya selepas tiga tahun balik dari Mekah, kitab Kayfiyat al-Niyyat yang didasarkan sebahagian dari kitab Ihya’ Ulumuddin dan kitab Kifayah yang merangkumi masalah usuludin dan fiqh. Kitab Sirabil Muntaha adalah kitab yang membicarakan perjalanan ilmu hakikat dan makrifat.

“Pendidikannya telah berjaya melahirkan ramai para ulama dan kemudian ia berkembang dari generasi ke generasi sehingga kini. Tapi sayang ketokohannya yang tidak jauh dari Syaikh Abdul Rauf Singkel, Syaikh Hamzah Fansuri, Syaikh Daud al-Fathani tidak ditonjolkan dengan bersungguh-sungguh oleh para pengkaji di Tanah Melayu sebagaimana para ulama Aceh dan Fathani tersebut. Tok Pulau Manis adalah pelopor pengajian pondok pertama di Tanah Melayu, segala perkembangan ilmu dan pondok kini adalah datang dari usaha gigih beliau memperjuangkannya 500 tahun lalu. Sepatutnya sebagai pelopor dan pencetus pendidikan pondok di Tanah Melayu, nama dan jasanya dikenang dan dimasyhurkan pada seluruh negara. WaLlahu ‘alam) - Tesis Institusi Syaikh Abdul Malik, Syafii Abu Bakar, UKM 

Tok Pulau Manis Pulang ke Rahmatullah


Pada pagi Jumaat di tahun 1736M bersamaan 1149 Hijrah, Tok Pulau Manis pulang menghadap Kekasihnya dalam usia 86 tahun. Khabaran itu bagaikan halilintar kepada para penduduk Kampung Pulau Manis. Pada hari itu, para murid, ahli keluarga dan penduduk tempatan bagaikan direngut jiwa mereka, tiada kata-kata yang dapat mengungkap kesedihan hati mereka, hanya air mata yang berlinangan.

Hingga kini, para pencintanya terus menziarahi Makam Tokku Pulau Manis walaupun Ramai generasi baru di Kuala Terengganu sendiri tidak mengenali beliau. Mereka mengenali Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Shaikh Abdul Malik kerana sekolah ini terkenal sebagai sekolah elit yang cemerlang namun siapakah tokoh itu tidak ramai yang tahu.

Pernah sahabat saya datang dari Kuala Lumpur berhajat menziarahi Makam Tokku Pulau Manis, apabila ditanya kepada orang tempatan, banyak menjawab, “Tokku paloh kami tahu, Tokku Pulau Manis dok rajin dengor”. Walaupun jawapan itu tidak mewakili semua orang tempatan, namun jawapan itu memang kebiasaan hasil pemerhatian penulis. Ada juga yang tahu rajin dengor tapi tak pernah tahu sejarah.

Makam Sharif Abdul Malik atau Tokku Pulau Manis

Negri Terengganu adalah bumi auliya’Allah, banyak sejarah dan makam para ulama’ dan arif billah di sini. Ketahui lah kehebatan akar umbi anda. Tok Pauh, Tok Baghdadi, Shaikh Abdul Kadir Bukit Bayas, Tokku Paloh, Tok Syaikh Duyong, Tokku Tuan Besar, Tokku Syed Saggaf, Tok Pelam, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong, Tuan Curu Che Leh Keramat, Tuan Guru Haji Abbas dan ramai lagi para Ulama’ yang tak dapat saya senaraikan semuanya.

Wahai Sharif yang dimuliakan Allah, barakahmu sentiasa terus mengalir. 

Sekian,

Angah Sunan,
Pengasas Sunan Press PLT
Anak Jati Kampung Pulau Manis


Tuesday, 29 May 2018

Seni Sukma Kencana - Seni Pedang Melayu


SENI SUKMA KENCANA - SENI PEDANG MELAYU

Telah diizinkan berperang kepada orang-orang yang diperangi kerana sesunggunya mereka telah dianiyai (Al –Hajj : 39)

Baru-baru ini, Takdir telah menemukan saya dengan pengasas dan guru utama perguruan Seni pedang Sukma Kencana. Banyak yang kami bualkan bermula ilmu perkerisan, alam melayu hingga membawa ke seni pedang. Menurut Tuan Nara Paduka Haji Muhammad yang merupakan guru utama perguruan, umum mengetahui peranan, sejarah keris dalam sejarah peradaban orang melayu. Namun bagaimana kah dengan pedang? Soalan ini adalah mukaddimah kepada seribu satu cerita.

Beliau menerangkan, pedang melayu merupakan salah satu komponen yang signifikan dalam budaya melayu tetapi ianya tidak begitu popular berbanding keris. Pedang dicipta untuk satu maksud sahaja iaitu pertempuran. Ia adalah senjata khusus yang kemudiannya menjadi simbol status dan pangkat di kalangan bangsawan Melayu. Penggunaanya juga terhad kepada golongan Istana sahaja.

