Beberapa bulan lepas, saya ada menulis
pengalaman saya di Tawi-Tawi, Selatan Filipina di muka buku saya, saya mendapat
komentar di ruangan ‘comment’, ada seorang sahabat bertanya, “bila mahu datang
ke Brunei?” saya hanya menjawab, "Insya Allah, jika ada kesempatan waktu".
Selepas beberapa minit, saya mula teringat
bahawa sahabat yang berkomentar itu berasal dari Brunei dan saya telah berkenalan
dengan beliau ketika di Gorontalo, Sulawesi Utara. Kami berdua terlibat dalam
acara Muzakarah Tauhid Tasauf yang dianjurkan oleh Majlis Pengkajian Tauhid
Tasauf (MPTT) cawangan Sulawesi Utara dengan kerjasama Kerukunan Ulama’
Nusantara (KUN).
Seminggu sebelum masuk Ramadhan, saya kembali
teringat jemputan sahabat saya iaitu tuan Isa Shawal ke Brunei. Setelah
difikirkan sewajarnya, saya telah memutuskan untuk terbang ke Brunei pada 2
Ramadhan. Sebelum itu, saya menghubungi sahabat di Brunei memaklumkan hasrat
saya dan beliau menzahirkan kegembiraan serta menawarkan diri menjadi pemandu
pelancong tak berbayar sepanjang saya di Brunei.
Selain merasai pengalaman berpuasa di tempat
orang, saya sebenarnya ingin meninjau kehidupan di negara yang mengamalkan
dasar Melayu Islam Beraja (MIB) dibawah payung kekuasaan Sultan yang berkuasa tanpa politikus selain menziarahi makam Sultan Sharif Ali serta Pusat Sejarah Brunei.
Masuk melalui Miri
“Mahalnya…”, itu ‘respon’ awal saya apabila
melihat harga-harga tiket penerbangan dari Kuala Lumpur ke Bandar Seri Begawan
(Brunei). Tiket sehala mencecah RM500-600. Saya fikir mungkin tarikh itu, ada
acara atau cuti. Namun apabila saya menyemak harga pada hari-hari yang lain,
‘trend’ harga lebih kurang.
Tak dinafikan, terdetik hasrat menangguhkan
permusafiran kali ini. Ilham mengetuk pintu hati supaya melihat tiket Kuala Lumpur ke
Miri. Alhamdulillah, sangat murah, tak sampai RM200 sehala. Oleh kerana itu, saya
memutuskan keputusan masuk Brunei melalui jalan darat iaitu dari Miri, Sarawak.
Sementara itu, dari Miri, saya akan menaiki teksi atau bas. Tiket penerbangan dibeli
serta merta.
Malam sebelum penerbangan, saya mendapat
panggilan dari sahabat yang menetap di Kuching, Sarawak. Cukup saya perkenalkan
nama beliau ‘Ustaz Uda’. Beliau yang mengetahui saya akan ke Miri untuk ke Brunei
memaklumkan kepada saya, anak-anak murid pengajian beliau akan sambut saya di
Miri dan akan khidmat membawa saya ke Brunei dengan kereta mereka.
Menurut Ustaz Uda juga, anak-anak muridnya itu
sudah biasa berulang alik Miri ke Brunei atas urusan perniagaan. Beliau
berharap sepanjang perjalanan, saya dapat berkongsi ilmu tauhid kepada
murid-muridnya memandangkan mereka mempelajari kitab tauhid terbitan syarikat
saya (Sunan Press). Saya menerima pelawaan mereka dan semoga Allah menerima
usaha dakwah yang tidak seberapa ini. Syukur alhamdulillah, saya selamat tiba di Bandar Seri Begawan pada
hari Jumaat setelah dua jam perjalanan dari Bandar Miri (125km).
Saya harap dapat tenangkan diri buat sementara
dek kerana bahang politik sejak kemenangan regim baharu. Pada awalnya, saya
menjangkakan bahawa Brunei memiliki pembangunan bandar yang pesat seperti
Singapura tetapi jangkaan saya meleset kerana Brunei merupakan negara yang
penuh dengan kesederhanaan.
Masjid Sultan Hassanal Bolkiah |
Di negara tersebut, bangunan-bangunan tidak boleh dibina melebihi ketinggian dan kecantikan sesebuah masjid. Jika kita lihat, masjid-masjid di Brunei sangat tersergam indah dan mewah. Saya sempat menunaikan solat fardhu dan Terawih di beberapa masjid di Brunei semasa kunjungan tersebut.
