Wednesday, 28 February 2018

Prof Syed Naquib Al Attas Di Sulu

Ketika saya berada di Jolo, Kepulauan Sulu beberapa tahun lepas yang terletak di Selatan Filipina. Saya berkenalan dengan Mr. Sheradz Said, guru di Hadji Elementary School Laud, Jolo. Kami dipertemukan ketika rakaman pendidikan di Sulu sempena Dokumentari Majalah Islam – Islam di Sulu terbitan Tv Al Hijrah dengan kerjasama NgO yang saya wakili iaitu Pertubuhan Ikatan Kekeluargaan Rumpun Nusantara (HaRUM).

Dalam temu ramah bersama beliau, beliau menegaskan: “Hanya pendidikan sahajalah yang mampu menamatkan konflik di Jolo, supaya kemiskinan di sini dapat ditangani demi keamanan Jolo”. Mr Sheradz, pemegang Ijazah sarjana Sains Sosial menabur bukti di Bandar Jolo meskipun berpeluang mendapat pekerjaan lebih baik di tempat lain. Beliau mengambil tanggungjawab mendidik anak tempatan kerana keyakinan pendidikan sangat penting demi masa depan Jolo. 

Bersama Mr Sheradz

Pada mulanya kami hanya berbual biasa sehingga saya melihat suatu buku menarik di tangan beliau, Sign Of The Unseen – The Discourses of Jalaluddin A Rumi. saya bertanya kepada beliau, “kamu peminat sufi?”, dia menjawab, ‘ya, sangat minat’..

Maka, disitu perbualan kami terus rancak hingga membawa pertemuan beberapa kali. Dia suka mendengar ilmu ini yang menurut beliau sudah sebati dalam masyarakat suluk, ya kesufian. Menurut beliau, ulama-ulama’ yang datang membawa Islam kepada kami adalah Ulama Sufi. Antara Ulama yang datang berdakwah di Sulu ialah Sayyid Abu Bakar yang datang dari Johor. Bersama Sayyid Abu Bakar (keturunan Rasulullah) ialah kitab Ad Duur al Manzum (Untaian Mutiara). Pada tahun 1450M, Sayyid Abu Bakar diangkat sebagai Sultan Sulu pertama oleh masyarakat tempatan setelah kewafatan Rajah Baginda (pemimpin adat sebelum) dengan gelar Paduka Maulana Sultan Shariful Hashim. Keturunan pemerintah  masih kekal disana. Ahlul bait disini mengunakan predikat 'Syarif' untuk lelaki dan 'Syarifah' untuk perempuan. loghat tempatan kadang-kadang memanggil Syarif dengan Salip. Mereka rata-rata keturunan Sultan dan juga pendakwah-pendakwah berketurunan Rasulullah yang datang ke Sulu. 

Kitab Ad Duur al Manzum ialah kitab yang membicarakan hal-hal ketuhanan, zat, sifat dan afaal menurut kupasan tauhid tasauf. Ia dikarang oleh seorang Ulama’ besar iaitu Syaikh Abu Ishak As Syirazi.

Tambah beliau lagi, sejak akhir-akhir ini, ilmu ini teruk ditentang oleh suatu kumpulan yang membawa slogan kembali ke Quran dan Sunnah. Bukan itu sahaja, mereka turut menentang amalan warisan kami seperti tahlilan, sambutan maulid Nabi dan seumpama. Saya rasa para pembaca boleh meneka siapa yang Mr. Sheradz (M.A Social Science) maksudkan. Saya tidak mahu melabel kumpulan itu yang sudah maklum ‘style’ mereka di mana-mana termasuk Negara kita sendiri.

dalam perjalanan ke Pulau Patikul (hot area)

Sedih saya mendengarnya, sudahlah konflik berlaku antara orang Sulu sendiri, perpecahan beberapa kumpulan bersenjata dan tekanan dari Kerajaan Filiphina sendiri, umat Islam di Jolo (98%) dipecahkan lagi dengan konflik perbalahan perkara khilafiah. Soalnya sekarang siapa yang tidak berlapang dada?

Modus operani yang sama berlaku di Selatan Thailand. Menurut Baba Wan Abdul Qadir al Fathani, Kami di Fathani dulu tak pernah gaduh-gaduh walaupun terdapat tekanan dari Bangkok, sehinggalah datang golongan baharu yang menyesatkan kami hanya kerna kami mengadakan maulid Nabi. Akhirnya umat Islam lupa perjuangan asal menuntut hak mereka. Walaupun golongan baru itu menafikan, namun buktinya jelas dan maklum. Walaupun mereka mengajak berlapang dada, hakikatnya mereka yang cetuskan dahulu.

Saya ingis tegaskan, golongan baru ini ditentang bukan sebab mereka tidak membaca qunut, usolli, tidak mengadakan perayaan maulid, menolak sufi dsb tetapi mereka ditentang oleh ulama-ulama’ tua kerana mereka berkeras dan hanya mereka betul yang lain dari mereka adalah pelaku bidaah, ahlul hawa dsb. Pada kita, itu hal khilafiah, pada mereka sebenarnya tidak. Walaupun saya tidak bersetuju dengan puak baru ini, saya berpesan kepada diri saya dan sahabat2 semua agar tidak terikut pendekatan mereka. Pendekatan keras jangan sampai hilang adab.

Baik, itu hanya sampingan dalam perbualan kami. Terus kami berbual lebih panjang tentang tauhid, tasauf, kesufian dan sejarah. Perbualan kami 100% dalam bahasa Inggeris kerana saya tidak pandai bercakap bahasa suluk dan beliau pula tidak boleh bercakap bahasa melayu. Benar, penguasaan banyak bahasa membantu dakwah lebih luas.