Antara faktor kenapa pedang tidak sepopular pedang kerana dari segi kos. Selain itu, tempoh masa yang diperlukan untuk berlatih ilmu pedang yang lama selain pantang larang yang tidak membenarkan rakyat biasa menggunakan pedang.

Seperti di Perak, pedang Cura Si Manjakini yang dikatakan berasal dari milik Sang Sapurba telah diwarisi Kesultanan Perak. Pedang tersebut melambangkan keagungan dan kekuasaan Raja Pemerintah telah menjadi alat kebesaran turun-temurun bagi Sultan yang menaiki takhta Kesultanan Perak.

Pedang bukan parang, bukan sundang. Seni permainannya juga berbeza. Permainan pedang merosot apabila permainan pedang seperti tetakan parang. Hilang seni dan tertibnya.

Jenis Pedang Melayu

Pedang traditional melayu termasuk pedang Jenawi, pedang Chenangkas, Chunderik, pedang Sundang (bukan keris sundang) dan parang Anak Buaya atau Buaya Berenang. Terdapat juga senjata-senjata asing seperti Syamsir (Parsi) dan Talwar (India) yang telah diserap ke dalam kumpulan pedang melayu.

Pedang melayu juga dicantikkan dengan kesenian ukiran bertakhtakan emas dan perak serta permata. Adakala matanya berpamor dan diukir dengan wafaq dan ayat -ayat Al Quran serta ukiran sulur bayung yang membawa makna falsafah mistik pedang dan peperangan.


 Seni Sukma Kencana

Salah satu seni pedang melayu yang kian dilupakan sedang diperkenalkan kembali. Seni Sukma Kencananya gelarnya, warisan daripada seorang ulama’, Syaikh Abdul Latif Al Khalidi kini sedang dikembalikan oleh waris Syaikh iaitu Tuan Nara Paduka Haji Muhammad melalui perguruan Seni Sukma Kencana. Shaikh Abdul Latif Al Khalidi berasal dari Sumatera Utara dan melalui sumber lisan, nenek moyang Shakh dari Jazirah Arab. Apabila sampai ke Tanah Melayu, Shaikh Abdul latif Al Khalidi yang juga pengamal tarekah Naqsyabandi Khalidi menginovasikan seni permainan pedang Arab dengan kesesuaian budaya orang di sini. Tuan Paduka Nara generasi kelima Shaikh Abdul Latif mewarisi seni pedang ini dari leluhurnya kemudian beliau ‘brand’ kan kembali dengan nama Sukma Kencana.

Menurut Tuan Nara Paduka Haji Muhammad, Seni Pedang Sukma Kencana ialah seni pedang Melayu yang berteraskan konsep mempertahankan diri dari serangan musuh. Sistem ini lebih menumpukan kecekapan teknik dan kepantasan tindakan berbanding kekuatan fizikal, membuatkan sesuai untuk dipelajari semua golongan. Ia juga merupakan satu kaedah pembelajaran kinestetik dan melibatkan latihan psikomotor yang meransang kordinasi minda dan anggota badan. Teknik pedang Sukma Kencana tidak menggunakan kaedah “berlaga pedang” seperti kebanyakan seni pedang lain. Oleh itu, pedang yang digunakan juga direka khas mengikut kesesuaian sistem beladiri ini.

Pedang Sukma Kencana

 Reka Bentuk Pedang Sukma Kencana

Berikut adalah reka bentuk dan struktur pedangnya. Ia terdiri dari dua diri utama iaitu hulu dan mata pedang. Pedang Jenawi dipilih kerana ia sesuai dengan seni permainan Sukma Kencana. Jika diperincikan lagi, disana ada tapak kijang, simpai, pasak, leher, gandik, dagu, muka, hujung, pucuk, awak dan belakang pedang. Lihat gambar (dengan izin Guru Utama):

Reka bentuk



Seni Permainan

Permainannya terbahagi bermula dua buah gerak asas iaitu :

1.     Penanti Hamzah I – Pedang dihunus

Dari gerak Hamzah I lahir peringkat Umar I iaitu seni tangkis dan serang. Kita mempelajari bagaimana menangkis dan menyerang ketika pedang terhunus. Mempunyai 11 buah dan buah ke 11 dipecah dua. Jumlah buah keseluruhan adalah 12 buah.

2.      Penanti Hamzah II – Pedang dalam sarung

Dari gerak Hamzah II lahir peringkat Umar II iaitu seni tangkis dan serang juga. Kita mempelajari bagaimana menangkis dan menyerang ketika pedang di dalam sarung atau dipanggil ‘makan gerak'. pergerakan peringkat Umar II tidak terhad, berdasarkan kepada beberapa gerakan asas yang boleh dikembangkan atau diadaptasi mengikut senario dan keadaan semasa. 

Dalam kedua-dua buah tersebut, kita turut menekuni bagaimana menyerang dari pelbagai arah, menangkis serangan dari ruang yang banyak dan menghadapi serangan musuh yang menggunakan sengata lain seperti keris, parang, lembing dan lain-lain.

