Peta Nusantara Dahulu |
Angah berjanji pada post yang lepas (di facebook) akan menulis tentang apakah formula gerakan Ulama’ dahulu hingga Islamnya wilayah Nusantara ini tanpa peperangan dan pertumpahan darah. Rahsianya ialah 6P 1K. Apakah ia 6P 1K?. Angah akan cuba sampaikan dengan bahasa yang mudah. Ok
[1] PERNIAGAAN – Dakwah melalui Jalan Perniagaan / Perdagangan.
Sejarah merakamkan kedatangan Islam ke negara ini didorong oleh kemasukan para pendakwah melalui aktiviti perdagangan yang berkembang pesat terutamanya pada zaman kegemilangan Kerajaan Melaka.
Islam disebarkan melalui akhlak dan tingkah laku para pedagang yang terpuji, mendekati pihak istana dan pemerintah sekali gus melahirkan ulul amri dan rakyat yang patuh kepada syariat. menurut catatan China, pedagang-pedagang Islam sudah ada di kawasan perairan melayu semenjak pertengahan abad ke-7 lagi.
Pedagang-pedagang Islam dipercayai telah mendirikan koloni-koloni mereka di Perairan Semenanjung Tanah Melayu dan Sumatera untuk menjalankan kegiatan perdagangan. Selain menjadi pedagang, saudagar-saudagar tersebut menjalankan kegiatan dakwah di kawasan-kawasan yang disinggahi.
[2] PEMERINTAHAN – PERLUASAN KUASA – Dakwah melalui Jalan Pemerintahan.
Dua buah negara yang memainkan peranan penting dalam penyebaran Islam melalui usaha penaklukan ialah Melaka (pada abad ke-15) dan Acheh (pada abad ke-16 dan 17). Di zaman keagungannya, Melaka telah menakluki banyak daerah dari negeri di Semenanjung dan juga Sumatera seperti Pahang, Kedah, Siak, Rokan dan lain-lain Iagi. Melalui penaklukan ini, Islam telah disebarkan ke negeri-negeri tersebut. Kebiasaannya, raja di sesebuah negeri yang ditawan tidak sukar diislamkan kerana secara sukarela mereka menerima Islam sebagai satu Iangkah untuk mendapatkan layanan yang baik dari pemerintah negeri yang menawannya. Pengislaman raja sesebuah negeri biasanya diikuti oleh rakyat.
Di belakang tabir, Ulama’ telah memanfaatkan keadaan sosial politik ketika itu yang berpaksikan kepada kedaulatan Raja. Oleh kerana itu, Ulama’ masuk ke dalam Istana, mengislamkan Raja sehingga antara mereka menjadi penasihat berpengaruh kepada Raja itu sendiri. Ada juga ulama’ yang menjadi Sultan seperti
i. Sunan Gunung Jati, (Wali Songo) Sultan Pertama Kesultanan Cirebon bergelar Sultan Syarif Hidayatullah. Salah seorang puteranya bernama Maulana Hasanuddin telah diangkat menjadi Raja di Banten dan bergelar Sultan Hasanuddin, Sultan Pertama Kesultanan Islam Banten.
ii. Sayyid Abu Bakar al Husaini, pendakwah Islam di Sulu, menjadi Sultan pertama Kesultanan Sulu bergelar Paduka Mahasari Maulana Sultan Shariful Hashim. Sebelum itu Baginda berkahwin dengan wanita tempatan, anak kepada Raja Baginda.
iii. Raden Patah, murid dan menantu kepada Sunan Ampel. Sunan Ampel mendapat petunjuk supaya dibinanya Pemerintahan untuk memayungi dakwah Islam di Jawa menggantikan kerajaan Majapahit yang sudah melemah. Lalu tertegak Kesultanan Demak, yang mana Sunan Ampel telah mencaturkan agar menantunya Raden Patah, Putera kepada Raja terakhir Majapahit Prabu Wijaya menjadi Sultan.
