Wednesday, 26 August 2020

Pahit Manis Demokrasi - Athens Yang Hilang

 

Aspirasi kolonialisme dan impian imperialisme tersungkur menemui ajal selepas Perang Dunia Pertama. Oleh kerana peperangan besar telah berlaku, terbentuk peta dunia yang dilakarkan semula. Austria-Hungary, Jerman, Rusia dan Uthmaniyah tersungkur dan dibubarkan. Di sebalik timbunan abu kedaulatan mereka, wujud pula blok-blok baharu yang bertelagah. Perang Dunia Kedua kemudian membahagikan dunia antara komunisme yang mengimpikan kawalan dan pengawasan, dan kapitalisme yang menjulang kebebasan dan demokrasi.

 

Di belakang tabir dua peperangan besar ini, demokrasi telah berputik dan berkembang secara berperingkat. Sudah menjadi fitrah manusia untuk hidup bebas tanpa kongkongan. Tetapi ideologi merupakan pembaharuan demi pembaharuan daripada usaha-usaha berzaman. Demokrasi semestinya bukan sebuah perkara baharu dalam abad ini, kerana perkataan parlimen itu sendiri buat julung kalinya digunakan pada tahun 1295 selepas reformasi yang dicetuskan Raja Inggeris Edward I.



Sekitar abad ke-19 hingga ke-20 pula, demokrasi mula mencapai kematangan kepada sebuah bentuk hampir serupa dengan apa yang dikenali pada hari ini. Namun pada zaman tersebut, wanita tidak menikmati manfaatnya secara sepenuhnya. Pada tahun 1893, sebuah gerakan hak suara dimulakan yang memperjuangkan keizinan supaya wanita boleh mengundi dalam pilihanraya. New Zealand merupakan negara pertama yang menyahut seruan women’s suffrage ini, sekaligus membenarkan wanita mengundi.[1]

 

Kejayaan tersebut hanyalah batu loncatan semata-mata, kerana sokongan global masih lagi jauh meskipun dengan kejatuhan sebuah autokrasi iaitu Empayar Rusia. 40 tahun selepas gerakan hak suara tersebut dilancarkan, sebuah musibah besar berlaku di Eropah. Adolf Hitler telah bangkit dengan kemutlakan kuasa yang dasar-dasar dalam dan luar negaranya telah mengubah keadaan geopolitik sedunia. Kematian Hitler pun tidak menjaminkan kerelevanan demokrasi, kerana kekalahan Jerman menyaksikan pula pertembungan antara Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet menerusi Perang Dingin yang berlarutan selama 45 tahun lamanya.

 

Hanya 10 tahun terakhir bagi abad ke-20 yang sangat penting bagi demokrasi. Pada 3 Oktober 1990, dua republik Jerman yang terbelah sejak Perang Dunia Kedua telah bersatu bagaikan adik-beradik lama terpisah. Sekitar waktu itu juga, pemerintahan apartheid di Afrika Selatan mula meluntur yang empat tahun kemudian meletakkan negara tersebut dibawah kerajaan Nelson Mandela. Yang paling penting, riwayat Kesatuan Soviet ditamatkan selepas segala usaha pemulihan dan pemuliharaan dibawah Mikhail Gorbachev, khususnya perestroika dan glasnost, menemui kebuntuan.

 

1 Januari menandakan tarikh baharu bagi 2000, abad ke-21 dan juga alaf ketiga. Demokrasi pada hari tersebut dilihat sangatlah ampuh, sehingga Amerika Syarikat dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) boleh menentukan dasar-dasar luar negara sesuka hati sehingga menyebabkan peperangan atas nama demokrasi di Afghanistan dan Iraq. Rantau Timur Tengah (atau lebih meluas lagi, Dunia Arab secara keseluruhan) kemudian menerima arus demokrasi dinamakan Kebangkitan Dunia Arab dengan tuntutan-tuntutan hak asasi manusia, kebebasan ekonomi dan pilihanraya bebas yang merupakan intipati demokrasi sendiri.

