Tuesday, 10 July 2018

Syaikhuna Khalil Bangkalan - Wali Karismatik Dari Pulau Madura



SYAIKHUNA KHALIL BANGKALAN : WALI KARISMATIK DARI PULAU MADURA

Rutin setelah menziarahi makam Wali Songo, saya akan melanjutkan ziarah ke Makam Syaihkhuna Khalil Bangkalan di Pulau Madura. Pulau Madura mempunyai 4 kabupaten iaitu Kabupaten Bangkalan, Sampang, Pamekasan dan Sumenep. Bangkalan terletak di hujung barat Pulau Madura, salah satu daerah di Jawa Timur. Bahasa pertuturan di sini ialah bahasa Madura dengan dialek Bangkalan berbeza dialek dengan daerah-derah Madura yang lain.


Dari Surabaya, kami menempuh 2 jam perjalanan menyeberangi Selat Madura. Jalan raya menghubungkan Kota Bangkalan dengan Pantai Utara ke semua laluan antara Kabupaten. Para penziarah juga boleh memilih menyeberang Selat Madura menggunakan Kapal Feri dari Tanjung Perak. Sementara itu, tempat pemakaman Syakhuna bertempat di Desa Mertasaja, 1 KM ke arah barat laut dari pusat Kota Bangkalan.

Penulis di hadapan pemakaman Syakhuna Khalil Bengkala di Pulau Madura

Ketika mula-mula sampai, saya rasa sangat sebak dan bersyukur kerana akhirnya dapat menziarahi Makam Syaikhuna setelah sering mendengar nama beliau sejak remaja. Sahabat saya yang berasal dari tanah Jawa selalu bercerita kisah keramat Syaikhuna Khalil yang boleh disebut ulama’ lagenda yang sangat karismatik.

Saya sering bermusafir ke seberang, dan saya mendapati Syaikhuna Khalil benar-benar masyhur seperti cerita teman. Para Kiyai di Jawa sangat menghormati Syaikhuna kerna boleh dikatakan hampir semua ulama’ besar abad 20 pernah berguru dengan Syaikhuna Khalil. Para Kiyai di Jawa kebanyakan berpangkat anak murid, cucu murid atau cicit murid kepada Syaikhuna Khalil. Cerita karamahnya sentiasa menjadi bualan mulut. Oleh kerana itu, para Kiyai menggelarkan Ulama Agung ini sebagai “Syaikhuna” yakni guru kami. Jika datang ke tanah Jawa, mendengar nama 'Syaikhuna', maka yang dimaksudkan ialah Syaikhuna Kholil. Orang Madura pula menyebutkan Mbah Khalil.


Syaikhuna Khalil

Syaikhuna KH Kholil Bangkalan Madura di lahirkan Hari Ahad tanggal 11 Jumadil Akhir 1235 H atau 14 Mac 1820 M, di Kampung Senenan, Desa Kemayoran, Bangkalan, hujung Barat Pulau Madura, Jawa Timur. Dilahirkan dengan nama Muhammad Kholil. Digelar Syaikhuna Kholil Bangkalan kerana dinisbahkan kepada tempat kelahirannya.

Syaikhuna Kholil berasal dari keluarga ulama’. Ayahnya, KH. Abdul Lathif, mempunyai pertalian darah dengan Sunan Gunung Jati. Syaikhuna Kholil adalah figura yang dikenali sebagai ulama’, pemimpin pesantren, tokoh perkaderan ulama’ terkemuka di Jawa dan Madura. Selain itu juga, Syaikhuna Kholil seorang mursyid tarekah. Syaikhuna sangat sinonim dengan Nahdatul Ulama’ (NU) iaitu organisasi Islam terbesar di Indonesia kerana beliau telah menjadi sumber inspirasi anak muridnya, KH Hasyim Asya’ari mengasaskan organisasi Islam terbesar Indonesia tersebut.

Apa yang menarik pada susuk Syaikhuna Kholil ialah beliau merupakan seorang yang sangat alim dalam ilmu alat bahasa arab seperti nahu dan saraf disamping seorang penghafaz al Qur’an serta menguasai tujuh qiraat. Di samping itu,  Syaikhuna Kholil disamping dikenal karamahnya sebagai orang yang “waskita,” weruh sak durunge winarah (tahu sebelum terjadi). Wallahua’lam.