Seni pedang ini adalah berpaksikan penanti. Ia bermaksud kita hanya menanti musuh sambil berdiri tegak, tidak menanti dengan membuka kekuda. Gerakan terhad seperti berpijak antara dua papan sahaja. Sementara antara disiplin bertempur dalam seni pedang suka kencana adalah kita tidak mengelak, tidak lari, tidak berlaga mata pedang dan kita menghalang hayunan pedang lawan menggunakan bahagian belakang pedang bukan matanya.


Kaedah AHMAD

Sekiranya mahu menangkis, maka mestilah melihat tepat arah dan kedudukan musuh. dalam perguruan seni pedang sukma kencana.  Ada suatu seni berdiam dan menangkis nama Alif Ha Min Da yakni Ahmad. Kaedah ini sebenarnya asas kepada permainan pedang Sukma Kencana. Gabungan Penanti Hamzah I dan kaedah Ahmad membentuk buah - buah dalam peringkat Umar I. Bagi memudahkan faham, saya gambarkan dalam gambar rajah berikut –


Pemetaan AHMAD

Pemetaan AHMAD ini bertujuan melihat cara memandang lawan hadapan dari sudut yang empat. Setiap abjad hijaiyah baik Alif, Ha, Mim dan Da mempunyai seni dan kaedah tangkis masing-masing jika diserang dari arah tersebut.


Tahap Uthman

Para pelajar yang telah menguasai asas teknik Hamzah, Umar dan Ahmad yang memakan masa lebih kurang 6-7 bulan boleh menyambung pengajian ke peringkat Uthman. Menurut Tuan Nara Paduka, para pelajar yang sudah khatam asas dan berminat menjadi ‘master’ mesti melalui tahap ini.  Para pelajar akan mempelajari sekaligus menguasai permainan pedang sambil menggunakan perisai. Ini adalah asal permainan sukma kencana. Permainan perisai tidak diajar dari awal kerana sistem pelajaran Seni Sukma Kencana bersesuaian dengan 'learning curve' atau lengkungan pembelajaran dari yang mudah kepada yang lebih kompleks. Pelajar mesti membiasakan diri mengendalikan pedang sebelum dibenarkan menggunakan teknik dua senjata. 


Akhir kalam

Guru Utama, Nara Paduka Haji Mohammad dengan anak - anak muridnya

Semoga seni pedang melayu tidak akan semakin hilang. Saya besyukur kepada Allah ditemukan insan yang bertungkus lumus menjaga seni, budaya alam melayu. sungguh, takkan melayu hilang di dunia bak kata laksamana Hang Tuah. saya tidak ceritakan semua dalam artikel ini, jika para sahabat berminat mempelajarinya, boleh menghubungi langsung Guru Utama Tuan Nara Paduka (0189791019) dengan adab sebaiknya.  




Monday, 26 March 2018

Tatacara Memandikan Keris : Antara Adat dan Saintifik



"Rujukan utama artikel ini ialah temu ramah bersama Guru penulis, Mohd Zainuddin Abdullah, penyelidik di Perbadanan Adat Melayu & Warisan Negeri Selangor (PADAT) dan pandang sisi saintifik dari Yusoff Ariff serta olahan penulis (Angah Sunan)". 

Firman Allah Taala dalam Surah Al Hadid ayat 25,

"Dan kami ciptakan (turunkan) besi yang padanya terdapat kekuatan yang hebat dan pelbagai manfaat bagi manusia (supaya mereka menggunakan besi itu).."

Musuh kepada bilah keris ialah karat. Ini suatu perjanjian yang sudah tersurat. Oleh itu, pemakai atau penyimpan keris bukan sekadar seronok menyimpan akan tetapi wajib mengambil tahu tatacara penjagaan agar termasuk golongan yang bersyukur setelah mendapat amanah keris pusaka atau memiliki keris yang tinggi maharnya.

Oleh kerana karat adalah musuhnya, keris mesti ditatacarakan dengan mandian yang bertujuan merawat keris. Di luar sana, terdapat mereka yang menuduh amalan ini dipenuhi unsur khurafat dan syirik. Sepanjang pemerhatian dan praktikal saya sendiri melakukan mandian keris ini, tidak terdapat unsur khurafat atau syirik seperti tuduhan yang dilemparkan. Hanya sebenarnya mereka tidak faham atau jahil lalu berperang dengan kejahilan mereka sendiri. 


Waktu Memandikan Keris
Bila-bila sahaja yang dirasa perlu. sebaiknya setahun sekali. Pemakai keris tidak selalu memandikan keris kerana bimbang pamor keris rosak selain meninggalkan kesan dama pada bilah. Memadai sekali setahun.