 

Semangat kebangkitan tersebut menumbangkan beberapa kerajaan seperti Hosni Mubarak yang mencengkam Mesir. Maka di sini seharusnya dijelaskan terlebih dahulu definisi, erti, istilah dan perjalanan demokrasi yang sangat luas dari segi sejarahnya. Seperti yang semua tahu, demokrasi mempunyai etimologi Yunani iaitu dēmokratía yang bererti penguasaan rakyat.[2] Namun demokrasi yang diamalkan terdahulu sememangnya berbeza dengan reka bentuk kerajaan moden kini.

 

Selama 186 tahun Athens dipimpin melalui sistem demokratik berautonomi yang makmur tetapi agresif. Antara 508 S.M. hingga 322 S.M, demokrasi di Athens sangatlah subur. Sistem ini melangkaui proses pilihanraya semata-mata. Dengan sebuah badan perwakilan, rakyat sentiasa menyertai debat dan pemilihan secara terbuka untuk mengundi tindakan seterusnya terhadap isu-isu semasa dan hal-hal ehwal peperangan. Rakyat pun boleh hilang kuasa mengundi jika melakukan kesalahan-kesalahan berat, misalnya tidak dapat melangsaikan hutang kepada perbendaharaan negara.

 

Demokrasi Athens bangkit melalui pemerhatian sosial bahawa raja-raja berpuak dalam sistem tribalisme sangatlah lemah bagaikan ketua-ketua kampung semata-mata. Tanpa kesatuan dinamik, tiada apa boleh dilakukan. Dalam zaman tersebut, ketiadaan jaminan merupakan satu ancaman paling besar bagi kemandirian masyarakat. Namun bentuk demokrasi terjalin merupakan sistem mutlak yang mana rakyat menentukan segalanya melalui sebuah hierarki. Sifatnya pula tidaklah terbuka. Walaupun dibenarkan mengundi, rakyat marhaen tidak boleh bertanding angkara piawaian kasta Thetai mereka. Hanya kasta atasan sahaja yang boleh bertanding untuk mewakili Ecclesia (Perwakilan).

 

Kejatuhan demokrasi Athens juga mempunyai ironi yang boleh dikaitkan sehingga hari ini. Menurut Dr. Michael Scott dari Universiti Cambridge, kestabilan Athens ranap susulan sebuah kemelut ekonomi teruk iaitu apabila ahli-ahli politik menyalahgunakan perbendaharaan negara dalam masa menyertai peperangan-peperangan tidak produktif dan gagal menempuhi masalah imigrasi (Unversiti Cambridge, 2009). Kejayaan awal demokrasi Athens pun, berdasarkan buku From Democrats to Kings, telah memutihkan sejarah pahitnya penuh dengan darah angkara kepimpinan sistem oklokrasi.

 

Sejarah berulang di Eropah, yang paling tepat sekali di Jerman apabila Paul von Hindenburg melantik Hitler ke tampuk ketua kerajaan, yang kemudiannya menyebabkan rangkulan kuasa penuh. Oklokrasi sekali lagi berulangan, yang sebarang kesinambungan ekonomi Jerman runtuh dalam sebuah kemelut ekonomi teruk apabila perbendaharaan negara menyalurkan dana untuk peperangan merugikan. Kerajaan Jerman juga menguruskan imigrasi dengan cara zalim, sambil memutihkan sejarah pahitnya.

 

Berdirinya Jerman pun sebenarnya diatas usaha demokrasi sekitar tahun 1883, apabila Otto von Bismarck mengetuai negara. Setelah mengharamkan sebuah parti, beliau memperkenalkan cadangan-cadangan sosialisme yang menyebabkan Jerman negara kebajikan pertama. Sahutan Bismarck bergema ke seluruh Eropah Barat, seperti Perancis dan United Kingdom. Malah angin “demokrasi sosialis” ini turut membadai Amerika Syarikat yang mempengaruhi bermula dengan pemerintahan Woodrow Wilson.

