Wednesday 5 April 2017

Wanita Ini Kristian Menangis Ketika Berjumpa Saya, Tapi Pulang Dengan Gembira

SALAM CINTA DARI MINDANAO 
19 Mac 2017, angah di datangi oleh dua keluarga kristian. Mereka menghubungi sahabat angah menyampaikan hajat berjumpa selepas menghadiri ‘talk’ angah pada sebelah pagi. Perbualan angah dengan mereka berlangsung hampir 3 jam.
Ini adalah pengalaman pertama angah menyampaikan dakwah 100% menggunakan perantara bahasa Inggeris. Agak kekok pada awalnya kerana angah bukan pelajar cemerlang dalam subjek English. Di Maahad dahulu, semuanya dalam bahasa arab dan tiada persekitaran yang memungkinkan angah untuk bercakap dalam English. Cuma asas english yang angah perolehi ketika matrikulasi banyak membantu. Segala kebaikan adalah dari Ayahanda angah juga. Insan yang mentarbiyah dan membimbing segala gerak kerja angah.

Rancak bersoal jawab

"Angah hanya budak lepasan madrasah yang bercita-cita tinggi melihat cahaya Islam kembali bersinar dengan prinsip tauhid yang benar, penuh cinta dan kemananan."
Catatan pertemuan ini, boleh di baca di FB Madam Violy Alejandro – Community Organizer Unified People’s Homeville Inc. (UPHI), dengan tajuk :

"I CAME WITH TEARS BUT WENT HOME HAPPILY, REMEMBERING HOW THIS YOUNG MUSLIM FROM MALAYSIA INSPIRED ME"

