Assalamualaikum wbt. Segala puji bagi Allah. Selawat serta salam kepada Rasulullah saw, ahli keluarga dan para sahabat. Salam kecintaan kepada sekalian ulama’, daie dan mereka yang mengorbankan jiwa, masa dan tenaga mereka dalam penyebaran Islam.
Awal September lepas, saya telah bermusafir ke Iligan City, Mindanao, Selatan Filipina dalam misi bantuan mangsa pelarian perang Marawi. Dalam perjalanan ke sana lalu disambung perjalanan ke Tanah Jawa, kitab Bariq Al Anwar telah menjadi teman saya sepanjang permusafiran. Kitab Bariq Al Anwar adalah karangan Guru kami, Syaikh Sidi Rohimuddin An Nawawi Al Bantani mensyarahkan dan mentahqiqkan Sirrul Asrar karangan Syaikh Yusuf Makassar.
Kitab Bariqul Anwar Syarah kepada Sirrul Asrar Syaikh Yusuf Makassar |
Saya sebenarnya dalam rencana menulis travelog saya di Mindanao, akan tetapi apabila membaca kitab tersebut, rasa sangat tertarik dan lantas mengambil keputusan menterjemah. Di mukaddimah kitab tersebut, dimuatkan biodata pengarang Sirrul Asrar yakni Syaikh Yusuf Makassar. Fakta yang sangat menarik, Syaikh Yusuf telah meninggalkan 23 buah kitab berbahasa arab dan kitab Sirrul Asrar adalah salah satunya. Syaikh juga ada mengarang kitab dalam bahasa bugis dan melayu.
Oleh kerana itu, pada tulisan kali ini, saya ingin
berkongsi biodata Syaikh Yusuf yang diterjemahkan selain memasukkan beberapa
tambahan maklumat yang saya rujuk dan perolehi ketika berada di Banten,
Indonesia (Syaikh Yusuf pernah bermukim di Banten).
Nama & Nasab
Beliau ialah As Syaikh Al Alim Al Wali Ad Daie Al Muslih As Sufi
Yusuf Taj Al Khalwati Al Makasari. Dilahirkan di Kota Gowa, Makasar yang
terletak di kawasan negeri Sulawesi, Indonesia pada 8 Syawal 1036H yang
bersamaan dengan 3 Julai 1626M. Syaikh digelarkan dengan gelar Tuanta Salamaka
Ri Gow (bermaksud : Tuan Guru Penyelamat Kita dari Gowa).
Ayahnya adalah Abdullah atau nama bugisnya Gallarang Moncongloe
yang merupakan adik beradik seibu sebapa Sultan Alauddin Daeng Marabbi
Imangarang, Raja pertama Kerajaan Gowa yang memeluk Islam. Ibunya adalah Aminah
Binti Dampang Go Mara dari keluarga bangsawan kerajaan Tallo. Kerajaan Goa -
Tallo adalah kembar kerana kedua-duanya berasal dari kerajaan yang sama sebelum era Islam.
Nasab Ayah dan Ibu Syaikh Yusuf bertemu pada Raja Bugis kelapan
iaitu Karaeng Tunatungka Lopi.
Sekilas Kisah Hidup
Sejak kemasukan Islam ke tanah Bugis, Islam telah diangkat menjadi
agama rasmi Kesultanan Gowa pada permulaan kurun ke-17 M. Silibus pengajian asas utama di Kerajaan Gowa
adalah Qiraat Al Quran, penulisan, hafazan dan pengajian Quran.
Syaikh Yusuf Makassar telah mempelajari dibawah bimbingan para
Ulama' Kerajaan Gowa dengan memulakan pengajian Al-Quran di. bawah asuhan Gurunya
iaitu Daeng Ri Tasamana. Beliau telah menamatkan pengajian Al Quran pada umur
yang sangat muda.