Kesultanan Demak merupakan kerajaan Islam pertama di tanah Jawa dan telah berperanan besar dalam proses Islamisasi Jawa ketika itu (menjadi pusat penyebaran Islam). Sunan Ampel telah berpesan kepada Raden Patah jangan sesekali menyerang kerajaan Majapahit kerana Raja Brawijaya tetap Ayahanda Raden Patah walau berbeza agama.
iv. Tokku Pulau Manis, Terengganu. Tok Pulau Manis yang asalnya memegang negeri Terengganu yang diwarisi turun temurun dari moyangnya Sharif Muhammad al Baghdadi akhirnya memilih jalan keilmuan dan uzlah lalu menyerah takhta kerajaan Temir- Terangganu kepada anak murid dan menantunya, Tun Jenal bin Tun Habib Abdul Majid (Bendahara Kesultanan Johor lama). Lalu bergelar Sultan Zainal Abidin 1, Sultan pertama Kesultanan Terengganu. Tok Pulau Manis kekal sebagai penasihat dan ulama Istana. Jika ditanya kenapa Makam Tok Pulau Manis di tutupi warna kuning yang merupakan adat makam diRaja sahaja, Ini sejarahnya sekaligu jawapan.
v. Banyak der kalau nak tulis.
3. PERKAHWINAN –Dakwah Melalui Perkahwinan.
Ramai Ulama’ yang datang ke alam Melayu berkahwin dengan puteri-puteri dari kalangan anak pembesar. Perhubungan keluarga telah memudahkan para pedagang Islam berdakwah secara terus dengan kaum kerabat mereka sendiri. Perkahwinan ini juga sekurang-kurangnya dapat menarik minat pembesar-pembesar tempatan untuk menerima Islam. Biasanya apabila pembesar-pembesar menerima Islam maka seterusnya akan diikuti golongan bawahan ataupun rakyat secara beramai-ramai. Hasilnya bertambahlah bilangan penduduk yang menganut agama Islam.
Agama Islam juga tersebar melalui perkahwinan antara raja sesebuah negara dengan puteri raja dari negara lain. proses ini biasanya dipanggil perkahwinan sahsiah. Langkah ini turut membantu perkembangan Islam ke sesebuah negara. Umpamanya perkahwinan puteri Pasai dengan Megat Iskandar Syah menyebabkan Islam tersebar dari Pasai ke Melaka. Begitulah juga perkahwinan anak-anak raja Melaka dengan putera puteri Pahang dan Kedah yang akhirnya telah menyebabkan kedua-dua menjadi negeri Islam kemudiannya.
Para Ulama’ yang datang ke wilayah nusantara ini juga telah berkahwin ramai (lebih dari seorang) untuk meramaikan zuriat dan isteri-isteri mereka dari latar belakang, anak pemebsar dan wilayah yang berbeza. Kemudian anak keturunan para ulama yang ramai ini menyambung perjuangan nenda mereka.
4. PERSILATAN – Dakwah Melalui Persilatan.
Persilatan di alam melayu telah membawa pengaruh yang besar dalam membentuk jati diri tauhid, adab dan siyasah para penuntutnya. Salasilah perjalanan silat bersambung kepada para ulama dan dikatakan asal kalimat Silat itu adalah dari Silaturahim. Tujuan silat adalah menjaga silaturahim bukan menyombong diri apatahlagi bermusuhan sesama anak bangsa. Setiap jurus silat itu ada seni dan falsafah tauhid. Wasilah persilatan sangat senang menarik anak muda khususnya untuk belajar. Dalam pembelajaran, Guru akan mengajar ilmu agama, solat, akhlak dan tasauf (yang ditekankan jangan sombong).