Facebook Madam Violy Alejandro



Versi english, angah percaya sebahagian sudah baca, namun angah sertakan terjemahannya disini atas permintaan sahabat-sahabat.
Berikut adalah terjemahan tulisan Madam Violy –
"AKU DATANG DENGAN TANGISAN, AKAN TETAPI AKU PULANG DENGAN KEGEMBIRAAN, TERINGAT BAGAIMANA SEORANG LELAKI MUDA MUSLIM DARI MALAYSIA MENGSINSPIRASIKAN AKU"
Pada hari Ahad yang lepas, 19 mac adalah hari yang sangat nostalgia bagiku, memori itu akan kekal sampai bila-bila. Aku dan sebahagian penduduk serta belia dari bandar Zamboanga telah dijemput oleh seorang sahabatku, Gamz Hassan untuk menghadiri satu aktiviti NGO, iaitu pengisian dari pemuda muslim juga seorang ustaz muda dari Malaysia. Penyampaian berkaitan dengan motivasi, tentang kepercayaan, kasih sayang dan keamanan.
Pada sebelah malamnya, Aku berjumpa kembali dengan mereka. Di sini kami berbual panjang tentang kepercayaan yang Ustaz anuti (Islam) dan Ustaz ceritakan kepada kami kefahamannya terhadap Islam dan Kristian.
AKU MASIH BOLEH INGAT BAGAIMANA SEMUA INI BERMULA, apabila beliau bertanya kepadaku apa yang aku lihat dalam dunia sekarang – dunia yang kita sedang huni. Kemudian, aku memberitahu kepadanya (Ustaz Mohd Hanif haji Ibrahim dari Kuala Lumpur, Malaysia) bahawa apa yang aku lihat adalah banyaknya penderitaan, kesusahan dan perjuangan. Semua itu sememangnya berada disekelilingku dan tidak banyak yang aku dapat bantu mereka, keluarga dan orang lain. Aku selalu berdoa kepada Tuhan agar adanya bantuan dan aku berharap akan ada sesuatu yang boleh diselesaikan.
Kemudian, Ustaz Angah (nama yang dipanggil oleh ahli keluarga) berkongsi kepadaku tentang "garam". Beliau membuat perumpamaan "garam" itu adalah "sebuah masalah”. Beliau berkongsi dan bertanya, jika kita meletakkan segenggam garam ke dalam sebuah gelas, apa yang akan dirasai? Aku menjawab, rasa air itu sangat masin.
Kemudian beliau bertanya kembali, jika kita meletakkan segenggam garam yang sama kuantiti yang sama seperti tadi ke dalam timba kemudian di dalam baldi? Aku menjawab, mungkin tidak akan rasa masin seperti di dalam gelas tadi. Beliau menekankan bahawa, itulah perumpaan ‘rasa bermasalah’ yang lahir dari jiwa yang kecil.
Sekiranya kita membandingkan perumpamaan tersebut, sebagaimana masalah telah berada di dalam jiwa yang kecil, kita akan melihat betapa besarnya masalah tersebut. Akan tetapi, jika masalah yang sama berada di dalam jiwa yang besar, tidak dianggap masalah lagi.
Sebagaimana pada perumpamaan tadi bahawa garam tidak akan dirasa masinnya lagi (bila garam berada di air yang luas- baldi). Begitu juga hidup ini, kita mesti memiliki jiwa yang besar, mesti mengenal apa itu ‘masalah’. Situasi akan nampak bermasalah dan dianggap besar sekiranya kita mempunyai jiwa yang kecil. Jadi, kita mesti membesarkan jiwa kita agar segala ‘masalah’ yang dihadapi tidak di anggap sebagai masalah lagi.
Ustaz angah berkata: Bagaimana cara menjadi orang berjiwa yang besar? Ada 4 perkara :
1) ADA HUBUNGAN DENGAN TUHAN
Beliau berkata, kita mesti ada keyakinan bahawa tuhan sedang berikan ganjaran terbaik untuk kita melalui ujian hidup. Tuhan sangat mencintai umat manusia, dan kita mesti memahami bahasa Cinta Tuhan.
2) ADA HUBUNGAN DENGAN NABI
Beliau menceritakan secara ringkas tentang Nabi Muhammad s.a.w, Nabi Isa (Jesus Christ) dan Maryam. Beliau berkata "Mengapakah Allah letakkan mereka (Nabi2) dalam kesusahan? Ini kerana Tuhan ingin sampaikan mesej bahawa Nabi-Nabi lebih susah daripada apa yang kita lalui sekarang (betapa teruk kesusahan yang kita lalui, tentu sekali tidak dapat tandingi kesusahan para Nabi terdahulu). Sebagai pengikut Jesus, kami rasa malu untuk mengeluh lagi kerana Nabi kami lebih mengalami kepayahan berbanding kami.
aku berkata kepada Ustaz Angah, “kami adalah Kristian”. Jadi Ustaz Angah memberikan banyak contoh kepayahan yang dialami oleh Nabi Isa (Jesus) dan Maryam serta Nabi muhammad s.a.w. Ustaz Angah amat menunjukkan tanda hormatnya terhadap kepercayaan Kristian kami.
3) BELAJAR MELIHAT KESUSAHAN ORANG LAIN
Beliau berkata, sekiranya kita ada masalah, fikirlah bahawa ramai lagi yang menderita berbanding kita. Kemudian, beliau menunjukkan satu video di dalam telefonnya, sebuah video yang menunjukkan seorang lelaki yang tiada kaki tetapi tetap bekerja sebagai pekerja binaan. Video tersebut amat menyentuh hati kami dan membuatkan airmata kami mengalir. Kami amat bersyukur dan berterima kasih kepada Tuhan kerana kami masih sempurna sebagai seorang manusia.
4) MENGENAL DUNIA INI ADALAH TEMPAT UJIAN DAN TRIBULASI
Beliau berkata, dunia ini bukanlah tempat tinggal yang sebenar tetapi tempat tinggal yang sebenar-benarnya adalah akhirat. Semua manusia sedang berada di dalam ujian. Tidak kira sama ada miskin ataupun kaya, mereka tetapi menghadapi ujian dalam bentuk yang berbeza. Tiada satu pun yang terkecuali. Akhirat adalah destinasi sebenar untuk kita berehat dan bukanlah di sini (dunia). Alangkah beruntungnya sekiranya manusia memahami bahawa dunia ini adalah sementara dan kita semua sedang menuju ke Akhirat tempat yang kekal selamanya.
Mendengarkan semua ini, aku merasa sangat tenang. Alangkah indahnya apabila mendengar bahawa ujian dan penderitaan ini adalah sementara sahaja, sedangkan kita menuju ke tempat yang jauh lebih baik pada suatu hari nanti. Terima kasih untuk penjelasan ini, terima kasih atas pencerahan yang dikongsi oleh Ustaz Angah kepada kami. Sekarang, Ustaz adalah anakku dan kami adalah satu keluarga.
================================================
Fitrah manusia berhajat kepada Allah. Kata Ayahandaku, kita mesti kembalikan hati manusia kepada Tuhan. Manusia menderita hari ini bukan kerana tiada harta, pangkat dan seumpama tetapi tiada tuhan dalam jiwa mereka. Jika mereka ada segalaanya, tapi tiada tuhan, mereka tetap menderita. bayi yang menangis akan tenang dalam dakapan ibu kandungnya, ketenangan berada disitu, demikian juga manuia hari akan bahagia bila kembali ke 'dakapan Ar Rahman'.
Sekarang kami adalah seperti keluarga. sebagai seorang anak yang mencintai ibunya, sudah pasti angah ingin ibu dan keluarganya mendapat cahaya hidayah dari Allah. Insya Allah, mohon doa semua. Apa yang tercatat adalah sebahagian sahaja dari perbualan kami, nak tahu lagi? ngopi la boh.

No comments:

Post a Comment

Enam Sebab Saya Berbangga Dengan Kemerdekaan Tanah Melayu

  1.Islam Berada Di Kedudukan Tinggi Dalam Perlembagaan   Saya sangat berbangga dalam rundingan kemerdekaan Tanah Melayu, ketika banyak nega...