Hanya keris yang rosak, berkarat teruk sahaja dirawat. Oleh kerana itu, adab berkeris, kita mesti meminta izin pemilik jika ingin melihat kerisnya. Sekiranya kita dipercayai memperlaku dengan baik akan keris itu, kita akan di izinkan. Apatahlagi memegang dan menyentuh bilah. Cara dan adab memegang bilah keris dengan betul adalah tidak memegang hulu dan meletakkan bilah atas kuku ibu jari. Ia bertujuan agar bilah keris tidak disentuhi tapak tangan. Tapak tangan mengandungi lembapan peluh yang bersifat asid boleh mempercepatkan kerosakan bilah.

Sinonimnya, istiadat mandikan keris ini dilakukan pada bulan Muharam. Bulan itu dipilih kerana ia adalah tahun baru dan mudah diingati kerana catatan kalendar secara lengkap tidak mudah didapati seperti kita sekarang. Apabila mereka mencuci pada tahun sekian, mereka 'setting' di memori mereka, keris dicuci kembali bila masuk tahun akan datang.


Tatacara seperti berikut :

Suka untuk saya jelaskan disini, di sana ada pelbagai cara penjagaan termasuk memandikan keris. Istilah-istilah yang digunakan juga setengah tempat berbeza.  Namun, 'content'nya tetap sama yakni merawat keris. Tatacara yang saya terima dan ambil dari Guru saya adalah seperti berikut : 

1. Pemilihan Keris
Tidak semua keris dirawat. Hanya merawat yang 'sakit' dan keris yang sihat, tidak perlu melalui proses tersebut. Mulakan melihat akan koleksi keris terlebih dahulu, nilai mana yang rosak dan mana yang masih baik. Asingkan keris yang sudah rosak dan keris yang masih baik. Keris yang dikenal pasti sudah rosak akan dirawat seperti proses-proses yang akan disebutkan dibawah. Sementara keris yang masih berkeadaan baik hanya dibersihkan sahaja (rujuk proses membersihkan keris).


2. Keris ditelanjangkan
Keris ditelanjangkan dengan mencabut sarung dan hulu keris. Hanya tinggal bilah yang tidak 'berbaju' kerana bilah itu yang hendak dimandikan. Adapun sarung dan hulu hanya dibersihkan jika terdapat kotoran.


3. Merendam keris
Keris direndam selama satu malam. Larutan yang digunakan ialah, air kelapa tua atau mengkudu atau nenas atau limau nipis. Kelapa, mengkudu atau nenas hendaklah tidak terlalu muda.

Sekiranya bilah keris tidak terlalu rosak, memadai direndam salah satu bahan di atas. Jika bilah sudah terlalu rosak, boleh rendam keris dengan campuran semua bahan di atas.

Semua bahan (air kelapa, mengkudu, nanas dan limau) sebenarnya bersifat asid. pH air kelapa muda sekitar bawah 5.2 (Campos et. al, 1996).

Semua jenis larutan itu ada 3 benda penting dalam rawatan besi iaitu :

i. Mengandungi Asid organik. Ini yang membuatkan semua jenis larutan tersebut berasid dan mempunyai kebolehan untuk menghakis lapisan oksida (karat) pada logam keris tersebut. Keris pada kebiasaannya diperbuat dari besi dan nikel sebagai logam utama. Asid malik, asetik, sitrik, tartarik merupakan asid yang wujud dalam air kelapa (Prades et. al, 2011). Limau mempunyai banyak asid sitrik dan asid malik, tartarik, oksalik, laktik dan askorbik (vitamin C) dalam kuantiti sedikit. Nenas pula mempunyai asid malik, asetik dan sitrik dan kuantitinya semakin kurang apabila nanas semakin matang. jadi kemungkinan nanas muda lebih kuat dalam rawatan rendaman ini.                                                              

Kesimpulannya, asid organik dalam larutan ini akan menghakis oksida logam (ferum oksida dan nikel oksida yang tidak larut air) ke bentuk yang larut air. Jadi kita nampak macam karat itu hilang. Oksida tersebut akan larut dalam air dalam bentuk ion Fe3+ dan Ni2+. Oleh itu,  sebatian yang terhasil boleh terdiri dari ferum sitrat, ferum malat, ferum tartarat, ferum laktat, ferum asetat, ferum askorbat dan pasangan nikelnya yang sama.

Asid organik digunakan kerana sifat hakisannya yang lebih lembut     berbanding dengan asid mineral. Sifatnya yang lembut mengurangkan    potensi untuk bilah dirosakkan oleh asid akibat daripada hakisan berlebihan. Tambahan pula,  sumber sumber asid organik yang  digunakan merupakan tumbuhan - tumbuhan yang lazim dalam adat melayu.

ii. Mengandungi antioksidan seperti vitamin C, catechin (dalam mengkudu), beta-carotene dan sebatian phenolik dalam nanas boleh menghalang daripada logam keris untuk bertambah karat dalam air. Pembentukan karat memerlukan oksigen dan kelembapan, dan kedua -dua faktor ini ada apabila keris direndam dalam air. Jadi secara hipotesisnya, bahan antioksida mampu untuk menghalang keris daripada terus karat.

iii. Mengandungi agen chelating (disebut "kileting" dengan e taling) ini bahan yang membantu untuk mengikat ion logam. Jadi bahan chelating ini mampu membantu untuk mencabut karat     dan meningkatkan kadar larutan ion logam. Rendaman bersama agen chelating ini membuatkan ion logam ini lebih mudah larut dalam air. Jadi, karat dapat dihakis lebih cepat dan dilarutkan dalam air dengan kuantiti yang lebih daripada biasa. Ia membantu asid organik menghakis karat dengan lebih lancar.