Sebelum bersurai, beliau meminta tolong kepada saya jika datang lagi ke Jolo, tolong bawakan Buku baru Prof Syed Naquib al Attas yang berjudul ‘On Justice and the Nature Of Man’ dan karya Prof yang lain. Terkejut saya mendengarnya, yelah di Sulu..line internet sangat slow dan akses mendapat info luar sangat terbatas tetapi beliau kenal, kagum dengan Prof Naquib yang anak bangsa melayu di tanah air saya pun masih ramai tidak mengenali beliau. Sempat Saya bertanya, bagaimana kamu kenali Prof? Beliau hanya tersenyum dan masa pula mencemburui kami ketika itu untuk saya bertanya lanjut.

Sambutan Maulid di Jolo

Oleh kerana kedatangan kami di bulan Rabiuawal, kami turut berpeluang menyambut mawlidul rasul di sini. Di Kepulauan Sulu, Sambutan Mawlid di sini sangat unik dan penuh kekeluargaan. Apa jua upacara atau majlis kaum Suluk, mesti ada kenduri atau ‘rewang’. Secara beramai-ramai penduduk dari segenap lapisan bergotongroyong memasak, menjamu dan memeriahkan. Bahkan setiap ahli keluarga akan membawa makanan terbaik yang mereka ada untuk dijamu hidang bersama-sama. Jelas dapat dilihat di sini, para ibu sibuk membawa dulang yang berisi makanan dari rumah masing-masing ke masjid. 

Sebelah malam pula, bacaan maulid dimulakan dengan Kitab Maulid Barzanji sebagai teras utama. Kitab Maulid Barzanji adalah kitab yang masyhur dibaca di seluruh dunia termasuk nusantara karangan Imam Sayyid Jaafar al barzanji. Kitab ini adalah himpunan syair-syarir dalam bahasa arab yang indah bermula detik kelahiran Rasulullah s.a.w, Hijrah, akhlak, sehingga kewafatan Baginda s.a.w. 

Terkejut juga pada awalnya, tak sangka hingga di ufuk timur kitab Maulid ini dibaca. Paling menarik, di Sulu, bacaannya sudah menjadi tradisi. Paling menarik lagi, majlis maulid di sini akan dibaca barzanji itu sehingga khatam. “huh lama la kan?”. Dari Isya' membawa ke Subuh, baru selesai majlis maulid. 

Para pembaca Maulid terdiri dari 12 orang, 6 Imam tua lelaki dan 6 tua wanita. mereka membaca secara bergilir-gilir dalam rentak dan dengung kaum mereka. Para 12 pembaca akan duduk mengelilingi 'Pokok Jenal'. Pokok Jenal ini berasal dari Tandan Pisang yang digubah sempena majlis maulid sebagai simbol hadiah kepada Rasulullah s.a.w. Nampak 'rare' kan. 

Apa yang diterangkan kepada kami bahawa di Sulu, bulan Rabiuawal adalah 'bulan kesusahan' bagi kaum Suluk maksudnya, kaum Suluk akan bersusah payah meskipun keadaan dhaif menjamu atau menghidang makanan terbaik, mengadakan jamuan, majlis mawlid dan sebagainya sebagai mengenang kesusahan dan pengorbanan Rasulullah s.a.w. Maka pada bulan ini, tidak mengapa susah sikit menjamu orang makan walaupun sendiri tak cukup makan demi mendapat kegembiraan Rasulullah s.a.w hasil menjamu kepada mereka yang lebih memerlukan.

Terkenang peristiwa para sahabat r.anhum yang syahid, mati kehausan demi saudara mereka dalam peperangan Yarmuk lantaran ingin mendahulukan air kepada sahabat lain. Para sahabat lain turut bersikap yang sama, saling mendahulukan sehingga semuanya syahid walhal air masih tidak di minum sesiapa! termenung seketika apabila mendengarnya. 

Di Malaysia, masih ramai yang senang dan mewah, tapi masih berkira-kira mengadakan maulid walaupun dalam skala kecil di rumah. Dustanya cinta kami Ya Rasulallah. Setelah selesai bacaan maulid Nabi s.a.w pada subuh hari, disusuli majlis Akikah. Kami belajar bagaimana memahami adat budaya disini dan menyantuninya. Setiap acara ada tradisi termasuk falsafah berpakaian. Ternyata, hebat para Ulama' dahulu, mereka tidak menghapuskan ada tradisi, cuma memurnikan perkara yang patut dimurnikan dengan nilai tauhid. 

Mindanao State Universiti

Kami turut berpeluang mengadakan kunjungan ke Mindanao State Universiti (MSU) cawangan Jolo. dalam misi mencari sesuatu yang sepatutnya dicari. Alhamdulillah, kami bertemu dan menemu ramah dengan Canselor MSU, seorang profesor sejarah dan politik Islam, Dr Adjarail Hapas Ph.D. Kami berbual dan beramah mesra seperti keluarga. Tanpa dipinta, Canselor menawarkan diri membawa kami berjalan-jalan di sekitar MSU. Saya secara peribadi, pertemuan kali ini merupakan pertemuan kedua selepas bertemu beliau sebelum ini. Sebulan sebelum perjalanan dokumentari ini, saya sendiri bersama sahabat-sahabat HaRUM lain telah ke Sulu lebih awal untuk memaklumkan dan menguruskan logistik, gambaran segmen dan sebagainya. 