Ziarah Makam Sharif Ali
Saya memulakan kunjungan saya dengan
menziarahi Makam Sharif Ali. Sebenarnya ini adalah tujuan utama saya. Saya
sangat mencintai untuk mengambil ibrah dari perjalanan hidup para pendakwah
dahulu.
Sultan
Sharif Ali atau masyhur digelar Sultan Barakat berasal dari Taif (Jazirah
Arab). Menurut salasilah Raja Raja Brunei, Baginda Sultan berketurunan
Rasulullah saw dari jalur Sayyiduna Hasan.
Tidak pernah niat menjadi Sultan, segalanya dalam
suratan yang Maha Esa, Sharif Ali, seorang ulama’ datang berdakwah ke Brunei.
Akhlak dan keilmuan Baginda telah menarik minat Sultan Ahmad (Sultan kedua
Brunei) dan Baginda kemudian menjodohkan Sharif Ali dengan anak perempuan
Baginda.
Telah mangkat Sultan Ahmad dan Baginda tidak
meninggalkan putera. Sekalian rakyat berhajat Sharif Ali dari keturunan mulia
diangkat menjadi Sultan. Akhirnya Sharif Ali bersetuju menaiki takhta namun
bersyarat yakni orang melayu Brunei wajib memberikan taat setia kepada
pemerintahan Baginda dan mengikut hukum hukum Islam.
Makam Sultan Sharif Ali, Sultan Ketiga Brunei |
Jika kesultanan Semenanjung Tanah Melayu terkenal kisah waad Demang Lebar Daun dan Sang Sapurba, kisah pengangkatan Sharif Ali menjadi Sultan telah menjadi asas ikatan Raja dengan rakyat yakni Raja kasihkan rakyat dan rakyat taat setia kepada Raja.
Dari keturunan Sultan Sharif Ali Barakat, melahirkan
Sultan - Sultan Kesultanan Islam Brunei hingga ke pemerintah sekarang iaitu
Sultan Hassanal Bolkiah termasuk termasuk Sultan Kesultanan Sarawak, Kesultanan
Sambas dan Matan serta sebahagian Sultan-Sultan kesultanan Sulu.
Baginda dijuluki Sultan Barakat kerana Baginda seorang
sultan yang sangat kuat beribadat dan mempunyai barakah. Baginda lah yang
membangunkan masjid dan menentukan arah kiblat. Datu Imam Yaakub menyebutkan,
“…..maka Sharif Ali itulah kerajaan, dinamakan akan
dia Paduka Seri Sultan Berkat dan ialah mengeraskan syariat Rasulullah saw dan
berbuat masjid”
Ke Kedai Buku
Saya berpeluang untuk pergi ke beberapa buah
kedai buku di Brunei dan difahamkan bahawa setiap buku yang ingin memasuki
pasaran Brunei, mereka wajib melalui proses semakan daripada Kementerian Hal
Ehwal Agama dan Kementerian Dalam Negeri. Buku-buku yang telah dicopkan
bermaksud buku tersebut tidak mempunyai sebarang masalah, sah Ahlul Sunnah Wal
Jamaah, dan boleh dijual di negara Brunei.
Saya tampilkan sebuah buku yang pada bahagian
belakangnya mempunyai cop sebagai tanda telah melalui proses semakan.
Cop pengesahan Kementerian Hal Ehwal Agama Brunei |
Begitu juga dengan buku-buku yang bukan genre
agama, yang mana Kementerian Dalam Negeri turut menyemak buku tersebut agar
fahaman- fahaman yang dibawa sama ada ekonomi, politik dan sebagainya tidak
bercanggah dengan dasar Kerajaan Negara Brunei.
Saya sebagai seorang penerbit buku bertanya
lebih lanjut bagaimanakah jika saya mempunyai buku-buku untuk dibawa ke Brunei.
Mereka beritahu, bawa beberapa sample buku yang hendak diedarkan di Brunei ke
Kementerian Hal Ehwal Agama untuk buku-buku genre Agama dan ke Kementerian
Dalam Negeri bagi buku-buku selain genre Agama.
