Monday, 22 May 2017

Kompilasi Celoteh Murid & Guru Siri11-20

Kompilasi Celoteh Murid & Guru Siri11-20
"Santai & Bantai"





CELOTEH MURID & GURU (11)
Sepenuh Hati atau Sepenuh Akal?

"Anakku, kalau kita meluahkan rasa cinta, kita mengungkapnya dengan berkata, saya cinta kamu sepenuh hati atau sepenuh akal?", Hurai Guru. "Sepenuh hati la Guru, tak pernah dengar pula sepenuh akal", jawab murid.

"ya kerna cinta, rindu, asyik dan seumpama bukan pekerjaan akal tapi pekerjaan hati. demikian bila kita berbicara tentang Cinta kepada Allah dan RasulNya. Ia dirasai bukan difahami. RASA itu dari hati bukan akal yang hanya memahami. Maka wajib membersihkan hati agar cinta Allah dan Rasul berada ke dalam hati. Cinta itu tidak akan masuk jika dalam hati kamu ada yang lain selain dari keduanya", terang si guru.
"Apakah ilmu menyucikan hati Guru", tanya murid.
"Pelbagai nama anakku, ada yang memanggil ilmu tasauf, ilmu sulukiah, akhlak, Khusyu', ilmu makrifat dan lain2. Usah kita berbalah dengan nama Istilah yang penting isinya itu". Guru menjawab dengan hikmah.



CELOTEH MURID & GURU (12)
Susahnya Menjadi Baik

"Wahai Guru, latar belakangku tidak memungkin aku menjadi orang baik. Hal itu susah bagiku guru", keluh si murid.
"Anakku, jika kamu tidak boleh menjadi baik, tidak mengapa asalkan tidak berbuat jahat", Guru menjawab.
"Baik Guruku, akan ku patuhi pesan Guru. Guru, kalau sudah tidak berbuat jahat, jadi baik la Guru?, tanya Murid.
"Ya anakku, bukan susah nak jadi baik, bila tidak berbuat jahat, ketika itu jadi baik la, susah ke anakku?", Guru menerang dengan hikmah.



CELOTEH MURID & GURU (13)
Sudah Berkahwin? Banyak Hati Kena Jaga

“Anakku, kalau kamu sudah berkahwin kelak, banyak perasaan kamu mesti jaga, bukan sahaja perasaan ibu bapa, mertua dan kerabat terdekat, termasuk juga orang disekeliling kamu”, pesan Guru. 

“Ya Guru, aku akan ingat pesan Guru tapi aku kurang mengerti menjaga perasaan orang sekeliling, apa kaitan mereka dalam hidupku kelak”, tanya murid. 

“Anakku, jika di khayalak ramai, usah menunjukkan kemesraan melampau dengan pasanganmu, banyak pihak yang menilai, yang bujang seksa melihat. Jika dikurniakan rezeki anak yang ramai, usah terlalu berbicara perihal anak dihadapan teman yang belum ada anak, mereka tersenyum mendengar tetapi hati mereka kesedihan, jika kamu berkahwin awal, usah menyindir-nyindir kawan yang masih bujang. Semua perkara di atas sangat sensitif yang kita harus elakkan". Jawab Guru

"Ingat, orang lain berkahwin juga, bukan kita sahaja. Orang lain tenang-tenang sahaja, jangan pulak kita yang ‘over’”. Kata Guru dengan nada serius. 

#angahsunan
#celotehmuridguru
#santaibantai

CELOTEH MURID & GURU (14)
Tanda Nafsu Ammarah

"Wahai Guru, aku sering membaca perihal Nafsu Ammarah iaitu tingkatan nafsu yang paling rendah. Apakah tanda seseorang itu dalam nafsu ammarah?"
"Anakku, tandanya banyak tapi ada dua yang utama. Pertama, hatinya tidak merasakan apa-apa perbezaan ketika melakukan kebaikan atau kejahatan. dia melakukan kebaikan dia tidak merasa apa-apa, dia melakukan maksiat pon tidak merasa apa-apa malah berbangga pula dengan maksiat yang dilakukan".
Tambah Guru, "kedua, dia tiada kecenderungan kepada kebaikan. Jika buat kerna terpaksa bukan suka".
"Teruknya jika begitu kan Guru", kata Murid.
"Anakku, sebenarnya ada lagi teruk", balas Guru.
"Apa Guru", tanya murid kehairanan.
"Yang lagi teruk, dia tak tahu pon dia dalam nafsu ammarah", balas Guru.



CELOTEH MURID & GURU (15)
7 Pintu Kesombongan, Yang Mana Paling Jelek?

"Wahai Guru, apa yang menyebabkan manusia sombong", tanya murid.
"Anakku, ada 7 pintu sebab manusia menjadi sombong", balas Guru.
"Boleh Guru terangkan", pinta murid.
"Pertama, sombong kerana ilmu. Kedua, sombong kerana keturunan. Ketiga, sombong kerana darjat. Keempat sombong kerana Harta. Kelima sombong kerana kecerdikan. Kelima, sombong kerana kecantikan rupa paras. Terakhir, sombong kerana kuat", terang Guru.
"Oh begitu Guru. Mohon doanya Guru agar aku tidak menjadi sombong Guru", Kata Murid.
"Anakku, pada pendapat kamu, dalam 7 kesombongan ini, sombong apa yang paling jelek?", Guru menguji.
"Tidak pasti saya Guru. Mungkin kesombongan harta paling jelek Guru kerna hari ini zaman materialistik", Jawab Murid.
"Anakku, yang paling jelek ialah mereka yang tidak ada TUJUH HAL di atas tetapi masih tetap sombong. Ilmu tidak ada, keturunan biasa-biasa sahaja, pangkat tidak ada, harta pun tidak ada bahkan miskin. kemudian, tidak la kacak dan lemah lagi, tapi sombongnya...Masya Allah", Terang Guru dengan nada berseloroh.
"Ada ke orang begitu Guru", tanya Murid.
"Ramai anakku", ringkas Guru menjawab.