Mindanao State University (MSU)

Di situ lah bermula pertemuan dengan Prof. Antara perkataan beliau yang saya ingat sampai sekarang, menurut Prof, keamanan total yang paling penting diusahakan sekarang. Apabila sepenuhnya aman, maka para pelabur akan berani membuka perniagaan, peluang pekerjaan dalam pelbagai industri. Prof menyebut lagi, semua maklum bahawa wilayah Sulu adalah sangat kaya dengan hasil bumi dan galian minyak. Namun, tiada siapa berani melabur akibat ketidakamanan yang berlaku. Katanya lagi, bila kondisi sudah aman dan rakyat ada mata pencairan, nescaya mereka tidak akan menjadi ganas. Tak perlu guna jalan kekerasan mendapat hak dan sesuap nasi. Insya Allah, Sulu masih aman. Ada banyak daerah di Sulu, yang panas di satu dua (terutama Patikul) kawasan yang tidak mewakili keseluruhan Sulu. Orang suluk juga baik-baik, mereka mahukan keamanan. . Kami tegaskan, peristiwa serangan orang suluk di Lahad Datu 2013 tidak mewakili dasar perjuangan orang suluk. 

Terdapat 88 orang penuntut pengajian Islam di MSU cawangan Jolo. Paling menarik dewan pengajian fakuliti Islam di sini dinamakan ‘Rajah Baginda Hall’. Dewan Rajah Baginda sangat lusuh, perlukan renovasi. Prof pernah meminta bantuan dari Islamic Development Bank (IDB) akan tetapi sampai sekarang belum ada jawapan. Mindanao State Universiti (MSU) cawangan Jolo - Sulu kalau kita lihat dari segi fasilitinya ibarat sekolah rendah zaman 80an Malaysia. Internet pun tiada lantaran signal internet sangat lemah di Sulu. Paling ketara, bila kami minta emel Prof, beliau jawab, “di Sulu, tak perlu emel sebab takkan sampai. Hantar message melalui telefon bimbit sahaja”. (situasi ketika tulisan ini ditulis).

Dewan Rajah Baginda

Sukar nak dibayangkan pelajaran dan pentadbiran Universiti tanpa internet. Dalam buku yang kecil ini, saya tidak mahu memanjangkan lagi coretan ini. 

Keamanan Selatan Filipina adalah penyelesaian

Apa yang dapat kami simpulkan, Sulu memerlukan bantuan kita dan umat Islam semua. Pelbagai faktor geopolitik, sejarah dan perjuangan mewarnai rentetan Sulu dan umat Islam disana. Saya percaya, Sulu yang dahulunya sebuah empayar Islam yang hebat kini terpencil menyimpan rahsia, sumpahan, episod duka, perang yang sangat panjang. Saya juga percaya apa yang berlaku di sana bukan suatu kebetulan. 

Dalam politik, tiada kebetulan melainkan semua di rancang. Presiden Rooservelt pernah berkata:
“In Politics, nothing happen by accident. If it happen, it was planned that way” “Dalam politik, tidak ada yang berlaku secara kebetulan. Jika terjadi, ianya telah dirancang untuk menjadi demikian”.


Suasana di Bandar Jolo, Kepulauan Sulu

Tanpa menuding jari kepada sesiapa, ia suatu persoalan yang sama sama boleh kita fikirkan. Kemiskinan dan konflik yang belum selesai telah menyebabkan rakyat Sulu berhijrah dan menjadi pelarian di negeri jiran terutama Sabah, Malaysia. 

Pada 28 Mei 2008, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata menurut anggaran, kini terdapat 440,000 orang asing di Sabah dan daripada jumlah itu, 230,000 adalah orang asing yang bekerja secara sah, 130,000 pendatang asing tanpa izin, manakala selebihnya (80,000) adalah pelarian dari Filipina. Data ini adalah 8 tahun lepas. Pelarian Filipina itu majoritinya dari Selatan Filipina, mencari rezeki di Sabah. 

Dari segi geografi, Sabah negeri paling berdekatan. Kata orang, hanya 2-3 jam sudah sampai jika naik bot laju. Sudah pasti, situasi lambakan pelarian mengundang kebimbangan dari segi keselamatan dan rasa tak senang hati penduduk Sabah. Oleh kerana itu, sangat benar perkataan Menteri Pertahanan Negara, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein: 

“Proses damai Selatan Filipina penting bagi keselamatan Sabah, “Kalau sekiranya tidak dapat dipertahankan proses damai itu, saya bimbang mungkin berlaku pergolakan di Lautan Sulu dan ia sedikit sebanyak akan membawa kesan kepada kita di Sabah” 

Datuk Seri Hishamuddin juga berkata Malaysia sendiri memain peranan yang besar (dalam proses damai itu) dan kerajaan akan memastikan keselamatan rakyat Negara ini khususnya di Sabah adalah terjamin dari segala ancaman pihak luar. 

Kata orang, keamanan mereka akan diperolehi hanya dengan satu cara, yakni berikan hak mereka. Mereka tidak pernah dijajah, mereka mahukan pemerintahan sendiri. Dari sebuah kesultanan Islam, akhirnya dipaksa berada di bawah tunduk kerajaan Kristian Katolik Filipina setelah pelbagai perjanjian dari penjajah barat. 

Menjadi sebuah empayar yang hebat di ufuk timur telah mengundang kuasa besar untuk menjarah dan menjajah. Bermula Sepanyol,  Perancis, Great Britain dan Amerika Syarikat. Ironinya, mereka tidak benar-benar berjaya. Mereka berjaya di Utara tetapi mereka gagal menguasai sepenuhnya Selatan Filipina (baca : Mindanao).  