Sekiranya buku tersebut mendapat kelulusan, buku
itu boleh dimasukkan dalam pasaran Brunei. Sahabat saya daripada Brunei juga
menceritakan bahawa jika mereka meminati buku daripada Malaysia, mereka akan
menggunakan alamat Miri, Sarawak untuk pembelian secara pos. Pada kebiasaannya,
mereka akan ke Sarawak pada hari minggu untuk membeli belah dan pada ketika
itulah mereka akan mengambil bukusan buku yang dihantar ke Miri.
Beliau turut menyatakan, jika buku yang dibeli
dihantar terus ke Brunei, bungkusan itu dibuka untuk melihat jenis buku
tersebut. Ia merupakan suatu penjagaan dan peranan kerajaan dalam menjaga agama
Islam di Brunei dari fahaman-fahaman yang menyeleweng. Selain itu, jika
terdapat mana-mana pihak yang ingin melaksanakan sebarang pengajian, maka perlu
mendapatkan izin atau tauliah dari Kementerian Agama. Malah bukan itu sahaja,
setiap acara pengajian yang diadakan, ia akan dihadiri oleh pegawai daripada
Kementerian Agama untuk melihat sejauh mana bentuk ajaran dalam pengajian yang
disampaikan.
Oleh kerana Brunei merupakan sebuah negara
yang kecil, saya merasakan bahawa penguatkuasaan tidak sukar untuk
dilaksanakan. Tidak seperti di tempat kita yang mempunyai rakyat yang lebih
ramai berbanding Brunei.
Kebiasaanya, topik yang paling hangat untuk
dibicarakan bersama sahabat-sahabat yang lain di tempat kita adalah topik-topik
politik. Tapi jika bersama dengan sahabat-sahabat daripada Brunei, topik
politik bukanlah suatu topik yang seronok untuk diperkatakan kerana mereka
tidak mempunyai sistem kepartian yang membawa kepada sistem persaingan. Mereka
benar-benar mengamalkan sistem Beraja dan sangat taat dan menghormati institut
Beraja.
Pusat Sejarah Brunei
Saya juga berpeluang berkunjung beberapa
muzium di Brunei dan yang paling menarik adalah
apabila saya pergi ke dewan salasilah Kerajaan Brunei di Pusat Sejarah Brunei. Kerajaan Brunei sangat menjaga dan mengambil
berat soal nasab. Mereka menyimpan pelbagai nasab Raja-Raja Melayu (Brunei) bermula daripada Nabi Adam AS sehingga yang terkini.
Pelbagai versi yang mereka catatkan. Pada
dinding pameran penuh dengan catatan salasilah tapi sayang sekali, para pelawat
tidak dibenarkan mengambil gambar. Jadi saya hanya melihat sepintas lalu kerana
melihat catatan salasilah ini memerlukan penerangan. Jujur saya katakan bahawa
melihat gambar rajah salasilah ini adalah suatu yang meletihkan mata.
Juga dicatatkan hubungan kerajaan Brunei
dengan kerajaan-kerajaan Islam Nusantara. Saya turut sempat melihat
gambar-gambar Kesultanan Brunei dengan Raja-Raja Melayu.
Di hadapan Dewan Pameran Salasilah |
Yang paling menarik juga, kami pergi ke Muzium
Kebesaran DiRaja. Saya melihat bahawa institut Raja mereka ini diangkat untuk
salah satu tarikan pelancong kerana semasa saya datang, saya melihat pelancong
daripada China datang ke Brunei dan melihat alat-alat kebesaran DiRaja yang
diletakkan pada suatu tempat. Pada bahagian tertentu, kita boleh ambil gambar
dan bahagian-bahagian lain tidak boleh mengambil gambar kerana sensitif.
Terdapat juga hadiah-hadiah yang diterima oleh Kesultanan Brunei untuk tatapan
jelata.
Jadi sejarah dan kesultanan itu sendiri sudah
menjadi aset pelancongan dan menarik sesiapa yang berminat. Saya percaya bahawa
barang-barang tersebut, atas kurniaan Tuanku yang bermaksud bukan semua barang
diletakkan disitu. Hanya barang-barang yang bersifat boleh dipamerkan sahaja. Saya percaya masih banyak barang yang tidak ditayang kerana bersifat
peribadi.
Saya memohon maaf kerana tidak dapat mengambil
gambar kerana kamera (telefon) kami diambil untuk simpanan sebagai langkah
berjaga-jaga. Hanya ada beberapa keping gambar yang sempat diambil iaitu pada
bahagian yang dibenarkan.