Kemudian ayahnya menghantar Syaikh Yusuf ke Maahad Buntuala untuk
menekuni bahasa arab dan Syariah Islamiah misalnya nahu, saraf, balaghah,
mantiq, fiqh, tauhid dan hadis.
Kematangan dan kecerdikan Syaikh Yusuf terserlah sepanjang
pengajiannya dan beliau menampakkan kecenderungan kepada ilmu tasauf.
Kemudian beliau berpindah ke Maahad Cikoang dan Gurunya adalah Al
Alim Al Allamah Ad Daie ila Allah As Syaikh Jalaluddin Aidid, salah seorang
Ulama' Acheh yang datang ke Kesultanan Gowa.
Selepas beberapa tahun, lantaran kecerdasan dan kematangan beliau,
Gurunya menunjukkan isyarat agar beliau melanjutkan pelajaran ke negara Arab,
tempat perkembangan ilmu Islam.
Pada 22 September tahun 1633M, Syaikh Yusuf telah berangkat ke
Banten untuk mendalami ilmu dengan menumpang salah satu kapal melayu dari
Melaka.
Lalu beliau bertemu para Ulama' dan para masyaikh serta para
pimpinan Banten antaranya ialah Putera Mahkota Kesultanan Banten, Sayyid Abdul
Fatah ibnu Sultan Sayyid Abu Mafakhir Abdul Qadir (1598-1650M) - Sultan Banten.
Kemudian beliau melanjutkan perjalanan ke Acheh dan di sana beliau
berjumpa Syaikh Nuruddin Muhammad bin Ali bin Hasanji bin Muhammad Hamid Ar Raniri
(w 1658M). Syaikh Yusuf telah mengambil dan mendapat ijazah tarekah Qadiriah
dari Syaikh Nuruddin Ar Raniri.
Pada pertengahan tahun 1649M, Syaikh Yusuf menuju ke Yaman pula dan
berjumpa Syaikh Sufi Abdullah Muhammad Abdul Baqi (w. 1664M) dan mengambil
ijazah Tarekah Naqsyabandi. di Kota Zabid, Yaman. Syaikh Yusuf belajar di bawah
bimbingan Ulama' Zabid As Sayyid Ali Az Zabidi dan mendapat ijazah darinya
sebagaimana juga beliau telah bertemu Imam Abdullah bin Alwi Al Haddad Al
Hadhrami (1044-1132H) dan mendapat ijazah Ba alawi dan membaca kitab tasauf
dengan Imam Abdullah Al Haddad.
Selepas tinggal di Yaman untuk satu tempoh, beliau berpindah ke
Makkah Al Mukaramah untuk menunaikan Haji sambil melanjutkan pelajaran. Kemudian beliau menuju Madinah Al Munawarah dan bermukim agak lama
di masjid Nabi saw. Beliau menuntut ilmu di Madinah di bawah asuhan tiga orang
Ulama' yang masyhur yang menjadi tumpuan para pelajar melayu ketika itu.
Tiga ulama’ itu adalah Syaikh Safiuddin Ahmad Qusyasi (w.1661 M),
Syaikh Burhanuddin ibnu Syaikh Ibrahim bin Husain bin Syihabuddin Al Kurdi Al
Kurani Al Madani (w.1690 M) dan dari beliau mendapat ijazah Tarekah Syathariah
darinya dan Syaikh Hasan Al Ajami (T 1701 M).
Syaikh menyambung permusafiran beliau ke Syam dan belajar dan
mendapat tarbiyah di bawah bimbingan Syaikh Sufi dan Al Muhaddis iaitu Abu Al
Barakat Ayub bin Ahmad bin Ayub Al Khalwati Al Qurasyi dan dari Syaikh ini,
Syaikh Yusuf telah mendapat ijazah Tarekah Khalwatiah.