Pendidikan Syaikhuna

Syaikhuna Kholil cukup lama belajar di beberapa pondok pesantren di Jawa, antaranya ialah Pondok Pesantren Langitan, Pondok Pesantren Cagaan, Pondok Pesantren Darul Salam Pasuruan, Pondok Pesantren Sidogiri Pasuruan dan Pondok Pesantren Salafiah Syafiiyah Banyuwangi. Setelah lama menekuni ilmu Pulau Jawa, Syaikhuna Kholil menyambung pengajian beliau ke Makkah. Syaikhuna berguru dengan ramai ulama’ dan antara gurunya yang berpengaruh ialah Syaikh Nawawi al Bantani (1813-1897M). Syaikh Nawawi al Bantani digelar Sayyid Ulama’ Hijjaz (penghulu Ulama’ Makkah) merupakan seorang ulama’ besar yang berasal dari Banten dan meninggalkan 99 buah kitab karangan meliputi tafsir, hadis, fikih, tasauf, aqidah, sejarah, akhlak dan bahasa arab. Lantaran kealiman beliau, Syaikh Nawawi juga dijuluki Imam Nawawi Banten. Salah seorang guru penulis yakni Syaikh Sidi Rohimuddin An Nawawi Al Bantani adalah cucu saudara Syaikh Nawawi Banten.

Setiap ulama’ mempunyai cerita masing-masing dalam ‘survival’ mereka menuntut ilmu. Mendengar kisah mereka, membuatkan kita terduduk dan tidak layak mengeluh. Demikian Syaikhuna Kholil yang mengambil upah menulis berbagai risalah dan kitab di Makkah kemudian menjual. Sungguh, ‘survival’ ini telah menajamkan ingatan Syaikhuna Kholil.

Guru Rohani

Dahulu, para ulama’ dahulu disamping bertalaqqi turath, kitab kuning dan ilmu syariat, mereka juga tenggelamkan diri mereka dalam lautan hakikat dan makrifat. Sudah tentu, pada peringkat asrar ini, mereka bersimpuh diri dibawah dagu Guru Rohani atau biasa dipanggil Guru Mursyid. Syariat hakikat berpisah tiada !. Penyucian batin yang dilalui dalam ilmu tarekah sulukiah melahirkan jiwa yang benar makrifat dan berakhlak tasauf. Mereka menjadi ulama’ dan juga arif billah.

Sekadar menyebut beberapa nama Tok Kenali, mursyidnya Syaikh Wan Ahmad Al Fathani, Tok Pulau Manis bermursyidkan Syaikh Abdul Rauf Singkel, Syaikh Yusuf Makassar bermursyidkan Abu Al Barakat Ayub bin Ahmad al Khalwati dan Syaikh Abdul Samad Al Falimbani bersimpuh dengan Syaikh Muhammad Saman.

Tidak terkecuali Syaikhuna Kholil. Menurut Saifur Rahman (cicit Syaikhuna Khalil) dalam buku Biografi Syaikhuna Khalil, tercatat guru rohani Syaikhuna Khalil ialah Syaikh Ahmad Khatib Sambas (w.1875) berasal dari Sambas, Kalimantan Selatan. Dari guru beliau ini, Syaikhuna Khalil mengembangkan zikir tarekah Qadiriah Wa Naqsyabandiah sebagai mursyid setelah diberi izin oleh Gurunya. Rakan seguru beliau dalam perjalanan tarekah ini ialah Syaikh Abdul Karim Serang dan Syaikh Tholhah.

Menurut almarhum KH Shohibul Wafa’ Tajul Arifin atau lebih dikenali Abah Anom, seorang mursyid tarekah Naqsyabandi wa Qadiriah di Tasik Malaya; Syaikh Tholhal menyebarkan tarekah ini di Cirebon, Syaikh Abdul Karim di Banten sementara Syaikh Kholil di Madura.