Statergi yang sama, apabila tiada mampu menggunakan jalan perang, penjajah menggunakan jalan Perjanjian antara mereka dengan pihak yang bukan wakil sepatutnya. Perjanjian yang kabur telah digunakan mereka. Jika Palestin ‘selamba’ diserahkan oleh British kepada Zionis melalui Deklarasi Balfour (1917), Pattani diserah ke Bangkok dalam perjanjian Siam-Bangkok (1909) oleh Inggeris dan Sulu pula diserah Sepanyol kepada Amerika Syarikat melalui perjanjian Paris (1898). Amerika Syarikat pula menghilangkan kedaulatan Kesultanan Sulu melalui tipuh helah perjanjian Carpenter (1915). Perjanjian yang saya sebutkan di atas semuanya boleh dicabar. 

Terkini, sekumpulan ahli perundangan dari Malaysia dan hasil kerjasama ahli perundangan negara Islam lain akan mencabar Deklarasi Balfour yang disifatkan tidak sah. Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan MyAqsa, Dr Noorazman Mohd Samsuddin, berkata pihaknya akan mencabar Perjanjian Balfour yang tidak lebih daripada satu penipuan dan retorik politik. Katanya, perjanjian itu tidak terikat dengan mana-mana undang-undang, kebertanggungjawaban dan melanggar peraturan dunia serta kemanusiaan.

Sulu Darul Salam, Patani Darul Salam dan Aceh Darul Salam. Tiga kerajaan Darul Salam di Nusantara ini telah berkongsi epik, episod, duka, kekayaan, semangat luar biasa yang sangat mirip Ketiga-tiganya adalah kerajaan berdaulat dan terus berdaulat. Itu kepercayaan mereka. Mereka tidak mahu berada di bawah NKRI, Bangkok atau Manila. Terjadinya banyak konflik hingga perang kerna mereka hanya meminta hak mereka. Mereka dituduh pengganas kerana menyuarakan hasrat mereka berdiri sendiri.

Apabila mereka mempertahankan hak mereka, mereka dituduh pengganas. Apakah pilihan yang mereka ada demi sesuap nasi dan hak kemanusiaan mereka. Yang ganas sungguh itu memang ada, akan tetapi tidak semua boleh dipukul rata sebagai pengganas. Pihak yang menindas mereka itu sebetulnya lebih pengganas. 

sebenarnya, sebahagian Kesultanan Islam di Nusantara memiliki ketenteraan yang tak terkalah. Hanya mereka dikatakan kalah kerana perjanjian. Mereka (penjajah) mengecut untuk berlawan secara anak jantan. Lalu buat perjanjian yang bersifat kabur dan penuh tipu helah.

Kalau mahu dikisahkan dari awal, ceritanya sangat panjang. Pelbagai suka duka, pahit maung dalam misi di Sulu. Saya telah mencoret lebih panjang pengalaman saya di sana di dalam buku terbaru saya yang akan diterbitkan dalam masa terdekat. 

Buku terbaru saya (Angah Sunan) adalah travelog sejarah, dakwah, cinta dan kemanusiaan berdasarkan pengalaman sebenar. Kembara patriots meredah pelbagai plot sejarah, meratah payah, menghadam mistikal dan hikmah. Menelusuri jejak Nusantara demi sebuah kebangkitan, menghurai pemakmanaan sendi kekuatan. Nanti kan !

Buku Siri Kembara Angah Sunan


Untuk akhirnya, para pembaca dijemput tonton Dokumentari Merah Laut Sulu di youtube. Dokumentari ini adalah kerjasama bersama Ngo Pertubuhan Kekeluargaan Rumpun Nusantara (HaRUM) dan TV Al Hijrah. 

Berikut adalah link channel : https://www.youtube.com/watch?v=Opg3kPnmiLo


Saya mengucapkan terima kasih kepada semua para pembaca yang sudi membaca penulisan saya selama ini. Syukran !

Sekian,
Angah Sunan LFO                                                                                               
Ex Project Manager Dokumentari di Sulu


Tuesday, 13 February 2018

Travelog Marawi – Mindanao : Antara Babak Perang & Kemanusiaan

“We might be different but actually we are same”

“nai iba man ang lahi pero i isa ang layunin”

Pertamanya, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ngo Pertubuhan Kekeluargaan Rumpun Nusantara (HaRUM) yang menjemput saya dalam Misi Tulong Marawi di Iligan City, Mindanao (tidak jauh dari Bandar Marawi - 37.9km).

Banyak perkara yang berlaku dalam misi ini. Selain memberi sumbangan kepada penduduk Marawi yang kehilangan tempat tinggal akibat konflik, misi ini juga telah menyaksikan sukarelawan bersama kami, seorang wanita kristian memeluk Islam. Kami juga terdedah langsung bagaimana toleransi antara masyarakat musiim dan non muslim dalam gerak kerja kemanusiaan kali ini. 

Berbetulan nama isteri pun TF, sebelah dengan nama ‘Marawi’

Jujurnya, Ini merupakan kali kedua saya bersama HaRUM dalam rangka misi memberi bantuan terhadap umat Islam di Selatan Filipina. 3 tahun lepas, saya dijemput oleh HaRUM ke Kepulauan Sulu, Selatan Filipina untuk rakaman dokumentari Merah Laut Sulu dengan kerjasama TV Al Hijrah. Dokumentari ini telah ditayangkan pada 24 Feb 2016. Pengalaman di Sulu lagi mencabar. Jika orang mengenali Sulu dengan perang dan keganasan, kami telah 'membongkar' Sulu pada sisi yang lain. Keindahan, sisi keamanan, kekuatan Islam serta sejarahnya antara elemen yang ditonjolkan. Oh ya saya mencoret panjang pengalaman saya di Sulu di dalam buku yang akan diterbitkan nanti. Saya membukukan segala catatan travelog dakwah, sejarah dan kemanusiaan  serta kembara saya. Moga bermanfaat kepada para pembaca kelak. Ada yang berminat memiliki?