5. PERUBATAN – Dakwah Melalui Perubatan.
Sejarah mencatatkan bahawa Perubatan menjadi satu wasilah penting dalam peneyabaran Islam di Nusantara. Biar kita ambil contoh kisah Maulana Malik Ibrahim. Pada waktu Maulana Malik Ibrahim sampai di Tanah Jawa, kerajaan Majapahit berada di ambang keruntuhan disebabkan perang saudara merebut takhta. Sehingga, keadaan pada masa itu dipenuhi dengan rusuhan, rompakan dan masalah social, kebeluran dan wabak penyakit.
Maulana Malik membuka tempat rawatan dan menjadi tabib. Proses rawatan beliau menggunakan doa-doa yang diambil dari Al-Quran serta ramuan daun-daunan, dengan Izin Allah, ia telah menyembuhkan penyakit. Beliau pun seakan menjelma menjadi ''penolong'' bagi masyarakat Jawa ketika itu. Apalagi, beliau tidak pernah minta dibayar.
Di tengah komuniti masyarakat Hindu di kawasan itu, beliau cepat dikenali, karena beliau tidak mengikut sekatan kasta yang menjadi lumrah dalam pegangan penganut Hindu. Beliau malah memperlakukan semua orang sama darjat. Maulana Malik Ibrahim menjelaskan bahwa dalam agama Islam, semua manusia sama darjat disisi Allah melainkan mereka yang bertaqwa kepada Allah.
Dalam perubatan, para pesakit akan menyerahkan dirinya untuk diubati, disitu para ulama mengambil peluang menjagar tauhid, memberi amal zikir (dalam fasa penyembuhan) kepada pesakitnya.
6. PENDIDIKAN – ( Dakwah Melalui Pendidikan).
Sudah pasti, para ulama juga menggunakan wasilah pendidikan dalam penyebaran agama Islam. Jika kita pecahkan lagi, pergerakan pendidikan itu terbahagi kepada TIGA METHOD:
i. Penulisan. Karya para ulama Nusantara, baik yang telah berupa cetakan atau masih dalam bentuk manuskrip atau tulisan tangan (makhthûthâth), jumlahnya sangat besar. Salah satu sumber dari Aceh menyebutkan, khusus karya ulama di Aceh sebelum terjadinya tsunami saja diperkirakan mencapai 10,000 naskah. Karya-karya ulama-ulama lainnya tersebar luas di berbagai wilayah Indonesia seperti Banten, Jawa Tengah, Jawa Timur, Banjarmasin, Palembang, Makassar, Gowa, Bone, Lampung, Acheh, Tanah Melayu, Fathani, Champa dan seterusnya. Tokoh-tokoh ulama besar Nusantara yang memiliki karya-karya fenomenal yang menyebar di berbagai wilayah nusantara.
ii. Madrasah. Boleh dikatakan hampir semua ulama mendirikan madrasah, pondok atau pesantren untuk menyiapkan generasi menguasai disiplin ilmu Islam secara menyeluruh agar lahirnya ulama’ rabbani mentarbiyah Ummat.
iii. Penyucian jiwa (ilmu Tasauf). Ini sangat penting. Para ulama’ dahulu selain menyebarkan pendidikan fiqh dan llmu syariat yang lain, para ulama’ dahulu sangat mengambil perhatian proses sulukiah rohaniah para murid dan masyarkat yang menjadi dasar dalam sistem pendidkan di madrasah. Ulama turun dalam masyarakat mengajar zikir, membimbing sulukiah hingga hati-hati murid mencapai perubahan dan hal ehwal keasyikan Syuhudiah kepada Allah dan Mahabbah (cinta) kepada Rasul hingga lahir akhlak tasauf kepada diri mereka. Oleh kerana para pendakwah yang datang ke nusantara dahulunya kebanyakan ulama sufi, pendekatan mereka sangat hikmah dan berakhlak tinggi menjadi sebab orang tertarik kepada Islam.