 

Dasar-dasar “New Freedom” dan “New Deal” ialah cerminan demokrasi sosialis yang memerangi bencana-bencana daripada Kemelesetan Besar (Great Depression). Campurtangan ekonomi yang bertentangan dengan ajaran kapitalisme dan liberalisme menjadi kegiatan utama, disulamkan lagi dengan had-had ditetapkan demokrasi. Maka dengan sosialisme ini, zaman awal Perang Dingin mendapati peserta-peserta peperangan utama seperti Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet menikmati pertumbuhan ekonomi yang mapan.

 

Malah Jepun yang hancur akibat pengeboman Hiroshima dan Nagasaki pun membina semula dengan piagam sosialisme dalam platform demokrasi. Keajaiban-Keajaiban di Rhine dan Sungai Han menceritakan kejayaan pembinaan smeula di Jerman (termasuk Austria) dan Korea Selatan. Perancis yang dijarah Jerman Nazi pun membangun secara pesat. Itali meninggalkan fasisme, bertanggapannya sebagai najis Benito Mussolini, untuk membangun bersama demokrasi.

 

Hampir 30 tahun demokrasi sosialis berpencak dalam platform global, hanya untuk tersungkur selepas Krisis Tenaga 1970-an apabila gangguan geopolitik di Timur Tengah mengancam keamanan. Kedatangan pasaran terbuka, penswastaan, perdagangan bebas dan globalisasi ekonomi telah menimbulkan tanda tanya terhadap demokrasi sosialis, yang mengembalikan semarak api liberalisme sehinggalah ekonomi terhempas pada tahun 2009.

 

Dewasa ini, figura-figura politik seperti Bernie Sanders dan Jeremy Corbyn mengiktirafkan kepentingan demokrasi sosialis. Manakala ramai juga dalam negara-negara Barat menjulang demokrasi liberalis. Walau apa pun, demokrasi sosialis masih diamalkan di negara-negara Scandinavia iaitu Denmark, Finland, Iceland, Norway dan Sweden. Lebih menakjubkan, Laporan Kebahagiaan Dunia yang diterbitkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mendapati keempat-empat negara ini merupakan negara paling bahagia di dunia.

 

Sistem kebajikan yang dipupuk sejak abad ke-20 masih lagi dipraktikkan pada hari ini. Rantau Scandinavia berprestasi tinggi dalam jangka hayat rakyat, kebebasan pilihan hidup, kesamarataan ekonomi, kesihatan awam yang menjaminkan kualiti hidup melalui pertumbuhan KDNK stabil serta pembangunan manusia. Demokrasi sosial juga memberikan manfaat besar supaya sebuah negara boleh merangkul kedudukan tinggi dalam kebebasan manusia seperti amalan media, buruh dan ekonomi yang mendatangkan keamanan melalui pembasmian korupsi.

 

Sungguhpun menyimpan tatacara-tatacara sosialisme, demokrasi ini masih lagi mengutamakan kapitalisme. Penekanan negara kebajikan amatlah diperlukan kerana kapitalisme boleh melampaui batasan kemanusiaan. Sebagai contohnya, teori-teori kapitalisme terhadap pengangguran dan jaminan kerja boleh menyebabkan masing-masing mengalami inflasi dan kerosakan disiplin buruh. Maka demokrasi sosialis diperlukan untuk mengimbangi keadaan, walaupun tidak boleh melakukan apa-apa terhadap budaya ambil kesempatan dan pengusiran.

 

Manfaat kewangan terhadap pengangguran atau pengecualian cukai juga boleh mengganggu imbangan bajet, yang jika tidak diuruskan dengan baik boleh merosakkan lagi keutuhan demokrasi dalam negara. Jadi terdapat juga pendapat bahawa negara kebajikan hanya memanjangkan masalah-masalah dalam masyarakat.