Sejarah Ringkas Brunei
Bercakap tentang brunei, pada abad 6-7M, sudah
terbentuk pemerintahan dan perdagangan di Borneo yakni di Brunei. Sejak itu
juga, Brunei telah menjadi tempat persinggahan pedagang-pedagang China, India
dan Arab yang merantau dan berulang alik sekitar kepulauan nusantara.
Brunei mempunyai banyak nama lantaran kesan
dari berbagai-bagai bangsa yang meriwayatkan Brunei itu, bukan hanya terdapat
sebutan yang berlainan terhadap nama Brunei akan tetapi ejaan juga pelbagai
seperti bruneng, bornei, borneu, burneu, borneo, bruneo, brune, bornui dan
burni. Walaupun terdapat perbezaan, ia menunjukkan tempat yang sama. Di Pusat
sejarah, saya sempat mencatat rentetan peristiwa penting dalam sejarah Brunei
kerana para pelawat tidak dibenarkan mengambil gambar. Namun, ia tidak menghalang
untuk saya dapatkan maklumat dengan kekuatan pena.
Rentetan peristiwa penting dalam sejarah
Brunei 1454 - 1598
1454 : Brunei masyhur menjadi pusat kepada
perkembangan Islam ketika itu. Ramai mubaligh Islam ke luar negeri dan datang
ke Brunei.
1485 : Sultan Sulaiman lindong dan diganti
oleh putera Baginda, Sultan Bolkiah.
1505 : Lo Da Vico Vartemi datang melawat
Brunei.
1511 : Brunei sebagai pusat perdagangan yang
besar
1521 : Angkatan Brunei menyerang Laoe kerana
tidak setia kepada Sultan Brunei.
15 Julai 1521 : Brunei wujud sebagai negeri
kaya dan makmur. (Dicatat oleh Antonio Pica Fecta). Ini menyebabkan orang Barat
berusaha menakhluki Brunei.
29 Julai 1521 : Kapal Brunei karam ditembak
oleh angkatan Magellan. Tempat kapal itu karam kini bernama Karambunai yang
terletak di Sabah.
6 September 1522 : Angkatan Magellan bertolak
dari Brunei ke Sepanyol mengikuti jalan Afrika Selatan.
11 Julai 1524 : Sultan Bolkiah lindung diganti
oleh putera Baginda, Sultan Abdul Kahar.
1526 : Josh D Meniziz datang ke Brunei
1530 : Gong Salo Parera tiba di Brunei.
1533 : Sultan Abdul Kahar turun takhta dan
menyerahkan pemerintahan kepada putera Baginda, Sultan Saiful Rijal.
1565 : Wilayah Brunei diserbu dna ditakhluki
Sepanyol dan menjadikan pusat perdagangan
1573 : Satu utusan Sepanyol datang ke Brunei
untuk meninjau keadaan dan membuat pemetaan Brunei.
1574 : Permohonan Sepanyol untuk mengembangkan
Agama Kristian di Brunei telah ditolak. Hasrat Brunei menyerang Sepanyol di
Manilla terpaksa dibatalkan kerana dikhuatiri Sepanyol akan menyerang Brunei.
1578 : Salah faham berlaku antara pihak Sultan
Saiful Rijal dengan pihak Pangeran Seri
Lela dan Pangeran Seri Ratna.
3 Mac 1578 : Dr Francisco Lesanda bertolak dari Manilla
ke Brunei dengan 40 buah kapal perang yang membawa lebih 1500 orang penduduk
Pengansinan dan Gagayanpentandos.
13 April 1578 : Dr Francisco Desande mengutus
surat kepada Sultan Saiful Rijal dan
memohon Baginda menghentikan menghantar pendakwah Islam ke Kepulauan Filipina.
Permohonan tersebut ditolak.
14 April 1578 : Sepanyol melancarkan perang
keatas Brunei dengan bantuan Pengeran Seri Lela dan Pangeran Seri Ratna.
15 April 1578 : Kapal Sepanyol tiba di bandar
Brunei berhampiran Kota Batu.
16 April 1578 : Angkatan Sepanyol masuk ke
Brunei lalu menggeledah Istana Sultan Abdul Kahar.
20 April 1578 : Sepanyol berjaya menakhluki Brunei.
24 April 1578 : Istana Sultan Saiful Rijal dan
rumah pembesar digeledah dan dijadikan kubu pertahanan oleh angkatan Sepanyol.
