Saturday 22 April 2017

Seni Dakwah Sunan Kalijaga - Kesenian & Wayang Kulit

Menurut Babad Tanah Jawi, Sunan Kalijaga adalah Putra Wilwatikta, Adipati Tuban. Nama aslinya Raden Said, atau Raden Sahid. Menurut babad dan serat, Sunan Kalijaga juga disebut Syeikh Malaya, Raden Abdurrahman, dan Pangeran Tuban. Gelar ''Kalijaga'' sendiri punya banyak tafsir. Kelahirannya memyimpan misteri oleh kerana itu, tarikh kelahirannya tidak dicatat dengan jelas. Kemungkinan lahir sekitar tahun 1430M-1450M.
Ada yang menyatakan, asal gelar Kalijaga daripada kata jaga (menjaga) dan kali (sungai). Versi ini didasarkan pada penantian Lokajaya akan kedatangan Sunan Bonang selama tiga tahun, di tepi sungai. Ada juga yang menulis, kata itu berasal dari nama sebuah desa di Cirebon, tempat Sunan Kalijaga pernah berdakwah.
Raden Said mendapat pendidikan agama sejak kecil dari guru-guru agama yang di datangkan khusus untuk penghuni Kadipaten Tuban. Setelah usianya menginjak dewasa, Raden Said menyedari banyak kezaliman yang dilakukan oleh pihak Kadipaten terhadap rakyatnya iaitu meminta cukai yang tidak masuk akal. Tidak tahan melihat musibah itu, Raden Said secara bersembunyi ‘mengambil’ bahan makanan di Kadipaten. Hasil’ambilan’ itu diagihkan kepada rakyat yang memerlukan. Dipendekkan cerita, perbuatannya sampai ke pengetahuan Kadipaten dan hukuman dijatuhkan. Dikatakan akhirnya beliau diusir daerah.
Kemanakah Raden Said membawa diri setelah diusir dari Kadipaten Tuban? beliau menjadi seorang penggembara dan akhirnya dia menetap di Hutan Jatiwangi. Selama bertahun, Raden Said menjadi perompak budiman kerana hasil rompakannya tidak pernah dimakan. Beliau agihkan kepada fakir miskin. Harta yang dirompak hanya milik para hartawan atau orang kaya yang bakhil dan tidak menyantuni rakyat.
Pada suatu hari, seorang berjubah putih melalui hutan. Dari jauh, Raden Said memerhatikannya. Orang itu membawa sebatang tongkat yang gagangnya berkilauan. Terus diperhatikan sehingga Raden Said Berjaya merebut tongkat tersebut dari tangan lelaki berjubah putih itu setelah mengadang langkahnya. Tindakan itu menyebabkan orang berjubah putih itu jatuh tersungkur.
Dengan susah payah orang itu bangun, bergenang air mata di kedua kelopak mata orang itu walau tidak menangis. Raden Said pada saat itu sedang mengamati gagang tongkat yang dipegangnya. Ternyata, tongkat itu bukan dibuat dari emas, hanya gagangnya sahaja dibuat dari warna kuning sehingga berkilauan apabila terang cahaya matahari seperti emas. Raden Said hairan melihat orang itu menangis lalu segera beliau menghulurkan tongkat itu kembali.
Jangan menangis, ini tongkatmu kukembalikan.” Kata Raden Said
Bukan tongkat ini yang kutangisi,” Ujar lelaki itu sambil memperlihatkan beberapa batang rumput di telapak tangannya.
“Lihatlah !, Aku telah berbuat dosa, berbuat perkara sia-sia. Rumput ini tercabut ketika aku jatuh tersungkur tadi”.
Dengan kehairanan Raden Said bertanya, “Hanya beberapa lembar rumput, kau merasa berdosa?” Tanya Raden Said hairan
“Ya, memang berdosa ! kerana kau mencabutnya tanpa suatu keperluan. Andaikata kucabut guna makanan ternak itu tidak mengapa, tapi untuk suatu perkara sia-sia suatu dosa !, “ Jawab lelaki itu.
Bergetar hati Raden Said atas jawapan yang sarat nilai iman itu,
“Anak muda, sesungguhnya apa kau cari dalam hutan ini?”
“Saya mencari harta?”
“Untuk apa?”
“Saya berikan kepada fakir miskin dan penduduk yang menderita”.
“Hmm, sungguh mulia hatimu, namun sayang, caramu tidak betul”.
“Orang tua...apa maksudmu?”
“Boleh aku bertanya anak muda?” Tanya orang tua itu, “Jika kau mencuci pakaianmu yang kotor dengan air kencing, apakah tindakahmu itu benar?”
“Sungguh perbuatan bodoh,” Jawap Raden Said. “Hanya menambah kotor dan bau sahaja”.
Lelaki itu tersenyum, “demikian pula amal yang kau lakukan. Kau bersedekah dengan barang yang kau perolehi secara haram (mencuri) itu sama halnya mencuci pakaian dengan air kencing.”
Lelaki itu melanjutkan bicaranya lagi, “Allah itu adalah Zat yang baik, hanya menerima amal dari barang yang baik atau halal”.
Raden Said tercenggang dan tersentuh dari kata-kata orang tua itu. Raden Said akhirnya diterima menjadi murid kepada orang tua tersebut setelah melalui beberapa ujian. Siapakah orang tua itu? Ternyata kelibat orang tua itu adalah Sunan Bonang.