4. Membersih keris
Setelah rendaman, kotoran yang terdapat pada bilah keris yang dibersihkan dengan menggunakan bahan yang kesat. Misalnya sabut kelapa atau lidi atau juga berus gigi. Caranya, bilah keris digosok, dikutil atau apa sahaja cara yang boleh mencapai maksud membersihkan bilah keris.  

PERHATIAN : dulu sebelum pergi ke langkah selanjutnya iaitu membilas bilah Keris, ada proses namanya Mewarangi Keris. Tujuan Mewarangi Keris untuk menimbulkan pamor. Walaubagaimanapun, proses ini sudah jarang dilakukan kerna 3 faktor :

1. Proses mewarang keris sangat bahaya kerana mengandungi bahan beracun dan tujuan berkeris pada hari ini bukan lagi untuk bertikam.

2. Bahan-bahan untuk kelangsungan proses ini sukar didapati.

3. Memakan masa yang lama.   


5. Membilas Keris
Keris kemudian dibilas dengan air supaya kotoran-kotoran jatuh menyembah bumi.


6. Menyirami Keris
Keris disirami menggunakan 7 jenis bunga yang berbeza warna dan jenis. Mandian bunga ini boleh mencuci saki baki asid organik dan bahan-bahan lain dalam proses sebelum ini. Ia juga meneutralkan kembali keadaan berasid sebelum dan juga membuah bau-bauan pada bilah keris. Menyirami keris dengan mandian bunga ini juga akan menambah 'seri' pada bilah keris.


 
Keris disirami tujuh jenis bunga

7. Mengelap keris
Keris dilap dengan kain perca supaya basahan dan lembapan air dapat diminimumkan. Elakkan menggosok kerana akan meninggalkan bulu-bulu kain dan bebenang pada bilah keris.


8. Mengeringkan keris
Meskipun telah dilap dengan kain, bilah keris masih dalam kondisi lembap, oleh itu dilanjutkan dengan perasapkan keris dengan kemenyan. Kemenyan dipilih kerana ia berfungsi :

I. mengeringkan keris
II. Mengawet (menguatkan bilah)
III. Memberi haruman

Boleh sahaja menggunakan asapan lain seperti asapan wangian lain akan tetapi ia tidak mencapai kesempurnaan iaitu hanya boleh mewangikan dan mengeringkan tetapi tidak boleh mengawet bilah seperti kemenyan. Tambahan lagi, penggunaan selain kemenyan adalah tidak tradisi menurut adat dan adab yang diwarisi sejak zaman berzaman.

penulis sedang perasapkan keris

Komposisi kemenyan terdiri daripada terpene pepejal. Terpene adalah hidrokarbon, sejenis minyak), ester, alkohol. Namun semua bahan ini pepejal pada suhu bilik. Oleh itu, permukaan keris yang diperasap dengan kemenyan akan mengurangkan permukaan yang terdedah kepada udara dan kelembapan (faktor pengaratan). Perlindungan kemenyan tidak tahan lama akan tetapi mampu melambatkan proses karat. 

Selain itu, bauan kemenyan boleh menghalau serangga, binatang lain yang berpotensi merosakkan bilah.

Kemenyan dapat membantu melindungi keris dari kuman-kuman yang boleh mempercepatkan proses oksida logam bilah.



9. Meminyakkan sedikit pada bilah keris
Keris diminyakan sedikit supaya tidak  berlaku tindak balas terhadap bilah seperti pengewapan hingga boleh merosak dan mengarat keris. Dicadangkan minyak Singer (minyak mesin jahit) berbanding minyak athar atau wangian lain.

Ini kerana minyak Singer adalah hidrokarbon petroleum.  ia kurang berpotensi untuk bertindak balas dengan apa-apa. Tambahan pula, terdapat bahan antikarat yang sedia ditambah pada minyak Singer tersebut.  Berbanding minyak athar, kandungan pelbagai dan kehadiran lembapan boleh ada di dalam minyak athar mengancam bilah keris.

Selain itu, minyak Singer juga berfungsi menghalang logam terdedah kepada oksigen dan lembapan udara disebabkan haba dari proses asapan tidak memadai untuk menghasilkan lapisan perlindungan yang menyeluruh

Oleh itu, lapisan minyak Singer boleh lindungi bilah yang diperbuat dari logam disamping menjaga warna asli keris.  Perlu diketahui bahawa, warna oksida boleh sedikit menggelapkan bilah keris.

Minyak Singer juga boleh melarutkan sedikit partikel kemenyan atas bilah keris selepas proses perasap. Kesannya, lapisan kemenyan akan menjadi lebih rata.  