CELOTEH MURID & GURU (16)
Siapa Pencuri Ilmu?

"Duhai Guru, apa pendapat Guru orang yang hanya mahu belajar tetapi tidak beradab dengan Gurunya", tanya murid.
"Mereka yang mengambil ilmu tanpa ada adab, cinta dan takzim pada Guru yang diambil ilmunya, maka fahamilah bahawa mereka bukan pencinta dan ahli ilmu yang benar tapi pencuri Ilmu", Jawab Guru dengan nada serius.



CELOTEH MURID & GURU (17)
Dodio Banju, Odo Dadi Watu

"Wahai Guru, Guru selalu berpesan bahawa dakwah itu tidak jumud, ia penuh seni dan akhlak. Aku banyak membaca buku panduan-panduan dakwah, sehingga aku bingung untuk mengingatinya", pinta si murid.
"begini anakku, pegang satu nasihat ini dalam dakwahmu, Insya Allah ia adalah ibu kepada seni dakwah yang lain", Jawab Guru.
"Apakah nasihat itu Guru", soal murid.
"Dodio Banju, Odo Dadi Watu. Ini ungkapan Jawa. Ertinya, jadilah AIR jangan jadi BATU", kata Guru.
"Air itu boleh bergerak masuk dan menyusup ke semua posisi, bentuk walau jua rintangan dengan penuh harmoni, sejuk dan damai. Sementara batu itu keras dan menghalang. Demikian dalam dakwah, jadi pendakwah yang boleh masuk semua golongan, membawa damai dengan penuh harmoni. Sesekali jangan jadi batu yakni menjadi orang keras kepala, statik hingga menjadi halangan", Syarah si Guru.
"Oh faham Guru, aku akan pegang nasihat Guru", kata murid.
"apa pun jangan gopoh, kelak air yang tenang bisa jadi tsunami", kata Guru.
"Maafkan aku Guru, kurang mengerti maksud Guru", balas murid.
"Oh, tsunami itu ya? anakku, kamu tidak perlu faham sekarang. kamu akan fahami kelak bila benar-benar di lapangan dakwah. Lebih baik kamu fahaminya hasil pengalaman kamu kelak", Hurai Guru dengan hikmah.



CELOTEH MURID & GURU (18)
Kenapa mesti bermusuh?

"Anakku, banyak pendakwah terutama yang muda sekarang, mencipta musuh dari sahabat.

Lebih gemar memaki hamun dari berkata yang baik-baik". Guru memula bicara.

"Anakku, dengar nasihatku", kata Guru.
"Ya Guru, aku sedia mendengarnya", balas murid.
"kenapa kita perlu bermusuh kalau kita boleh berkawan? kalau masih tidak boleh berkawan, tidak mengapa asalkan tidak bermusuh", Guru berkongsi falsafah perang.



CELOTEH MURID & GURU (19)
Bagaikan Anjing dan Kucing

"Guru, kenapa kalau anjing bertemu kucing, mereka bergaduh hingga ada pepatah melayu, bagaikan anjing dan kucing", soal murid.
"Biar la depa bergaduh, asalkan kita yang manusia ini jangan jadi macam anjing dan kucing. asal berjumpa sahaja bergaduh, itu sifat haiwan bukan manusia sebab itu peribahasanya bagai anjing dan kucing bukan bagai manusia", terang guru.



CELOTEH MURID & GURU (20)
Dua Penyebab Orang Pintar Menjadi Bodoh

"Anakku, ingin kah kamu tahu apa yang menyebabkan manusia menjadi bodoh meskipun pintar? ", kata Guru.
"ya Guru, ingin ku tahu Guru kerna aku juga kurang mengerti maksud Guru", balas murid.
"Anakku, orang yang terkena penyakit tamak dan sombong pasti banyak kebodohan dalam bicara dan tindakan walaupun mereka berpendidikan tinggi dan banyak kitab yang dihafal", terang Guru.
"Jangan hairan terdapat sebahagian orang kaya dan berpangkat mudah ditipu oleh para penipu dan digunakan oleh para kapitalis barat kerana terkena sifat tamak dan ego dalam kekayaan dan pangkat yang tidak mengenal kepuasan".
"Demikian juga, berapa ramai orang kaya dan ahli-ahli politik yang nampak pintar tetapi amat mudah ditipu oleh orang bawahan yang pandai membodek", syarah Guru.
"Kini aku faham maksud Guru", jawab Murid.
"Anakku, kebodohan dalam kekayaan dan pangkat sangat mudarat kepada diri dan orang lain. Ini sebenarnya kebodohan namun sekarang kita hanya menganggap bodoh itu bila tidak lulus peperiksaan", tambah Guru.


No comments:

Post a Comment

Enam Sebab Saya Berbangga Dengan Kemerdekaan Tanah Melayu

  1.Islam Berada Di Kedudukan Tinggi Dalam Perlembagaan   Saya sangat berbangga dalam rundingan kemerdekaan Tanah Melayu, ketika banyak nega...