 

Liberalisme Mencucuk Demokrasi 

 

Dewasa ini mungkin liberalisme sedang mencengkam demokrasi untuk memperlihatkan dasar-dasar pasaran terbuka tanpa sebarang pengaruh sosialisme. Namun itu sebenarnya bukanlah ideologi demokrasi utama, kerana setiap negara mempunyai acuan tersendiri. Perjalanan demokrasi sebenarnya jauh daripada asal-usul terlalu lama. Malah sebelum pembentukan sebuah piagam demokrasi pertama di Athens, manusia sudahpun mengamalkan semangat konsensus dan mesyuarat.

 

Pakar antropologi mendapati serpihan-serpihan demokrasi sudahpun wujud dalam kalangan manusia agraria terdahulu. Sebuah pakatan yang dijalinkan dengan darah daging dipegang erat melalui keputusan konsensus tanpa keperluan ketua pun. Bermakna demokrasi pada asasnya sudah menjadi sebahagian daripada naluri manusia yang menyukai kebebasan dan hak bersuara. Sebarang usaha untuk menyekat hak asasi manusia ini tidak mungkin boleh bertahan lama, seperti yang terjadi terhadap blok komunisme yang satu demi satu republik meninggalkan ideologi lapuk itu.

 

Sepanjang zaman, demokrasi mempunyai pelbagai bentuk yang berjeniskan lima sahaja. Kadangkala wujud juga inisiatif yang mencairkan demokrasi untuk menerima semua jenis yang tersenarai. Rakyat diberikan kuasa tulen untuk menentukan dasar melalui wakil dalam sebuah sistem sama ada berpresiden atau berparlimen yang kadangkala menyaksikan penyertaan luar biasa. Perkara ini juga tertakluk pada kestabilan sebuah negara, terutamanya kemapanan ekonomi yang mencerminkan pengiktirafan atau amarah rakyat.

 

Namun halatuju demokrasi pada hari digelumangi pelbagai jenis masalah yang mencabar legitimasinya. Pilihanraya yang dianjurkan mengikut tempoh mewajibkan setiap kerajaan bertindak dengan bijak. Sebagai laluan mudah, kerajaan boleh mengambil kesempatan untuk menipu keputusan sekaligus melemahkan pegangan demokrasi sah. Malahan, sekalipun keputusannya benar dan berlaku kekalahan, segala kebaikan daripada kerajaan tersebut berakhir. Kerajaan baharu pula akan menekankan solusi kepada masalah-masalah jangka panjang, sambil mendatangkan dasar-dasar yang membawa masalah baharu pula.

 

Walaupun kerajaan telah menetapkan dana untuk anjuran pilihanraya, setiap ahli-ahli politik perlu menjana kewangan sendiri bagi tujuan berkempen seperti sewaan hotel sebagai contohnya. Disini timbul dua masalah utama, sama ada parti pemerintah menyalahgunakan perbendaharaan negara ataupun derma-derma bersyarat daripada para hartawan. Secara kebiasaannya, golongan berduit menderma untuk parti yang menjaminkan pelepasan cukai supaya mereka boleh meluaskan lagi simpanan mereka.

 

Masalah hanya bermula di situ, kerana persaingan politik seringkali membahagikan rakyat dengan taktik pecah belah serta konflik am. Sangatlah susah untuk sebuah negara mencapai penyatuan nasional pada ambang pilihanraya, yang mana kegagalan tidak mustahil menyebabkan demonstrasi besar-besaran. Kadangkala kegagalan itu bukanlah berpunca daripada kemapanan sebuah kerajaan pun, kerana kekeliruan pengundi yang tidak berupaya membuatkan keputusan betul berdasarkan dasar menyebabkan demokrasi gagal berfungsi dengan baik.

 

Rakyat pula tidak wajar dipersalahkan di sebalik kekeliruan yang melanda. Perkara sebegini berlaku kerana kekurangan maklumat akibat saluran yang berat sebelah. Apabila wang mendatangi politik, mesej-mesej am selalunya mempunyai kecenderungan tertentu. Kebebasan media juga tidak semestinya menjaminkan saluran maklumat yang adil. Pada ambang pilihan raya Presiden 2016, Amerika Syarikat terbelah dengan retorik-retorik daripada Donald Trump mengenai emel-emel Hillary Clinton dan juga spekulasi Joe Biden selama 250 hari.

