Menuntut Ilmu
Dari sudut bahasa, ilmu sebagaimana takrif dalam
kamus Dewan membawa pengertian pengetahuan, kepandaian dalam perkara dunia,
akhirat, zahir, batin dan lain-lain lagi.
Dari segi istilah, Ar Raghib mentakrifkan
ilmu sebagai menangkapi sesuatu
berdasarkan bentuknya yang sebenar. Ruj : Ar Raghib
Al Asfahani, Mufradat Al Quran.
Ketahuilah bahawa seseorang tidak akan dapat
menjalankan kefardhuan dari ketaatan, menjauhi keharaman dari kemaksiatan,
apatahlagi ibadah sunat yang berfungsi mendekatkan diri kepada Allah melainkan
dengan ilmu. Kerana tuntutan ilmu itu wajib. Sabda Rasulullah SAW:
طلب العلم فريضة على كل مسلم
“Menuntut
ilmu itu wajib atas semua orang Islam”. (HR
Imam Baihaqi)
Kepentingan
ilmu
Nabi SAW bersabda:
من سلك طريقا يطلب به علما سهل الله له طريقا الى الجنة
“Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk
mencari ilmu pengetahuan, Allah SWT memudahkan kepadanya satu jalan menuju ke
syurga”
Terdapat
satu hikayat yang telah di nukilkan oleh As Syeikh Ali Bin Abdur Rahman Al
Kalantani, di masyhurkan dengan Tok Wan Ali Kutan di dalam kitabnya, Al Jauhar
Al Mauhub Wa Munabbihat Al Qulub. Berkata Syeikh:
“bahawasanya
dua orang bersaudara, adalah salah seorang daripada keduanya ‘abid (ahli
ibadah) yang berbuat ibadah, dan yang satu lagi itu melebihi-lebihi atas
dirinya dengan syahwat keinginan nafsunya. Dan adalah yang abid itu cita hendak
melihat iblis, maka pada satu hari melihat ia akan iblis dan berkata iblis
baginya:” hai menyesal atas engkau, telah engkau sia-sia akan umur engkau empat
puluh tahun di dalam menegahkan diri engkau dan memenat akan badan engkau,
padahal tinggal lagi umur engkau empat puluh tahun. Maka ikut olehmu akan nafsu
engkau pada segala keinginannya. “ maka berkata yang abid pada dirinya: “ Aku
hendak turun pergi muafakat dengan saudaraku di bawah itu pada makan dan minum,
pada segala yang lazat-lazat pada masa dua puluh tahun, kemudian aku taubat dan
aku berbuat ibadah pada dua puluh tahun yang tinggal lagi.” Maka turun ia
kepada saudaranya atas niat itu. Dan saudaranya yang bawah jaga ia daripada
mabuk arak, maka ketahui ia akan dirinya di dalam kelakuan yang sangat jahat.
Sungguhnya telah kencing ia atas kainnya dan badannya, padahal ia tercampak
atas bumi lagi dalam kelam. Maka berkata ia pada dirinya: “telah aku
membinasakan umurku di dalam maksiat dan saudaraku dalam taat dan ibadah, maka
aku masuk neraka dan ia masuk syurga”. Kemudian berniat ia hendak taubat dan
hendak berbuat ibadah serta saudaranya. Maka naik ia kepada saudaranya atas
niat taat dan ibadah, dan turun saudaranya atas niat maksiat. Maka tergelincir
kakinya jatuh atas saudaranya, maka mati kedua-duanya. Maka di hasyarkan (dihimpunkan)
‘abid atas maksiat dan di hasyarkan (di himpunkan) yang ashi (yang berdosa) itu
atas niat taat dan ibadah.
