SENI SUKMA KENCANA - SENI PEDANG MELAYU
Telah diizinkan berperang kepada orang-orang yang
diperangi kerana sesunggunya mereka telah dianiyai (Al –Hajj : 39)
Baru-baru ini,
Takdir telah menemukan saya dengan pengasas dan guru utama perguruan Seni
pedang Sukma Kencana. Banyak yang kami bualkan bermula ilmu perkerisan, alam
melayu hingga membawa ke seni pedang. Menurut Tuan Nara Paduka Haji Muhammad yang
merupakan guru utama perguruan, umum mengetahui peranan, sejarah keris dalam
sejarah peradaban orang melayu. Namun bagaimana kah dengan pedang? Soalan ini
adalah mukaddimah kepada seribu satu cerita.
Beliau
menerangkan, pedang melayu merupakan salah satu komponen yang signifikan dalam
budaya melayu tetapi ianya tidak begitu popular berbanding keris. Pedang
dicipta untuk satu maksud sahaja iaitu pertempuran. Ia adalah senjata khusus
yang kemudiannya menjadi simbol status dan pangkat di kalangan bangsawan
Melayu. Penggunaanya juga terhad kepada golongan Istana sahaja.
Antara faktor
kenapa pedang tidak sepopular pedang kerana dari segi kos. Selain itu, tempoh
masa yang diperlukan untuk berlatih ilmu pedang yang lama selain pantang larang
yang tidak membenarkan rakyat biasa menggunakan pedang.
Seperti di Perak,
pedang Cura Si Manjakini yang dikatakan berasal dari milik Sang Sapurba telah
diwarisi Kesultanan Perak. Pedang tersebut melambangkan keagungan dan kekuasaan
Raja Pemerintah telah menjadi alat kebesaran turun-temurun bagi Sultan yang
menaiki takhta Kesultanan Perak.
Pedang bukan
parang, bukan sundang. Seni permainannya juga berbeza. Permainan pedang merosot
apabila permainan pedang seperti tetakan parang. Hilang seni dan tertibnya.
Jenis Pedang Melayu
Pedang traditional
melayu termasuk pedang Jenawi, pedang Chenangkas, Chunderik, pedang Sundang (bukan
keris sundang) dan parang Anak Buaya atau Buaya Berenang. Terdapat juga
senjata-senjata asing seperti Syamsir (Parsi) dan Talwar (India) yang telah
diserap ke dalam kumpulan pedang melayu.
Pedang melayu
juga dicantikkan dengan kesenian ukiran bertakhtakan emas dan perak serta
permata. Adakala matanya berpamor dan diukir dengan wafaq dan ayat -ayat Al
Quran serta ukiran sulur bayung yang membawa makna falsafah mistik pedang dan
peperangan.
Salah satu seni pedang melayu yang kian dilupakan sedang
diperkenalkan kembali. Seni Sukma Kencananya gelarnya, warisan daripada seorang
ulama’, Syaikh Abdul Latif Al Khalidi kini sedang dikembalikan oleh waris
Syaikh iaitu Tuan Nara Paduka Haji Muhammad melalui perguruan Seni Sukma
Kencana. Shaikh Abdul Latif Al Khalidi berasal dari Sumatera Utara dan melalui sumber lisan, nenek moyang Shakh dari Jazirah Arab. Apabila sampai ke Tanah Melayu,
Shaikh Abdul latif Al Khalidi yang juga pengamal tarekah Naqsyabandi Khalidi
menginovasikan seni permainan pedang Arab dengan kesesuaian budaya orang di
sini. Tuan Paduka Nara generasi kelima Shaikh Abdul Latif mewarisi seni pedang ini dari leluhurnya kemudian
beliau ‘brand’ kan kembali dengan nama Sukma Kencana.
Menurut Tuan Nara
Paduka Haji Muhammad, Seni Pedang Sukma Kencana ialah seni pedang Melayu yang
berteraskan konsep mempertahankan diri dari serangan musuh. Sistem ini lebih
menumpukan kecekapan teknik dan kepantasan tindakan berbanding kekuatan
fizikal, membuatkan sesuai untuk dipelajari semua golongan. Ia juga merupakan
satu kaedah pembelajaran kinestetik dan melibatkan latihan psikomotor yang
meransang kordinasi minda dan anggota badan. Teknik pedang Sukma Kencana tidak
menggunakan kaedah “berlaga pedang” seperti kebanyakan seni pedang lain. Oleh
itu, pedang yang digunakan juga direka khas mengikut kesesuaian sistem beladiri
ini.