Penekanan Ilmu Alat  dan Kaedah Sorongan

Setelah pulang dari perantauan, Syaikhuna Khalil mendirikan pesantren di Desa Jengkibuan, Kabupaten Bangkalan. Kemasyhurannya segera menyebar ke seluruh Madura. Hasyim Asyaari tampil menjadi santri pertama Syaikhuna Kholil yang datang dari luar Madura. Barakah asuhan Syaikhuna, KH Hasyim Asyaari kemudian muncul menjadi ulama’ besar dan pengasas serta pemimpin pertama Nahdatul Ulama’ (NU). KH Hashim yang juga Pahlawan Kemerdekaan Nasional mempunyai seorang anak bernama Wahid Hasyim (1914-1953M) menjadi menteri agama Republik Indonesia yang pertama dalam kabinet pertama Republik Indonesia di zaman Bung Karno. Wahid Hasyim pula punyai putra bernama Abdul Rahman Wahid (1940-2009M) atau Gus Dur yang kemudian menjadi Presiden Republik Indonesia keempat.  

Di pesantren, Syaikhuna Kholil sangat menekankan penguasaan ilmu alat bahasa arab. Para santrinya tidak boleh meninggalkan pesantren sebelum lulus hafal matan Alfiah. Ini kerana Syaikhuna Kholil sedar, tidak ada jalan lain untuk membaca kitab kuning yang tidak berbaris melainkan mahir sungguh ilmu nahu saraf, balaghah (maani, bayan, badi’), mantik dan seumpama.

Untuk menjayakan para Santri dalam ilmu alat, Syaikhuna menekankan kaedah hafalan dan praktikal sorongan. Apa itu sorongan? Sorongan adalah bahasa Jawa yang bermakna menyodorkan. Method ini bersifat individual yang mana murid berhadap hadapan kiyai dan membaca kitab tanpa baris. Para santri akan membaca kalimat demi kalimat yang berbahasa arab itu sambil ditegur atau dibimbing terus oleh kiyai sendiri. Penulis sendiri pernah melalui imtihan (peperiksaan) begini di pondok dahulu, kami diberikan kitab kuning tiada baris, dan kami mesti bacakan dihadapan guru sambil mengi’rab dan memberi sebab kenapa baris itu dibaca.



Syaikhuna Kholil dan Kolonial

Syaikhuna Kholil hidup di zaman penjajahan Kolonial Belanda. Sudah pasti, tidak terlepas dari penglibatan perjuangan menentang Belanda. Syaikhuna Kholil memilih cara yang agak berbeza. Beliau tidak terjun ke medan pertempuran secara langsung, namun memilih bertindak berperanan mencatur gerakan anti penjajahan dari belakang tabir. Tidak hanya menjadi tempat pengajian para santri, pesantren beliau juga dijadikan markaz perbincangan strategi melawan Belanda. Kadang kala, pesantrennya menjadi tempat persembunyian orang buruan penjajah. Ketika persembunyian, Syaikhuna Khalil juga memberi suwuk (mengisi kekuatan batin, tenaga dalam) kepada para pejuang.

Apabila Belanda menghidu gerakan Syaikhuna Kholil, beliau telah ditangkap bersama pengikutnya. Akan tetapi, Belanda menghadapi masalah besar ketika cubaan menangkap Syaikhuna Khalil. Berlaku kejadian-kejadian yang mereka tidak fahami seperti tidak boleh dikunci pintu penjara, sehingga Belanda sentiasa berjaga siang malam agar para tahanan tidak melarikan diri.

Hari-hari mendatang, ribuan orang berkunjung dan memberi makanan kepada Syaikhuna bahkan meminta Belanda menahan mereka sekali bersama Guru mereka. Kejadian tersebut menjadikan pihak Belanda dan sekutunya bersetuju membebaskan Syaikhuna Kholil. Persis kebangkitan yang sama ketika Jepun menangkap KH Hashim Asya’ari. Para santri berjumlah ribuan termasuk orang kampung turun dan memeningkan Jepun apabila mereka meminta Jepun melepaskan KH Hasyim dan nyawa mereka menjadi taruhan dan pertukaran. Jepun belajar sesuatu bahawa orang Jawa sangat memuliakan para Kiyai. KH Hashim dibebaskan dan kemarahan kepada Jepun mereda sebentar.