Demikianlah
bahawa orang yang berilmu tidak mudah ditipu syaitan, tetapi sebaliknya orang
yang tidak berilmu sangat mudah ditipu syaitan. Sesungguhnya syaitan lebih
gerun terhadap orang berilmu dari ahli ibadah tanpa ilmu. Jelas sekali, bahawa
kita perlu memiliki ilmu dan melakukan ibadah. Ilmu lebih utama di dahulukan,
ertinya wajib belajar ilmu terlebih dahulu yakni ilmu ibadah. Sebab ilmu itu
asas petunjuk jalan. Oleh hal demikian, dari Muaz bin Jabal r.a, Baginda SAW
bersabda:
العلم
إمام العمل و العمل تابعه
“Ilmu
adalah Imam dan amal adalah makmumnya” (HR Imam Thobrani
dan Ibn Abdil Barri)
Ilmu
yang wajib dipelajari
Wajib atas mukallaf mempelajari tiga ilmu
iaitu ilmu tauhid, fekah dan tasauf berdasarkan sebuah hadis riwayat Muslim yang
masyhur berhubung Iman, Islam dan Ihsan. Sesungguhnya Jibril a.s telah mengajarkan manusia
apakah itu agama. Agama terdiri tiga binaan utama iaitu Iman merujuk kepada
ilmu tauhid, Islam merujuk kepada ilmu fekah dan ihsan dimasyhurkan dengan ilmu
tasauf. Apakah kadar fardhu ain ketiga-tiga ilmu tersebut?
Lalu
di jawab oleh Syeikh Salleh Al-Minankabawi rhm dalam kitabnya Kasyfu
Asrar:
“Ilmu
Usuluddin wajib dipelajari sekadar mengetahui perkara yang wajib, mustahil dan
harus kepada Tuhan kita Azza Wa Jalla. Begitu juga para rasul(mengetahui
perkara wajib , mustahil dan harus bagi para Rasul) sekadar mengesahkan
keimanannya. Ilmu fekah juga menjadi fardhu ain dan dituntut sekadar
mengesahkan amalan seperti mengetahui segala yang syarat dan rukunnya dan yang
membatalkannya. Ilmu tasauf juga menjadi fardhu ain dan dituntut sekadar
mengetahui yang membatalkan pahala, amalan ibadah seperti riya’, sam’ah, ujub,
takkabur dan lain yang dicela oleh syarak”
Selanjutnya
Syeikh Salleh berkata lagi:
“Malah haram hukumnya menuntut ilmu fardhu kifayah sebelum mengetahui ilmu fardhu ain. Sebagai contoh seseorang yang qadha dalam sembahyang padahal tidak uzur maka haram hukumnya ia mendirikan sembahyang sunnat sebelum menunaikan qadha dalam sembahyang tanpa uzur”
Takrif
tauhid:
Dari segi bahasa:
جعل
الشئ واحدا
Menjadikan sesuatu Tunggal. Rujuk Hasyiah Al
Bajuri Ala Matni Sanusiah Fil Aqaid.
Dari segi syarak:
بإفراد المعبود بالعبادة مع اعتقاد وحدته و
التصديق بها ذاتا و صفات و أفعالا
Ertinya: “Dengan menunggalkan yang disembah (Allah) dalam penyembahan dengan
iktiqad ketunggalanNya dan membenarkan ketunggalan Allah pada Dzat, Sifat dan
Af’aal”
Secara asasnya dalam ilmu tauhid, wajib bagi mukallaf mengetahui akidah
50 sebagaimana perkataan Al Allamah Syeikh Muhammad Fudholi rhm:
فاعلم أنه يجب له سبحانه و تعالى عشرون صفة و يستحيل عليه عشرون و يجوز فى
حقه تعالى أمر واحد فهذه إحدى و أربعون و يجب للرسل أربعون و يستحيل عليهم أربعة و
يجوز فى حقهم عليهم الصلاة و سلام أمر واحد فهذه الخمسون
“Maka ketahuilah kalian bahawasanya wajib bagi Allah SWT 20
sifat dan 20 mustahil dan 1 sifat harus. Maka jumlahnya 41. Dan wajib
mengetahui 4 sifat bagi para rasul dan 4 mustahil serta 1 sifat harus bagi para
Rasul alaihim solatu wasallam. Maka jumlah (keseluruhan) ialah 50”.