Oleh kerana Gurunya kagum dengan keistimewaan, ilmu dan kedudukan
yang beliau telah perolehi, Gurunya telah mengurniakan gelaran (laqab) Taj al
Khalwatiah (Mahkota Tarekah Khalwatiah). Oleh itu, Syaikh Yusuf mempunyai
banyak gelaran dan nama penuhnya menjadi seperti berikut :
Al Haj Yusuf Mahasin Hidayatullah Taj Al Khalwatiah Al Makassari.
Beliau kemudian menuju ke Istanbul, Turki dan mengambil banyak
pengalaman ilmu dan adab. kemudian kembali ke Makkah dan menetap suatu tempoh
untuk beribadah dan muzakarah ilmu. Ketika dalam tempoh itu, Syaikh Yusuf telah
bermula mengajar para penuntut ilmu berbangsa melayu di musim Haji di Tanah
Haram terutama para penuntut keturunan Bugis.
Sebahagian Murid Syaikh Yusuf
Sebahagian muridnya yang beliau memberi sanad dan memberikan
kepercayaan untuk mengajar dan mereka berhasil mendapatkan pengiktirafan Syaikh
Yusuf di Makkah ialah -
i.
Abu Al Fath Abdul Al Basir Al Dhorir (mashyur dengan
panggilan Tuan Rpappang)
ii.
Abd Al Hamid Karaeng Karunrung
iii.
Abd Qadir Majeneng
Kesemua tiga muridnya itu berasal dari Sulawesi Selatan dan mereka berperanan
besar menyebarkan tarekah khalwatiah Gurunya di Makassar.
Kehidupan Bermasyarakat
Syaikh Yusuf kembali ke Gowa - Tallo dengan penuh cita-cita mengajar
manusia di tanah airnya. Malangnya, impiannya buntu dengan sebab beliau melihat
perubahan yang telah berlaku di negerinya. Peperangan telah berlaku antara
Kesultanan Gowa menentang Syarikat Belanda, Vereenigde Oostindische Compagnie
(VOC) dan Aru Palaka yang mana Kesultanan Gowa menyerah kalah ke Orang Belanda
hingga membawa kepada perjanjian aman Bungaya pada 18 November 1667M antara
Sultan Hasanuddin dan Cornolis Speelman (wakil VOC).
Kesan perjanjian itu ialah Kekuasaan Kesultanan Gowa menjadi terhad
dan kemasukan orang-orang Belanda di dalam urusan kerajaan Gowa. Hal itu
menyebabkan Kerajaan Gowa melemah.
Syaikh Yusuf telah melihat penularan terzahirnya kemunafikan
seperti permainan judi, minum arak, pertaruhan, bersabung ayam dan penyembahan
berhala ditambah kelemahan Sultan mengatasinya.
Syaikh Yusuf telah memanggil sebahagian anak muridnya dan
sahabatnya. Beliau memberi semangat agar sekaliannya terus menyambung usaha dakwah yang telah mereka zahirkan.
Syaikh Yusuf juga mengambil baih janji dari mereka untuk menegakkan syiar Islam
dan menentang perkara munkar di negeri mereka.
Syaikh Yusuf tidak menyaksikan banyak perubahan selepas banyak usaha dan cubaan, kerana merasakan semua percubaan tidak akan berjaya selama mana Sultannya
lemah. Lalu Syaikh Yusuf meninggalkan Gowa kali kedua menuju ke Banten pada
tahun 1672M. Di Banten, beliau berjumpa Sultan Banten yang agung, Sultan Ageng Tirtayasa. Sultan Tirtayasa telah menyambut kedatangan dan
mendekati beliau. Baginda telah melantik Syaikh Yusuf sebagai Mufti Kesultanan
Banten. Syaikh Yusuf menjadi masyhur serta menjalani kehidupan dengan tawadhu'
dan sentiasa menyeru manusia kepada Jalan Allah.
Setelah kemasukan orang eropah, Kesultanan Banten mencapai banyak
kemajuan untuk merealisasikan impian mereka lebih lebih lagi pada era Sultan
Agung Banten, Sultan Ageng Tirtayasa yang mempunyai ketokohan mengambil
keistimewaan dari penjajah yang mereka laksanakan di Banten.