10. Memakai pakaian keris
Pasangkan kembali hulu keris dan masukkan bilah ke dalam sarung seperti sebelum agar keris lengkap berpakaian.


11. Membaluti Keris
Keris dibaluti dan ikat kemas pada sebahagian sampir dan ganja keris supaya bilah mata keris terjaga rapi dalam sarung. Ia juga bertujuan agar memampatkan keris. Haruman lebih kekal dan menghalang kemasukan unsur tidak baik dan mencegah ia tercabut.

Warna kain terpulang kepada individu cumanya adat keris dulu, jika keris milik panglima, keris akan dibaluti warna merah. Sekiranya keris itu bertujuan mistik atau perdukunan, dibaluti warna hitam. Warna kuning pula membaluti keris Raja.

Keris dibaluti kain untuk memampatkan


12. Berdoa penutup
Apa-apa doa yang dirasakan sesuai



Sekian,

Angah Sunan

Rujukan,

Abdul Mua'ti @ Zamri Ahmad (2015),
            Keris Melayu Semenanjung, Suatu Pengenalan, UPM Press
Mohd Zainuddin Abdullah, Shahrim Senik (2009),
            Senjata Warisan, Muzium Negeri Selangor
Camara, M., Diez, C., Torija, M., & Cano, M. (1994). HPLC determination of organic acids in pineapple juices and nectars. Zeitschrift Fur Lebensmittel-Untersuchung Und -Forschung, 198(1), 52-56. http://dx.doi.org/10.1007/bf01195284
Camarda, L., Dayton, T., Di Stefano, V., Pitonzo, R., & Schillaci, D. (2007). Chemical Composition and Antimicrobial Activity of Some Oleogum Resin Essential Oils fromBoswellia SPP. (Burseraceae). Annali Di Chimica, 97(9), 837-844. http://dx.doi.org/10.1002/adic.200790068
Campbell-Falck, D., Thomas, T., Falck, T., Tutuo, N., & Clem, K. (2000). The intravenous use of coconut water. The American Journal Of Emergency Medicine, 18(1), 108-111. http://dx.doi.org/10.1016/s0735-6757(00)90062-7
CAMPOS, C., SOUZA, P., COELHO, J., & GLÓRIA, M. (1996). CHEMICAL COMPOSITION, ENZYME ACTIVITY AND EFFECT OF ENZYME INACTIVATION ON FLAVOR QUALITY OF GREEN COCONUT WATER. Journal Of Food Processing And Preservation, 20(6), 487-500. http://dx.doi.org/10.1111/j.1745-4549.1996.tb00761.x
Dussossoy, E., Brat, P., Bony, E., Boudard, F., Poucheret, P., & Mertz, C. et al. (2011). Characterization, anti-oxidative and anti-inflammatory effects of Costa Rican noni juice (Morinda citrifolia L.). Journal Of Ethnopharmacology, 133(1), 108-115. http://dx.doi.org/10.1016/j.jep.2010.08.063
Kung, H. (1991). Transition metal oxides. Amsterdam: Elsevier.
Levand, O., & Larson, H. (1979). Some Chemical Constituents of Morinda citrifolia. Planta Medica, 36(06), 186-187. http://dx.doi.org/10.1055/s-0028-1097264
Mang, T. (2014). Encyclopedia of lubricants and lubrication. Heidelberg: Springer.
Manna, K., Khan, A., Kr. Das, D., Bandhu Kesh, S., Das, U., & Ghosh, S. et al. (2014). Protective effect of coconut water concentrate and its active component shikimic acid against hydroperoxide mediated oxidative stress through suppression of NF-κB and activation of Nrf2 pathway. Journal Of Ethnopharmacology, 155(1), 132-146. http://dx.doi.org/10.1016/j.jep.2014.04.046
Prades, A., Dornier, M., Diop, N., & Pain, J. (2012). Coconut water uses, composition and properties: a review. Fruits, 67(2), 87-107. http://dx.doi.org/10.1051/fruits/2012002
Walker, P., & Tarn, W. (1991). CRC handbook of metal etchants. Boca Raton: CRC Press.




Wednesday, 14 March 2018

RAHSIA SAMPIR KERIS : KOD MARITIM


TAKRIF
Sampir atau perahu keris adalah bahagian yang melintang pada sarung keris. Di bawah sampir keris, adalah batang serunai. Jika sekali imbas, kita akan dapati sampir keris dan batang serunai dari pembuatan dan jenis kayu yang sama namun sebenarnya tidak. kedua-duanya yakni sampir dan batang serunai tampak sama tapi berasingan.
Jenis kayu yang digunakan untuk pembuatan sampir lebih keras dari batang serunai yang menggunakan kayu yang lebih lembut.
Menurut pengkaji keris Prof Muati, kayu yang biasa digunakan untuk sampir adalah kayu kemuning, kenaung, ketangga, ratu duri, saga, arang bunga, ciku, akasia dan lain-lain. Sementara untuk batang serunai pula diperbuat dari kayu sena, ciku, nangka dan sebagainya yang lebih lembut.