Wali Yang Lagenda

Kisah Sunan Kalijaga memang tidak pernah padam di kalangan masyarakat pesisir utara Jawa Tengah hingga Cirebon. Terutama caranya berdakwah, yang dianggap berbeza dengan kaedah para wali yang lain.
Sunan Kalijaga telah mengusahakan dakwah dengan seni budaya yang mengakar dalam masyarakat Majapahit. Misalnya melalui wayang, gamelan, tembang, seni ukir dan batik yang sangat popular pada masa itu. Babad-babad ada mencatatkan Sunan Kalijaga sebagai penggubah beberapa tembang, di antaranya Dandanggula Semarangan paduan melodi Arab dan Jawa.

Lagu Ilir-Ilir
 Lihat Video lagu Ilir-Ilir dan Terjemahan Melayu :



Tembang lainnya adalah Ilir-Ilir meskipun ada yang menyebutnya sebagai karya Sunan Bonang. Liriknya mempunyai tafsir yang sarat dengan dakwah. Misalnya “tak ijo royo-royo dak sengguh penganten anyar”. Ungkapan ijo royo-royo bermakna hijau, lambang Islam. Sedangkan Islam, sebagai agama baru, dimisalkan pengantin anyar iaitu pengantin baru.
Peninggalan Sunan Kalijaga lainnya adalah gamelan, yang diberi nama Kanjeng Kyai Nagawilaga dan Kanjeng Kyai Guntur Madu. Gamelan itu kini disimpan di Keraton Jogjakarta dan Keraton Surakarta, seiring dengan berpindahnya kekuasan Islam ke Mataram. Pasangan gamelan itu kini dikenal sebagai gamelan Sekaten.
Karya Sunan Kalijaga yang juga menonjol adalah wayang kulit. Ahli sejarah mencatatkan bahawa wayang yang digemari masyarakat sebelum kehadiran Sunan Kalijaga adalah wayang beber. Wayang jenis ini di atas kertas yang bergambar kisah wayang.