Pelajaran sifat 20
bukan bermakna Allah hanya ada 20 sifat sahaja. Akan tetapi 20 sifat
kesempurnaanNya yang wajib diketahui secara tafsili (terperinci). Sesungguhnya
sifat kesempurnaan Allah Taala amat banyak. Tiada siapa mengetahuinya melainkan
Allah Taala jua. Maka wajib disabitkan kepada Allah Taala secara ijmal (umum)
seperti perkatan,”Allah mempunyai banyak sifat kesempurnaan”. Dan janganlah mengiktiqadkan
ada turutan (tertib) dalam sifat Allah Taala. Tertib susunan dalam sifat 20
hanya tertib atas kertas untuk mudah di hafal. Ia sesekali tidak membawa maksud
sifat Allah ada turutan seperti dikatakan mula-mula wujud, kemudian sedia,
kekal hingga seterusnya.
Demikian, sesungguhnya
Para Rasul juga wajib mempunyai sifat kemuliaan lain yang tidak terhingga
banyaknya dan wajib setiap mukallaf mengetahuinya secara ijmali (umum) seperti
perkataan, “para Rasul mempunyai banyak sifat kemuliaan”. Adapun yang wajib
diketahu secara tafsili(terperinci) ialah empat sifat yang tersebut.
Takrif Ilmu Fekah
Dari segi bahasa:
الفهم
Kefahaman
Dari segi syarak:
بأحكام الشرعية
العملية المكتسب من أدلتها التفصيلية العلم
Ilmu hukum hakam bagi amalan syarak yang diusahakan
dari dalil-dalil tafsili. Rujuk Hasyiah
al Bajuri ala Ibn Qasim.
Memahami hukum hakam yang asas
Pengetahuan asas meliputi hukum hakam asas dalam
ibadah seharian kita iaitu solat, puasa, zakat, haji, munakahat dan muamalat.
Untuk orang awam, bukan lah di seru supaya belajar sehingga menjadi ulama’.
Cukup sekadar mengetahui rukun, syarat sah dan perkara membatalkan, perkara
larangan dan suruhan dalam kehidupan seharian kita. Jika mahu memahami secara
mendalam, lebih di galakkan. Tidak ada pengecualian untuk tidak mengabaikan
ilmu ini sekalipun dikatakan kita tinggi makrifahnya. Tanpa fekah, kehidupan
tiada sekatan, boleh buat apa sahaja tanpa larangan.
Berlapang dada
Kemuncak pembelajaran fekah akan membuahkan perasaan
berlapang dada. Tanda-tanda seseorang alim dalam fekah, mereka tidak mudah
melatah menghukum. Ia berlainan sekali jika belajar fekah separuh jalan, mereka
merasakan pendapat mereka yang benar tanpa mengetahui di sana ada pendapat
ulama’-ulama’ lain. Apabila kita berenang dalam lautan fekah, hampir
keseluruhan perbahasan tidak akan lari dari khilaf dari kalangan ulama’. Oleh
itu, mereka yang alim, bicara mereka tidak pantas menghukum selagi ada kaedah.
Dewasa ini, masyarakat kita terlalu ramai tiada berlapang dada dan tidak
membudayakan adabul khilaf. Peringkat ini hanyalah manusia terpilih dan
benar-benar mengorbankan usia hidupnya untuk ilmu. Mereka perlu arif dalam ilmu
alat arabiah, qawaid fiqh, usul fikih, fikh, tafsir, hadis, usul hadis, usul
tafsir, mantiq dan lain-lain.
Takrif
Tasauf
Dari
segi bahasa: Ia berasal dari perkataan تصوف . Terdapat beberapa makna dalam kamus arab. Antaranya:
Lafaz
tasauf ada kaitan dengan kalimah al suf الصوف iaitu bulu yang menutup bulu kambing. Disebut bahawa kebanyakan ahli sufi
memakai pakaian daripada bulu haiwan.
Lafaz tasauf juga ada kaitan dengan kalimah sofaa صفا, kalimah ini merujuk kepada
makna bersih dari kekotoran. Disebut bahawa tujuan tasauf ialah membersihkan
hati dari sifat keji.
Ilmu ini juga dikenali dengan ilmu tazkiyatul nafs, suluk,
penyucian jiwa, kesufian.