 

Didihan ahli politik tanpa henti boleh menyimpangkan para pengundi secara besar-besaran pun. Rakyat tidak berupaya untuk merangkul kuasa politik, sekaligus mudah dipengaruhi. Hal ini juga merupakan lumrah sebagai manusia yang mengambil kesempatan dalam kelemahan sistem. Walau apa pun, matlamat tidak pernah menghalalkan cara. Penyalahgunaan platform hanya menguntungkan golongan atasan, suatu perkara yang rakyat perlu ketahui untuk menjaminkan dinamisme suara mereka dalam gelanggang pemerintahan. Meskipun demokrasi berdiri sebagai tawaran kebebasan kepada rakyat, terdapat juga lubang-lubang yang sang penguasa boleh eksploitasi untuk mengekalkan pemerintahan.

 

 

[1] “Women’s Suffrage Petition – Te Petihana Whakamana Poti Wahinenatlib.govt.nz. Retrieved 4 December 2018.

[2] “Democracy”. Online Etymology Dictionary

 

Lontaran Idea Semi - Demokrasi Di Malaysia

LONTARAN IDEA SEMI - DEMOKRASI DI MALAYSIA 

 

Kita berehat sebentar dari pelbagai isu politik yang melanda. Bab politik parti ini, memang tidak akan pernah sunyi, sentiasa ada api dan asap. Ntahla, sejak kecil kita dipaksa untuk hadap perbalahan, pergelutan, persaingan orang – orang politik. Keterdesakan mereka terhadap ‘power’ memang terang-terangan dikala isu kebajikan rakyat terus mewarnai lensa media. Permainan tikam belakang ala kala jengking sudah lapuk, sekarang taktikal tikam depan-depan. Bak kata Laswell, “politik adalah siapa mendapat apa, bila dan bagaimana”.

 

Tak boleh salah kan juga, sudah memang tujuan penubuhan parti politik untuk dapatkan kuasa. Walaubagaimanapun, sebagai rakyat Malaysia, kita wajar bersyukur kerana masih mempunyai Raja-Raja Melayu di singgahsana sebagai pengimbang dan payung penyatuan. Orang politik berbalah tahap filem tamil sekalipun, negara ini punyai daya tahan dan pentadbiran tetap berjalan dengan baik. Antara hikmah berlakunya drama sheraton selepas perdana menteri ke-7 meletakkan jawatan, adalah kita dapat menyaksikan pentadbiran negara elok sahaja berjalan dibawah payung pemerintahan YDPA dan dibantu bersama Ketua Setiasusaha Negara serta para penjawat awam.

 

Oleh kerana itu, saya suka highlightkan, taat setia kita kepada Tuanku sahaja dan sepatutnya ‘feeling’ terlalu obses sehingga obesiti taksub kepada orang politik dikurangkan. Mereka datang dan pergi, kalah itu pasti dalam pemilihan, menang itu bonus namun Raja-Raja Melayu tetap bersemayam meneruskan amanah Zilullah Fil Ardhi. Saya pernah berkuliah suatu tempat dan dalam kuliah saya jelas nyatakan saya seorang royalist (seseorang yang menyokong sistem beraja). Selepas kuliah, seorang makcik beritahu suaminya seorang cina mualaf (dulu Buddha) dan merupakan pesara tentera udara. Makcik tersebut beritahu kepada saya suaminya selalu sebut, “my life for my king, never trust politicians”. Saya anggukkan sahaja. Bukan kali pertama pun saya jumpa bangsa cina dan india yang sangat setia kepada Raja Melayu.

