Tuesday, 3 October 2017

KOMPILASI CELOTEH MURID & GURU (41-50)




Celoteh Murid & Guru (41)

KEKECEWAAN

Di dalam keretapi, perjalanan ke sebuah daerah, Guru bertanya,

"Wahai anakku, tahukah kamu apakah puncak kekecewaan?", soal Guru.

"Tidak tahu Guru. Mohon pencerahan Guru", kata murid.

"Harapan adalah puncak kekecewaan", jawab Guru.

"Maksudnya Guru?", soal murid.

"Harapan adalah cita-cita atau berharap sesuatu yang belum terjadi, maknanya berharap kepada yang tidak pasti. Jika semakin tinggi berharap, semakin puncak kekecewaan apabila apa yang diharap tidak terjadi. Harapan disini adalah perhubungan dengan makhluk, adapun berharap kepada Allah itu lah kebahagiaan", terang Guru.

#angahsunan                                                                                                                           ##celotehMuridGuru



Celoteh Murid & Guru (42)

3 MAKNA PEREMPUAN

Selepas habis pengajian Kitab Muhimmah, Guru bertanya kepada murid, "anakku, kamu kenal apa itu perempuan?"

"Ya, kenal Guru", Jawab murid.

"Guru tidak maksudkan perbezaan fizikal anakku", terang Guru.

"Oh, apa maksud kata Guru, mohon pencerahannya Guru", kata murid.

"Anakku, bila dikatakan perempuan, maka ingat lah 3 hal ini,

PERTAMA bicara mulutnya tak semestinya itu yang dihati. Cakapnya Ya dalam hatinya Tidak. Kadang-kadang, katanya tidak dalam hatinya Nak. Oleh itu, kamu kenal kena ketika mana tuturnya adalah juga kata hatinya.

KEDUA air mata mereka sangat ampuh mencairkan hati lelaki kerna lelaki yang normal tidak pantas melihat tangisan wanita.

KETIGA, mereka sentiasa mahu menunjukkan mereka kuat dan boleh berdikari akan tetapi hakikatnya jiwa mereka tetap perlukan sokongan insan bernama lelaki", terang Guru panjang lebar.

#angahsunan                                                                                                                           #celotehMuridGuru



Celoteh Murid & Guru (43)

KENAPAKAH WANITA DIKAHWINI KERANA AGAMA

Dalam perjalanan pulang ke madrasah, murid bertanya kepada Gurunya,

"Wahai Guruku, terdapat sebuah hadist Rasulullah SAW bersabda yang artinya: “Perempuan dinikahi karena empat faktor. Karena hartanya, nasabnya, kecantikannya dan karena agamanya. Maka pilihlah wanita yang mempunyai agama, engkau akan beruntung.”

"Apa maksud Rasulullah kita akan beruntung mendapat wanita yang beragama walaupun Rasulullah juga menyebut ciri-ciri yang lain Guru", soal murid.

"Kamu ini asyik tanya bab kahwin jer", Gurau Guru.

"Ilmu Guru, tak mengantuk kalau tanya bab ini", jawab murid tersipu malu.

"Anakku, kecantikan, nasab, keturunan, harta pada wanita itu tidak membawa manfaat jika tidak didasari agama", Kata Guru.

"Lihat contoh media sosial hari ini, ramai wanita cantik tapi kerana tiada ilmu agama, mereka memurahkan diri mereka dengan menayangkan kegedikan mereka di khayalak, ini bermakna cantik sahaja tidak cukup andai tidak beragama. Jika Kiaskan lah kamu pada ciri yang lain", terang Guru.

"Saya faham Guru, terima kasih Guru", kata murid.

"Tapi anakku, jika kamu boleh bimbing golongan wanita begitu bagus juga. mereka sudah ada 3 ciri, kamu melengkapi", balas Guru nada gurauan.




Celoteh Murid & Guru (44)

DARIPADA BERSETERU LEBIH BAIK BERSAHABAT

Di lapangan terbang, Guru berkata kepada muridnya, nada yang serius,

"Ingat Anakku, dalam hidup ini, dari berseteru, lebih baik bersahabat", kata Guru ringkas.

"Apa maksud Guru?", tanya murid.

"Anakku, lihat sejarah. di zaman Kesultanan Melaka dahulu, Tun Perak telah bertanggungjawab menyarankan adalah lebih baik Melaka bersahabat dengan Siam dari terus berperang. Ini kerna berpegang prinsip daripada berseteru lebih baik bersahabat".

"Tambah lagi dengan hubungan baik yang terjalin antara Kesultanan Melaka dan China. Melaka telah mendapat banyak manfaat, aman dan damai hasil jalinan diplomatik tersebut yang dieratkan lagi dengan hubungan ekonomi dan perniagaan", tambah Guru.

"Oh faham Guru, banyak manfaat bila kurang musuh dan banyak sahabat kan Guru? apatahlagi dalam medan dakwah", balas murid.

"Ya benar anakku, itu yang Guru nak sampaikan. Namun malangnya hari ini, sebahagian pendakwah dan gerakan dakwah sendiri lebih banyak mencipta musub dari sahabat. perbalahan mereka penuh label melabel antara satu sama lain hingga orang awam menjadi mangsa", kata Guru penuh dengan nada kesal.

#angahsunan                                                                                                                             #celotehmuridguru



Celoteh Murid & Guru (45)

TANDA REZEKI YANG BARAKAH

Di Bandar, sambil melihat kesibukan kota, murid bertanya kepada Guru,

"Wahai Guru, apakah tanda rezeki itu barakah?", soal murid.