Misi HaRUM

HaRUM, Ngo yang berpusat di Lembah Klang ke sana demi melaksanakan misi Tulong Marawi  dan Misi Korban Kasih Harum - Selatan Filipina.  Alhamdulillah, misi ini  telah selesai dengan jayanya. Terima kasih buat semua rakyat Malaysia yang memberi kepercayaan kepada HaRUM untuk kami menjadi pemudah cara untuk Ibadah Korban. Sebanyak 53 ekor lembu telah dikorbankan untuk Wilayah Selatan Filipina yang meliputi:

1. Sulu , 10 ekor (dilaksanakan pada hari raya pertama: 1/9/2017)

2. Tawi-Tawi, 5 ekor (dilaksanakan pada hari raya kedua: 2/9/2017

3. Marawi, 38 ekor (dilaksanakan pada hari raya keempat: 4/9/2017)

Kami juga mendapat kerjasama langsung dengan Ngo tempatan di sana iaitu Ngo MINSUPALA termasuk bantuan dari beberapa Ngo Non Muslim yang lain. Indahnya di sana, Muslim dan Non Muslim berganding bahu, bersatu untuk menjayakan Misi Korban ini samada dari sudut pengagihan dan proses menyediakan juadah. Muslim dan Non Muslim ibarat satu keluarga, tiadalah permasalahan dan kami saling menghormati antara satu dan yang lain.

‘team’ HaRUM dan pimpinan NGO MINSPALA


Di sana juga, HaRUM mendapat perhatian khusus daripada Department of Social Welfare and Development – DSWD (agensi kerajaan Filipina yang menguruskan penempatan sementara untuk mangsa-mangsa krisis) . Pihak mereka memaklumkan bahawa HaRUM adalah Ngo luar negara pertama yang tiba memberikan bantuan kepada mangsa-mangsa krisis Marawi yang ditempat di beberapa pusat perlindungan sementara.
Sebenarnya, team’ HaRUM telah datang ke Marawi sebelum ini untuk misi kajian lapangan. Kujungan lepas lebih ‘rare’ kerana betul –betul kami berada di lapangan. Kami pernah tersesat ketika di Marawi serta berada dalam keadaan yang genting. Bayangkan, sebaik sahaja kami berangkat dari suatu tempat, 5 min kemudian bom menyinggah dan memusnahkan tempat itu. Masih panjang nyawa kami. 5 min yang berharga ! 

lokasi Iligan City dan Marawi

Sepanjang misi di sana, kami ditempatkan di rumah kerajaan dan bersebelahannya adalah rumah mantan Presiden Filipina ke-9, Diosdado Macapagal (ayah kepada Presiden Gloria Macapagal Arroyo). Lokasi penginapan kami di Iligan City adalah lebih kurang 1 jam 30 minit menghala ke tempat perang.   

Cabaran kami di sini, dimana-mana tempat ada ‘check point’ dan kami melalui pemeriksaan yang ketat. Pernah suatu ketika, kumpulan askar menahan dan bertanya kami dari mana, mungkin mereka merasakan kami bukan orang tempatan. Ya la, kami pun cakap bahasa melayu atau inggeris sahaja (tidak pandai bahasa tempatan). Kami jawab, 

“We are from Malaysia, we come here to help”


Muka bengis mereka bertukar dan terus menyambut, 

“welcome, thank you for your humanity”

Pihak askar memang patut menaruh curiga terhadap orang luar lebih –lebih lagi sebahagian ahli moute Group terdiri dari orang luar yang datang atas semangat ‘jihad’ termasuk dari Malaysia. Sebenarnya, ‘membocorkan’ bahawa kami adalah orang Malaysia bukan jawapan selamat juga. Oleh kerana, kami datang secara rasmi dan ada hubungan kerjasama dengan ngo-ngo tempatan, tambah lagi ‘muka simpati’, pihak askar melayan kami dengan baik. 


  
Apa Cerita di Marawi ?


Bermula 23 Mei 2017, telah berlakunya peperangan di Bandar Marawi  antara askar kerajaan (AFP) dengan kumpulan Moute Group – ISIS. Perang yang bermula pada 23 mei 2017 telah meninggalkan kerosakan yang sangat fatal dan mengakibatkan seramai 360,000 penduduk kehilangan tempat tinggal. Bandar Marawi yang 98% penduduknya adalah muslim telah terjejas teruk hingga ramai penduduk menjadi pelarian.  Ini antara gambar di lapangan yang kami perolehi :





Merujuk maklumat dari Department of Social Welfare and Development (DSDW), konflik ini telah menyebabkan 359,680 penduduk Marawi kehilangan tempat tinggal (maklumat 2 Ogos 2017). 336,033 (93%) dari jumlah penduduk itu tinggal bersama ahli keluarga dan kawan sementara baki 23,647 berteduh di 75 buah pusat perlindungan di provinsi Lanao del Sur dan Lanao del Norte. 

Perang Marawi mendapat liputan CNN

Apa yang mengecewakan, konflik di sana kurang mendapat liputan. Rata-rata rakyat Malaysia tidak tahu atau tidak mendapat maklumat termasuk warga Malaysia di Sabah (jiran paling dekat). Mungkin boleh saya sebutkan disini, sebahagian besar rakyat kita lebih ‘aware’ isu-isu atau konflik yang berlaku di tanah arab. Ya, jika ke sana atau cakna isu tanah arab, nampak lebih ‘rare’ berbanding isu atau konflik di ASEAN. Mungkin saya salah. Konflik Marawi adalah isu yang besar pada sudut keselamatan kerana sudah secara rasmi kemasukan jarum ISIS di wilayah nusantara. Ini sangat mengancam dan ancaman ini paling hampir dengan negara kita lantaran faktor kejiranan geografi. Jika tidak di atasi dengan hemah, akan mengakibatkan lagi kebanjiran pelarian di Sabah dan lebih teruk adalah ancaman ISIS. Justeru itu, saya tinggalkan persoalan ini kepada para pembaca. 