Malangnya, pada tahun 1676M, tatkala kepulangan Putera Mahkota
Banten dari Ibadah Haji (digelarkan Sultan Haji selepas ditabal menjadi Sultan)
yang mana Baginda adalah harapan untuk meneruskan pembangunan dan kemajuan
negeri Banten. Harapan itu sia-sia apabila putera Mahkota itu menjalinkan
hubungan baik dengan orang Belanda dan menyerupai mereka dalam banyak hal
hingga memberi peluang orang-orang belanda mencampuri urusan negeri Banten.
Bukan itu sahaja, malah sultan Haji dengan kerjasama Belanda
sanggup melakukan kudeta dan mengkhianati Ayahandanya (Sultan Tirtayasa) hingga
memenjarakan Ayahandanya di Batavia (Jakarta) sampai Sultan Titayasa mangkat di
penjara pada tahun 1962M.
Melihat sejarah sultan haji yang sangat jelek itu, timbul cerita –
cerita rakyat yang hampir kesemuanya jauh dari kebenaran sejarah direka
bertujuan menutup keslaahan sultan haji yang khianat yang membuatkan orang
Banten malu. Antara cerita rakyat ialah, dikisahkan bahawa yang melakukan
pemberontakan terhadap Sultan Ageng Tirtayasa, bukan lah sultan Haji tetapi
orang lain yang berasal dari Pulau Putri atau Pulau Majeti. Terdapat pelbagai
lagi versi cerita yang panjang lebar yang tidak dapat ditulis semuanya pada tulisan kali ini.
Jika di Banten, kisah pengaruh Syaikh Yusuf cuba ditutup kerana
apabila kisah Syaikh diangkat, pasti akan terbuka kisah pengkhianatan anak
kepada Ayahanda di dalam Kesultanan Banten yang sangat memalukan.
Ketika Sultan Ageng Tirtayasa dalam tahanan VOC Belanda, para
pengikut setia pimpinan Pengeran Purbaya, Pangeran Kulon dan termasuk Syaikh
Yusuf Makassar meneruskan perjuangan menentang Belanda. Syaikh Yusuf adalah
sahabat baik Sultan Tirtayasa yang dikenali sejak sebelum menjadi Sultan. Untuk
mengeratkan hubungan, Sultan Ageng Tirtayasa telah menikahkan Syaikh Yusuf
dengan puteri Baginda.
Syaikh Yusuf telah berhadapan bahaya dan beliau bermula berjuang di
Banten demi mendaulatkan syiar Islam, hal ehwal orang Islam melalui penentangan
terhadap sultan Haji – Belanda. Syaikh Yusuf ingin melindungi Kesultanan dari
campur tangan orang asing dalam hal ehwal negeri. beliau berjuang bersama para
sahabat karib yang terdiri dari keluarga Kesultanan melawan orang Belanda pada
tahun 1682 M.
Beberapa cubaan telah dilakukan Syaikh Yusuf bersama 5000 orang pengikut
termasuk 1000 orang dari Makassar dan melayu yang siap berjihad bersama
Gurunya. Dari Padaherang (desa di kecamatan Padaherang, Pangadarang, Jawa Barat), pasukan Syaikh Yusuf telah melakukan
penyerbuan ke benteng VOC Belanda. Namun pada tanggal 25 September 1683M, VOC
melakukan serbuan besar-besaran ke Padaherang. Akibatnya ramai pangeran,
pembesar Banten gugur syahid. Isteri dan puteri Syaikh Yusuf di tawan VOC
Belanda. Sementara, Syaikh Yusuf dan sebahagian muridnya berjaya loloskan diri
ke daerah Banjar dan kemudian berpindah-pindah tempat sambil mencari peluang
menyerang VOC Belanda hingga akhirnya tiba di Mandala, di Sukapura.