FUNGSI SAMPIR
Sampir keris adalah tempat peletakan akut dan ganja keris. Sampir bertindak sebagai rumah menjaga akut dan ganja keris dari rosak dan sentuhan yang tak sepatutnya.  Pembuatan sampir dari kayu keras itu bertujuan agar sampir dapat menjadi pemegang atau penahan bilah keris dengan kemas dan kukuh agar tidak mudah tercabut dan jatuh walaupun keris diterbalikkan dan digoncang-goncang.

Keris dibuat dengan seni kunci atau ‘lock’. (sumber gambar : penulis)

Cara mengenal pasti adalah, ambil keris dan cuba terbalik kan, keris itu tidak jatuh. Oleh kerana seni pemegang (lock) yang terdapat pada sampir keris ini, lahir kaedah mengeluarkan keris dari sarung. Bukan tarik begitu sahaja melainkan sedikit menekan pada pemicunya menggunakan menolak ibu jari.

Cara tarik keris adalah dengan menekan sedikit pada tengah-tengah sampir dalam keadaan ekor cicak keris di sebelah luar. Sistem ‘lock’ keris akan terbuka. (sumber gambar : penulis)
Seni ‘Lock’ keris ini memastikan keris tidak dihunus secara tidak sengaja. Ini bermakna orang yang menghunus keris atau mencabut keris dari saruung dalam keadaan sedar dan waras. Jika tak sengaja atau tidak sedar, keris tidak dapat dikeluarkan dengan sempurna melainkan ada kecacatan ketika membuat bahagian dalam sampir.

JENIS- JENIS SAMPIR
Antara jenis –jenis sampir ialah sampir tebeng, sampir sehari bulan atau bulan sabit, sampir kusriwo, sampir gayaman, sampir ladrang, sampir tajung patani dan sampir Sandang Walikat. Sampir Tebeng digunakan untuk bilah keris Bugis, bilah Pandai Saras, bilah Semenanjung dan bilah Pahang.  Sampir Sehari Bulan pula untuk bilah keris Alang, Anak Alang, Anak Alang Guling dan sebagainya. Manakala sampir Gayaman, Ladrang dan Sandang Walikat untuk bilah keris Jawa.

Dari kiri, sampir Gayaman, sampir Ladrang dan sampir tebeng. (sumber gambar : penulis)



FALSAFAH SAMPIR

I. Pengenalan Peribadi
Sampir bertujuan mengenal asal keris. Selain hulu dan bilah, sampir juga menunjukkan dari mana asal wilayahnya kerana pembuatan segmen-segmen keris berbeza antara wilayah dengan wilayah lain. Misalnya keris Bugis, keris Suluk, keris Jawa, Keris Semenanjung, keris Fatani, keris Sumatera, Keris Bali dan lain-lain.
Orang dahulu gemar merantau, dan melihat sampir keris yang dipakai, orang akan tahu dari daerah mana pendatang atau tetamu itu berasal. Baik sampir, hulu, sarung, bilah dan cara pakai, semuanya umpama kad pengenalan seseorang. Terdapat juga orang itu berasal dari tanah semenanjung tetapi memakai keris Jawa yang diperolehi dari pusaka atau barang hadiah.

Saya banyak bertemu sahabat-sahabat yang mewarisi keris pusaka bersampirkan Jawa meskipun berasal dari semenanjung. Melihat keris pusaka keluarga mereka, saya akan bertanya asal mereka dan mereka akan menjawab asal Selangor, asal Johor misalnya. Saya akan bertanya lagi, tetapi moyang orang Jawa kan, dan mereka mengakui lalu bertanya bagaimana saya tahu. Jawab saya mudah sahaja, keris pusaka ini keris Jawa dan biasanya orang Jawa atau berketurunan Jawa yang menyimpan.
Oleh sebab itu, keris bukan hanya senjata bertikam tetapi boleh menjadi lambang keturunan selain simbolik pangkat dan kedudukan seseorang. Saya sebut keris pusaka yakni keris lama yang diwarisi turun temurun bukan keris baru yang bersifat zahirnya keris tetapi sudah kosong.