Saya yang berpeluang menemu ramah penduduk di sini terasa sangat pilu, kerana mereka tidak pernah, sesekali tidak pernah terbayang mereka terjerumus dalam kancah perang. Satu malam sahaja, hilang harta benda, rumah, perniagaan dan hanya tinggal sehelai sepinggang. Saya bertemu sepasang suami isteri yang tinggal dalam kereta dengan dua anak selepas rumah mereka musnah dalam letupan. Penduduk Marawi majoriti orang Maranau (salah satu etnik di Mindanao) dan etnik ini mempunyai bahasa dan budaya tersendiri. Mereka bukan orang suluk dan bahasa mereka sangat berbeza. 


Tempat Perlindungan Mangsa konflik

Ketika kami menyampaikan bantuan di kem perlindungan pelarian konflik Marawi, kami mendengar mereka menyebut, "Thank You Malaysia".

Keadaan di Pusat Perlindungan sementara

Ia suatu kebanggaan kepada team kami apabila kita berjaya menjadi duta kepada negara tercinta dengan membawa mesej cinta dan keamanan. Barangkali ini adalah sumbangan kami kepada Malaysia. Bak kata patriotik, Usah tanya apa negara lakukan kepada kalian, tetapi tanyakan apa sumbangan kalian kepada negara.

Jelas untuk difahami, para sukarelawan Ngo-Ngo yang melaksanakan misi di luar negara, kita mempunyai tanggungjawab menunjukkan imej Malaysia di mata luar.

Alhamdulillah, hanya Allah sahaja yang tahu perasan kami semua ketika menyampaikan sumbangan kepada mangsa-mangsa Marawi. Kami melihat mereka begitu gembira dan terharu apabila adanya NGO luar negara mereka sanggup datang dan menghulurkan bantuan pada mereka.  Ada sebilangan keluarga juga menyatakan mereka tidak mengharapkan apa - apa pun daripada kami, cukuplah kehadiran kami ini membuat mereka rasa tenang dan mengurangkan bebanan serta tekanan yang mereka hadapi. Ada juga yang terkejut apabila mengetahui yang kami ini daripada Malaysia kerana ramai orang luar yang takut datang kesini kerana faktor keselamatan hatta orang Filipina sendiri pun takut nak datang.


Kenapa Konflik Berterusan Hingga Sudah Masuk 3 bulan? ? Kenapa Tak 'Beres' kan sahaja Moute - ISIS ?

Pada malam akhir sebelum kami bertolak pulang, diadakan majlis keraian bersama petugas-petugas misi korban dan tetamu jemputan. Antara tetamu kehormat yang hadir ialah Leftenan Kolonel Jonjie C Jugilian dari Tentera Filipina (AFP) yang mewakili Batalion 549, satu Batalion yang ditugaskan untuk Marawi.

Ketika menikmati makan malam, kami berbual - bual tentang isu semasa dan kami mengambil peluang bertanya kepada beliau berhubung Isu Marawi. Menurut beliau, konflik ini bukan isu perang agama. kami di Filipina tiada isu pertembungan agama dan kami hidup sangat harmoni. Menurut beliau, anak buah jagaan beliau ramai Islam yang dan kami sangat menghormati antara satu sama lain.

Lef Kolonel (yang duduk) sedang perkenalkan asakar AFP muslim yang dibawah batalionnya. Mesejnya, kami sangat harmoni walau berbeza agama

Rakyat Filipina memahami bahawa tindakan militan Moute Group tidak mewakili imej Islam dan tidak ada keperluan untuk berdendam terhadap muslim.

Ia isu 'interest', yakni minat satu pihak untuk menguasai Bandar Marawi  secara mutlak dan mendapat sokongan IS. katanya, Marawi City adalah satu-satunya bandaraya Islam di Filipina, setiap barangay (ibarat kampung di Malaysia) mempunyai 3 masjid dan hal istimewa ini tidak ada di tempat lain. Mungkin antara sebab itu, Moute Group memilih Marawi City sebagai tempat perang awal.

Kami bertanya lagi, kenapa  isu ini masih berpanjangan? sudah masuk 3 bulan tetapi peperangan masih berterusan?

Beliau menjawab, Moute Group menahan ramai tebusan dan tebusan itu juga muslim. Situasi ini menyebabkan kesukaran kepada pihak Kerajaan kerana Presiden mengarahkan satu nyawa tebusan tetap nyawa dan berharga. Kita tidak akan korbankan nyawa rakyat kita walaupun tebusan itu Islam. Kerana ini bukan peperangan antara rakyat terhadap Kerajaan tetapi puak militan yang turut terdiri orang luar.

Faktor kedua adalah Moute berlindung di Masjid. Masjid dijadikan Markas Ketenteraan mereka sehingga askar Kerajaan tidak dapat menyerang mereka. Ini kerana jika tentera Kerajaan serang Masjid, maka tidak mustahil Moute Group dan cabang media mereka akan memainkan sentimen Kerajaan hancurkan masjid. Maka Kerajaan tidak ada pilihan.

Sebenarnya Kerajaan ada pilihan dengan melancarkan serangan terus kepada ahli moute tetapi memikirkan nyawa tebusan dan masjid, pihak kerajaan tidak bercadang menggunakan cara itu.
Adakah Isu ini akan pulih?, soal kami. Beliau meminta doa dari kami dan katanya akan ada perkembangan positif.

Itu antara ‘point’ penting dari perbualan kami yang hampir 1 jam. 