Belanda mengalami kesulitan menangkap Syaikh Yusuf yang dikelilingi
para gerilawan siap mati mempertahankan Guru mereka. Akhirnya, Belanda menukar
taktik. Van Happel, orang utusan Belanda telah berpakaian seperti arab
berpura-pura masuk seperti tawanan berhasil menyusup masuk melepasi para
gerilawan.
Van Happel masuk ke sebuah tempat yang bernama Karang dengan
membawa anak perempuan Syaikh Yusuf yang bernama Asma’ yang dahulunya di
tangkap VOC Belanda. Van Happel yang menghormati Syaikh Yusuf telah memohon
maaf datang dengan cara demikian dan memujuk Syaikh Yusuf agar berunding. Anak
perempuan Syaikh Yusuf, Asma terlebih dahulu diajar oleh Belanda agar memujuk
ayahnya. Pada tanggal 14 Disember 1683 M, Syaikh Yusuf berangkat ke Cirebon.
Dari sana belliau bersama anggota keluarganya dan 12 murid serta pasukannya di
bawa ke Batavia (Jakarta) dan dimasukkan ke dalam penjara. Meskipun Syaikh
Yusuf dipenjara, pengaruhnya tidak dapat dibendung.
Disebabkan itu, Belanda telah membuang Syaikh Yusuf dan 49 orang
bersama beliau ke pulau Ceylon (sekarang Sri Langka). Ketika tempoh pengusiran
di pulau itu, terbuka peluang dakwah yang luas kepada Syaikh Yusuf dan Syaikh
Yusuf telah mengarang beberapa risalah ilmiah di sana.
Peta Sri Langka, tempat Syaikh Yusuf dan 49 orang pengikutnya di usir |
Kemudian pada tahun 1693 M, Syaikh Yusuf di usir pula ke Kota Koop Die Goeie Hoop atau dalam bahasa Inggeris Cope Of Good Hope (atau orang melayu memanggil Tanjung Harapan) dan Cape Town di Afrika Selatan.
Peta ini menunjukkan lokasi Cope Of Good Hope |
Plak Penghargaan kepada Syaikh Yusuf |
Penjajah Belanda mengusir beliau ke Afrika Selatan agar ia terpisah dan berjauhan dari melaksanakan cita citanya yang tinggi iaitu dakwah, mengajar dan membimbing masyarakat.
Moga-moga mereka yang zalim itu mengetahui bahawa hanya takdir Allah sahaja yang menentukan berjaya atau tidak niat mereka. Perancangan mereka yang pada zahirnya buruk (membuang Syaikh Yusuf ke Afrika Selatan) namun sebaliknya telah menjadi kebaikan, kejayaan dan cahaya yang mana Allah telah kehendaki cahaya Islam sampai kepada ummat di Afrika melalui tangan Syaikh Yusof Al Makassar. Firman Allah Taala :
وَعَسَىٰٓ أَن تَكۡرَهُواْ شَيۡٔٗا وَهُوَ خَيۡرٞ لَّكُمۡۖ وَعَسَىٰٓ أَن تُحِبُّواْ شَيۡٔٗا وَهُوَ شَرّٞ لَّكُمۡۚ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ وَأَنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ ٢١٦
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui”. (AL BAQARAH : 216)
Syaikh Yusuf dibuang negeri ke tempat yang baru dan persekitarannya yang kompleks dan amat berbeza dengan tempat tinggal sebelum ini yang mana tempat baru diselubungi dengan kegelapan kufur dan kesesatan. Tiada langsung kelihatan cahaya Islam di tempat baru.
