Pada 13 Mei lepas, angah telah dijemput oleh penganjur agar menjadi moderator pembentangan KH Dr M Dhyauddin Kuswandi di Wacana Keharmonian Islam Nusantara 2017 di Dewan Tun Sakaran, TH Hotel, Kota Kinabalu, Sabah.
angah dan Ayahanda Sidi |
Pembentangan Ayahanda KH Sidi (panggilan angah kepada Kiyai), Ulama' dari Surabaya, Jawa Timur lebih kurang 45minit. Angah sempat mencatat beberapa point yang Ayahanda Sidi sampaikan dan ditambah rujukan dari nota kertas kerja yang Ayahanda Sidi kongsikan. Sejak 2 minggu lepas ingin dikongsi, namun kerana kesibukan, hari ini angah berpeluang menulisnya di blog. 'Kebetulan' pula, angah sekarang di Jawa Timur, menziarahi makam Wali Songo.
Wali Songo
Wali secara bahasa (lughawi) ertinya sahabat atau juga pemimpin. Apabila disebut seorang itu Wali, selain bermaksud dia adalah sahabat atau kekasih Allah, ia juga seorang pemimpin di kalangan kaumnya.
Wali Songo adalah para Wali yang terkenal di Jawa yang telah berhasil menyebarkan Islam khususnya di Pulau Jawa dan pada umumnya di seluruh Wilayah Nusantara dengan cara damai.
Gambaran susuk Wali Songo |
Disebut Wali Songo kerana jumlah mereka adalah 9 (songo). Nama-nama Wali Songo yang masyhur, antaranya ialah -
1. Sunan Ampel yang berdakwah di daerah Ampel, Surabaya dan sekitarnya.
2. Sunan Giri, yang berdakwah di daerah perbukitan Giri, Gresik dan sekitarnya.
3. Sunan Bejagung, yang berdakwah di daerah Bejagung, Tuban dan sekitranya.
4. Sunan Bonang, yang berdakwah di daerah Bonang, Lasem dan sekitarnya.
5. Sunan Drajat yang berdakwah di Daerah Drajat, Lamongan dan sekitranya.
6. Sunan Kalijaga, yang berdakwah di daerah Cirebon dan Kadilangu, Demak serta sekitarnya.
7. Sunan Kudus, yang berdakwah di daerah Kudus dan sekitarnya.
8. Sunan Muria, yang berdakwah di daerah pergunungan Muria dan sekitarnya.
9. Sunan Gunung Jati yang berdakwah di daerah Cirebon dan sekitarnya.
Lokasi 9 Makam Wali Songo |
Ada Tiga FASA kepemimpinan Wali Songo :
Fasa Pertama – dipimpin oleh Sunan Ampel.
Fasa Kedua – dipimpin oleh Sunan Giri.
Fasa Ketiga – dipimpin oleh Sunan Gunung Jati.
Peranan Dan Tanggungjawab Wali Songo
Sebagai Ulama’ pewaris Nabi, Wali Songo menjalankan amanah perjuangan dakwah Rasulullah s.a.w dan para sahabat. Oleh kerana itu, Wali Songo telah memainkan peranan yang sangat besar di zaman mereka. Ada TIGA peranan dan tanggungjawab utama wali songo, iaitu :
1. Muadhib
Sebagai pendidik, para Wali Songo menjadikan madrasah atau pesantren sebagai tapak asas pendidikan Islam Ahlul Sunnah Wal Jamaah dan Tasauf.
2. Muwahid
Penyatu Ummah. Wali Songo telah membangunkan Masjid sebagai pusat dakwah dan pusat gerakan persatuan ummah atas dasar semangat persaudaraan Islam dan gotong royong sebagai penyelesaian menyatukan masyarakat yang tidak bersatu antara satu lain akibat pengaruh sistem sosial berdasarkan Kasta ketika itu.
3. Mujahid
Agen pembaharu masyarakat. Tidak sekadar dakwah, para Wali Songo juga mendirikan Kesultanan sebagai tapak keabsahahan syariah, kemakmuran dan ke arah mewujudkan masyarakat yang adil serta mempunyai peradaban tinggi berteraskan ajaran Islam dan meraikan budaya setempat.
Prinsip & Stratergi Dakwah Wali Songo
Prinsip Dakwah Wali Songo sangat jelas iaitu membawa manusia kepada tauhid, akhlak yang baik sebagaimana yang dijelaskan dalam kandungan Al-Qu’ran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Mereka bertegas dalam soal aqidah, menyeru masyarakat agar tidak syirik kepada Allah. Sementara dalam soal syariat dan akhlak, wali songo mengajar, mentarbiyah masyarakat secara ‘live’ dan bertahap dan menyesuaikan dengan adat budaya setempat. Wali Songo menggunakan pendekatan bijaksana iaitu tidak menyerang adat atau ritual masyarakat ketika itu akan tetapi memasukkan unsur tauhid, Islamisasi dan memurnikan.
Jika ingin menyebut satu persatu pendekatan dakwah Wali Songo, terlalu banyak. Cuma, apa yang telah dikongsikan oleh Sidi Dhiyauddin, dakwah Wali Songo menerapkan TIGA pendekatan yang stratergis dan efektif.