Dalam satu ucapan, Presiden Filipina Duterte pernah memohon maaf kerana terpaksa melancarkan serangan tentera dari udara dan darat secara besaran walaupun ia akan menghancur bandar Marawi, tiada pilihan baginya demi menghapuskan Moute-ISIS yang masih kuat bertahan. antara petikan ucapan Duterte,

 "ninyo ako sa nangyari sa (Forgive me for what happened to)". 

Duterte juga telah memperuntukkan bajet 20bilion peso untuk membangunkan kembali Marawi City setelah pengganas berjaya ditumpaskan.


Ucapan Cinta 

Pada malam keraian yang sama juga, saya telah diamanahkan untuk menyampaikan sedikit ucapan kepada tetamu dan para sukarelawan. Leftenan Kolonel turut mendengar. “apa ya mahu cakap”, bisik hati saya. Selalunya saya berceramah dalam bahasa melayu, jadi bimbang juga sebab perlu sampaikan ucapan dalam bahasa Inggeris. Berbual dan berucap berbeza tu !. ala kullihal, Alhamdulillah berlangsung dengan baik.  Antara ucapan saya, 

 “For the first time in My Life i saw Muslims and Non-Muslims working hand in hand to ensure the success of this program. As you know, Qurban is synonym to Muslim but we are all here despite the differences in religion for a common goal, spreading love and peace for all. 

"The effort from everyone despite the differences has shown that we could all bring peace back again.”

“Great Effort from everyone. You all did great things today”

Saya berucap lagi, 

“This is the beauty of the Philippines, the Muslims and the Non-Muslims live peacefully with high tolerance and love with each other. We at HaRUM urge everyone here in the Philippines to maintain its peacefulness because this is what makes the Philippines so special. We have witnessed ourselves, it’s beauty and its peacefulness ever since our first humanitarian mission here in Southern Philippines since 2012.”

HARUM and our friend MINSUPALA are just names to two organizations here. It’s just a form. Few days ago, We came here as volunteers, but today we are here, as a one FAMILY.”

“We are working together today as a family, We are gathering together today as one family.
In the past, we have been bonded with similar history, cultures and heritage. Also some of are related by blood. If we look at each other, we look much a like.”

“We might be different but actually we are same”

“nai iba man ang lahi pero i isa ang layunin” (tagalog)

“This goes accordingly with Harum objectives. Our mission is to reunite families and societies which shares the common goal values, race, language of love, cultures, socioeconomic and others.”

Our beloved prophet Muhammad Pbuh said :

“None of you has faith until he loves for his brother what he loves for himself ” (HR Bukhari)

“Every human being deserves a share of empathy and compassion, regardless of their religious choices. If the Muslims and others united upon this principle, love, compassion, peace and justice would be spread throughout the earth.”

“And last but not least, we  all Malaysians, hope that the conflict in Marawi will be solved the soonest possible, In shaa Allah. We strongly believe that there is always a hope for peace in Marawi.”

Pangako Sayo !

Salam Cinta & Keamanan


Madam Violy memeluk Islam

Lebih manis. dalam program kemanusiaan kali ini, ibu angkat saya, madam Violy telah memeluk Islam, dan Allah telah memberi peluang kepada saya mengislamkan ibu angkat kristian saya sendiri yang saya kenal sejak awal tahun lepas (2017) ketika misi dakwah saya di Zamboanga City (bandar Utama di Mindanao). 

Agar artikel ini tidak terlalu panjang, boleh baca kisah pertemuan saya dengan ibu kristian ini di blog saya, http://angahsunan.blogspot.my/2017/04/a-kristian-woman-came-with-tears-but.html

7 bulan kemudian, kami bersua kembali secara zahir di misi Tulong Marawi selepas hanya berhubung  melalui media sosial. Peristiwa indah  ini berlaku ketika dalam perjalanan dari Iligan City ke lapangan Terbang Cagayan De Oro, Selatan Filipina. 

Kami berdialog hampir 2 jam sebelum Madam Violy menyuarakan hasratnya untuk ‘convert’. Selain berpuas hati dengan penjelasan, beliau amat tertarik dengan akhlak yang kami pamerkan. Bukan saya kata ya, ini pengakuan dari beliau. Meskipun kami pergi atas wajah Ngo bukan wajah agamawan, tetapi kami berpegang dengan nasihat guru kami yang sering menasihati kami agar membawa mesej adab, cinta dan kemanusiaan atas apa wasilah. Memberi cinta juga dakwah. Bahkan senjata yang ampuh menusuk jiwa manusia berbanding lidah yang tak bertulang. 

“dalam misi bantuan, pamerkan akhlak yang baik dan sebarkan cinta serta salaman”, pesan Guru kami

Dalam penjelasan saya, saya sebut yang saya tidak selesa dengan istilah ‘convert’. Saya katakan yang beliau tidak perlu ‘convert’ kerana hasil perbincangan kami, jelas dia sudah ada kepercayaan kepada Allah.

“mom, you don’t need to convert, you just add your belief in Prophet Muhammad (pbuh). You already believe in Allah, believe in Jesus Christ as we do. We (muslims) love Jesus too but we Muslims believe that Jesus (called "Isa" in Arabic) was a prophet of God, was born to a virgin (Mary) and Jesus is not the son of Allah. "

Saya melanjutkan lagi, 

“if you are ready to believe what we are believe, you are muslimah mom”

Madam Violy menangis teresak-resak dan mengangguk-angguk memahami.

Saya bertanya lagi,

So, mom, are you serious?”

Madam Violy:

“yes I’am. I want to be muslimah”

Saya terus, 

Mom, follow my words. First in Arabic then in English. I will guide you. These people are witnesses. 