 

Saya tak kata anti terus ahli politik, setiap kaedah ada pengecualian. Orang politik yang benar-benar komited berjuang untuk rakyat tetap mendapat tempat yang mulia. Cuma golongan ini ‘rare’ dan kita akui kita masih punyai politikus demikian. Ada lagi kan? (tanya balik kat pembaca lagi senang). Mesej saya adalah budaya terlalu mengherokan orang politik ini sudah boleh perlahan-perlahan dicabut. Mereka itu hanya menjalankan amanah Seri Paduka untuk berkhidmat kepada rakyat. Saya nak berkongsi kata-kata Dr.Ben Carson (tokoh politik Amerika) : “Kita ditanam pemikiran bahawa hanya orang politik boleh selesaikan masalah kita, tapi pada suatu sisi lain, mungkin kita kena kembali sedar dan kenalpasti bahawa orang politik itu lah yang mencipta pelbagai masalah

 

Paling ‘rare’ ketika berbual dengan pakcik grab berbangsa cina. “Kenapa you respect our king uncle”?, saya tanya. Tahu apa dia jawab?, “Our King aar masih ada daulat oo, jangan main-main”. Saya tanya balik, “apa yang you faham dengan daulat?”. Jawap Uncle, “kalau lawan, boleh terkena sumpah”. Kami bersembang panjang sepanjang dalam perjalanan. Sebenarnya, kalau dikaji tentang orang cina, jati diri mereka sebagai rakyat beraja sangat kuat. Mereka hidup mendaulatkan seorang Raja sejak 5000 tahun lagi. Sejarah dinasti - dinasti Maharaja mereka tersergam indah dalam sejarah. Sebahagian mereka juga masih percaya setiap Raja ada daulat masing-masing.

 

Masakan tidak, sampai cina-cina kedai duk gantung gambar Sultan Abdul Hamid Halim Shah yang terkenal dengan tanjak yang terselit bulu burung cenderawasih. Buat pelaris katanya. Mereka tak letak gambar pemimpin komunis pun. Cuma biasalah, setiap bangsa mengalami pengaruh pemikiran moden dan liberal korup. Oleh kerana itu, saya kurang gemar dakwaan semua cina anti raja melayu, semua cina komunis. Itu tahap emosional. Melayu yang kurang ajar kepada Raja Melayu pun ramai. Konon pemikiran barat, mereka tak tahu ke Inggeris yang mereka agung-agungkan itu menggunakan sistem beraja.


[ Gambar ] - Almarhum Tuanku Sultan Abdul Hamid Halim Shah Ibnu Almarhum Sultan Tajuddin Mukarram Shah - Sultan Kedah ke-28.

 

 Sebahagian rakyat sudah secara terbuka melahirkan kebimbangan akan kecelaruan sistem politk kepartian yang semakin parah dan boleh membawa negara ke kancah bahaya. Rakyat menjadi muak dengan politk dan mengambil sikap tidak mahu mengambil tahu politk dan tidak mahu mengundi dalam pilihanraya khususnya kalangan generasi muda Islam. Ia amat bahaya kerana akan menjadikan negara boleh dikuasai mereka punyai agenda dan terpengaruh idelogis yang mudarat seperti DAP.

 

Demokrasi yang sudah menjadi ‘Democrazy

 

Saya tiada niat menyalahkan sistem yang sedia ada, cuma mengajak kita menginsafi dan bermuhasabah kesilapan-kesilapan yang berlaku dalam sistem ini akibat terlampau taksub. Demokrasi ini wasilah sahaja pon, jangan sampai jadi barang iqtiqad. Baik, terlebih dahulu kita patah balik sedikit, apa definisi sebenar demokrasi? Ia berasal dari perkataan demos ertinya rakyat dan kratos/kratein yang beerti kekuasaan atau berkuasa. Ringkasnya, demokrasi beerti rakyat yang berkuasa. Pada zaman ini konsep demokrasi telah ditambah dengan pelbagai istilah dibelakangnya hingga lahir pelbagai istilah demokrasi sebagai contoh demokrasi berpelembagaan, demokrasi Nasional, demokrasi liberal, demokrasi rakyat dan demokrasi berparlimen seperti amalan di Malaysia. Demokrasi muncul pada zaman Yunani Kuno kemudian tenggelam. Pada tahun 600-1650 demokrasi hancur dan muncul kembali pada tahun 1689-1755 hingga ke hari ini.