II. Lambang Jatidiri Orang Melayu dengan Laut
Oleh kerana bentuk sampir persis bentuk perahu, maka sampir keris juga dikenali sebagai perahu keris. Oleh itu, ada setengah orang memanggil perahu keris. Istilah berbeza adalah biasa, yang bentuk makna yang difahami. Ada makna tersirat kenapakah sampir itu berbentuk perahu atau kapal layar.
Agar lebih terang, lihat Keris. Bermula dari hulu hingga ke bilah. Seolah-olah seorang manusia sedang belayar di atas perahu atau kapal. Kata sebahagian pengkaji, bilah keris yang berluk-luk itu merujuk kepada ombak yang beralun - alun.
Demikian juga bilah keris. Bilah keris juga melambangkan jati diri maritim orang Nusantara. Kerna itu penciptaan bilahnya juga dipengaruhi budaya setempat. Bilah bugis contohnya, dikenali dengan sifatnya yang tebal kerana kaum Bugis menggunakan keris dalam pelayaran. Begitu juga bilah keris Suluk atau juga dikenali sebagai sundang. Bilahnya tebal dan panjang kerana mereka sering berperang di laut.
Dari seni pembuatan bilah dan sampir yang merupakan topik muzakarah kita, jelas tersirat perlambangan bahawa orang melayu Nusantara adalah orang maritim. Faktor geografi Nusantara yang terdiri dari selat - selat, laut strategik dan kepulauan menyumbang peranan besar pembentukan identiti laut terhadap orang nusantara khususnya bangsa Melayu.
Orang melayu tidak hanya meredah samudera, kita juga menguasai ilmu laut seperti kearifan memastikan arah mata angin, membaca corak pukulan ombak, melihat posisi bintang untuk mengenal arah dan lebih menarik menggunakan sabut kelapa untuk mengetahui keadaan ombak dan gelombang.

Malah kita wajar berbangga kerana Kesultanan Melaka telah mempunyai undang-undang laut tersendiri untuk mengawal selia laut.

Identiti dan budaya bangsa Melayu Nusantara sebagai bangsa maritim telah diabadikan dalam seni pembuatan senjata keris. Kedekatan dengan laut juga melahirkan istilah ‘tanah air’ merujuk tempat kelahiran. Lalu, senjata keris pula dicipta untuk menjaga dan mempertahankan tanah air.
Sampir keris bukan sahaja melambangkan hubungan orang melayu dengan laut, tetapi juga perlambangan keberanian dan sifat orang melayu yang berani menjelajah dan belayar.


III. Kod Pertahanan
Hulu dan Sampir keris telah memberi gambaran Kod Pertahanan. Penguasaan laut adalah sangat penting. Barangsiapa menguasai laut, menguasai dunia.
‘conquer the sea, conquer the world’
Hal ini bukan lagi asing dalam dunia ketenteraan. Apatahlagi wilayah Nusantara ini dikelilingi laut, selat yang strategik. Faktor ini juga telah mendorong minat kuasa-kuasa besar ingin menjajah dan memperluaskan kekuasaan hingga di wilayah kepulauan Nusantara.
Takdir Tuhan, terdapat Laut China Selatan di Nusantara ini. Ia adalah ibu kepada segala-galanya. Ia salah salah satu laut paling yang penting dan menjadi rebutan di dunia ini. Selain kaya dengan sumber asli, ia merangkumi banyak Negara di Asia Tenggara dan menjadi laluan penting dunia Barat dan Timur yang membawa jutaan bahan api, galian dan komoditi baik import atau eksport.
Telah berlaku pertembungan kuasa antara China dan Amerika Syarikat di kawasan perairan ini kerana laluan Laut China Selatan sangat strategik dari segi ekonoi dan ketenteraan.

Kita di semenajung juga mempunyai Selat Melaka. Selat Melaka merupakan salah satu jalur pelayaran terpenting di dunia sebaris dengan Terusan Suez. Hampir 1/5 perdagangan dunia terpaksa melalui selat Melaka.

Dianggarkan juga sebanyak 11 juta tong minyak dieksport dke Asia Timur dari Timur Tengah (Lt Mohd Fazlie Mohd Zuber TLDM). Menyedari hal ini, baik Malaysia dan Indonesia telah rancak fokus membangunkan angkatan laut selengkap mungkin termasuk pemantapan pasukan khas elit dengan system, kelengkapan yang jauh lebih moden.

AKHIR KALAM
Sepertimana segmen keris lain dan termasuk seni budaya bangsa melayu, tidak syak lagi kesemuanya mengandungi falsafah unik tersendiri. Falsafah adalah pelajaran batin atau tersirat sementara dewasa kini, ramai hanya cakna terhadap tarikan zahir sahaja. Sebelum ini, mungkin sebahagian hanya terkesima dengan seni ukiran sampir keris, tetapi pemaknaan disebalik, tidak lah tahu. Saya akhiri coretan ini dengan pantun,

Ilmu laut adalah jati diri, 
seni laut lambang wibawa, 
Sampir keris menyurati janji, 
kuasai laut menakluk benua


Sekian,

Angah Sunan

Rujukan, 

Emil Bahari, Semangat Keris Melayu, Utusan Publications & Distribution Sdn Bhd (2009)
Khamis Mohammad, Mahakarya Keris, MEPSB Enterprise (2016)
Abdul Mua'ti @ Zamri Ahmad, Keris Melayu Semenanjung, Suatu Pengenalan, UPM Press (2015)

Enam Sebab Saya Berbangga Dengan Kemerdekaan Tanah Melayu

  1.Islam Berada Di Kedudukan Tinggi Dalam Perlembagaan   Saya sangat berbangga dalam rundingan kemerdekaan Tanah Melayu, ketika banyak nega...