7. KESENIAN – Dakwah Melalui Kesenian.
Apabila berbicara kaedah dakwah melalui kesenian, pasti terus teringat nama Sunan Kalijaga. Sunan Kalijaga antara ulama yang menonjol dan kehadapan dalam metodologi dakwah keseniaan. Kisah Sunan Kalijaga memang tidak pernah padam di kalangan masyarakat pesisir utara Jawa Tengah hingga Cirebon. Terutama caranya berdakwah, yang dianggap berbeza dengan kaedah para wali yang lain.
Sunan Kalijaga telah mengusahakan dakwah dengan seni budaya yang mengakar dalam masyarakat Majapahit. Misalnya melalui wayang, gamelan, tembang, seni ukir dan batik yang sangat popular pada masa itu. Babad-babad ada mencatatkan Sunan Kalijaga sebagai penggubah beberapa tembang, di antaranya Dandanggula Semarangan paduan melodi Arab dan Jawa.
Tembang lainnya adalah Ilir-Ilir, meskipun ada yang menyebutnya sebagai karya Sunan Bonang. Liriknya mempunyai tafsir yang sarat dengan dakwah. Misalnya “tak ijo royo-royo dak sengguh penganten anyar”. Ungkapan ijo royo-royo bermakna hijau, lambang Islam. Sedangkan Islam, sebagai agama baru, dimisalkan pengantin anyar iaitu pengantin baru.
Peninggalan Sunan Kalijaga lainnya adalah gamelan, yang diberi nama Kanjeng Kyai Nagawilaga dan Kanjeng Kyai Guntur Madu. Gamelan itu kini disimpan di Keraton Jogjakarta dan Keraton Surakarta, seiring dengan berpindahnya kekuasan Islam ke Mataram. Pasangan gamelan itu kini dikenal sebagai gamelan Sekaten.
Karya Sunan Kalijaga yang juga menonjol adalah wayang kulit. Ahli sejarah mencatatkan bahawa wayang yang digemari masyarakat sebelum kehadiran Sunan Kalijaga adalah wayang beber. Wayang jenis ini di atas kertas yang bergambar kisah wayang.
Hari ini kita dapat melihat trend bacaan Nasyid, Qasidah dan selawatan dengan pelbagai gubahan dan lagu karangan ulama telah didengangkan di majlis keraian. Tidak lagi terhad di bulan maulid. Ramai anak muda dan kanak-kanak menyertai dan mengambil bahagian. Lirik yang berunsurkan kisah dan kecintaan kepada Rasulullah saw telah menjadi asbab hidayah kepada hati yang dulunya keras.
KESIMPULAN
1. Kesemua wasilah dakwah itu berpaksikan tauhid makrifat, tasauf dan mahabbah Rasul. Ini dasar pergerakan para ulama sehingga lahir gerak kerja yang bukan membawa kepada diri atau kumpulan tapi dakwah yang mengajak kepada Allah dan Rasul semata. Benih tauhid makrifat ini juga membuahkan keikhlasan dalam gerak kerja dakwah para ulama.
2. Maka duhai sahabat, ayuh bertebaran ke seluruh dunia menanamkan dua benih kekuatan kebangkitan yakni tauhid makrifat (tauhid ihsan) dan mahabbah Rasul
3. Jangan berdakwah kerana ada maksud untuk diri, ia adalah perjuangan yang kecil dan sia-sia, bergerak membina ummah tanpa ada kehendak diri, ia adalah semulia amal dan tinggi darjat di sisi Allah
4. Kepelbagaian watak manusia, adat budaya, suasana mendorong kepelbagaian metodologi dakwah. Dakwah itu tidak rigid, yang rigid itu kita.
5. Dakwah itu banyak cara, yang salahnya kita mengatakan cara kita sahaja yang paling betul dan paling menepati Rasulullah saw.
6. Dalam dakwah, musuh dikurangkan sahabat diramaikan dan jika boleh semua dikeluargakan.
No comments:
Post a Comment