Para penjajah menyangka hasrat mereka tercapai dengan ‘membuang’ Syaikh Yusuf dengan harapan Syaikh Yusof melemah dan meninggalkan usaha dakwahnya kerana tiada kesediaan dengan situasi bumi yang gersang untuk usaha dakwah. Akan tetapi apa yang terjadi adalah sebaliknya. Firman Allah Taala :
وَيَمۡكُرُونَ وَيَمۡكُرُ ٱللَّهُۖ وَٱللَّهُ خَيۡرُ ٱلۡمَٰكِرِينَ ٣٠
“Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya”. (AL ANFAL : 30)
Firman Allah Taala lagi :
يُرِيدُونَ أَن يُطۡفُِٔواْ نُورَ ٱللَّهِ بِأَفۡوَٰهِهِمۡ وَيَأۡبَى ٱللَّهُ إِلَّآ أَن يُتِمَّ نُورَهُۥ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡكَٰفِرُونَ
“Mereka hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).” (AT TAUBAH : 32)
Mereka yakni penjajah tidak mengetahui bahawa para pemuda yang berjuang di jalan Allah diibaratkan bagai gunung yang teguh. Cahaya mereka sesekali tidak terpadam dengan apa jua halangan sekalipun dan kesungguhan berdakwah kepada Allah sudah sebati dengan jiwa mereka dalam setiap hal dan keadaan sekalipun.
Barangsiapa yang hal jiwanya bersama Allah, sungguh Allah tidak akan abaikan dirinya dan dipelihara Oleh Allah selama-lamanya. Maka tiadalah Syaikh Yusuf memberi perhatian lain melainkan menumpukan dengan kesungguhan dalam berdakwah kepada manusia di sana dengan penuh hikmah dan bermuamalah dengan baik dan menunjukkan akhlak yang mulia. Lalu tersebar luas lah Islam melalui tangannya di Cape Town, satu negeri di Afrika Selatan.
Kecintaan Syaikh Yusuf berkembang kepada umat manusia di sana termasuk orang bukan Islam. Allah telah memberi Hidayah kepada ummat manusia di sana dalam jumlah yang besar dengan asbab dakwah Syaikh Yusuf dan inilah dikira julung kali pertama sampainya Islam ke negara tersebut.
Limpahan dan pertolongan diberikan terus kepada Syaikh Yusuf apabila ribuan manusia memeluk Islam di Afrika Selatan sejak 400 tahun. kebanyakan orang Islam di sana ialah orang arab, hindi, melayu dan sebahagian kecil penduduk asal. Syaikh Yusuf diibaratkan seperti pemimpin kerohanian bagi komuniti Islam di Cape Town dan Afrika Selatan.
Orang Islam di sana tersebar hingga sekarang di setiap negeri di Afrika Selatan. akan tetapi mereka tetap konsisten di Cape Town. Mazhab fikh yang dominan adalah Mazhab Syafie kerana asal usul penduduk di Cape Town adalah dari Indonesia, Malaysia dan Hadrami (Yaman).
Kewafatan
Syaikh Yusuf Al Makassar rhm wafat pada usia menghampiri 73 tahun di daerah Makassar, Cape Town pada tahun 1111H bersamaan 24 Mei 1699 M. Di dirikan pemakaman dan kubah yang selayaknya sesuai dengan kehormatan Syaikh Yusuf. Makamnya di ziarahi para pelajar dan para pecintanya dan sekalian penziarah.
Makam Peringatan Syaikh Yusuf di Cape Town, Afrika Selatan. Sumber gambar : Bonda Tun |
Plak Penghargaan kepada Syaikh Yusuf. Sumber gambar : Bonda Tun |
Pemerintah Kesultanan Banten dan Penguasa Kesultanan Gowa di
Makassar meminta kepada Pemerintah Belanda agar membawa jasad Syaikh Yusuf kembali
ke kampung halamannya. Malangnya, permintaan itu tidak dipandang penting oleh
Belanda.
Pemerintah Banten dan Gowa terus berulang kali meminta dan meminta
sehingga pemerintah Belanda bersetuju. Kemudian, jasad Syaikh Yusuf telah
dipindahkan selepas 5 tahun setelah kewafatannya. Peristiwa demikian berlaku
pada 5 April 1759M, tarikh yang mana keranda Syaikh Yusuf tiba di Kesultanan
Gowa. kemudian beliau di tanam kali kedua di perkuburuan yang masih kekal ada
hingga sekarang di Kampung Lakiung. Di isytiharkan perkuburan Syaikh Yusuf
kepada penduduk Sulawesi Selatan dengan nama Kubang.