Dari segi Istilah:
هو علم يعرف به أحوال النفس محمودا و مذموما و كيفية
تطهيرها من المذموم منها و تحليتها بالاتصاف بمحمودها و كيفية السلوك و السير إلى
الله تعالى و الفرار إليه
“Ialah ilmu dikenali akan bicara hal-hal nafsu samada yang
mahmudah (terpuji) dan mazmumah (tercela) dan cara-cara membersihkan nafsu dari
sifat mazmumah dan menghiasi nafsu dengan sifat mahmudah serta cara perjalanan,
pengembaraan menuju Allah Taala ”. Rujuk Masaail Fil
Tauhid Wa Tasauf, Syeikh Abdul Ghani An Nablusi.
Sifat Mahmudah
- Taubat, iaitu menyesal di atas segala dosa yang telah dilakukan.
- Zuhud, iaitu berpaling hatinya dari dunia meskipun jasadnya memiliki dunia
- Sabar, menahan diri dari melakukan maksiat mesipun berpeluang melakukannya
- Tawakal, menyerah diri semata-mata kepada Allah Taala
- Syukur,iaitu menggunakan nikmat kurniaanNya ke jalan yang diredhai
- Ikhlas, iaitu membuat atau meninggalkan sesuatu kerana Allah
- Khauf, takut kepada Allah
- Raja’, sentiasa mengharapkan keredhaan dan keampunan Allah
- Mahabbah, cintakan Allah dan Rasul melebihi segala-galanya.
- Redha
Sifat mahmudah ini adalah pakaian orang-orang
tasauf. Ketahuilah sifat-sifat ini bukannya boleh dibuat-buat dalam perilaku.
Sekiranya kita mencuba untuk bersifat demikian, ia tidak akan bertahan lama.
Sifat atau akhlak tersebut akan lahir dengan sendiri jika hati Hati yang telah
disucikan hasil tarbiyah dan zikir. Berkata arif billah:
التصوف كله أخلاق فمن زاد عليك بالأخلاق زاد عليك
بالتصوف
“Tasauf semuanya akhlak, sesiapa yang menambahkan
akhlakmu maka dia telah menambahkan tasauf terhadap dirimu”. Rujuk
Nusratun Nabawiyah, Syeikh Mustafa al Madani.
Sesungguhnya sebaik-baik tarbiyah dan zikir dibawah
bimbingan seorang guru.
Tuntutan apa jua ilmu adalah sebaik-baiknya berguru lebih-lebih lagi dalam perjalanan kerohanian |
Sifat Mazmumah
- Cintakan dunia iaitu meletakkan cinta dunia di hati
- Tamak iaitu sentiasa merasai tidak cukup dan tidak bersyukur dengan pemberian Allah
- Ujub, merasa lebih baik berbanding orang lain
- Ria’, memperilatkan amalan supaya dipuji
- Takabbur iaitu membesarkan diri dan menghina orang lain
- Sum’ah iaitu memperdegarkan amalan kepada orang lain supaya mendapat pujian
- Hasad dengki
Hendaklah kita menuju kepada sifat-sifat mahmudah
dan menjauhi sifat-sifat mazmumah. Sebagaimana perkataan Imam para Tasauf, Imam
Junaid Al Baghdadi:
التصوف استعمال كل خلق سني وترك كل دني
“Tasauf ialah menggunakan semua akhlak ketinggian yang terpuji
dan meninggalkan semua tingkah laku yang rendah lagi keji”. Rujuk Nusratun
Nabawiyah, Syeikh Mustafa al Madani.
Kesimpulan
Ketiga-tiga asas ini adalah usul agama.
Jika tiada salah satu, maka tiada sempurna agama. Ia ibarat pohon kayu yang
menghasilkan buah apabila memiliki akar, batang, daun dan dahan. Akar adalah
iman, batang adalah Islam, dahan adalah ihsan sementara daun dan buah adalah
dakwah rahmatan lil alamin. Hasilnya lahirlah manusia yang mentauhidkan Allah
dalam segala aspek kehidupan manusia iaitu ibadah, keluarga, akhlak,
pendidikan, ekonomi, politik, social, perundangan dan lainnya.