"Anakku, tanda rezeki yang barakah ialah MERASA CUKUP. Mana yang tak cukup dipercukupkan, mana yang tiada diperadakan. Disana ada mereka yang nampak kaya, tetapi tidak pernah cukup dan merasa cukup. Ini kerana hilangnya keberkatan"

#angahsunan                                                               
#celotehmuridguru



Celoteh Murid & Guru (46)

4 JENIS ORANG  TAK BOLEH DI TOLONG

Ketika minum malam sambil melihat gelagat manusia di Kota, Guru menyebut,

"Anakku, Guru lihat kamu suka tolong orang.", kata Guru.

"atas nasihat dan tunjuk ajar Guru juga", balas murid yang segan bila dipuji Gurunya.

"Ia sangat bagus anakku, cuma Guru nak berkongsi pengalaman Guru mendidik manusia, ada empat jenis manusia yang tak boleh di tolong", kata Guru.

"maksud Guru", soal murid.

"Maksudnya, kamu usaha bagaimana nak tolong mereka tapi empat jenis takkan menjadi apa"

PERTAMA, manusia yang berada dalam comfort zone.

KEDUANYA, tak mahu tolong diri sendiri.

KETIGA, dia memang tak berhajat

DAN TERAKHIR, orang yang malas", terang Guru.
Tambah Guru lagi,

"Banyak masa kamu akan terbuang melayani karenah mereka"

"Namun, jika kamu berjumpa mereka, sebagai Guru kita tetap kena ada keyakinan manusia boleh berubah, kena banyak berdoa dan anggap lah ia ujian Allah dalam warna warni tarbiyah manusia", pesan Guru dengan hikmah.

#angahsunan                                                                                                                          #celotehmuridguru



Celoteh Murid & Guru (47)

TANDA BERTAMBAH ILMU

Suatu petang, Guru menyampaikan nasihat dengan nada yang agak tegas,

"Anakku, dengar nasihat ini kerna nasihat ini juga telah dinasihati oleh guru-guruku sebelum ini. Guru sampaikan kerna risau melihat perbalahan dan hilang adab berkhilaf dalam perkara furu' yang berlaku dalam masyarakat. Malah ia turut berlaku di kalangan pelajar agama sendiri", tegas nada Guru.

"Anakku, Kata Ulama' :

من كثر علمه    قل اعتراضه

"Barangsiapa yang semakin banyak ilmu, semakin kurang ihtirod (menyalahkan) orang lain"

"Mohon doa Guru agar kami selamat bersikap menyalahkan amalan orang lain", pinta murid.

"Ya anakku, sebab itu antara tujuan kita belajar keluasan fikh, agar bersangka baik dan tahu bahawa amalan/pendapat ulama' itu masing-masing ada sandaran. bila sudah tahu, sudah tidak lagi menyalahkan kerana sudah tahu ada hujahnya", terang Guru.

#angahsunan                                                                                              
#celotehmuridguru



Celoteh Murid & Guru (48)

KESEMPURNAAN TAUHID

Sebelah malam, selepas tamat pengajian kitab Tauhid, Guru menyampaikan nasihat di akhir majlis,

“Anakku, Kesempurnaan Tauhid bukan ketika mana kamu mengkhatamkan pengajian kitab tauhid, akan tetapi kesempurnaan Tauhid adalah apabila engkau menyedari, merasai dan memandang bahawa dirimu adalah faqir di sisiNya. Selagi diri merasai pemilikan walau sehelai bulu romamu, maka engkau belum benar bertauhid”, pesan Guru.

Sekalian murid mengangguk menunjukkan patuh kepada nasihat Guru.

#angahsunan                                                                                               
#celotehmuridguru



Celoteh Murid & Guru (49)

PENYAKIT 3 SERANGKAI

Dalam perjalanan pulang dari Klinik, Guru bertanya,

“Anakku, bahaya kan penyakit 3 serangkai, apa tiga itu anakku”?

“Jantung, diabetes dan darah tinggi Guruku”, jawab murid.

“Anakku, dalam perjalanan menuju Allah, ada juga 3 penyakit serangkai yang merbahaya jika tidak di ubati”, kata Guru.

“apakah hal itu Guru”, Tanya murid.

“Merasai kemuliaan diri adalah 'ujub, menyukai kemuliaan diri disebut orang adalah riya'. Berbangga dengan kemuliaan diri adalah takabbur/angkuh/sombong...", kata Guru.

“Moga diri ini dijauhkan oleh Allah dari penyakit tiga serangkai ini”, pinta Guru.

“Amin”, kata murid.

#angahsunan                                                                                              
#celotehmuridguru



Celoteh Murid & Guru (50)

BERMULANYA KEBODOHAN

Ketika menikmati sarapan pagi, murid bertanya kepada Guru,

“Wahai Guru, dimanakah bermulanya kebodohan?”,

 "Kebodohan itu bermula apabila kamu menyangka kamu sudah pandai", jawab Guru.

#angahsunan                                                                                                                         #celotehmuridguru



Enam Sebab Saya Berbangga Dengan Kemerdekaan Tanah Melayu

  1.Islam Berada Di Kedudukan Tinggi Dalam Perlembagaan   Saya sangat berbangga dalam rundingan kemerdekaan Tanah Melayu, ketika banyak nega...