 

Itu sebenar demokrasi. Kuasa rakyat yang ‘power’. Sekarang orang politik yang para pengundi naik kan terlebih dianggap ‘power’ pula. Itu yang kata demokrasi sudah jadi ‘democrazy’. Kalau loghat kelantan, maknanya demo gilo (awak gila). Saya hanya menyatakan definisi asal bukan lah saya bersetuju ‘full power’ semestinya ditangan rakyat secara total sampai jadi demokrasi liberal seperti yang cirikan oleh Alan R.Ball. Kritikan terhadap sistem demokrasi ini pun bukan suatu benda baharu malah dalam subjek Sains Politik, hal ini dibincangkan secara panjang lebar.

 

Saya beranggapan, untuk ‘remove’ terus demokrasi adalah terlalu utopia. Beberapa kelemahan yang telah dikenalpasti mesti segera dimuhasabah dan dibaiki sebagai contoh :

 

1.     Sebahagian orang politik menyeleweng dari matlamat berkhidmat kepada rakyat. Saya tulis sebahagian sahaja itu, tak sampai hati nak tulis kebanyakan. Cukuplah menggunakan jawatan politik untuk mengaut kekayaan peribadi dan kroni. Sekarang zaman rakyat sudah celik. Sebelum zaman media sosial, ntah berapa banyak surat sokongan jawatan atau tender dan seumpama berlegar, masyuuuk tu. Sampaikan ada impian masuk politik sebab nak kaya. Dewasa kini, pagi buat surat sokongan, petang sudah boleh bocor. Sepatutnya tak berani dan serik dah.

2.     Ketaksuban terhadap parti dan pemimpin politik yang melampau. Tahukah anda, kewujudan parti dalam demokrasi bukan wajib pun, sebab itu ada idea demokrasi tanpa parti. Tamadun Yunani (tempat pengasasan Demokrasi) pun tiada parti (terus dari rakyat). Selain itu, pengarang Federalist No.10 oleh James Madison mendedahkan pengasas negara Amerika Syarikat iaitu George Washington sebenarnya berhasrat membina negara tanpa sistem parti. Buktinya, pentadbiran beliau dan kongress Amerika Syarikat pada awalnya adalah non-partisan. Di Malaysia sendiri, kalau orang itu tiada parti pun boleh jadi menteri melalui lantikan senator. Apabila Datuk Seri Zahid Hamidi menyatakan bahawa ahli parlimen Barisan Nasional kekal menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) walaupun tidak sertai secara rasmi. Oleh kerana itu, kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin tidak jatuh kerana sokongan ahli parlimen secara peribadi masih wujud secara majoriti. Idea Tun Mahathir dulu lagi dahsyat, Perdana Menteri boleh lantik sesiapa sahaja dari kalangan parti itu dan parti ini untuk menjadi jemaah menteri. Idea itu rata-rata ditolak kerana bimbang diktator Mahathirisme kembali merajai. Sekiranya kita masih berminat mengguna pakai sistem demokrasi ini, boleh tetapi saya berpendapat generasi akan datang harus siap ke arah demokrasi tanpa parti (non-partisan democracy).

3.     Tiada piawaian yang ketat ditetapkan untuk menjadi calon untuk bertanding di peringkat Dun dan Parlimen. Paling penting mereka semua menjunjung agama Islam sebagai agama persekutuan, Raja - Raja Melayu, hak istimewa orang melayu dan bumiputra serta bahasa melayu. ABATA mesti menjadi KPI utama. Maka, orang politik datang dan pergi, bersaing bagaimanapun, kita tidak risau kerana ideologi ABATA mereka jelas walau berbeza parti. Mereka hanya khilaf siapa tawarkan polisi lebih baik kepada rakyat.  