1. Bil Hiikmah : menjelaskan ajaran Islam secara arif (bijaksana) dengan hujah-hujah yang masuk akal serta senang difahami dan diterima masyarakat.
2. Wa Mauizhoh al Hasanah : memberikan nasihat-nasihat dan kisah-kisah teladan yang baik merangkumi pelbagai masalah baik melibatkan individu, keluarga dan masyarakat.
3. Mujadhalah : Jika diperlukan, dalam situasi tertentu, mereka juga berdiskusi dengan penuh adab atas semangat membentangkan dan mempertahakan kebenaran.
Wasilah Dakwah Wali Songo
Dalam mendidik dan berdakwah, Wali Songo banyak menggunakan media dakwah yang pelbagai ragam disesuaikan dengan keperluan, latar belakang usia serta sosio-budaya masyarakat. Media atau wasilah dakwah antaranya ialah:
1. Method pembelajaran melalui ceramah dan dialog bertempat di pesantren dan masjid juga melalui penulisan kitab-kitab tentang tauhid, fikh dan tasauf dalam bentuk suluk (maksud Suluk disini ialah kara sastera yang berisi tentang tasauf mengenai ketunggalan Allah), serat (karya sastera Jawa) dan primbon.
Suluk Wujil karya Sunan Bonang |
2. Media seni budaya iaitu melalui tembang-tembang antaranya ialah tembang mijil, sinom, asmaradhana, dhandanggula, mas kumambang, pangkur, megatruh, pucung, kinanthi dan gambuh. Termasuk juga melalui pagelaran wayang yang ceritanya diadaptasi dan disesuaikan dengan nilai-nilai ajaran Islam antaranya : Jamus Kalimasada, Dewa Ruci, Arjuna Wiwaha dan lain-lain.
Seni Wayang Kulit Yang diasaskan Sunan Kalijaga |
Tembang (lagu) Lir Ilir |
3. Melalui Dolanan anak-anak iaitu dengan mencipta pelbagai permainan anak-anak yang disesuaikan dengan tingkatan usia dan kesukaan anak-anak yang mengandungi pelajaran Iman dan budi pekerti. Antaranya ialah, permainan cubleg-cubleg suweng, dakon, jamuran, gorbak sador dan lain-lain.
Dolanan Cublak- Cublak Suweng |
Dolanan Gorbak Sador |
Dolanan Dakon |
Dolanan Jamuran |
4. Melalui latihan beladiri Pencak Silat khususnya untuk anak-anak remaja, untuk menanamkan jiwa kepimpinan, kepahlawanan dan tanggungjawab.
Pencak Silat juga tidak ketinggalan sebagai medium dakwah Wali Songo |
Boleh baca lanjut tulisan angah 'Formula Dakwah Ulama' Nusantara', https://angahsunan.blogspot.co.id/2017/04/formula-dakwah-ulama-nusantara-6p-1k.html
Faktor-Faktor Yang Menentukan Kejayaan Dakwah Wali Songo
Kejayaan dakwah Wali Songo sangat jelas dan hal ini dibuktikan dengan tersebarnya Islam di Seluruh Jawa dan merentsi Nusantara. Keberhasilan dakwah wali songo ditentukan oleh faktor-faktor yang dikenalpasti seperti berikut :
1. Keperibadian
Sebagai Ulama’ bahkan Wali, Wali Songo memiliki keperibadian yang mulia dengan akhlak terpuji sehingga mereka dipercayai, ditaati dan diteladani.
2. Kepimpinan
Para wali songo berdakwah tidak secara individu tetapi secara berkumpulan, terusun, terancang atas dasar semangat syura dan kerjasama yang baik. Prinsip kepimpinan Wali Songo :
"Ing Ngarso Sung Tuladha : di depan memberi tauladan.
Ing Madya Mangun Karsa : di tengah masyarakat menunjukkan panduan dan motivasi.
Tut Wuri Handayani : di belakang member dokongan dan perlindungan. "
3. Method Dakwah
Para wali songo menggunakan pelbagai method dan pendekatan yang disesuaikan dengan level (tingkatan) dan latar belakang budaya masyarakat serta tidak melalui kekerasan sehingga dakwah wali songo sangat komunikatif dan diterima tanpa paksaan.
4. Ajaran Tasauf
Ajaran islam yang disebarkan oleh wali songo adalah ajaran tasauf yang sangat menekankan kasih sayang, persaudaraan dan gotong royong. Hal ini sangat sesuai dengan keperluan masyarakat yang saat itu yang berpecah belah dan berada dalam konflik akibat ketidakstabilan politik dan ekonomi yang berpanjangan.
Angah akhiri dengan ucapan tahniah kepada penganjur Wacana Keharmonian Islam Nusantara 2017 dengan bertemakan "Menjernih Jiwa, Mendamaikan Nusantara".
Wacani ini anjuran Majlis Dakwah Negara (MDN), YADIM, YADIM Zon Sabah, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Pejabat Mufti Negeri Sabah, JHEAINS, JAKIM Sabah, Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, Kerukunan Ulama Nusantara (KUN), HaRUM Sabah.
#angahsunan
#WacanaKeharmonianIslamNusantara
#KotaKinabaluSabah