Pedang Sukma Kencana |
Reka Bentuk Pedang Sukma Kencana
Berikut adalah reka bentuk dan struktur pedangnya. Ia
terdiri dari dua diri utama iaitu hulu dan mata pedang. Pedang Jenawi dipilih
kerana ia sesuai dengan seni permainan Sukma Kencana. Jika diperincikan lagi, disana ada tapak kijang, simpai,
pasak, leher, gandik, dagu, muka, hujung, pucuk, awak dan belakang pedang.
Lihat gambar (dengan izin Guru Utama):
Reka bentuk |
Seni Permainan
Permainannya terbahagi bermula dua buah gerak asas iaitu :
1. Penanti Hamzah I – Pedang dihunus
Dari gerak Hamzah I lahir peringkat Umar I iaitu seni tangkis dan
serang. Kita mempelajari bagaimana menangkis dan menyerang ketika pedang
terhunus. Mempunyai 11 buah dan buah ke 11 dipecah dua. Jumlah buah keseluruhan
adalah 12 buah.
2. Penanti Hamzah II – Pedang dalam
sarung
Dari gerak Hamzah II lahir peringkat Umar II iaitu seni tangkis
dan serang juga. Kita mempelajari bagaimana menangkis dan menyerang ketika
pedang di dalam sarung atau dipanggil ‘makan gerak'. pergerakan peringkat Umar II tidak terhad, berdasarkan kepada beberapa gerakan asas yang boleh dikembangkan atau diadaptasi mengikut senario dan keadaan semasa.
Dalam kedua-dua buah tersebut, kita turut menekuni
bagaimana menyerang dari pelbagai arah, menangkis serangan dari ruang yang
banyak dan menghadapi serangan musuh yang menggunakan sengata lain seperti
keris, parang, lembing dan lain-lain.
Seni pedang ini adalah berpaksikan penanti. Ia bermaksud
kita hanya menanti musuh sambil berdiri tegak, tidak menanti dengan membuka
kekuda. Gerakan terhad seperti berpijak antara dua papan sahaja. Sementara
antara disiplin bertempur dalam seni pedang suka kencana adalah kita tidak
mengelak, tidak lari, tidak berlaga mata pedang dan kita menghalang hayunan
pedang lawan menggunakan bahagian belakang pedang bukan matanya.
Kaedah AHMAD
Sekiranya mahu menangkis, maka mestilah melihat tepat arah
dan kedudukan musuh. dalam perguruan seni pedang sukma kencana. Ada suatu seni berdiam dan menangkis nama
Alif Ha Min Da yakni Ahmad. Kaedah ini sebenarnya asas kepada permainan pedang Sukma Kencana. Gabungan Penanti Hamzah I dan kaedah Ahmad membentuk buah - buah dalam peringkat Umar I. Bagi memudahkan faham, saya gambarkan dalam gambar
rajah berikut –
Pemetaan AHMAD |
Pemetaan AHMAD ini bertujuan melihat cara memandang lawan
hadapan dari sudut yang empat. Setiap abjad hijaiyah baik Alif, Ha, Mim dan Da
mempunyai seni dan kaedah tangkis masing-masing jika diserang dari arah
tersebut.
Tahap Uthman
Para pelajar yang telah menguasai asas teknik Hamzah, Umar
dan Ahmad yang memakan masa lebih kurang 6-7 bulan boleh menyambung pengajian
ke peringkat Uthman. Menurut Tuan Nara Paduka, para pelajar yang sudah khatam
asas dan berminat menjadi ‘master’ mesti melalui tahap ini. Para pelajar akan mempelajari sekaligus
menguasai permainan pedang sambil menggunakan perisai. Ini adalah asal
permainan sukma kencana. Permainan perisai tidak diajar dari awal kerana sistem pelajaran Seni Sukma Kencana bersesuaian dengan 'learning curve' atau lengkungan pembelajaran dari yang mudah kepada yang lebih kompleks. Pelajar mesti membiasakan diri mengendalikan pedang sebelum dibenarkan menggunakan teknik dua senjata.
Akhir kalam
Guru Utama, Nara Paduka Haji Mohammad dengan anak - anak muridnya |
Semoga seni pedang melayu tidak akan semakin hilang. Saya
besyukur kepada Allah ditemukan insan yang bertungkus lumus menjaga seni,
budaya alam melayu. sungguh, takkan melayu hilang di dunia bak kata laksamana
Hang Tuah. saya tidak ceritakan semua dalam artikel ini, jika para sahabat
berminat mempelajarinya, boleh menghubungi langsung Guru Utama Tuan Nara Paduka
(0189791019) dengan adab sebaiknya.
No comments:
Post a Comment