Saya teringat kisah Tok Kenali Kelantan (1868-1933M) yang melawan penjajah dengan cara berbeza iaitu mengarahkan anak-anak muridnya membina pondok sebanyak-banyaknya. Penyediaan anak bangsa dengan ilmu sangat penting menurut Tok Kenali agar perjuangan menuntut kemerdekaan diasasi dengan ilmu dan kita boleh mewarisi negeri ini dengan ilmu. Bukan hanya bersemangat menghalau penjajah tetapi jahil mewarisi. Bertindak belakang tabir, salah seorang anak murid Tok Kenali iaitu Datuk Perdana Menteri Paduka Raja Nik Mahmud bin Nik Ismail menjadi Menteri Besar selama 24 tahun (1921-1945M). Termasuk anak murid Tok Kenali ialah Tan Sri Hasan Yunus, anak Johor yang menjadi Menteri Besar Johor (Tempoh khidmat : 1959-1967M). Ya, Stadium Kelab JDT iaitu Stadium Tan Sri Hasan Yunus sempena nama beliau.

Murid-murid Syaikhuna Khalil

Seperti yang saya sebut sebelum ini, hampir kesemua ulama besar’ dan ternama di Madura dan Pulau Jawa adalah murid Syaikhuna Kholil. Murid-muridnya rata-rata berumur panjang mencecah lebih 90 tahun. Hal ini berkah Syaikhuna Kholil yang mendoakan anak-anak muridnya dipanjangkan umur dan bermanfaat ilmunya. Oleh kerana itu, dari segi sanad ilmu, ulama-ulama’ Jawa yang masih hidup sekarang pun masih peringkat cucu dan cicit murid kepada Syaikhuna Kholil. Tidak mampu saya senaraikan semua murid beliau, memadai beberapa nama murid Syaikhuna yang menonjol dalam sejarah perkembangan agama Islam dan bangsa Indonesia ialah KH. Hasyim Asy’ari (pendiri Pondok Pesantren Tebuireng, Jombang, dan pengasas Nahdlatul Ulama/NU), KH. Abdul Wahab Chasbullah (pendiri Pondok Pesantren Tambak Beras, Jombang), KH. Bisri Syansuri (pendiri Pondok Pesantren Denanyar, Jombang), KH. Ma’shum (pendiri Pondok Pesantren Lasem, Rembang, adalah ayahanda KH. Ali Ma’shum), KH. Bisri Mustofa (pendiri Pondok Pesantren Rembang), dan KH. As’ad Syamsul `Arifin (pengasuh Pondok Pesantren Asembagus, Situbondo).

Pemergian Di Tangisi Umat

Tepat jam 3.30 pagi, malam Jumaat tanggal 29 Ramadhan 1343H bertepatan tanggal 24 April 1925M (ada beberapa versi tarikh kewafatan beliau), Syaikhuna  Kholil telah dijemput oleh Rabbul Jalil pada usia 105 tahun. Pemergian Waliyullah dan Syaikhuna SeJawa dan Madura ini telah ditangisi ummat dan meninggalkan jasa yang sangat besar. Kehadiran Syaikhuna suatu kebanggaan Madura dan keharuman bumi Jawa. Karimastik, karamah, keilmuan Syaikhuna secara mutawatir dipersaksikan. Hanya Allah boleh membalas jasa-jasa para ulama’ kita. Al Fatihah.

Sekian,

~Angah Sunan, Jawa Timur



Rujukan,

1.   Saifur Rahman, Surat Kepada Anjing Hitam, Biografi dan Karamah Syaichona Cholil Bangkalan, terbitan PPSMCH (2001).


3.    Kembara Angah Sunan di Pulau Jawa dan Madura (2016)










Enam Sebab Saya Berbangga Dengan Kemerdekaan Tanah Melayu

  1.Islam Berada Di Kedudukan Tinggi Dalam Perlembagaan   Saya sangat berbangga dalam rundingan kemerdekaan Tanah Melayu, ketika banyak nega...