Celoteh Murid & Guru (31)
Adakah Allah Terima Doa Kita?
“Wahai Guru, habis kuliah semalam, ada makcik jumpa dan bertanya, “Makcik sudah lama berdoa akan suatu hajat, tetapi masih belum berlaku apa yang makcik minta”, lebih kurang begitu keluhannya guru”, soal murid.
“Apa yang kamu jawab?”, balas Guru.
“saya membaca kata hikmah Syaikh Ibnu Athoillah Guru”, jawab murid.
“Yang mana? Bacakan, Guru mahu dengar”, balas Guru.
“Kata Syaikh Ibnu Athoillah, Jangan lah kerana bila waktu doamu itu lewat dimakbulkan sedangkan engkau orang yang bersungguh-sungguh berdoa menyebabkan engkau berputus asa. Sungguh Allah telah memberi jaminan akan mengkabulkan doa mengikut APA YANG DIA KEHENDAKI untuk kamu BUKAN APA KAMU KEHENDAKI. Dia juga telah memberi jaminan akan mengkabulkan doa pada MASA YANG DIA KEHENDAKI bukan pada masa yang kamu kehendaki”, jawab murid dengan penuh adab.
Apa ‘respon’ makcik tu?, Tanya Guru.
“Saya syarahkan sedikit kata hikmah itu Guru dan makcik itu berkata, dia sudah dapat jawapan untuk bersangka baik dengan ketentuan Allah”, terang murid.
“Betul jawapan kamu, pandai. Ini lah tujuan belajar”, Balas Guru gembira melihat kematangan ilmu anak muridnya.
Celoteh Murid & Guru (32)
Bertangguh Itu Tipu Daya
Sang Guru memerhatikan kelibat muridnya yang sedang rehat, lalu kata Guru,
“Anakku, hidup ini kalau nak berjaya, jangan bertangguh.”
“Erk, baik Guru, maafkan saya Guru”, balas murid menunduk malu.
“Anakku, biasa kita dengar, suka bertangguh-tangguh ini pintu kegagalan, ini satu dan ia betul. Tapi Guru mahu kamu juga faham bahawa bertangguh-tangguh dalam perkara kebaikan, belajar, amal soleh itu adalah tipu daya Nafsu. Ini yang Ulama’ pesan.
Celoteh Murid & Guru (33)
Adab Mendahului Ilmu
“Anakku, adakah kamu tahu kenapa setengah Guru tidak memulakan pengajian kitab tetapi memulakan pelajaran adab?’, soal guru.
“tidak tahu guru”, balas murid.
“Kerana, memberi ilmu kepada manusia yang tiada adab seperti memberi harta kepada bukan pemilik yakni pencuri. Ingat anakku, tidak dikatakan seseorang itu berilmu melainkan tinggi adab dan akhlaknya”.
Celoteh Murid & Guru (34)
Awal Tipu Daya Dalam Menuntut Ilmu
“Anakku, di dalam Kitab Bidayatul Hidayah karya Imam Ghazali rhm, Imam Ghazali menyindir halus sikap setengah ahli ilmu hanya bercerita kelebihan ilmu dan ahli ilmu tetapi tidak menyampaikan ancaman kepada ahli ilmu”. Cerita Guru.
“Ancaman bagaimana Guru”, soal murid.
“Ancaman utama ialah Laknat kepada mereka yang nelajar tidak beramal dengan ilmu yang mereka pelajari. Ini jarang disampaikan”, Pesan Guru dengan nada serius.
Celoteh Murid & Guru (35)
Muliakan Wanita
Selepas majlis maulid, si Guru memanggil anak muridnya dan berpesan,
“Wahai Anakku, kelak kamu akan berjumpa ramai wanita. Maka aku ingin berpesan kepada kamu”, ujar Guru.
“ya Guru, apa pesanan Guru? Seakan-akan Guru tahu aku sedang diuji hal ni?, soal murid.
Anakku, kata pujangga, " (Wahai lelaki) Wanita yang membukakan pintu hatinya kepada kamu, hanya mengharapkan dua perkara daripada kamu tiada yang ketiga. (yakni) sama ada kamu kekal di dalamnya (hubungan) dengan penuh kasih dan cinta atau kamu kembali menutupi pintu-pintu tersebut dengan ketenangan dan kelembutan. Maka janganlah kamu memperlakukannya dengan apa jua tindakan yang lain.", ungkap Guru dengan penuh indah.