“Asyhadu An La Ilaha Iallah Wa Asyahadu Anna Muhammadar Rasulullah

I bear witness that there is no god but Allah and I bear witness Muhammad is the messenger of Allah”

Madam violy, “Asyhadu An La Ilaha Iallah Wa Asyahadu Anna Muhammadar Rasulullah

I bear witness that there is no god but Allah and I bear witness Muhammad is the messenger of Allah”

Suasana ketika itu sangat sayu. Semua orang di dalam van menangis. Pemandu kami turut menangis. Syukur kepada Allah. 

Penulis bersama Madam Violy selepas keislaman beliau

Selepas doa dan perdengarkan bacaan al Quran kepada madam Violy, ‘team’ kami menghadiahkan beberapa alunan selawat dan qasidah.

Usai kami mengalunkan solawat, lalu beliau bertanya, "alunan apa yang kalian alunkan tadi? Sehingga aku merasakan rindu pada seseorang dan aku meyakini bahawa seseorang itu terlebih dahulu merinduiku. Ia menjadikan aku makin kuat dan yakin pada agama ini".

Lantas, kami menjawab: Dialah Nabi Kita Muhammad Sollallahu alaihi wasallam.

Sekali lagi, suasana semakin sayu. Air mata madam Violy semakin deras turun.

Hakikatnya, Selatan Filipina dan Filipina itu sendiri adalah wilayah Islam. Mereka sendiri mengakui bahawa nenek moyang mereka dahulunya Islam. Akibat penjajahan Sepanyol yang meneruskan agenda perang salib, misi kristianisasi adalah keutamaan. Maka tidak hairan Sepanyol banyak menghabiskan masa dan tenaga dalam pelbagai peperangan dan siri serangan terhadap muslim di Filipina bermula  abad 15. Mereka yang pertahankan akidah berundur ke selatan dan Sepanyol pula hanya berjaya di utara lantaran benteng akidah dan jihad yang kental di selatan.

Orang Filipina akhirnya hilang jati diri. Mukanya melayu, bahasanya Inggeris (selain tagalog) dan namanya dalam bahasa Latin - Sepanyol. Kesultanan mereka juga hilang kekuasaan
Oleh kerana itu, orang disini bergurau, kalau orang kristian di Filipina (khususnya Selatan Filipina) masuk Islam, mereka sebenarnya balik kepada asal.


Marawi Sekarang

Saya difahamkan bahawa perang itu sudah tamat. Moute Group mengalami kekalahan dan tidak lagi upaya melakukan serangan. Lebih 1000 orang dari kalangan militan, tentera kerajaan dan orang awam telah terkorban dalam perang Marawi.
Presiden Filipina, Duterte telah mengumumkan Marawi telah bebas dari pengaruh terroris pada 17 oktober 2017 selepas perang 153 hari.  Antara sebab awal saya tidak menulis cerita di Marawi kerana saya agak kesibukan selepas pulang dari sana, dan telah dapat khabar perang sudah tamat, maka saya berasa tiada keperluan lagi menulis. Namun, atas cadangan sahabat-sahabat yang berpendapat agar saya menulis perkongsian ini kerana pengalaman akan sentiasa relevan.
Kedatipun perang sudah tamat, harga yang dibayar tersangat mahal. Bandar Marawi lumpuh sepenuhnya.

Kesan peperangan Marawi. Sumber gambar : Reuters

Tidak hanya melalui media, saya bertanya juga apa perkembangan Marawi  melalui sahabat-sahabat Ngo di sana, dan mereka me’respon’,
Perang Marawi telah tamat, namun masih terdapat saki baki di bukit. Mereka (Moute Group) tidak lagi kuat dan tidak mampu melancarkan serangan. 50% Penduduk masih menumpang di pusat perlindungan, 30% menumpang dengan keluarga dan 20% sudah pulang ke Marawi dan membina rumah. Moute Group sudah tiada dan mereka berselerak sana sini. 300 ahli kumpulan mereka yang terdiri dari orang Indonesia, arab termasuk Malaysia terkorban dalam perang. 
Akhir dari saya, terima kasih tidak terhingga kepada presiden HaRUM, YM Tuan Sayed Khairul dan ‘team’ yang menjemput saya sertai misi Tulong Marawi.Tidak lupa kepada bro Gamz dari Ngo MINSUPALA dan rakan – rakan seperjuangan di Mindanao. Terima kasih tidak terhingga kepada para pembaca. Tanpa sokongan anda, siapa lah saya. 


Sekian, 

I'm Angah Sunan, sukarelawan projek Tulong Marawi NOW 2017 yang dianjurkan oleh Ngo Minsupala Realm Integration For Diversity Inc (MINSUPALA) - Filipina dengan kerjasama Ngo Pertubuhan Kekeluargaan Rumpun Nusantara (HaRUM) - Malaysia.
angahsunan.blogspot.my

Rujukan, 


  1. http://m.philstar.com/314191/show/ebbe7df4e37d59bc8aa5db7c1e44589b/?
  2. http://www.eaglenews.ph/featured-news/president-duterte-says-sorry-to-maranaos-vows-to-rebuild-marawi-as-he-visits-evacuees-in-iligan-city/
  3. http://www.straitstimes.com/asia/se-asia/philippines-declares-end-of-marawi-war
  4. www. harum.org.my
  5. Pengalaman penulis di lapangan
  6. Temu ramah dengan penduduk tempatan

Enam Sebab Saya Berbangga Dengan Kemerdekaan Tanah Melayu

  1.Islam Berada Di Kedudukan Tinggi Dalam Perlembagaan   Saya sangat berbangga dalam rundingan kemerdekaan Tanah Melayu, ketika banyak nega...