Makam Syaikh Yusuf di Gowa, Sulawesi Selatan |
Tempat pemakaman di Kampung Makassar, Cape Town, Afrika Selatan
masih wujud sebagai penanda peristiwa bersejarah bagi komuniti melayu tempatan
di sana dan masih diziarahi hingga kini.
Keilmuan,
dakwah dan kepahlawanan Syaikh Yusuf terus dikenang oleh masyarakat bukan hanya
di Sulawesi dan Banten tetapi juga di Afrika Selatan. Bahkan, Nelson Mandela, mantan presiden Afrika Selatan, menyebutnya sebagai 'Salah Seorang
Putra Afrika Terbaik' kerana
sumbangan besar Syaikh Yusuf kepada penduduk di sana.
Syaikh
Yusuf juga diberi gelar pahlawan oleh Afrika Selatan karena dianggap sebagai
sosok yang menginspirasi Nelson Mandela, bekas Presiden Afrika Selatan yang
anti-apartheid. Nelson Mandela bertahan menghadapi penderitaan di penjara
selama puluhan tahun karena terinspirasi dari perjuangan Syaikh Yusuf Makassar.
Syaikh
Yusuf rela dibuang dari tanah airnya, hanya karena keyakinan politiknya bahwa
Indonesia suatu saat bisa merdeka. Spirit tersebut yang
membuat Nelson Mandela boleh bertahan di bawah penderitaan penjara.
Bukan itu sahaja,
nama tanah kelahirannya, Makassar dijadikan nama sebuah kampung juga di Afrika
Selatan nisbah kepada Syaikh Yusuf Makassar yang telah menjadi de facto tempat
tersebut.
Syaikh Yusuf
Makassar juga dianugerahi gelar Pahlawan Nasional oleh Presiden Soeharto dengan SK
Presiden : Keppres No. 071/TK/1995, Tgl. 7 Agustus 1995.
Karangan- Karangan Syaikh Yusof Makassar
Syaikh Yusuf telah mengarang beberapa kitab dan risalah dengan pelbagai bahasa seperti bahasa arab, Sulawesi dan Melayu. Akan tetapi kami hanya sebutkan karangan beliau yang di karang dalam bahasa Arab sahaja dalam senarai manuskrip bahasa arab yang di dapati di Perpustakaan Leiden dan pusat koleksi lain di New Zealand oleh senarai tangan P Voorhoeve.
Kitab-kitab karangan Syaikh Yusuf adalah seperti berikut :
1. Al Bakarah As Sailaniah
2. An Nafahat As Sailaniah
3. Bidayah Al Mubtadi
4. Al Fawaih Al Yusufiah
5. Matholib As Salikin
6. Qurrat Al Ain
7. Taj Al Asrar
8. Zubdah Al Asrar
9. Fawaid Azimah Zikr La Ilaha Illa Allah
10. Muqaddimah Al Fawaid Allati La Budda Min Al Aqaid
11. Tahsil Al Inayah Wa Al Hidayah
12. Risalah Ghoyah Wa Nihayah Al Ikhtishor Wa Al Intizhor
13. Tuhfah Al Abrar Li Ahli Al Asrar
14. Daf'u Al Bala'
15. As Syura'
16. Hasyiah ala Kitab Al Anbiya' Fi Irab La Ilaha Ila Allah
17. Tuhfah At Tholib Al Mubtadi Wa Minhah As Salik Al Muhtadi
18. Safinah An Naja
19. Fath Az Zikir Wa Kaifiatuh
20. Habl Al Warid Li Sa'adah Al Murid
21. Kaifiat Al Nafi Wa Al Isbat Bi Al Hadis Al Qudsi