“akan ku pegang nasihatmu Guru”, jawab murid.
Celoteh Murid & Guru (36)
Cinta Itu Juga Melepaskan
Di malam yang hening, Guru melihat muridnya termenung jauh,
“Anakku, kamu masih teringat kan gadis itu?”, soal Guru
“eh tiada Guru, hanya…..”, jawab murid sambil menarik nafas yang agak panjang.
“Anakku, ingat cinta Itu juga bermakna melepaskan. Ya, melepaskan cinta makhluk dalam batinmu untuk menggapai Cinta yang lebih Haq”, pesan Guru.
“bukan senangkan guru”, balas murid.
“ya, ambil masa juga dan ini lah masanya mengambil peluang mendekatkan diri kepada Allah”, nasihat Guru.
Celoteh Murid & Guru (37)
Sebab ketaatan dan sebab Maksiat
“Anakku, ada tiga perkara yang penyebab orang melakukan taat dan tiga penyebab juga manusia melakukan maksiat”, ujar Guru.
“Apa tiga perkara itu Guru”, tanya murid.
“Hatim Al Ashom berkata, sebab ketaatan pada TIGA perkara yakni sedih, redha dan cinta sementara sebab kepada maksiat pula ialah sombong, tamak dan hasad”, jawab Guru.
Celoteh Murid & Guru (38)
Cinta itu tidak mesti memiliki
Suatu malam, datang si murid menceritakan perihal ujian perasaan yang dialaminya kini. Setelah lama mendengar ceritanya muridnya, Guru berkata,
“ Anakku, cinta itu tidak mesti memiliki. cinta itu adalah mengharapkan orang yang kamu kasihi itu bahagia. Jika bersama orang lain atau keputusan yang diambil itu lebih bahagiakan dia, maka itulah cinta. ya kamu tidak memiliki, tetapi hati kamu telah berkorban demi bahagia yang sebenar. bukan kah Nabi bersabda, orang yang paling bahagia adalah orang yang membahagiakan orang lain”
“doakan jiwa saya kuat Guru”, balas murid dengan nada agak sebak.
“Anakku, ujian sebegini memang datang untuk kuatkan jiwa kamu”, kata Guru.
Celoteh Murid & Guru (39)
Gaya Fikir Yang Luar Biasa
“Anakku, banyak perkara yang tertulis di dalam media dan banyak peristiwa berlaku yang sukar untuk kita terus fahami”, ujar Guru.
“Benar Guru, banyak persepsi kan Guru”, balas murid.
“Ya anakku, oleh kerana itu kamu mesti berfikiran luar biasa”, jawab guru.
“Maksud Guru”, soal murid.
“Anakku, dalam hidup sekarang, apa jua isu dan perkara disekeliling, belajar melihat sesuatu dari pelbagai wajah. banyak input dan ilmu baru dan tersirat akan diperolehi. Pemikiran sehala adalah pemikiran biasa-biasa. Selagi kita berfikir sehala selagi itu kita tidak akan menjadi luar biasa. Bagaimana menjadi luar biasa? lihat sesuatu dari banyak sudut dan kacamata”, syarah Guru.
Celoteh Murid & Guru (40)
Punca Stress
Ketika minum pagi bersama Guru, Guru menyebut,
“Hakikatnya kebanyakan punca permasalahan utama dalam kehidupan ini seperti stress, tiada tenang, resah, marah, sempit dada, tidak merasai khusyu' dan tidak juga rasa insaf ialah datang dari hati yang berpenyakit. Apabila hati bermasalah, perkara yang bukan masalah pun akan jadi masalah. Apabila hati tiada masalah, perkara yang bermasalah pun akan jadi tiada masalah."
Tambah Guru lagi,
"Kerna itu Rasulullah memberi penekanan ilmu tazkiah (penyucian jiwa) dalam dakwah Baginda SAW. Betapa lengkapnya agama ini, ada pendidikan rohani dan jasmani. Namun sayang, ilmu tazkiah atau tasauf tidak dipandang penting dewasa ini”, terang Guru panjang lebar.
“benar Guru, ramai hari ini yang nampak berjaya tetapi tidak bahagia, hidup mereka stress. Apa makna kehidupan begitu kan Guru”, balas murid.
“Wah, sudah pandai kamu menyusun ayat sekarang ya”, kata Guru (rasa bangga dengna muridnya).
“Terima kasih Guru”, balas murid.
#angahsunan
#celotehmuridguru
#santaibantai