Seni Wayang Kulit
Sunan Kalijaga diyakini sebagai penggubah wayang kulit. Setiap tokoh wayang dibuat gambarnya dan disungging di atas kulit lembu. Bentuknya berkembang dan disempurnakan pada era kejayaan Kerajaan Demak, 1480-an. Cerita dari mulut ke mulut menyebut bahawa Sunan Kalijaga juga hebat sebagai Tok Dalang. Di wilayah Padjajaran, Sunan Kalijaga lebih dikenali sebagai Ki Dalang Sida Brangti.
Apabila mendalang di kawasan Tegal, Sunan Kalijaga bertukar nama menjadi Ki Dalang Bengkok. Ketika mendalang itulah Sunan Kalijaga menyisipkan dakwahnya. Lakonan yang dimainkan tidak lagi bersumber daripada kisah Ramayana dan Mahabarata tetapi Sunan Kalijaga mengangkat kisah-kisah rekaan beliau. Antar yang terkenal adalah wayang Dewa Ruci, Jimat Kalimasada, dan Petruk Dadi Ratu. Dewa Ruci ditafsirkan sebagai kisah Nabi Khidir. Sedangkan Jimat Kalimasada tak lain perlambang dari kalimat syahadat. Bahkan kebiasaan kenduri pun jadi sarana dakwahnya.
Sunan Kalijaga mengganti puja-puji dalam adat sesaji itu dengan doa dan bacaan dari kitab suci Al-Quran. Di awal dakwahnya, Sunan Kalijaga selalu mengelilingi ke pelosok desa. Menurut catatan Prof. Husein Jayadiningrat, Kalijaga berdakwah sehingga ke Palembang dan Sumatera Selatan setelah dibaiah sebagai murid Sunan Bonang.
Dakwahnya berlanjutan ke arah timur, melalui pesisir utara sampai ke Kadilangu, Demak. Di sinilah diyakini Sunan Kalijaga menetap lama hingga akhir hayatnya. Kadilangu merupakan tempat Sunan Kalijaga membina kehidupan rumah tangga. Isteri yang disebut-sebut hanyalah Dewi Sarah, puteri Maulana Ishak.
Pernikahan dengan Dewi Sarah itu mendapat tiga anak. Salah satu anaknya ialah Raden Umar Said, yang kemudian bergelar Sunan Muria.


Dua pendapat Makam Sunan Kalijaga

Sunan Kalijaga wafat pada tahun 1580M dan dimakamkan di Kadilangu, Demak. Makam Sunan Kalijaga termasuk salah stau peninggalan yang bersejarah. Ia terletak di Desa Kadilangu, Demak iaitu sekitar 3KM dari Kota Demak sebelah tenggara. Nama Kompleks pemakaman Sunan Kalijaga disesuaikan dengan nama Desa Kadilangu menjadi Kompleks Makam Kadilangu. Kompleks Makam ini terbahagi kepada lima halaman dan lokasi makam Sunan Kalijaga berada di halaman kelima dengan kedudukan lebih tinggi berbanding makam lainnya.

Pasar di Kompleks Makam

Angah di kawasan Kompleks Makam Kadilangu

Namun, ada pendapat lain mengatakan bahawa Makam Sunan Kalijaga berada di Cirebon. Di Cirebon, terdapat desa yang bernama Kadilangu juga. Lokasinya sekitar 2.5KM ke arah barat daya dari Kota Cirebon. Kata sebahagian orang, di sana lah Sunan Kalijaga dimakamkan. Tambahan lagi, desa itu memang pernah menjadi tempat tinggal Sunan Kalijaga ketika hayatnya. Bukti lain yang mengatakan makamnya di Kadilangu, Cirebon juga kerana terdapat Soko Tatal di Masjid Kesepuhan alun-alun Cirebon yang diyakini dibuat oleh Sunan Kalijaga sebagaimana yang terdapat di Masjid Demak.
Oleh itu, bagi mereka yang meyakini bahawa Sunan Kalijaga dimakamkan di Kadilangu, Cirebon, Makam Sunan Kalijaga di Demak hanya peninggalan sejarah Cuma.  Walaupun terdapat dua pendapat berhubung Makam Sunan Kalijaga, persis apa yang berlaku kepada gurunya Sunan Bonang (ada Makam di Bawean dan di Tuban), masyarakat pada umumnya sering melakukan kunjungan ziarah Makam Sunan Kalijaga di Desa Kadilangu, Demak, Jawa Tengah.


~Angah, Demak~31 mei 2016

#angahsunan
#TravelogWaliSongo

No comments:

Post a Comment

Enam Sebab Saya Berbangga Dengan Kemerdekaan Tanah Melayu

  1.Islam Berada Di Kedudukan Tinggi Dalam Perlembagaan   Saya sangat berbangga dalam rundingan kemerdekaan Tanah Melayu, ketika banyak nega...