22. Al Wasiat Al Munjiah An Muddirat Al Hijab
23. Sirr Al Asrar
Sanad Tarekah Syaikh Yusuf
Syaikh Yusuf mendapat tarbiyah dan menjalani tarekah Khalwatiah di Dimasyq bawah tarbiyah Abi Al Barakat Ayub bin Ahmad Al Khalwati Al Qurasyi. Beliau dan juga mendapat sanad tabaruk tarekah Qadiriah dan Naqsyabandiah. bahkan Syaikh Yusuf menyebutkan dalam kitabnya Safinah An Naja bahawa beliau mengambil sekurang-kurangnya 17 tarekah bersanad dengan salasilah yang bersambung hingga Rasulullah Saw. Berikut adalah salasilah Tarekah Khalwatiah Syaikh Yusuf Al Makassar :
1. Sayyiduna Rasulullah saw
2. Al Imam Ali bin Abi Tholib Kwj
3. Al Imam Hassan Al Basri
4. As Syaikh Al Ghaust Habib Al Ajami
5. As Syaikh Daud At Thoie
6. As Syaikh Ma'ruf Al Karkhi
7. As Syaikh As Sirri As Suqtiy
8. As Syaikh Al Jundiy Al Baghdadi
9. As Syaikh Mumsyad Ad Daenuri
10. As Syaikh Ahmad Aswad Ad Daenuri
11. As Syaikh Muhammad bin Abdillah
12. As Syaikh Umar bin Abdullah
13. As Syaikh Najib bin Abdullah
14. As Syaikh Muhammad Al Abhari
15. As Syaikh Ruknuddin At Tibrizi
16. As Syaikh Syihabuddin At Tibrizi
17. As Syaikh Jamaluddin At Tibrizi
18. As Syaikh Ibrahim Al Kailani
19. As Syaikh Abdullah As Syirwani
20. As Syaikh Affendi Umar Al Khalwati
21. As Syaikh Muhammad Al Ansori
22. As Syaikh Yahya As Syirwani
23. As Syaikh Affendi Zubair Ar Rumi
24. As Syaikh Muhammad Al Ansori
25. As Syaikh Abdullah Al Qarni
26. As Syaikh Uwais Al Qarni
27. As Syaikh Syamsuddin Ar Rumi
28. As Syaikh Aidrus Ar Rumi
29. As Syaikh Yusuf Yaakub Al Antabi
30. As Syaikh Ahmad Ar Rumi
31. As Syaikh Wali Al Habli
32. As Syaikh Ahmad bin Umar
33. As Syaikh Abu Al Barakat Ayub bin Ahmad Al Khalwati
34. As Syaikh Yusuf Abu Mahasin Taj Al Khalwati Al Makassar
Rujukan :
1. Syaikh Sidi Rohimuddin An Nawawi Al Bantani, Bariq Al Anwar, Syarh wa Tahqiq ala Sirrul Asrar Yussuf Makassar, terbitan Maktabah Dar Al Nun, Serang, Banten (2017)
2. https://www.pahlawanindonesia.com/biografi-syekh-yusuf-tajul-khalwati/
3. Prof Dr Hj Nina H. Lubis, Dr Mufti Ali, Etty Saringendyanti, Miftahul Falah, Budimansyah Suwardi, Sejarah Banten, Membangun Tradisi & Peradban, Badan Perpustakaan Dan Arsip Daerah Provinsi Banten (2014)
4. Mufti Ali Ph.D, Misionarisme Di Banten, terbitan Laboratorium Bantenologi, IAIN Sultan Maulana Hasanuddin (2009)
5. Temu bual penulis bersama Guru penulis, Syaikh Sidi Rohimuddin An Nawawi AL Bantani, Tokoh Ulama berasal dari Banten.
6. http://www.khazanahbendaharaserimaharaja.com/islam-dan-ahlul-bait-di-capetown-afrika-selatan.html
7. Ziarah penulis di Banten, Indonesia (2016)