 

 

Ke Arah Semi atau Neo - Demokrasi

 

Melihat kepada subtajuk di atas, anggap lah penulisan ini suatu lontaran idea yang tak semestinya wajib dipersetujui. Saya sebenarnya ingin melihat perbincangan lebih lanjut berkenaan idea ini. Tidak berapa lama sebelum ini, presiden ISMA Haji Aminuddin ada melontarkan idea ke arah neo atau semi demokrasi (rujuk kenyataan beliau di page Aminuddin Yahaya bertarikh 23 Jun). Secara jujur, saya bersetuju dengan beberapa idea beliau. Antara cadangan beliau ialah meningkatkan kuasa Raja-Raja terutamanya Yang di-Pertuan Agong dalam menyelesaikan ‘loophole’ sistem politik yang kita amalkan hari ini yang mana jawatan Menteri dan Senator menjadi barang dagangan yang boleh direbut-rebut dan ditawar-menawar antara ahli parlimen dalam membentuk sebuah kerajaan.

 

Beliau juga mencadangkan agar YDPA diberikan kuasa yang lebih untuk melantik menteri-menteri dari kalangan bukan ahli parlimen. Selain dapat mengelak bahan politicking, mereka akan dapat berkhidmat dengan sangat baik dan aman. Beliau memberi contoh Menteri Kewangan dan Agama yang datang dari golongan tenokrat dan pakar bidang yang telah menunjukkan prestasi yang cemerlang. Kata Tuan Haji Aminuddin lagi,

 

“Alangkah baiknya jawatan-jawatan menteri yang lain dapat dilakukan sebegini rupa. Biarlah ahli-ahli parlimen menjadi penggubal undang-undang dan polisi-polisi negara melalui sistem parlimen dan mereka juga dapat fokus berkhidmat untuk rakyat yang diwakili masing-masing”.

 

Pada fikir saya, kemungkinan besar maksud beliau ahli parlimen tak perlu jadi menteri, fokus jaga rakyat dan ‘lawmaker’ di parlimen. Walaupun di Malaysia mengamalkan sistem pengasingan kuasa iaitu eksekutif (pentadbiran), legislatif (perundangan) dan judikatif (kehakiman), namun sebahagian kelompok yang berada di legislatif sebagai ahli parlimen (baca:dewan rakyat) juga adalah ahli eksekutif (yang mana dilantik menjadi jemaah menteri). Saya tidak pasti maksud sebenar beliau, belum ada peluang jumpa tapi saya yakin ‘hint’ beliau ke arah itu. Cadangan beliau selanjutnya mengajak kita bermuhasabah agar mempertimbangkan sistem politik negara mengamalkan ‘semi-demokrasi’ mengikut acuan timur dan watan Malaysia. Ini kerana, mengikut demokrasi barat secara bulat-bulat dan membuta tuli akan akhirnya merugikan negara.

 

Demikian untuk penulisan kali ini, saya menulis bukan nak ajak runtuhkan sistem sedia ada. Ia hanya lah lontaran idea kerana cintakan negara. Saya harap kita bersama-sama dapat gemblengkan usaha fikir dan daya ke arah paradigma baru. Idea ini belum ada perincian lanjut, kerana saya bukan orang yang pakar. Kesimpulannya, saya menyeru kita bermuhasabah amalan demokrasi di Malaysia. Sedikit pemurnian terhadap amalan ini tidak salah dilakukan dan saya berpendapat KUASA Raja terutama SERI PADUKA BAGINDA sebagai KETUA NEGARA mesti diberikan kuasa yang lebih (baca : perincian lebih lanjut wajar dibincangkan) agar dapat mengimbangi kegobrokan politik hari ini dan bersesuaian dengan martabat Baginda sebagai Khalifah di Malaysia.

 


Angah Sunan

Enam Sebab Saya Berbangga Dengan Kemerdekaan Tanah Melayu

  1.Islam Berada Di Kedudukan Tinggi Dalam Perlembagaan   Saya sangat berbangga dalam rundingan kemerdekaan Tanah Melayu, ketika banyak nega...