23 Jun 1578 : Angkatan Sepanyol membakar
Masjid Jamek, Brunei dan membinasakan Maqam Sultan Bolkiah.
26 Jun 1578 : Angkatan Brunei berjaya
mengalahkan Sepanyol sehingga diusir ke Naunsun yakni Sabah.
4 Mac 1579 : Hasrat Sepanyol cuba sekali lagi
menyerang Brunei terpaksa dibatalkan disebabkan kekuatan dan semangat
perjuangan orang Brunei sukar dikalahkan.
1581 : Sultan Saiful Rijal dilindung dan
diganti oleh putera Baginda, Sultan Shah Brunei.
1582 : Sultan Shah Brunei tidak lama
memerintah dan diganti oleh adinda Baginda, Sultan Muhammad Hasan yang terkenal
kerana gagah berani dan bijaksana.
1582-1598 : Brunei terus mencapai kemajuan
hingga sebanding dengan kebesaran kerajaan dibawah pentadbiran Sultan Iskandar
Muda Mahkota Alam. Kebesaran dan kekuasaan Brunei diperkuatkan lagi oleh
Sultan-sultan Brunei yang seterusnya hingga akhir abad ke 17.
Brunei adalah negara Melayu Islam Beraja
Jika di Malaysia, kita mempunyai Rukun Negara.
Indonesia pula mengamalkan Pancasila. Demikian juga di Brunei, mereka mempunyai
dasar dan konsep negara mereka tersendiri iaitu Melayu Islam Beraja. Hal ini
ditekankan oleh Baginda Sultan seperti berikut:
“Konsep Melayu Islam Beraja ini
sebenarnya bukan konsep baru tetapi sudah lahir semenjak beberapa abad lagi.
Ianya tidak lebih daripada menunjukkan bentuk dan corak sesebuah kerajaan
Brunei Darus Salam yang tulen, kerajaan Melayu Islam yang bersultan atau beraja
dan sebagai sifatnya sebuah kerajaan Islam maka ia terbaik dan terunggul serta
paling adil untuk semua lapisan rakyat. Dan penduduk di negara ini sama ada
menganuti agama Islam ataupun tidak.”
Menurut Pehin
Dato Seri Utama Dr Haji Awang Mohd Jamil Al Sufri dalam bukunya yang berjudul
pelaksanaan dasar negara Melayu Islam Beraja, keistimewaan
Brunei adalah kerana ia merupakan negara Islam Beraja. Status ini tidak dikacau
malah dikekalkan sebagai sebuah negara Islam Beraja yang telah diusahakan oleh
Sultan Brunei dengan Setiausaha negara British di London pada Isnin, 30 September
1957.
Segala bentuk keputusan yang dilakukan oleh
Baginda adalah semata-mata untuk menyatakan Cinta dan Kasih Sayang Baginda
kepada agama, bangsa dan tanah air Brunei. Dan dasar Melayu Islam Beraja ini
sudah pasti untuk menjaga bangsa Melayu, Islam dan sistem Beraja.
Dr Haji Awang Mohd Jamil Al Sufri menyatakan
juga, apabila kita melihat kedudukan Melayu dalam perlembagaan Brunei, jelas
dinyatakan bahawasanya Bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa Rasmi negara. Tafsiran rakyat sultan seperti
yang diberikan oleh undang-undang taraf kebangsaan Brunei 1991 menunjukkan
negeri ini merupakan sebuah negara adalah negeri Melayu untuk orang Melayu dan
kepunyaan orang Melayu Brunei.
Demikian juga dengan pelantikan menteri besar
dan timbalannya serta setiausaha kerajaan yang terdiri daripada anak-anak melayu
menguatkan lagi gambaran bahawa negara ini merupakan negara Melayu yang
diterajui oleh orang Melayu. Dalam Perlembagaan Brunei, 4(5) yang mengatakan
bahawa tiada siapapun yang boleh dilantik menjadi menteri besar atau timbalan
menteri atau setiausaha kerajaan melainkan dia orang Melayu yang beragama Islam
mengikut mazhab Syafie Ahl Sunnah Wal Jamaah.
5(A) Maka tiada siapapun boleh dilantik
menteri besar atau timbalan menteri besar kecuali beliau itu ialah rakyat
Sultan.
Bagaimana pula kedudukan Islam dalam
perlembagaan?
Alhamdulillah, Islam telah bertapak dengan
kukuh dan mendasari sistem pemerintahan Beraja di Brunei dan sejak pemerintahan
Sultan Saifuddin Ali dan Sultan-sultan kemudian, semuanya mengguna pakai sumber
hukum dan perundangan Islam.
Pehin Dr Haji
Awang Mohd Jamil Al Sufri juga menyebut,
ketika zaman pemerintahan Sultan Haji Omar Ali Saifuddin, telah dimeterai dalam
perlembagaan negeri Brunei, menjadikan Islam sebagai agama rasmi negara
tersebut.
Maka secara perlembagaan Brunei Darus Salam
pun menjadi negeri Islam dek kerana agama rasminya pun adalah agama Islam.
Sehubungan dengan itu, agama rasmi bagi Brunei Darus Salam adalah agama Islam
dan Ketua Agamanya adalah Sultan.
Lalu ditubuhkan Institusi Majlis Ugama Islam
Brunei yang bertugas untuk menasihati Sultan dalam perkara-perkara agama
seperti yang dibutirkan (nyatakan).
Sementara itu, melihat sistem Beraja dalam
perlembagaan, sedia maklum sistem Beraja adalah sistem tradisi pemerintahan
Brunei yang diamalkan sejak turun temurun dan ia berkembang malah terus subur
sehingga kini. Sistem inilah yang menyatukan rakyat yang berasal daripada
pelbagai bangsa dan etnik.
Dalam tradisi budaya Melayu Brunei juga, Raja
merupakan teras atau tunggak negara dibawahnya. Sultan bertindak sebagai
Zilullah fil Ardi yakni bayang Allah dimuka bumi.
Justeru itu Raja mesti bersifat kasih sayang
dengan rakyat dan melaksanakan pelbagai kebajikan untuk rakyat. Sebagai
balasan, rakyat memberikan taat setia kepada Raja.
Pertalian antara rakyat dan Raja di Brunei
amat kukuh bak kata pepatah
“Raja untuk rakyat, rakyat untuk Raja”.
"Raja kasihkan rakyat, rakyat setia kepada Raja".
"Raja kasihkan rakyat, rakyat setia kepada Raja".
Kampung Atas Air
Tidak lengkap perjalanan ke Brunei sekiranya
tidak pergi ke Kampung Air yang terletak di Bandar Seri Begawan. Ia dikatakan
kampung air terbesar yang wujud di Asia Tenggara. Budaya membina perkampungan
atas air mungkin suatu yang asing di semenanjung Malaysia tetapi tidak di
Sabah, Selatan Filipina atau kawasan perairan sekitar pulau Borneo. Saya
mempunyai pengalaman masuk dan tidur di banyak perkampungan atas air di Sabah
iaitu di Tawau, Sandakan, Lahad Datu dan Kota Kinabalu. Saya juga pernah ke
kampung air di kawasan Selatan Filipina. Mereka banyak terdiri orang laut dari
keturunan Bajau dan etnik-etnik lain.
Apa yang berbeza di Brunei? Ya, sudah pasti
saya berfikir dengan negara yang kaya, kenapa perlu wujud lagi kampung atas
air? Kenapa tidak dipindahkan ke darat dan hidup sebagai orang darat? Ini lah
warisan dan adat hidup. Dunia laut sudah sebati dengan mereka, dan mereka lebih
suka tinggal di laut walaupun ada pilihan di darat.
Perkampuang atas air di Bandar Seri Begawan, Brunei |
Oleh itu, kerajaan dibawah naungan Sultan Hassanal Bolkiah telah mengambil intensif menaik taraf rumah – rumah atas air sehingga nampak macam resort. Semua tersusun kemas dari segi sistem paip, elektrik, penyaman udara, selain ruang bercucuk tanam dan kemudahan lain. Ya, sekolah, klinik, balai bomba semua ada.
Dari perkampungan biasa, akhirnya Kampung atas
air ini menjadi objek pelancongan tegar. Telah dikunjungi ramai pihak termasuk
pihak menteri-menteri dari Malaysia dan Indonesia yang mengadakan kunjungan
bertujuan mengkaji dan belajar pentadbiran dan urus selia perkampungan atas air
dari Kerajaan Brunei supaya dapat dilaksanakan di negeri sendiri dengan
jayanya.
Sekian, Angah Sunan